Sunday, March 13, 2016

11 Mac 1978 tarikh yang tidak pernah dilupakan

CATATAN SORE

Kelmarin 11 Mac 1978, yakni tepatnya 38 tahun lalu merupakan detik paling malang dan tragis kepada parti agama (Pas) negeri Kelantan. Pada hari inlah diadakan pilihan raya umum ke-5, yang menyaksikan kerajaan Pas yang menguasai Kelantan selama 18 tahun telah tumbang.

Keributan yang dicipta Umno untuk jatuhkan
Kerajaan Pas Kelantan.
Menjelang detik 12: 00 malam 12 Mac kerajaan Pas Kelantan diumumkan tewas. Saat itu juga RTM mengadakan interview dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang mengumumkan BN menang dan serentak itu memansuhkan tol di Jambatan Sultan Yahya Petra. Antara manifesto atau janji BN ialah akan memansuhkan tol di jambatan itu sekiranya Umno menang.

Pengambilan kerajaan Kelantan oleh Umno (BN), daripada Pas ini sesuatu yang ditangisi oleh para pejuang Pas dan juga mereka yang percaya dan yakin Pas sebagai sebuah parti memperjuangkan agama. Tidak sedikit yang mengira Pas akan berkubur selepas itu.

Di sini saya tidak mahu mencatat sebab dan musabab kenapa kerajaan Pas tumbang, semua itu sudah menjadi bahan sejarah dan kajian sarjana politik. Tetapi apa yang ingin membangkitkan peristiwa selepas itu. Betapa selepas kalah Pas semacam tidak bermaya. Hanya beberapa orang pemimpin sahaja bangkit untuk menyambung semula kerajaanya dan terus melawan Umno. Sebahagian yang lain seakan tidak mahu meneruskan lagi perjuangan. Sudah berputus asa.

Pas tidak mengambil masa lama untuk mengobarkan semangat rakyat, untuk terus menghidupkan Pas dan melawan Umno. Satu kenduri besar diadakan di Bukit Abal Pasir Puteh Kelantan, dengan mengorbankan beberapa ekor lembu. Saya selalu menyebutkan kenduri itu sebagai majlis "semahan" semangat orang Pas. "Semah" bermaksud membangkitkan semangat yang telah hilang atau lemah.

Kenduri itu diadakan secara gotong royong di kalangan orang Pas dengan Pas Bukit Abal sebagai tuan "kija".

Masih ingat hampir semua tokoh Pas hadir pada majlis itu, dengan pemidato utamanya ialah Allahyarham Mohd Asri Muda. (Nik Aziz dan Haji Hadi belum tokoh penting dan tidak pun berceramah). Kehadiran mencecah puluhan ribu, yang hadir dari segenap penjuru, termasuk dari Besut.

Asri sendiri memuji daya usaha Pas Bukit Abal, khasnya individu tertentu yang mengadakan majlis berkenaan. Individu yang berjasa besar kepada Pas atau menjadi master-mind majlis itu antaranya ialah Pak Mud, Mat Tonik, Haji Sahir, Mat Laksamana, Kak Chik Wan Asma Abdul Kadir, Abang Soh,Tok Penghulu Dollah dan beberapa yang lain.

Bertitik tolak daripada majlis di Bukit Abal itulah Pas melancarkan ceramah siang dan malam disamping membangkitkan semangat orang Pas, menyerang Umno yang mengambil alih Kelantan dengan cara huduh, un democratic. Majlis di Bukit Abal itu juga dijadikan modul oleh Pas Kelantan untuk membangkitkan semula perjuangan Pas.

Hasil kegigihan beberapa pemimpin Pas, mengadakan ceramah ke setiap ceruk negeri Kelantan, semangat Pas berjaya dipulihkan. Majlis penerangan diberikan Pas menyebabkan orang ramai yakin dan optimis dengan Pas. Kejatuhan kerajaan Pas 18 tahun itu ditafsirkan sebagai satu pengkhiatan. Keburukan yang ditaburkan semasa pilihan raya terhadap Pas adalah fitnah semata-mata. Sekiranya Umno tidak merancang demikian rupa kerajaan Pas itu tidak mungkin tumbang seteruk itu. Pilihan raya ke-5 itu dipelan hanya untuk Kelantan sahaja.

Kandatipun begitu Pas Kelantan tidak hilang dari persada politik terus menjadi lawan dan penenatang tegar kepada politik sekular Umno. Berkat kesungguhan itu, kegigihan para pemimpinnya, akhirnya semangat Pas dapat dipulihkan sehingga mengulangi kemenangan lagi selepas 12 tahun kemudian.

Yang saya ingin soal di sini, apakah sekiranya Pas menghadapi kemalangan seperti itu sekali lagi, kronologi itu akan berulang dalam Pas? Saya tidak mahu bersikap skeptikal, tetapi kekalahan Pas akan menjadi kayu ukur sebenarnya kepada orang Pas khasnya para pemimpinnya. Tertakdir Pas kalah dalam pilihan raya akan datang, (PRU 14) apakah parti itu boleh bangkit seperti mana tahun 1990 selepas mengalami kemalangan tahun 1978?

Untuk rekod semasa Pas kalah tahun 1978 dan digerakkan, pemimpin Kelantan yang ada hari ini tidak terlibat secara langsung. Mereka bahkan masih berada di bangku persekolahan, dan amat cetek dengan politik. Menjadi ahli parti itu pun masih belum lagi. Mereka tidak ada pengalaman menghadapi sebuah kekalahan besar apa lagi memiliki ilmu membangkitkan semangat rakyat.

Sesungguhnya tarikh 11 Mac satu tarikh yang perlu diingati oleh semua orang Pas. Ingat bahawa Pas dan kerajaanya pernah tumbang dan Umno pernah memerintah. Sejarah itu tidak mustahil akan berulang. Sebaik-baik bagi Pas Kelantan dibawah pimpinan Ahmad Yakob kini janganlah sampai tragedi tragis itu berulang. [wm.kl.6:19 pm 13/03/16].

No comments: