Kongres Rakyat bertemakan, Berubah, Bersatu, Berani, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor berjalan lebih separuh hari semalam tidak mencatat sejarah tersendiri dalam arena politik Malaysia. Setidak-tidaknya ia menyerlahkan satu gaya baru politik tanah air yang perlu diberi perhatian dan dibanggakan.
Para pengucap berbeza ideologi tetapi duduk sepentas. |
Kongres itu adalah rentetan penandatangani Deklarasi Rakyat untuk menjatuhkan Najib demi selamatkan Malaysia pada 4 Mac lalu.
Banyak sudut dapat dilihat pada kongres itu. Paling signifikan ialah, kehadiran Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang. Kedua mereka ini dianggap sebagai musuh ketat kepada bekas PM, Dr Mahathir Mohamad (yang mengepalai gerakan membawa kepada kongres berkenaan), namun demi rakyat mereka bersedia untuk duduk bersama melupai peristiwa lampau termasuk kekejaman dan kezaliman Dr Mahthir yang mereka anggap dilakukan atas diri mereka.
Muhyiddin hairan dengan sikap kekawannya. |
Azmin, apa yang sudah berlaku telah jadi sejarah. |
Kesediaan untuk membuang ego, rasa dendam dan marah antara satu sama lain, kerana tindak tanduk politik Dr Mahathir selama 22 tahun beliau menjadi PM, bukan sahaja oleh Mat Sabu dan Lim Kit Siang, tetapi mereka yang lain juga. Mohamed Azmin Ali misalnya, yang merupakan orang terawal ditangkap dan dilanyak polis semasa era Reformasi anjuran Anwar Ibrahim juga melupai segala peristiwa pedih itu demi kongres berkenaan.
Rasanya mereka lain, seperti Husam Musa, Salahuddin Ayub, Zaid Ibrahim, Rafizi Ramli, Ambiga dan lain pengucap tidak ada dendam besar dengan Dr Mahathur. Mereka tidak pun tersakit gara-gara kediktatoran politik Dr Mahathir, bahkan mereka adalah pengkagum bekas PM iu selama ini. Jadi mereka tidak ada masalah atau berasa kekok kalau untuk duduk bersama Dr Mahathir. Mereka ini malahan sedia menjadikan Dr Mahathir sebagai "bayangan hujung senja" untuk kepentingan politik semasa mereka.
Namun bagi Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang tadi, kesediaan mereka satu keberanian dan sikap politik yang penuh terbuka serta mengejutkan minda politik umum. Mereka jauh lebih jantan dan pro dalam memahami erti politik dan siasah daripada sebilangan mereka yang lain, yang berasakan pernah diseksa oleh Dr Mahathir yang perlu mendendami bekas PM itu tanpa mahu mengambil apa-apa kesempatan (opportunity) dari perkembangan yang berlaku.
Bagi saya aksi politik begini adalah satu kebijaksanaan dan penuh profesionalisme setanding dengan taraf dan pengertian politik itu sendiri; "seni serba mungkin dan kawan dan musuh dalam politik tidak kekal," dipraktikan.
Sebahagian yang hadir. |
Dan Dr Mahathir tampaknya semalam bersedia untuk menerima sindiran dan kritikan atas apa yang berlaku sebelum ini atas maksud dan maslahanya tersendiri. Mohamad Sabu tanpa berselindung dan dengan gelagat lucunya terus terang mengatakan dia diseksa dua kali (ditahan dibawa ISA) oleh regim Dr Mahathir. Namun itu hanya nostalgik pahit, Mohamad masih menghormati dan menjaga hati Dr Mahathir dengan membuat apologetik dengan berkata; tidak jantan kita melawan bekas PM, maksudnya yang patut dihadapkan hari ini ialah melawan PM (Najib) yang sedang berkuasa.
Kata-kata Mohamad Sabu itu menunjukkan dia bersedia untuk bersebantal seguling dengan Dr Mahathir atas satu tujuan yang jelas demi rakyat dan negara. Syabas Presiden Amanah inilah sikap yang perlu diteladani dan dicontohi. Suatu politik yang evergreen. Jika hendak dikira orang yang mendapat penghinaan dan seksaan paling teruk dizaman Mahathir adalah Mohamad Sabu.
Kata-kata Mohamad Sabu itu menjelaskan bahawa kini bukan masa lagi untuk berhadapan dengan Dr Mahathir. Masa Dr Mahathir dan kekuasaanya sudah berlalu dan kenangan lalu menjadi sejarah seperti ucap Azmin. Apa yang berlaku ke atas negara angkara pemerintah Najib kini amat merbahaya daripada apa yang berlaku dahulu. Bolehlah dianggapkan kesediaan Dr Mahathir untuk menggugurkan orang yang dilantiknya sendiri itu sebagai satu kifarah atas kekhilafannya selama ini.
