SETELAH membaca catatan Dinsman dalam blog detikdaily.com Ogos lepas dibawah kolom Penulis Tamu, saya telah menghantar notis lisan kepada Dinsman menyatakan saya akan cuba menjawab persoalan yang beliau bangkitkan dalam tulisan itu.
Saya berbuat begitu kerana saya merasakan berpengetahuan serba sedikit bersabit persoalan yang diangkat Dinsman itu. Saya rasa ianya perlu dihuraikan untuk mencari sebab musabab kenapa permasalahan itu timbul.
Dalam pada itu saya tidak percaya kalau Dinsman jahil terhadap persoalan yang dilontarkan itu. Sebagai penulis, pengamat politik macam saya, saya yakin Dinsman bisa menghuraikan tanpa dimediakan isu itu. Malahan jiwa penyair yang dimiliki Dinsman lebih halus untuk menjamah persoalan itu secara damai dan tuntas. Justeru beliau mengangkat mauduk itu untuk direnungi bersama dan diteaterkan dalam minda umum. Itulah motifnya.
Apa yang bermain di kepala Dinsman ialah siapakah bakal mengganti Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sebagai pemimpin Pas Kelantan dan juga selaku Menteri Besar. Pertanyaan inilah juga yang menggaru-garu benak banyak orang. Kerana itu pertanyaan ini sering mendapat perhatian dan membutuhkan jawaban. Ia semakin menjadi ‘gatal’ lagi apabila mengenangkan hayat Tok Guru sebagai MB semakin menghujung.
Kecemerlangan dan kilauan beliau sebagai MB benar-benar sudah melayakkan untuk beliau berhenti dalam keadaan aman dan dimegahi dunia. Pada 21 Oktober ini genaplah 19 tahun beliau menjadi MB dan memimpin Pas Kelantan. Satu jangka yang menunjukkan kehebatan beliau dan mungkin sukar dipecahkan pencapaian ini oleh mana-mana tokoh selepas ini. Sebab penjelmaan tokoh seperti di Tok Guru Nik Aziz – ulama dan mujadid akan berlaku dalam setiap satu abad saja.
Sehubungan itu Dinsman melukis kebimbangannya mengenai siapa yang akan mengganti Tok Guru itu. Langsung itu juga beliau bertanya kenapa tidak ada orang yang ingin menjadi seperti Tok Guru dalam persiapan untuk mengganti Tok Guru dan mengambil kepimpinan Pas.
Kata dan tanya Dinsman;
“Mengapa tidak ada orang yang nak ikut macam dia? Berpakaian macam dia. Tinggal dalam rumah seperti rumah dia, yang tak ada pagar, tak ada orang gaji, bersebelahan dengan masjid, dalam kawasan sekolah agama yang dijalankan oleh ahli keluarganya. Tiap waktu menjadi imam di masjid, dan khasnya solat Subuh setiap pagi, dengan tazkirah ringkas selepas solat Subuh.
Dengan rasa kagum tambah Dinsman; “Selalu menyampaikan kuliah agama, tak kira di mana dan tak kira sama ada pendengarnya ramai atau sedikit. Dan pada setiap pagi Jumaat, selama satu jam, menyampaikan kuliah tafsir al-Quran di tengah-tengah bandar ibu negeri. Ini jadual tetap yang dianggap paling penting. Menyampaikan tafsir al-Quran yang dilihat dari sudut hubungannya dengan isu-isu semasa.
Kata Disman lagi; “Hidup serba sederhana. Suka memberi sedekah. Duit gajinya setiap bulan dipotong 45 peratus untuk sumbangan kepada parti dan kerajaan. Elaun rumah tak diambilnya, elaun keraian tak diambilnya, elaun buka puasa dan elaun hari raya juga tak diambilnya, dan macam-macam lagi.”
Apabila Dinsman mengungkitkan itu jiwanya semacam penuh dengan gumpulan kekesalan dan heran memanjang, kenapa tidak ada watak-watak seperti Tok Guru itu dalam Pas kini. Padahal amalan yang dibuat Nik Aziz adalah terbaik. Beliau adalah sebaik-baik model yang perlu diikuti dan dicontohi. Malangnya tidak ada murid yang lahir dari kewujudan itu. Madrasah politik Tok Guru selama 19 tahun tidak melahirkan murid seperti beliau. Inilah yang dimusykilkan Dinsman.
