Tazkirah politik Husam di kedai kopi, penuh. |
Dengan memulakan tazkirah membaca sepotong ayat Quran, kemudian bercakap hal isu semasa, mengenai cuaca panas melengit kini. Menurunkan sepotong doa untuk menghadapi panas, serta memberi peringatan panas yang berlaku hari ini jauh lebih panas di Mahsyar besok. Katanya kalau panas hari ini orang boleh pengsan, bayangkan apa yang berlaku besok sebab matahari sejengkal dengan kepala.
Keprihatinan Husam, beliau mengaitkan keadaan panas hari ini dengan alam sekitar. Kenapa panas terjadi ialah kerana kealpaan manusia terhadap tanggungjawab dan amanah menjaga kelestarian alam.
Pengerusi Amanah Kelantan juga turut hadir. |
Ini kerana kecakduhan pihak berkuasa. Misalnya semasa beliau berada dalam kerajaan dahulu tidak ada seorang pun Exco yang masuk hutan, meninjau hutan dari dekat, berkhemah dalam hutan dan melihat kemusnahan hutan serta berfikir untuk mengawal dan menjaganya.
Ceritanya ada sebuah gua yang indah, dindingnya bersinar macam marmar, bermutu tinggi. Air yang dari langit gua itu jatuh ke dalam kolam. Titipannya bunyi macam detak jam mengira waktu. Air itu jatuh perlahan-lahan ke dalam kolam, dan ia melimpah perlahan-lahan kemudian membentuk dinding macam marmar. Bervariasi dengan warna biru, oren dan hijau. Indah dan fantastik.
Katanya kalau di negara luar, gua itu dijaga dan dijadikan objek wisata. Tetapi di Kelantan terbiar begitu sahaja.
Bukan itu sahaja kerana kecakduhan, kurang kepedulian gua itu kini sudah musnah akibat pembalakan. Lesen penebangan diberikan tanpa mempedulikan gua berkenaan, bukan sahaja balak ditebang, sungai tercemar tetapi gua yang indah itu juga sudah musnah. Katanya tidak ada seorang pun Exco Kelantan yang tahu kedudukan gua berkenaan.
Husam yang baharu kembali dari Uzbekistan, menziarahi dan menjejaki bumi ambia, turut menceritakan macam mana negara itu yang telah terlepas dari cengkaman Russia (1981) menjadi sebuah negara Islam yang indah dan bersih waktu ini. Setiap beberapa kilo meter dilantik (pekerja buruh), untuk menjaga kebersihan jalan dan sungai. Kejernihan air sungai persis ditamsilkan dalam syurga. Jalan cuci (bersih) berminyak.
Begitulah sepatutnya berlaku di sebuah negara Islam. Kalau kampung bersih, pekan bersih dan bandar bersih, ia menjadi tarikan pelancong dan membawa pendapatan kepada negeri.
Pengalaman di luar negeri patut diambil pengajaran bukan melawat negeri untuk melihat keindahan dan makan angin tanpa mengutip apa-apa manfaat. Kenapa Husam kaya dengan idea yang canggih dan pelik dan diperkenalkan semasa dia menjadi Exco, kerana dia tahu mencuri apa-apa yang dilihat untuk dipraktikan dalam negeri dan bukan melawat negeri untuk berselfie semata-mata.
Seperti biasalah beliau memasuki bak politik, menyentuh mengenai isu yang berlegar di keliling diri perdana menteri, Najib Razak sekarang ini. Menceritakan kenapa Dr Mahathir marah kepada Najib, sebab Najib tidak amanah, ambil wang rakyat. Kutip wang rakyat dengan GST kerana nak tampung wang kerajaan yang sudah makin kering kerana pecah amanah.
Malang katanya perbuatan PM itu tidak pula ditegur malahan diberi sokongan. Ada yang mahu Najib dipertahankan, tanpa memikir apakah Najib telah melakukan pecah amanah. Apa dilakukan Najib bertentangan dengan agama, tetapi ia tidak ditegur.Kenapa?
Husam menarik perhatian dengan mengambil pendekatan agama yang bertegas dengan si pemecah amanah, ia perlu ditegur ataupun dibuang.Tetapi sayang katanya ada orang mempertahankan atas alasan akan huruhara negara kalau buang perdana menteri. MasyaAllah. Beliau menyatakan kekesalan atas sikap ini kenapa berfikiran sampai ke situ. Apa hendak huruharanya kalau Najib tidak menjadi PM, sebab dalam Umno masih ada yang menunggu untuk menjadi PM.
Tanpa berselindung beliau menyebut, beliau bertentangan pendapat dengan presiden partinya, Abdul Hadi Awang. Hadi mempertahankan Najib Razak, walaupun jelas Najib telah pecah amanah.
"Presiden ambo suruh pertahankan Najib, ia berbeza dengan ambo, jadi adik kakak fikirlah sendiri apakah ambo benar ataupun presiden ambo," begitu kira-kira kata Husam.
Husam juga turut menyentuh dan menyatakan kekesalan apabila ada pihak tertentu masih lagi melingkungi Najib walaupun PM itu jelas melakukan kemungkaran yang sudah diketahui umum. Soalnya apakah kerana Najib sedia pakai jubah maka kita melupai kesalahan yang dibuatnya? Najib hari ini dalam keadaan terdesak dan pening, usahkan jubah, kalau dipakai semutar pun Najib ikut, asalkan dia selamat.
Tidak sepatutnya kita mengeliling Najib. Dan paling disedihi katanya ada pula yang tubuh persatuan tahfiz kemudian ambil duit daripada Najib. Padahal Islam memandang berat dalam soal mengambil sedekah daripada pemecah amanah (wang haram). Katanya, penerima dan pemberi wang dari pecah amanah dua-dua akan ke Neraka.
Kerana meragui wang yang diberikan Najib itu, Husam meminta supaya wang yang diterima untuk tahfiz itu dikembalikan semula kerana wang haram kerana ia boleh menggelapkan hati anak-anak tahfiz.
Menyimpulkan tazkirah Husam itu ia sebiji macam Tokguru. Ada mesej untuk menguatkan keimanan, isu semasa dan kritikan kepada apa-apa kemungkaran tanpa mengira siapa. Dan paling menariknya tazkirah itu diadakan secara santai di kedai kopi, satu pendekatan dakwah dan politik versatile. [wm.kl.11:16 pm 25/03/16]
No comments:
Post a Comment