Tuesday, March 1, 2016

Mahathir perlu ketepi kepentingan diri kalau mahu singkir Najib

ULASAN ISU

Peristiwa besar dalam "negara politik" tanah air semalam ialah pengumuman keluar parti oleh Dr Mahathir Mohamad bersama isterinya Siti Hasmah Mohd Ali. Dr Mahathir dalam satu sidang akhbar khas di Yayasan Perdana, mengumumkan keluar daripada Umno. Alasan yang diberikan beliau tidak mahu menjadi ahli kepada parti yang berajakan wang.

Katanya juga, beliau malu menjadi ahli parti yang bekerja untuk mengukuhkan seseorang (individu), Najib Razak.

Tindakan Dr Mahathir seperti itu adalah kali kedua. Sebelum ini pada tahun 2004 ketika Umno dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi, (Pak Lah) beliau telah membuat keputusan sama. Bagaimana pun bekas PM itu rujuk semula kepada Umno, apabila Umno diterajui oleh Najib Razak, pada 2009.

Aksi psikologis Dr Mahathir itu boleh diterjemahkan, betapa beliau seorang yang mengambil berat kepada parti yang diterajui dan dibangunkan selama lebih 20 tahun. Beliau tidak rela partinya menjadi lemah, atau beliau menyesali apabila penggantinya tidak cemerlang menerusi polisi dan wawasan yang digubalnya.

Antara sebab Dr Mahathir tidak menyokong Pak Lah sebagai PM ialah kerana kelemahan Pak Lah dalam beberapa perkara. Apapun paling jelas, ialah kerana ketidaksediaan perdana menteri ke -5 itu untuk meneruskan wawasan dan projek mega yang dirancang di zamannya yang ada kepentingan secara tidak langsung dengannya (Dr Mahathir).

Salah satu projek mega itu yang tidak diteruskan Pak Lah ialah projek Jambatan Bengkok, laluan ke tiga di antara Semananjung Malaysia dengan Singapura. Pembatalan projek yang sudah dimulakan itu menimbulkan kemarahan Dr Mahathir. Lain-lain ialah pemansuhan projek mega lain, seperti projek keretapi berkembar.

Adapun pembatalan projek Jambatan Bengkok itu menimbulkan kemarahan besar Dr Mahathir terhadap Pak Lah dan menjadi ikon persengketaan Mahathir - Pak Lah. 

Selain itu, Dr Mahathir tidak senang dengan "keletah" puak Tingkat 4, yang dikatakan menguasai dan memonitorkan Pak Lah dimana puak itu diketuai sendiri oleh menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Bagi Dr Mahathir, Khairy adalah mentor Pak Lah dan penentu segala dasar dan polisi baharu perdana menteri. Menurut Dr Mahathir, Pak Lah banyak bertindak mengikut arahan si menantu.

Bertolak dari situ hubungan Dr Mahathiur - Pak Lah retak dan beliau mula berusaha untuk menyingkirkan Pak Lah untuk diganti dengan Najib. Tindakan paling dominan bagai memberi mesej beliau tidak senang dengan Pak Lah ialah dengan bertindak keluar daripada Umno bersama isterinya, dan ia juga diikuti oleh Sanusi Junid yang dikenali sebagai musuh Pak Lah sejak dari dalam rahim lagi. Tindakan Dr Mahathir laki bini itu sebagai memberi tekanan dan damge kepada pentadbiran Pak Lah sebagai PM.

Peliknya, anak bongsunya yang dijadikan baka politik, Mukhriz tidak keluar daripada Umno mengikut jejak langkahnya dan Dr Mahathir semacam mahu membiarkan anaknya kekal dalam Umno.

Pak Lah tentu terkilan dengan sikap dan fiil Dr Mahathir itu, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa. Sebagai tokoh politik tenang dan tidak gemar kontroversi, beliau hanya mendiamkan diri sahaja. Malahan Pak Lah tidak pun mengulas balas tindakan Dr Mahathir itu, melainkan sekali sahaja apabila parah sangat Mahathir menghentamnya. Sikap diam dan tidak peduli Pak Lah sehingga menimbulkan kemarahan di kalangan pendokongnya sehingga menyifatkan Pak Lah lembek.

Aspirasi Dr Mahathir itu, menekan dan mahu menyingkirkan Pak Lah diterima oleh sebilangan orang (pimpinan) dalam Umno, apa lagi para "pendolor" Najib, mereka sangat mengalu-alukan cara dan provokasi Dr Mahathir terhadap Pak Lah. Sebahagian lain menerima hujah dikemukakan Dr Mahathir tanpa membaca apakah motif Dr Mahathir disebalik tindakannya itu.

Najib sendiri mengambil sikap menahan lukah di pergentingan sahaja dengan keadaan itu. Orang yang kuat menyokong tindakan Dr Mahathir untuk memalukan Pak Lah ialah Muhyiddin Yassin. Muhyiddin secara terbuka meminta Pak Lah berundur, atasa alasan kelemahan dan kegagalan dalam mengurus negara dan menangani beberapa isu. Keberanian luar biasa Muhyiddin itu sangat mengilankan Pak Lah.

Pada ucapan hari terakhir sebagai presiden Umno, semasa menggulung perbahasan dalam perhimpunan agung Umno, Pak Lah disamping mengucap selamat kepada penggantinya, agar menjaga dan memperkuatkan Umno telah menyatakan yang beliau memaafi semua kesalahan Muhyiddin. Apologetik terbuka itu memberi satu sindiran tajam kepada Muhyiddin yang dilihat begitu ghairah untuk melojak ke jawatan timbalan presiden kemudian Timbalan Perdana Menteri.

Setelah Najib mengangkat sumpah menjadi PM, (2009) dan Muhyiddin menjadi timbalan PM, Dr Mahathir sekonyang-konyang menyertai semula Umno. Penyertaana itu sebagai menandakan perang beliau terhadap Umno yang dipimpin Pak Lah telah tamat dan menyatakan sokongan padu beliau kepada Najib. Ia memberi kegembiraan dan semangat kepada Najib dan Muhyidddin. Najib mendapat kembali semangat Umno yang dimiliki Mahathir yang hilang sekejap pada zaman Pak Lah menjadi PM kira-kira lima tahun. Lagak Dr Mahathir itu sungguh memedihkan hati Pak Lah.

Apa dan kenapa Mahathir marahkan kepada Pak Lah dan Umno ketika dizaman Pak Lah? Secara tektikanya seperti dikatakan dan disebutkan diatas tadi. Di samping itu ada perkara lain tersembunyi menyebabkan Dr Mahathir marah dan kecewa dengan Umno di zaman Pak Lah. Salah satu sebabnya ialah apabila anaknya (Mukhriz) tercicir daripada menjadi calon dalam pilihan raya pada tahun 2004. Mukhriz, satu-satu anaknya yang diharap menjadi legasinya tidak dicalonkan dalam pilihan raya tersebut.

Inilah satu kesilapan Pak Lah dalam membaca naluri dan perasaan Dr Mahathir. Bagi Dr Mahathir kealpaan Pak Lah untuk mencalonkan anaknya itu dianggap sebagai satu strategi untuk meminggirkan Mukhriz dari arena politik. Lebih jauh dari itu Dr Mahathir mengira ia strategi bagaimana untuk memberi kemenangan kepada menantunya (Khairy) untuk menang jawatan Ketua Pemuda Umno yang diada pada tahun berikutnya berkebetulan menjadi rebutan antara Khairy dengan Mukhriz.

Dalam pertandingan itu Mukhriz kalah ditangan Khiary Jamaluddin. Kekalahan itu bukan memalukan Mukhriz, tetapi yang paling malu dan terhina ialah Dr Mahathir. Dr Mahathir tentu mengira kekalahan anaknya itu satu penolakan kepada dirinya sebagai tokoh dan bekas PM selama 22 tahun sebaliknya perwakilan mengikhtiraf Pak Lah yang baru menjadi PM belum sampai tiga tahun.

