Thursday, March 10, 2016

Sidang Dun Kelantan ada wakil tunjuk bijak

NOTA KECIL

Zulkifli Mamat 
jadi penggulung di DUN.
Semalam saya termengikuti sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan menerusi Internet. Saat itu Adun Pulai Chondong, (Zulkifli Mamat) sedang berucap membahas titah menjunjung ucapan perasmian oleh Sultan.

Mendengar cara Adun ini berucap timbul juga kepelikan bagi saya kerana dia bukan berucap membahas atau membawa isu sebaliknya mengulas dan menjawab isu-isu yang telah dibangkitkan wakil lain. Ini menyebabkan cara dia berucap semacam menggulung perbahasan bukan membangkitkan isu. Lagak semacam Exco atau MB pulak.


Kejanggalan cara Adun ini berucap itu dikesani oleh Adun Kok Lanas, (Md Alwi Che Ahmad) dan Alwi cuba memberi teguran agar memperbetulkan cara perbahasan bagi mengelakkan Dun disalahgunakan serta tidak menampakkan Adun berkenaan tolol. Teguran Alwi itu juga sudah tentu bagi menjaga standrad dan amalan Dewan sebelum ini.

Menjawab atau menjelaskan segala isu dibangkitkan oleh anggota lain hanya dilakukan oleh para Exco atau MB sahaja. Hanya mereka sahaja berautoriti. Tetapi apa yang berlaku semalam ia satu kepelikan semacam pembaharuan pula dalam sidang Dun Kelantan. Apakah Speaker Kelantan sudah buat peraturan baharu di Dun Kelantan?

Namun teguran Alwi itu tidak diperduilkan, Adun ini terus dengan gaya dan caranya, syok mengulas dan menggulung setiap isu-isu yang dibangkitkan seperti dia asalah MB. Ini termasuklah menjawab beberapa perkara dibangkitkan oleh Adun Salor (Husam Musa), berhubung isu-isu yang sering kali berbangkit, khasnya mengenai pembalakan, lebuh raya serta urusan tadbiran yang pincang, seperti kelambatan perlantikan penghulu di kawasannya.

Anihnya isu yang membelit dirinya sendiri, yakni Kompleks Perkayuan Kelantan (PKP) tidak dijawab dengan tuntas. Adun Pulai Chondong ini pernah menjadi Pengerusi KPK dan dilepaskan kepada orang lain selepas agensi berkenaan bermasalah. Walaupun Adun Dabong (Ramzi Abdul Rahmi) membangkitkan perkara itu, tetapi Zulkifli melencung ke arah lain, lari.

Walaupun cuba jadi juara dan membela kerajaan negeri, tetapi Zulkifli ternyata gagal memberi kepuasan kepada semua pihak. Orang persoalkan siapa dia untuk membuat penggulungan dan penjelasan setiap isu yang dibangkit. Apakah seorang Adun biasa mempunyai autoriti untuk menjawab isu-isu dibangkitkan?

Cara Zulkifli itu memelikkan sehingga timbul pertanyaan apakah pihak kerajaan khasnya MB telah menswastakan kepada Zulkifli tugas menjawab dan menggulung perbahasan?  Kalau begitu apa pula tugas MB? Masuk Dewan riba tangan dan lurut janggut sahaja ke? Dan kalau MB rasa tidak mampu untuk menjawab segala isu dibangkitkan sampai terpaksa diserahkan kepada orang lain, mungkin Ahmad Yakob sudah bileh berfikir apakah perlu dia terus jadi MB lagi atau berhenti?

Yang mendukacitakan jawaban oleh Zulkifli itu bersifat simplistik dan sindiran. Ada juga isu-isu yang wajar dijelas dengan tutas tetapi disentuh secara selamba sahaja, tidak menempati apa yang dikehendaki dan penuh sinisme menyebabkan timbul perbalahan meleret merugikan masa.

Jawaban diberikan juga tidak berdasarkan kepada fakta dan mengikut ilusinya sahaja. Misalnya ketika menjawab kewajaran kerajaan meluluskan pembinaan kondominium di berhampiran masjid Talipot, walaupun dibantah pembinaannya, beliau menjelaskan projek itu berbentuk dakwah dan memudahkan orang ke masjid. Dia memberi perumpamaan masjid itu seperti masjid Haram dan Madinah di Makkah dimana dibina bangunan untuk beribadat.

Pandangan Zulkifli itu sekali lagi ditegur oleh Md Alwi dengan mengatakan jangan menyamakan masjid Talipot dengan masjid Haram di Makkah dan Nabawi di Madinah. Kata Alwi orang ingin berada dekat masjid di Makkah dan Madinah itu kerana mengharapkan pahala. Beza masjid Talipot dengan dua masjid itu sangat jauh, kata Alwi. Mendengar teguran Alwi itu menyebabkan Adun Pulai Chodong ini tersengeh, mengaku silap.

Suatu masa Zulkifli menggunakan masa dan ruang terlalu banyak, bukan untuk menjelas perkara untuk kebaikan rakyat, tetapi menempelak wakil-wakil lain khas dari pihak oposisi. Satu ketika dia menghabiskan masa lebih 20 minit, asyik bangun dan duduk bersama Adun Tawang, (Hassan Mahmood) seperti orang main sepak raga jaring lagaknya.

Hassan angkat Zulkifli sepak, Zulkifli tanduk, Hassan lipat. Semua telatah dan tingkah laku itu untuk menyakit dan mempesendakan ahli lain. Keadaan ini tidak menyenangkan wakil pembangkang menyebabkan berlaku pertengkaran dan rasa kurang enak sehingga terhembur perkataan yang tidak sepatutnya.

Situasi ini bukan sahaja mencemarkan Dewan tetapi merugikan masa. Masa bersidang sepatut diisi
dengan perkara-perkara berfaedah tetapi diisi dengan cerita-cerita atau pun telatah Pandir dan Pak Dogol. Gelagat begitu juga tidak patut wujud lagi setelah sudah lebih 25 tahun Pas menjadi kerajaan di Kelantan. Seharusnya sidang Dewan berlangsung dengan penuh tertib, profesional dan impaktif.

Diharap pembaharuan sidang Dun Kelantan yang ditaja Zulkifli ini dan direstui Speaker tidak akan diteruskan lagi. Biarlah Dun kembali kepada peraturan biasa, di mana jangan ada orang bertindak menjadi pandai atau pun suka mengambil dan mengaul tugas dan tanggungjawab orang lain kerana mahu syok sendiri.

Bernostalgia atas apa yang sudah tiada juga tidak berapa baik dan ia bukan didambakan rakyat. [wm.kl.12:42 pm 10/03/16]

No comments: