Setelah lama tidak menghadiri apa-apa upacara kesenian dan sastera, malam tadi saya terheret ke Madrasah Seni di Kampung Banda Dalam, Jalan Gombak oleh seorang kawan, ke majlis baca sajak. Kawan itu entah tiba-tiba teringatkan saya, mengajak untuk ke upacara itu. Majlis baca sajak itu anjuran Paksi sebuah kumpulan penyair pemberontak yang gigih?
Salah satu kawasan pembinaan di Genting. |
Walaupun keletihan, kerana dari pagi seusai Subuh sudah turun dari rumah ke HUKM, meneruskan rutin hidup terkini, dan telah melakukan "macam-amcam" diheret kawan, saya layan juga kawan ini. Lagi pun agak lama kami tidak berjumpa. Sejak mendapat projek kurniaan Zahid Hamidi, beliau agak sibuk sikit, dan banyak berada di tapak projek dari di rumahnya di Damansara.
Saya senang dengannya kerana boleh maki hamun "caw-caw", dia tak marah dan tidak mengambil hati. Kami kenal lama dan memahami antara satu sama lain. Itulah juga rahsia kenapa persahabatan kami tidak putus, dan bersambung walaupun tidak selalu berjumpa seperti yang lain.
Dan dia pula akan mencari saya bila ada perlu, perlu baginya. Saya pernah menggelarkan dia ini sebagai pembawa karung guni. Dia akan masukkan kita dalam karung guni dan dijual murah untuk kepentingannya. Jangan marah sahabat...
Jadi bila bertemua malam tadi banyaklah basa basi dan ceritanya termasuk hal-hal agak personal mengenai Najib Razak dan Rosmah Mansor yang diketahuinya. Kawan saya ini suatu masa dulu pendokong Najib tetapi hari ini sudah bernada lain sedikit mungkin kerana mengkeramatkan Jawa Bagan Datuh untuk jadi PM.
Katanya dia minta maaf kerana tidak mengetahui keadaan saya sebenarnya. Dia ingat saya sakit biasa, bergeliwat dengan penyakit asas gaout. Pelik juga, dan di sinilah saya rasakan dia berbohong. Masakan tidak mengetahui hal diri saya kalau dia tidak pernah lekang dengan blog saya. Blog dan media sosial saya adalah cermin kehidupan saya, setiap saat. Dan saya tidak suka menjual penyakit untuk meraih simpati. Yang indah dikongsi ialah kegembiraan, keseronokan bukan penderitaan.
Masa kawan itu tiba di rumah, azan Isyak berkumandang. Dia ke bilik air dan mengerjakan solat Isyak. Sudah acap kawan ini kalau ke rumah saya dia akan solat, dan berlainan dengan sesetengah rakan lain yang nampak liat untuk solat dan sengaja mencari alasan untuk tidak bersolat di rumah saya atau pun mengakui solat jamak takhir dan sebagainya. Atau mungkin juga mereka solat "daim" solat sepanjang hayat.
Nadhilah dengan gaya tersendiri sedang mendeklamasi sajak Dinsman. |
Jika ikut rasa saya tidak perlu layan kawan ini kerana saya keletihan seperti saya sebut tadi dari lepas Subuh sampai tengahari tidak ada rileks. Sedang kalau ikut nasihat doktor saya memerlukan rileks yang banyak dan tidak berada di ruang terbuka bimbang dihinggapi penyakit bawaan. Dan bagi saya pula rileks adalah memanjakan diri yang boleh menyebabkan kita terdodoi dengan masalah diri. Rileks sebegitu merupakan satu penyakit. Huh....
Yassinsalleh turut mendeklamasi sajak gilanya. |
Trio ini membaca sajak karya Saari Sungip. |
Di Genting, pusat perjudian dan pelancongan? Sebenarnya inilah tempat yang tidak menjadi minat saya. Sepanjang hidup baru dua kali saya naik ke tanah tinggi ini yang kini sedang diolah menjadi pinggir syurga. Kali pertama ialah pada tahun 1986 itupun dibawa secara tidak sengaja oleh seorang kawan. Dan kali kedua atau ketiga semalam, dibawa secara tidak sengaja dan disengaja oleh dua orang kawan, yang suka mengheret.