Kekecewaan Dr Mahathir itu berulang lagi pada tahun berikut apabila sekali lagi Mukhriz yang mahu merangkak ke atas, bertanding jawatan Naib Presiden Umno, kalah. Kekalahan kedua ini lebih menyenakkan kerana Dr Mahathir berasakan jasa dan budinya tidak lagi dikenang dalam Umno. Kerana kalau ia dikenang dan diingati sudah tentu Mukhriz sebagai pusaka politiknya diberikan laluan mudah untuk menjadi salah seorang Naib Presiden Umno. Dan lebih menyedihkan Dr Mahathir lagi apabila Khairy masih mampu mengekalkan kedudukannya sebagai ketua pemuda Umno.

Kekecewaan dua kali itu berhimpun dalam kubang "puad" Dr Mahathir. Dr Mahathir makin berasakan dia dilupakan bahkan dihina dengan kejadian itu. Beliau sebenarnya tidak perlu berasa begitu kerana sunnah politik memang begitu, jasa dan budi tidak akan mudah untuk dikenang. Tetapi Dr Mahathir alpa hakikat itu dan masih berasakan dialah terhebat selama-lamanya.

Rasa kecewa itu senantiasa berombak dalam dirinya. Dr Mahathir juga berasa tercabar dan sedih apabila mengenangkan kejayaan Allahyarham Tun Razak Hussein yang meninggalkan legasinya Najib Razak sebagai perdana menteri. Hakikat itu mengaru-garu hati dan jiwanya. Dr Mahathir mahu mengulangi sejarah Razak kalau pun tidak mengatasinya. Justeru dia terhimbau-himbau akan nasib bakal diterima oleh Mukhriz dan kegagalannya untuk mengapai satu legasi besar buatnya.

Kenapa Dr Mahathir tidak menguncikan diri sesudah tidak menjadi PM, seperti Pak Lah dan Allahyarham Hussein Onn? Sebaliknya beliau tetap aktif dan bersuara dan mahu mendapat perhatian daripada pentadbiran Najib. Kalau boleh dia mahu menjadi penasihat kepada kabinet Najib? Sebabnya, ialah dia mahu perjalanan politik Mukhriz selamat dan sampai ke destinasinya.

Inilah masalah dan kerenah Dr Mahathir yang sedikit sebanyak membelenggu Najib. Dalam sesuatu hal Najib memberi laluan atau akur kepada kehendak Dr Mahathir. Pelantikan sebagai Pengerusi Petronas dan Proton dan sebagainya adalah atas budibicara dan ehsan Najib kepada Dr Mahathir di mana ruang itu boleh dijadikan medan untuk beliau menggemburkan politik Mukhriz. Dan jasa Najib terbesar kepada Dr Mahathitr sehingga mengorbankan perasaan orang lain ialah, melantik Mukhriz sebagai MB Kedah dan sebelum itu sebagai timbalan menteri. Walhal Khairy sudah menjadi ketua pemuda tetapi tidak diberi apa-apa peranan dan tanggungjawab. Najib sengaja melakukan itu kerana menjaga hati dan perasaan Dr Mahathir.

Pendeknya dalam soal memenuhi kehendak dan angin Dr Mahathir, Najib sudah melakukan apa sahaja. Najib sudah mengikut apa yang diingini walau pun kadang-kadang Najib berasa dia seperti dicocok hidung oleh Dr Mahathir serta bersalah. Yang mungkin tidak dilakukan Najib ialah membuang "kain bendung" Dr Mahathir sahaja.

Tetapi Dr Mahathir tetap juga tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. Dia mahu Najib memberi sesuatu yang lebih kepadanya sehingga apa yang dihajati itu tercapai. Maka Dr Mahathir membuat desakan dan helah untuk itu. Beliau tidak peduli perasaan dan pengorbanan Najib sebelum ini. Tidak boleh disalahkan Najib, sesiapa pun bila banyak sangat desakan dan cabaran tidak akan sedia untuk akur. Begitulah berlaku kepada Najib, beliau tidak sanggup menurut kesemua kehendak Dr Mahathir sehingga sampai kuasanya diganggu dan menimbulkan kecuakan kepada orang lain.