Apa yang membimbangkan Dinsman ini seperti mana diawal tulisannya, satu hakikat tidak dapat dielakkan bahawa suatu hari Nik Aziz akan pergi juga. Betapa sayang dan kasihnya orang kepadanya beliau akan pergi juga. Atas sifatnya sebagai makhluk baru beliau akan sirna juga. Pemergiannya tidak dapat ditahaan atau dilambatkan walaupun sesaat. Sedangkan kekosongan itu perlu diisi oleh tokoh yang sepadan dan sejiwa dengannya bagi memastikan kesenimbungan kepimpinan Pas dan kerajaan Kelantan.
Nada kebimbangan Dinsman mengenai hal ini ada logik dan benarnya kerana dalam matanya belum ada bayangan bakal pengganti dan orang berkelayakan mengambil alih tempat Nik Aziz. Belum ada tokoh berperibadian seperti Tok Guru Nik Aziz.
Kata Dinsman hanya ada seorang Nik Aziz di atas dunia bukan alasan da ia tidak patut dijadikan hujah dalam soal mencari orang seperti Tok Guru. Kerana kata Dinsman Nik Aziz begitu beriya untuk melahirkan kepimpinan berperibadian seperti Rasulullah s.a.w. sepatutnya dalam tempoh 19 tahun itu Pas Kelantan tidak bermasalah untuk mencari penggantinya. Tempoh itu terlalu lama, seharusnya sudah ada beberapa Abu Bakar as Siddik, Omar Khattab, Othman Affan atau Ali Abu Thalib. Tetapi realitinya belum ada mereka yang pantas untuk menjadi pengganti Nik Aziz.
Sebenarnya bukan saja Dinsman mengharapkan demikian. Saya sendiri selaku pemerhati politik Kelantan dan bergaul dengan sebahagian besar pemimpin Pas Kelantan dibelenggu permasalahan itu. Sudah lama saya mengesali keadaan ini. Dalam tilikan saya tidak ada orang yang ingin menjadi seperti Tok Guru atau cuba belajar menjadi Tok Guru seperti mana diharapkan Dinsman itu.
Jika Pas menerima orang seperti Tok Gurulah yang layak dan sesuai mentadbir Kelantan, seolah keyakinan itu disia-siakan saja kerana usaha melahirkan orang seperti itu tidak dilakukan secara langsung dan serius oleh jemaah itu.
Sebenarnya kerja untuk mewujudkan sosok seperti Nik Aziz bukan senang. Tok Guru bukan boleh duplicate seperti mana kita menfotokopikan dokumen. Saya ada pengalaman dan terlibat secara langsung membenihkan seorang calon untuk menjadi pengganti kepada Tok Guru. Beliau dipilih kerana dilihat lama mendampingi Tok Guru. Atas keperayaan dia banyak mempelajari corak hidup dan memegang ilmu siasah Tok Guru saya kira dia dapat dididik menjadi calon yang baik.
Harapan terlalu tinggi diletakkan kepada peribadi itu. Namun harapan itu akhirnya terbangkalai dijalan. Salah sangka dari jangka, calon itu tidak mampu membina dan dibina dirinya menjadi bayangan kepada Tok Guru Nik Aziz. Adalah amat mustahil dalam masa singkat ini kalau peribadi itu dapat memperbetulkan dirinya kemudian muncul menjadi pengganti Tok Guru!
Dalam perhatian saya ada beberapa faktor kenapa tidak mudah untuk mencetak seorang lagi Nik Aziz di Kelantan. Faktor atau kesukaran itu seperti mana rumusan ringkas mengenai diri Tok Guru Nik Aziz ini;
Nik Aziz seorang tokoh yang berperwatakan zuhur, tawaduk dan merendah diri. Beliau seorang kawan dan guru dalam politik dan agama. PR beliau sangat membanggakan kerana itu beliau disenangi oleh semua orang dan semua kaum di mana-mana saja.
Beliau juga berfikiran verstaile dan ever green. Walaupun dia seorang tok guru, berpendidikan agama yang selalu dianggap sebagai jumud, lambat dan kolot oleh golongan sekolar, namun bukan begitu dengan Nik Aziz. Beliau berjaya dan pandai menyesuaikan diri dan pemikirannya dengan tuntutan semasa. Beliau adalah pembawa pemikiran baru apabila berani meruntuhkan tahyul-tahyul atau fahaman lama dalam agama.
Selain berani beliau juga seorang yang istiqamah dengan keyakinan dan pendiriannya. Inilah adalah asas untuk seorang tegak sebagai pemimpin. Tengok bagaimana beliau terus menegakkan kebenciannya kepada Umno kerana tidak yakin dengan pendirian parti itu terhadap Islam. Beliau tidak peduli dan gerun kepada apa yang dibilang kepadanya. Beliau juga seorang yang apologetik, sedia mengaku kesilapan dan tidak ego melulu. Beliau sedia memohon maaf jika dirasakan tindakannya tidak betul. Apa yang berlaku ke atas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa adalah salah satu contoh keperibadian mulia Nik Aziz yang bukan mudah untuk diteladani.