Saya tidak berminat ke Genting bukan apa, suasannya tidak aman dan kondusif buat saya. Walhal jika hendak dikira tempat itu adalah baik untuk terapi diri dan menenangkan otak selepas kepenatan atau bila dituba keserabutan. Udara di sana sejuk, pemandangan indah ceria boleh menyegarkan jiwa. Saya teringat seorang pengarah dan producer filem sebaik menerima bayaran membawa anak dan isterinya bermalam di Genting untuk beberapa malam, kemudian turun bila poket kering. Bukan apa kerana untuk menikmati keindahan panoramanya.
Tetapi tidak begitu dengan saya. Hati akan sakit apabila melihat pembangunan di sekitarnya. Perasaan diri menyebabkan demikian. Terasa sedih kerana apa yang berlaku ia tidak memberi apa-apa makna bagi kehidupan dan perjuangan saya. Hati saya dielus sebak sepanjang berada di atasnya dan melihat kepesatan pembangunan yang bagaikan hala litar sedang dilaksanakan. Pembangunan dan segala bunyi engin semacam mencabar dan mengejek saya.
Sepanjang berada di atas sana saya tidak habis-habis mengeluh dan menyebut; sebuah negara lain suku sakat. Genting bukan lagi berwajah Malaysia. Pembangunan yang sedang dilakarinya bakal membentuk ia satu wilayah baharu yang asing bagi waga negara ini. Wilayah yang tidak ada kena mengena dengan bangsa dan menjadi milik antarabangsa. Hari ini pun, semalam saya tengok, yang berada di puncak adalah orang-orang asing. Kalau ada orang tempatan hanya jaga, pengawal parking, pelayan cafe itu pun berebut dengan Bangda dan Myanmar.
Yang jelas orang Melayu ialah anak-anak muda yang naik ke puncak itu dengan bas atau motor kapcai membawa anak kecil atau pun pasangan untuk berselfie bagi dimuatkan dalam media sosial. Mengambil latar belakang puncak itu yang nyaman, indah sebagai kenangan-kenangan tanpa menyedari hakikat segala pembangunan dan tanah itu hak siapa?
Pembangunan pesat berjalan siang malam bagaikan hala lintar. Begitulah yang saya dapat sifatkan apa yang berlaku di sepanjang jalan menuju ke puncak Genting itu. Kiri kanan penuh dengan jentera pembinaan. Rupanya pada masa ini pusat peranginan Genting diperbesarkan dengan beberapa projek baharu, ini termasulah memperbesarkan taman tema Genting yang sudah berusia 30 tahun.
Taman tema lama akan diganti dengan taman teman baharu, apabila Resort World Genting telah berkerjasama dengan Twentieth Century Genting bagi mengembangkan pusat itu dengan menelan kos sebanyak RM3 billion.
Selaras perkembangan itu juga pembesaran dengan menambahkan bilik hotel dan penyediaan pelbagai ruang kegiatan lain.
Menurut pihak pemilik pusat berkenaan, dengan pengubahan atau perwujudan taman tema baharu serta terdapat pelbagai aktviti lain pusat itu dijangka akan menerima lebih 30 juta pelancung setahun. Kepesatan pengunjung ke Genting itu sudah tentu ia dirangsang oleh tindakan kerajaan mengadakan promosi pelancongan dan ini termasuklah memansuhkan visa kepada warga Cina.
Ternyata kepesatan pembangunan di Genting mengatasi pembangunan dibandar-bandar lain di negeri Pahang ini termasuk bandaran kediman Perdana Menteri sendiri di Pekan, Kuatan atau pun Pusat Bandar Jengka yang dihuni seratus peratus Melayu.
Sebahagian warga Madrasah Seni yang hadir. |
Timbul juga pertanyaan di kepala saya untuk apa dan tujuan apa segala projek itu? Kerajaan Pahang khasnya apakah keperluan dalam konteks bangsa Melayu dan kelestarian alam dan agama, maka membenarkan puncak istimewa itu dibangunkan demikian rupa? Tidakkah ia kontras dengan laungan para pendokong dan pentaksub Umno yang bumi ini kita (Mlayu) yang punya tetapi hakikatnya ia dikuasai oleh orang lain?