Sekatan atau ketidaksediaan Najib memenuhi kehendak melampau Mahathir ini menyebabkan Dr Mahathir marah dan kecewa. Kekecewaan inilah menjadikan Dr Mahathir mula bertindak menyerang Najib. Berbagai-bagai alasan digunakan untuk memburukkan Najib ini termasuklah skandal 1MDB dan juga dana politik RM2.6 billion yang ditolakmasuk ke dalam akaun Najib.

Ada "kuliyah" dan logiknya Dr Mahathir menaruh kebimbangan kepada isu-isu atau skandal berkaitan, tetapi cara beliau menanganinya terlalu jauh dan sehingga membelakang kuasa Najib sesuatu yang tidak wajar. Dr Mahathir bukan sahaja setakat menegur Najib, tetapi dalam masa sama memaksa Najib melakukan perubahan seperti mana dikehendakinya. Dr Mahathir menggunakan skandal itu sebagai modal menggertak Najib.

Ketegasan Najib untuk tidak melacurkan kuasanya kepada Dr Mahathir menjadi punca kerenggangan Dr Mahathir dengannya. Dr Mahathir mula melihat Najib bukan si bocah yang boleh disuruh-suruh lagi. Ketegasan Najib ini dibaca oleh Dr Mahathir ia bakal menjadi penghalang kepada cita-citanya untuk menaikkan Mukhriz. Dr Mahathir mulai sedar dia berhadapan dengan masalah.

Itulah senario dan ronologi menyebabkan Dr Mahathir yang pernah menarik sokongan kepada Najib kemudian menyokong semula, dan kini menarik balik sokongan sehingga keluar daripada Umno. Persoalannya kini apakah tindakan Dr Mahathir itu memberi kesan dan impak kepada Najib? Dan apakah tindakan Dr Mahathir itu akan dianggap bijak oleh pemerhati politik?

Berbagai pendapat dan pandangan didengar yang dikelurkan oleh berbagai-bagai pihak mengikut kapasiti dan kepentingan masing-masing berhubung perkara ini. Kalangan pengampu Najib mempersendakan tindakan Dr Mahathir itu sebagai perkara biasa dan mereka yakin Umno tidak goyah. Menurut mereka penarikan diri Dr Mahathir daripada Umno itu tidak menjadi satu fenomena seperti mana berlaku ketika Anwar Ibrahim dipecat daripada Umno. Alasan diberikan mudah kerana tindakan keluar parti oleh Dr Mahathir bukan pertama kali tetapi lebih dua kali.

Pihak lain pula, penganalisa politik dari jurus akademik berpendapat hampir sama dengan pengampu Najib itu. Mereka tidak melihat Umno akan bergolak dengan tindakan Dr Mahathir itu. Mereka akui walaupun ada yang akan mengikut jajak Dr Mahathir tetapi angkannya kecil dan ia tidak sampai menjadikan Umno "berkucar lembel". Dalam kata lain penganalisa akademik yang lebih cenderong menyokong Najib (untuk jaga kedudukan masing-masing) mengira tindakan Dr Mahathir tidak menjejaskan kekuatan Umno dan BN.

Ada benarnya juga dengan pendapat demikian. Sebagai tokoh penghujung yang sudah mala dan membusuk, Dr Mahathir tidak mempunyai ramai pendokong lagi kerana beliau tidak dapat memberi sesuatu (baksis) seperti semasa beliau berkuasa.