Dalam kongres semalam seramai lebih 19 orang yang mengambil bahagian, melontarkan isi hati dan harapan kepada rakyat Malaysia. Mereka dari bawa dari semua praksi, cuma kalau pun tertinggal dari golongan ulama dan seniman. Semuanya sepakat dan sekata, bahawa keadaan Malaysia di bawah kepimpinan Najib Razak sangat teruk dan perlu dilakukan sesuatu. Perkara utama yang perlu dicapai menerusi kongres itu ialah Najib harus berundur.
Intipati kepada Kongres berkenaan penjawat PM perlu ditukar demi menyelamatkan negara. Najib telah digambarkan sangat teruk dan huduh bagi Malaysia. Kongres mengambil kata sepakat sekiranya Najib tidak diturunkan keadaan Malaysia akan lebih parah. Apa dilakukan Najib, bukan sahaja skandal kewangan seperti 1MDB, SRC International atau dana RM2.6 billion, tetapi turut memusnahkan beberapa institusi utama negara yang menjadi pemangking kepada sesebuah kerajaan, seperti Polis DiRaja Malaysia, SPRM, dan lain-lain yang telah diperalatkan untuk kepentingannya.
Hal seperti ini tidak pernah terjadi sebelum ini, tetapi ia bermaharajala di zaman Najib, dan ia sesuatu yang meyedihkan apabila digunakan untuk mempertahankan seorang individu. Institusi yang menjadi penyelamat rakyat dan negara itu patut digunakan melindungi dan menjaga hak dan kepentingan negara dan rakyat bukan diri perdana menteri. Gara-gara itu menyebabkan Malaysia hari ini hancur dan diketawakan oleh dunia.
Berdasarkan alasan itu maka wajar kalau Najib dijatuhkan demi untuk memperbetulkan kepincangan itu bagi menjadikan Malaysia sebuah negara bermaruah dan dihormati ramai. Tidak ada siapa yang perlu menidak realiti itu atau membela Najib lagi, hatta dari kalangan Umno sendiri.
Melihat pemimpin seperti Najib jauh lebih baik membiarkan hantu raya memerintah negara ini kerana hantu raya makan sewaktu ianya lapar sahaja, tetapi Najib membaham semua yang ada tanpa mengira waktu. Bagaimana pun malang seperti kata Muhyddin Yassin dia hairan kenapa rakan-rakanya dalam MT atau kabinet boleh membiarkan Najib terus meratah sesuka hati? Apakah kerana sayangkan kedudukan atau jawatan. Ertinya mereka dalam Umno tidak boleh diharap untuk membuat islah kepada Najib lagi.
APAKAH KONGRES CAPAI MATLAMAT?
Persoalannya kini, apakah kongres itu mencapai matlamat? Apakah Najib akan turun dengan adanya bantahan rakyat menerusi kongres berkenaan? Tandatanya ini timbul sejauh manakah pula kongres itu akan memberi impak dan tekanan kepada Najib?
Orang ramai menandatangani deklarasi jatuhkan Najib. |
Dianggarkan sejuta tanda tangan diperlukan atau lebih. Persoalannya apakah Majlis Raja-Raja boleh bertindak berdasarkan desakan itu? Mungkin tanda tangan itu melebih sejuta memandangkan kebencian rakyat kepada Najib kian memuncak dan ia akan dicapai kalau gerakan mendapatkannya dijalan dengan penuh inisitif. Tetapi soalnya apakah ia berkesan? Ini kesudahan yang dinanti-nantikan.
Di sini saya tidak fikir Majlis Raja-Raja boleh melakukan sesuatu lebih daripada apa yang telah dilakukan. Atas konsep dan prinsip Raja-raja mendengar nasihat Perdana Menteri, mereka tidak akan bersuara lebih daripada apa yang mereka sudah lakukan sebelum ini, seperti meminta isu 1MDB diselesaikan. Apakah Najib "berdegis" dengan kenyataan oleh Majlis Raja-Raja itu. Tidak.
Sebenarnya, kalau Najib seorang PM ada maruah, ada moral, tidak perlu sesiapa menegur dan membuat desakan dia akan berhenti sendiri. Tetapi kerana dia sudah tidak ada moral, tidak tahu malu, dia tidak akan berbuat apa-apa, walaupun apa yang dilakukan kepadanya. Najib terus kekal menjadi lembu kenyan. Saya sudah katakan Najib tidak akan jatuh menerusi desakan rakyat, kecuali menerusi Umno sahaja. Dan ketika ini pula dia sudah dapat membeli Umno, dengan caranya tersendiri dan itulah mengukuhkannya. Najib hanya boleh dijatuhkan oleh rakyat menerusi pilihan raya. Ada benarnya juga pendirian Pas dalam soal ini. Tetapi tindakan mereka dalam hal ini juga disangsikan.
Saya hadir menyaksikan peristiwa. |
Manakala satu puak lagi mahukan bukan sahaja Najib diturunkan sebagai perdana menteri, Umno juga perlu dihancurkan. Mereka mahu perubahan ke atas sistem pemerintahan negara secara total bukan lagi menggunakan sistem Umno yang sudah korup. Perbezaan isi hati ini menyebabkan kepaduan semangat dalam kongres itu agak longgar atau ada lompong. Boleh disifatkan mereka bergabung, tetapi mempunyai matlamat yang berbza. Bak kata Azmin kongres itu bervariasi seperti pelangi yang membawa jalur tersendiri.