Kita bersikap double standrad, satu masa kita memperjuangkan hak peribumi, satu masa kita memperdagangkan aset peribumi? Kita memperjuangkan kesucian agama Islam, tetapi satu masa membuka pintu seluas-luasnya untuk diterobosi kemungkaran.
Selepas menghirup secawan kopi di sebuah cafee saya dan kawan turun dari puncak indah yang bakal membawa celaka suatu hari itu. Sepanjang perjalanan pulang saya tidak habis menyebut dan mengucap, negara lain suku sakat sambil perasaan malu dan hina menimpa ke dalam diri. Dan di sudut hati saya bertanya dan menyoal apakah ertinya kita mengakui dan mendabit dada bumi ini kita yang punya tetapi segala pembangunannya hanya dapat dijamah mata sahaja. Pembangunan hebat dan pesat itu bukan untuk dimiliki tetapi hanya dijadikan back ground untuk berselfie sahaja.
Laman Madrasah Seni
Di laman Madrasah Seni Banda Dalam, ketika saya dan kawan itu sampai khalayaknya tidak berapa ramai. Jumlahnya sama dengan majlis-majlis sebelum ini, sekitar 50 hingga 70 orang. Tetapi warga madrasah itu, anak-anak seni gelandangan, (maaf) tidak mempedulikan. Mereka tidak memerlukan kepada keriuhan dan ribuan orang datang ke negara mereka, cukup semasa mereka sahaja. Mereka bukan egosi macam orang politik menanti khalayak ribuan baharu bersemangat bersyarah.
Saya tabik banyak kali kepada kegigihan warga madrasah ini kerana istiqamah dan komited dengan kegiatan mereka, khususnya kepada Dinsman, Kassim Muhamad dan Mohamed Nasser Mohamed. Mereka tidak peduli kepada dunia lain yang dianggap sudah bergerak maju, namun apa yang penting mereka dapat melempiasi perasaan dan rasa geram mereka menerusi sajak terhadap ketidak-adilan dan kebobrokan.
Malam tadi, tema baca sajak ialah Politik Gila. Rata-rata sajak yang dijeritkan, adalah sajak memperkatakan kebencian kepada politik yang semakin gila mabuk. Kemarahan warga madrasah ini kepada amalan politik Malaysia yang dianggap gila ini terserlah dalam beberapa buah sajak, antaranya sajak Dinsman berjudul "Gila Gila Apakah Ini" yang dideklamasikan oleh Nadhilah Suhaimi yang saya kira sangat berkesan.
Lain-lain yang hadir dan turut membaca sajak "gila" masing-masing ialah Yassin Salleh, Shukur Harun dan lain-lain. Turut sama kelihatan ialah "perajin sastera" Razali Endun, Misnon Jamil dan lain-lain.Hadir di majlis sebegitu selain merasai keluh kesah dan hiba penyair dapat juga berjumpa dengan kekawan lama.
Disamping angkat tabik kepada pengiat seni madrasah seni ini, ingin saya cadangkan kalau boleh pembacaan sajak perlu ditingkat dari apa yang ada kini kepada darjat deklmaasi. Sajak bukan saja setakat laungan, luahan kekecewaan menerusi laras bahasa, atau apreasi aksi bagai-bagai sesusuka kehendak, tetapi ia masih terikat dengan rukun keunikan dan keindahan tersendiri. Adalah molek kalau pembaca sajak itu juga diajar ataupun dibimbing dengan pendeklmasian yang mana persembahan akan lebih menarik dan terfana.
InsyaAllah kalau ada acara dan kesempatan saya akan hadir lagi kali ini dengan ikut sama membaca sajak. Saya kini sedang mengumpulkan sajak-sajak untuk diterbitkan dalam sebuah antologi sajak diri. [wm.kl.10:11 am 12/03/16]
No comments:
Post a Comment