Pun begitu bagi saya terlalu awal untuk mengatakan tindakan Dr Mahathir itu tidak memberi apa-apa impak kepada Najib Razak. Ia bergantung kepada bentuk dan cara Dr Mahathir bergerak selepas ini. Kalau beliau bergerak dalam kelompoknya sendiri, impaknya tidak seberapa dan Najib tidak perlu bimbang. Sebaliknya kalau beliau bersatu dengan pihak lain, semisalnya gabungan parti oposisi, gelombangnya akan menjadi lebih besar. Dr Mahathir akan menjadi batu besar yang kalau dijatuhkan ke laut bisa mengeluarkan bunyi yang kuat dan deburan ombak yang besar.

Dr Mahathir menegaskan beliau tidak akan tubuh parti. Ertinya beliau akan mencari mekanisme lain untuk gayang Najib. Apa yang dapat disuluh, ialah beliau akan naik ke pentas Pakatan Harapan. Tetapi ini juga ada masalah kerana nawaitu dan niat kedua-duanya tidak sama. Dr Mahathir mahu tumbangkan Najib tetapi tidak Umno, sementara Pakatan Harapan mahu tumbangkan Umno bersekali dengan Najib. Kalau beliau mahukan Umno tumbang, pasti Mukhriz sudah mengumumkan keluar Umno bersamanya. Apakah perbezaan ini menjadi gerakan mengayang Najib nanti tidak sepadu dan berpecah?

Sepekara lagi, parti agama (Pas) sudah pasti akan sokongan Najib. Ini menyebabkan oposisi tidak lagi padu dan sekata. Jaminan Pas ini memberikan peluang kepada Najib mendapat perlindungan daripada bencana diterbitkan oleh Dr Mahathir. Tentu Pas dan Najib akan mainkan sentimen, mengenai kejahatan Dr Mahathir dalam berpolitik. Tidak mustahil juga kalau selepas ini Najib bukan sahaja berkongsi warna baju dengan presiden Pas tetapi akan berkongsi pentas ceramah dan skrin telivisyen. Mungkin juga mengundang ulama dan al ustaz Pas untuk bersolat hajat di Seri Perdana dengan menjamu nasi beriani gam.

Harapan Dr Mahathir untuk melihat Najib turun, hanya dengan satu cara sahaja. Beliau harus mengenepikan rasa sayang kepada Umno, sebaliknya bersedia untuk menerima panggilan pembangkang seperti mana dilaungkan oleh Timbalan Presiden Keadilan, Mohamed Azmin Ali untuk melakukan reformasi ke atas pentadbiran negara. Yang dimaksudkan Azmin, bukan sahaja membersihkan beberapa kerat pemimpin kotor dalam Umno, tetapi membersihkan keseluruhan sistem pendbiran dan amalan mungkar yang dibuat oleh pemimpin Umno sejak lama dahulu.

Kalau Umno itu sarang segala kemungkaran, pelindung kepada rasuah dan sebagainya, nah, maka Umno itu harus dihancurkan. Itu pendapat Azmin dan juga oposisi. Soalnya apakah Dr Mahathir dapat menerima agenda ini dan menjadikan ianya satu konsensus? Kalau Dr Mahathir meragui atau malu untuk menerima agenda ini merobekkan Umno kerana malu alah, ataupun untuk tidak dikatakan sedia mengikut telunjuk pembangkang, maka cita-cita Dr Mahathir untuk singkirkan Najib tidak mudah menjadi kenyaaan.

Seperkara lagi Dr Mahathir perlu meletak ke tepi niat dan hajatnya di sebalik hendak jatuhkan Najib kerana mahu menaikkan anaknya sebagai pewaris. Tindakan sebegitu ia tidak mencerminkan keikhlasannya sebalik menyerlahkan agenda kepentingan diri sendiri.

Dalam era milenium politik hari ini para pejuang kepentingan diri sudah tidak diterima lagi. Apa yang rakyat mahukan ialah perjuangan untuk sekalian rakyat. Rakyat akan mendokong pejuang bangsa mereka yang ikhlas, jujur dan berani yang diharap mampu membebaskan kemelaratan rasa dan fikal mereka yang dipenjarakan oleh sistem Umno selama ini. [wm.kl.2:52 pm 01/03/16]

No comments: