ULAS ISU
Parti agama (Pas) mengumumkan ia akan membentuk blok baharu politik sebagai menghadapi pilihan raya akan datang. Pengumuman rasmi akan dibuat pada 16 Mac ini. Begitulah cerita Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan. Rancangan itu mewarnai suasana ketika oposisi bersama Dr Mahathir Mohamad melancarkan deklarasi anti Najib untuk selamatkan Malaysia.
Parti itu tidak sebut dengan siapa mereka akan berkolaborosi bagi mewujudkan blok baharu politik itu, hanya membayangkan dengan sebuah parti perbagai kaum. Pemerhati lalu menyebut beberapa nama parti yang mungkin "gila" untuk berpakat dengan Pas. Antaranya parti milik Abdul Kadir Sheikh Fadzil, tetapi Kadir telah menafikan yang ia akan bergabung dengan Pas. Jadi dengan parti mana?
Apakah dengan parti Dayak, Kadazan, Iban atau Dusun di Sabah dan Sarawak? Di Sabah dan Sarawak memang banyak parti-parti serpihan yang boleh dipinang oleh parti agama itu. Elok juga bagi parti agama itu menerima parti ethnik itu bagi menunjukkan mereka terbuka dan liberal untuk menutup sikap mereka dengan DAP dan Amanah. Cara itu juga membolehkan parti itu berfungsi sebagai parti dakwah untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Dalam pada itu ada beberapa parti lain yang mungkin menjadi pasangan parti itu tetapi ia sangat daif memandang parti itu juga hidup segan mati tidak mahu. Parti-parti lain ialah Berjasa, Kita, Hamim atau PCM yang berpusat di Pulau Pinang. Pelik kalau parti itu sedia untuk bekerjasama dengan PCM sedangkan dengan DAP yang kuat dan telah memberi kelabaan kepadanya ditolak hidup-hidup.
Boleh dikatakan bodoh parti agama itu kalau mereka tiba-tiba sedia bekerjasama dengan parti berkenaan sebaliknya sanggup melupai DAP yang telah terbukti dapat membantu menaikan imejnya. Cara berpolitik begitu undur ke belakang bukan mara ke depan.
Jadi parti mana akan gila untuk bersama Pas? Sehingga kini saya tidak nampak ada parti yang gila untuk bersama Pas melainkan Umno. Parti yang rasional tidak akan sedia untuk bersama Pas. Dan apakah blok ketiga itu akan dibentuk dengan NGO berorentasikan Islam seperti Jati, Isma ataupun Perkasa (M). Atau pun ketika ini sedang diusahakan penubuhan sebuah parti baru dengan bantuan Umno? Atau pun parti itu sudah pun wujud?
Kerana tidak nampak parti mana yang bakal menjadi pasangan Pas maka sukar untuk melihat apa dilakukan Pas itu suatu aksi politik yang positif melain ia sebuah gimik. Mungkin parti pimpinan ulama berlatar belakang nelayan kampung itu terpaksa membuat gimik bodoh selepas menyedari ia kini semakin tersempit dan menyindiri.
Gimik itu tidak lebih dan tidak kurang untuk menampakkan parti itu masih relevan serta untuk mendapat perhatian atau pun pemimpinnya kini ada idea, sedangkan dari segi logikal politiknya ia sesuatu yang melucukan.
Jika hendak dikira pengumuman Takiyuddin itu juga kontras dengan sikap parti itu sebelum ini yang kononnya akan bersendirian tanpa bekerjasama dengan mana-mana pihak walaupun dengan Umno. Jadi apabila ia akan membentuk blok baharu ia bererti parti itu telah mengubah pendiriannya. Perubahan ini dilihat betapa tidak konsistennya fikiran parti berkenaan.
Semasa mengumumkan parti itu akan membentuk blok ketiga, sekali lagi pemimpinnya membuat penegasan yang ia tidak akan bersama Umno. Alasannya kerana Umno sudah ada BN. Bolehkah dipercayai akan penafian itu kerana sebelum ini walaupun dinafikan tetapi dalam masa lain ia mendekati Umno. Sikap dan perasaan lunak para pemimpinnya kepada Umno menyerlah apa yang terbuku dalam hati para pemimpin berkenaan.
Keletah itu juga menyebabkan ramai orang sangsi dan bingung dengan sikap parti agama ini kerana pendiriannya tidak tetap dan konsisten. Mulut kata tidak, tetapi hati hendak.
Kesimpulannya pembentukan blok ketiga yang akan diumumkan itu tidak lebih daripada gimik oleh parti berkenaan bagi menunjukkan pemimpinnya ada idea dan masih diyakini oleh pihak lain. Walahal hakikatnya ia makin menyendiri dan sudah berasa "kesit" dalam saat arus politik orang lain makin deras diperkatakan umum. Bagi saya rancangan Pas itu untuk menghibur hati sendiri sahaja.
Rancangan Pas untuk membentuk blok ketiga itu tidak ubah seperti ianya terlebih laung tetapi gemanya tiada. Pihak Pakatan Harapan maupun Umno tidak perlu bimbang dan terkesima dengan pengumuman Pas itu kerana ianya hanya ilusi sahaja. [wm.kl.12:04 12/03/16]
No comments:
Post a Comment