Inilah antara kelebihan dan inilah kewibawaan yang ada kepada Nik Aziz. Semua sifat-sifat ini jarang dimiliki oleh pemimpin Pas lain termasuk yang mahu menjadi Tok Guru untuk menjadi MB Kelantan. Kebanyakan calon dan orang yang berhajat untuk menggantinya hipokrit kononnya memiliki peribadi Tok Guru walhal itu hanya lakonan hujung minggu saja.
Sebagai contoh mengenai budaya berpakaian serban dan kupiah, pakaian ala tok guru. Kalau berada di Kelantan mereka tidak akan membuang kupiah dan nampak zuhur tetapi selepas saja melewati sempadan Kelantan di Gua Musang atau Jertih atau Golok atau Takbai, kupiah mereka akan hilang entah ke mana. Saya sendiri pernah melihat bagaimana seorang Exco menyembunyikan kupiah dalam poket seluar bila berada di pasar raya di Bukit Bintang. Dan bagaimana lucunya mendengar cerita kupiah seorang wakil rakyat Kelantan melayang jatuh ke dalam lautan Pasific semasa menaiki feri pelancongan!
Selain itu hakikat yang kena terima untuk Nik Aziz berada di mercu yang diduduki hari ini bukan gampang. Beliau melalui perjuangan yang panjang. Pendidikannya juga mapan untuk muncul sebagai pemimpin dan ulama. Beliau bukan saja memiliki satu kepakaran dalam bidang agama, tetapi mengetahui beberapa kepakaran lain. Perjuangannya dalam Pas bukan secara dibentuk oleh isu dan keadaan semasa tetapi atas keyakinan kepada perjuangan Pas yang berlandaskan Islam.
Keistimewaannya juga beliau seorang yang hafiz al-Quran, mampu mentafsir Quran. Beliau juga seorang penghafal Hadith dan berjaya mengupas Hadith dan diberikan kefahaman secara moden dan mudah difahami untuk disesuai dengan zaman kini. Pendeknya kelengkapan dirinya dengan ilmu Islam sebaik selesai berkhatan lagi dan bukan selepas beranak tiga atau berbini dua. Maknanya beliau memang dididik dengan Islam dari awal dan bukan menemui Islam sesudah remaja di kolej atau universiti atau sesudah mengikut usrah gerakan Islam kontemporari kerana ajakan kawan dan rakan.
Pergaulan beliau juga luas merentasi benua. Beliau pernah belajar di India dan Mesir. Ketika inilah beliau mempelajari ilmu hubungan antara manusia dan hubungan antara negara. Peluang dan ruang inilah yang memungkin beliau mudah mengolahkan dirinya dengan dunia apabila berada di tempatnya kini.
Apabila ditilik dan dibandingkan kepada calon-calon yang akan mengambil tempat beliau, pemimpin Pas Kelantan hari ini, mereka tidak memiliki kemampuan dan aset itu. Walaupun mereka profesional yang dilihat hebat tetapi profesional itu dalam satu aspek sahaja. Kekurangan-kekurangan itulah tidak melayakkan mereka menjadi seperti Nik Aziz dan seterusnya menjadi MB Kelantan yang berfikir global.
Apa yang dapat disimpulkan di sini ketiadaan atau kegagalan orang untuk meniru cara hidup Nik Aziz ialah kerana kurangnya ilmu dan tidak mempunyai kepakaran khusus dalam bidang agama seperti mana dimiliki Nik Aziz itu. Tokoh-tokoh yang ada hari ini malas untuk mendalami ilmu. Sebalik setengahnya lebih rajin untuk mempelajari tektik dan keadah bagaimana hendak memanipulasikan projek pembangunan kononnya untuk rakyat sedangkan manfaatnya untuk diri dan kroni.
Barang kali melampau kalau dikatakan tidak ada seorang tokoh pun yang memiliki ilmu dan pegangan siasah seperti Nik Aziz. Kalau boleh disebut di sini dalam pemerhatian saya ada dua tokoh agamawan yang berpotensi atau ada iras-iras Tok Guru Nik Aziz. Malahan pada satu masa mereka sudah pun ‘dilatih’ oleh Nik Aziz sebagai tokoh penting di Kelantan.
Mereka itu ialah Ustaz Yahya Othman dan Ustaz Mohamad Daud Iraqi. Kedua-duanya bekas Exco Kelantan. Kedua tokoh ini memiliki ilmu agama yang cukup tinggi dan mempunyai syaksiah yang baik. Mohamad Daud seorang ahli fikah yang tidak ada tolak bandingnya. Seorang penghafal Hadith dan mahir dalam hukum hakam. Dalam kes-kes tertentu Nik Aziz sendiri merujuk mengenai hukum hakamnya dengan Mohamad Daud.
Begitu juga dengan Ustaz Yahya Othman. Penglibatannya dalam gerakan Islam peringkat antarabangsa menyebabkan beliau mempunyai ramai kawan dan sahabat di negara Islam. Beliau pernah terdedah dengan gerakan Islam dan dakwah internasional. Di dalam Pas beliau dianggap sebagai mentor dan guru yang memberi didikan dan terbiah mengenai Siasah dan dakwah Islamiah dan perkedaran.
Tetapi sayang mereka ini tidak dapat pergi jauh dan berada di belakang Tok Guru kerana kelemahan mereka dalam bidang admistratif dan iktisad. Mereka boleh dikatakan jahil langsung berhubung dengan bidang ini dalam konteks politik demokrasi. Mereka buta mengenai strategi dan taktik perang yang dihalalkan oleh Machiavellisme. Kerana kelemahan inilah menyebabkan mereka gagal meletakkan diri mereka setanding dengan Tok Guru Nik Aziz dan kemudian terpaksa diundur atau berundur.
Jadi apakah kini masih ada tokoh yang oleh dianggap berkelayakan seperti kedua mereka itu? Jawabnya ada. Sesungguhnya pengganti Nik Aziz sudah pun ada! Hari ini orang itu umpama ceding kecil yang tumbuh dibatang. Dia masih terlindung dan dinaungi pokok induk. Dia perlukan dipupuk dan dibajai. Sesudah pokok induk sudah tidak ada dia akan menyerlah, subur dan merimbun seperti pokok asalnya juga. Sabarlah bila sudah sampai masanya nanti saya akan menyorot tokoh ini secara menyeluruh. [wm.kl 7:30 am 06/10/09]
PERHATIAN: Rencana ini ditegah dicutpagekan dalam manna-mana blog pengumpul tanpa keizinan. Bagaimanapun link terus dibenarkan. Tegahan ini bagi mengelakkan komen-komen yang dibuat menerusi blog pengumpul dimasukkan tanpa pengetahuan penulis di mana sukar untuk penulis membuat ulasan terhadap komen-komen itu jika perlu ia dibuat demikian. Salam MSO.
6 comments:
salam..perenggan terakhir artikel ini adalah satu penawar yg mengubat gundah di jiwa...
Pak MSO,
Husam Musa pun anak didik Tok Guru. Tak boleh ker Husam Musa jadi MB kelantan?
Assalamu alaikum, saya benar-benar sebak bila membaca artikal ini dan merasa amat takut akan kehilangan Tok Guru walau saya sedar setiap yang mula akan berakhir dan tiada yang kakal dalam kehidupan ini. semoga ada pengganti beliau kalau pun tidak sehebat Tok Guru, cukuplah kalau dapat menjadi pemimpin yang mampu menunjukkan ahli-ahli PAS akan kebenaran perjuangan dan muslihat perjuangan dan mampu memberi bimbingan ke arah redha Allah. Assalamu alaikum.
assalamu 'alaikum,
Tuan MSO,
Saya harap tokoh yang tuan maksudkan, sama dengan tokoh yang saya sebutkan melalui emel saya.
jika sama, mohon tuan bantu sama untuk memantapkan tokoh tersebut.
saya dan kawan2, setakat yg mampu, sedang mengorak langkah ke arah itu. Insya Allah.
wallahulmusta'an.
sangFaqir
Slm, mungkinkah Ust Nik Mohd Abduh bin Tuan Guru Nik Abd Aziz layak mengantikan ayahandanya?
amber rase org kampung amber la tu...
adun Panchor , Dato' ustaz Nik amar , calon favoriute Menteri besar kelantan ..
tapi saya melihat sekarang berlaku rombakan besar-besaran (sudah lama kot ) dalam badan perhubungan memastikan ORG LAIN menang , andaikata tok guru pergi , pemilihan yang dibuat oleh badan perhubungan ,dan mereka mahu calon mereka menang..
Lihat saja , dato 'takiyuddin , dato' mat iraq dan ramai lagi yang menolak calon satu lagi di gugurkan dari badan perhubungan menggantikan kroni-kroni mereka..
apa pun ,semoga Allah menyelamatkan PAS kelantan !!
Post a Comment