Bagi mereka yang mahukan Umno dihancurkan, berharap semoga pakatan pembangkang menjadi kerajaan mengambil alih dan menukar sistem pemerintah korup Umno. Dalam pada itu mereka diam-diam mahu menaikkan tokoh mereka sebagai perdana menteri. Orang itu tidak lain dan tidak bukan ialah Anwar Ibrahim. Inilah yang diharap dan diperjuangkan oleh satu golongan lagi.
Manakala dipihak satu lagi, boleh dinamakan puak Dr Mahathir, mahukan kepada Muhyiddin Yassin sebagai pengganti Najib. Walaupun nama Muhyiddin tidak disebut, dan penyelaras Kongres Zaid Ibrahim hanya membilang semua orang boleh jadi perdana menteri, seperti Mohamed Azmin Ali, Muhyiddin Yassin atau Husam Musa dan lain-lain, tetapi itulah orang yang hendak dinaikkan sebagai pengganti Najib dari puak sebelah Mahathir.
Memang seharusnya soal siapa menjadi PM, tidak timbul. Tugas utama ialah menjatuhkan Najib. Tetapi adalah baik kalau kongres berkenaan menggariskan dengan jelas akan hala tujunya kelak atau rangka sebuah kerajaan yang hendak dibentuk selepas kehancuran Umno. Itu yang penting kerana baik Dr Mahathir dan Muhyiddin tidak perlu lagi berfikir tentang Umno. Mereka perlu mendokong wadah baharu selain Umno.
Alangkah baiknya kalau kongres itu juga memberi gambaran akan kerajaan yang akan mengganti UBN, selepas pilihan raya akan datang. Satu persepakatan bukan sahaja setakat menjatuhkan Najib, tetapi persepakatan lebih besar membentuk satu sistem pemerintahan yang baharu. Dr Mahathir misalnya harus memperakui bahawa Umno hari ini tidak boleh lagi menjadi kerajaan dan Umno bukan lagi bahtera negara di masa depan.
Perkara lain yang hendak disebut mengenai kongres berkenaan ialah tentang penganjur. Maksudnya orang yang memain peranan penting di sebalik kongres itu. Penyelaras atau penggeraknya ialah Zaid Ibrahim. Sedikit sebanyak nama dan ketokohan penyelaras ini memainkan peranan dan sejauh mana ia dapat menarik perhatian dan kepercayaan umum. Bagi saya tidak seharusnya kongres itu dikendalikan oleh Zaid. Sepatutnya ia digerakkan oleh satu badan bebas, semisalnya NGO. Nama Zaid hendaklah diselindungkan bukan ke depan dan beliau harus menjadi sponser sahaja.
Maaf dikatakan nama Zaid disebabkan beberapa tindak tanduknya sebelum ini sudah tidak begitu manis lagi kepada orang ramai. Walaupun beliau seorang berpegang kepada prinsip dan berani sanggup berkorban wang dan tenaga, tetapi cara dia berpolitik menyebabkan orang meragui dan pening dengan cara beliau. Jadi apabila beliau diberi tanggungjawab menyeleraskan kongres atau gerakan menjatuhkan Najib menyebabkan orang akan merasa tawar hati. Orang kurang percaya ke atas keikhlasannya.
Mungkin untuk memantap dan menyakinkan, kongres atau gerakan untuk menjatuhkan Najib ini diletakkan atas satu badan khas, dimana orang-orang seperti Zaid, Dr Mahathir Mohamad, atau Muhyiddin sendiri dan lain-lain adalah pendokongnya sahaja. Mereka tidak perlu ke depan kerana orang akan mudah membuat tuduhan mereka mempunyai kepentingan diri dan ada dendam peribadi dengan Najib dan Rosmah. Sebaik-baik orang di hadapan adalah kalangan anak-anak muda yang berwibawa.
Gerakan menjatuhkan Najib, memang memerlukan kesatuan dan persatuan, tetapi dalam gerakan itu jangan ada macam-macam niat dan harapan. Fokus seharusnya satu sahaja. jangan ada dua tiga nama untuk diangkat mengganti Najib. Dan yang paling baik sekali kongres perlu bergerak ke arah untuk menyatukan rakyat yang tidak suka dengan Najib, menjadi platform baharu rakyat dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
PRU ke-14 adalah terbaik untuk mendesak Najib berundur bukannya waktu ini. Selagi rakyat Malaysia boleh makan, minum tea tarik dan menonton bola sepak, mereka tidak akan peduli kepada apa yang Najib lakukan, kerana setengah daripadanya sudah dapat menrima dan mangli keadaan itu. Walhu'alam. [wm.kl.4:02 pm 28/03/16]
No comments:
Post a Comment