Saturday, October 17, 2009

Menyentuh Bahu

Rumah Terbuka Hari Raya Tanpa Dihadiri Pemimpin

HARI ini ada lima jemputan rumah terbuka untuk saya. Saya memilih untuk memenuhi hanya dua saja kerana kesuntukan masa dan tidak berapa selera untuk berjalan. Selepas pekena daging pelanduk yang dibawa oleh seorang kawan, kepala jadi lain macam saja!

Empat jemputan itu melibatkan orang-orang kenamaan atau rakan yang berprofesional yang diadakan di hotel atau di rumah mereka yang besar dan indah. Adapun rumah terbuka yang saya hadiri tadi ialah di kampung Batu 10 Jalan lama Gombak di Selangor.

Sengaja saya memilih untuk ke Gombak ini dan bukan rumah terbuka di rumah bernombor atau siap dengan khemah dua tiga buah yang lengkap dengan muzik ataupun ada cabutan bertuah.

Bukan apa, kerana ingin merasai suasana kampung. Orang kampung kena berkawan dengan orang kampung. Hanya orang kampung saja mengetahui susah payah orang kampung. Sebab mereka merasai sendiri denyut nadi orang kampung. Orang bandar mengetahui susah payah orang kampung menerusi filem, novel, cereka di tv saja. Mendengar, melihat dan membaca berbeza dengan alaminya sendiri.

Mereka yang cuba menghayati kesusahan orang miskin dari medium atau alat itu tidak akan dapat merasai hakikat keperitan dan susah senang orang kampung yang sebenarnya. Ia tidak mencecah ke hulu nubari.

Sebab itu bila ada orang kampung panggil kenduri atau buat apa-apa majlis saya akan cuba menghadirinya, kerana jemputan orang kampung atau rakyat marhen lebih ikhlas dari undangan orang kaya dan golongan bangsawan yang penuh agenda di sebaliknya!

Tiga dari lima anak saya ikut sama berserta isteri. Tujuan dan maksud saya ternyata tercapai, bila sampai di rumah terbuka itu anak lelaki saya, Mohd Eslah, 10 mengomen kepada maknya, di sini macam di kampung saja. Ya.. lah ada ayam itik, ada pohon pinang, kelapa, mangis, durian dan macam-macam lagi. Tahi lembu dan kambing juga ada.

Biarlah saya korbankan rumah terbuka lain yang berhawa dingin dan makanan tentu juga lazat dan berperisa barat itu.

Rumah terbuka di Gombak ini anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian, (Gombak) eh bukan... Cabang lupa pula PKR sudah pinda perlembagaan 'bahagian' kini dikenali dengan 'cabang'.

Ahli parlimen kawasan ini ialah Mohd Azmin Ali. yang juga Naib Presiden PKR. Sapa tidak kena dengan Azmi Ali, seorang yang bekerja dengan smart, pakaian senantiasa kemas dan kerja secara sistemetik. Beliau juga pemimpin pelapis yang menjadi kepercayaan kelas satu oleh Anwar Ibrahim. Anwar juga selalu tunduk dan mati kutu bila berdepan dengan Azmin. Kenapa?

Mulanya saya mengira tetamu istimewa majlis ini ialah Azmin Ali memandangkan Gombak adalah kawasannya. Dan saya kira juga akan ada mana-mana wakil Pas, al maklumlah Pas berkawan baik dengan PKR! Kalau tidak Hassan Ali pun, sekurang-kurang ahli jawatakuasa Pas Gombak akan hadir meraikan majlis berkenaan.

Malangnya mereka tidak ada, Azmin tidak ada dan seorang wakil Pas pun tidak nampak batang hidung. Ini menyebabkan sesetengah yang hadir dengan mengharap pemimpin mereka turut sama hadir merungut kesal. Saya bertanya kepada 'tuan kija' (kerja), Mazlan Musa dan Abu Bakar Ninggal, mengapa tidak ada sosok-sosok itu. Mereka tidak tahu, katanya mereka dah diajak.

Saya tak rasa pelik kalau Azmin dan orang besar politik lain tidak hadir. Sapa nak hadir majlis dalam hutan cerang begitu. Lagi pun ketika ini bukan edah pilihan raya. Saya percaya kalau masa ini ada pilihan raya di situ, berebut-rebut orang besar politik akan datang. Rakyat dan golongan marhaen akan jadi mahal sewaktu pilihan raya saja. Bila lepas atau pilihan raya masih jauh mereka tidak dipedulikan, macam lumut di birai longkang.
Mazlan dan Bakar ternyata kecewa dengan sikap Azmin itu. Suasana begini bukan sekali dua, sudah acap kali katanya, Jarang Azmin bersedia memenuhi undangan kalau majlis itu di ada jauh terperuk di kampung. Kegeraman Mazlan itu tergambar bila beliau meluahkan kata, "dengan perangai Azmin sebgini, pilihan raya akan datang kalau beliau terus bertanding di Gombak lagi ibarat bungkuslah".

Majlis itu adalah atas inisiatif Mazlan bersama Bakar Ninggal dan Mazlan Rashid, (Pak Lan Lemang) dan rakan-rakan lain. Menurut Mazlan semua perbelanjaan ditanggung sendiri oleh beliau dan rakan-rakan. Lan Lemang sendiri bermurah hati menyedikan 300 batang lemang dan menjadikan kawasan rumahnya sebagai lokasi majlis.

Manakala Bakar pula meraikan anak yatim. Seramai 40 orang anak yatim dari Rumah Baitul Saidiah Siti Khadijah Batu 9, Gombak hadir. Makanan dan kueh mueh disediakan oleh ahli dan penyokong PKR. Masing-masing buat dan bawa sebagai sumbangan dan menandakan komitmen. Semangat ahli PKR Gombak ini patut dipuji dan menjadi ikut cabang-cabang PKR lain. Mereka tidak terlalu mengharapkan kepada wang wakil rakyat untuk mengadakan majlis tetapi usaha sendiri.

Saya dapat menyelami apa yang tersimpul dalam benak mereka yang mengadakan majlis rumah terbuka berkenaan. Apa yang mereka harap bukan wang ringgit dari pemimpin, tetapi layanan dan keprihatinan. Ini disuarakan oleh seorang yang makan semeja dengan saya. Katanya; kami bukan nak projek, tetapi cukuplah kalau ada wakil rakyat datang. Sudah cukup bagi kami orang kampung..." ujarnya sayu.

Semoga pada tahun hadapan atau bila mereka mengadakan majlis, Azmin atau wakilnya akan hadir bagi menunjukkan mereka menghargai undi para penyokong dan ahli PKR berkenaan. Janganlah meletakkan mereka penting bila masa pilihan raya saja. Sikap mempeduli rakyat secara bertompok inilah menyebabkan sokongan berkurangan dan menyebabkan seseorang wakil rakyat itu tewas. [wm.kl. 9:00 pm 17/10/09]

7 comments:

ANAFAKIR said...

Salam...Mungkin Azmin Ali atau pun Hassan Ali ada urusan yang lebih mustahak dan tidak dapat dielakkan.Kita dengan pemimpin ni macam tu lah...jangan berkira sangat,.apa yang pentingya, majlis yang dianjurkan berjaya dilaksanakan. Pemimpin hadir atau tidak bukan matlamat kita.Mencari keredhaan Allah, itu yang paling utama. Keikhlasan kita menganjurkan majlis itu yang paling mustahak.Jika ada niat untuk berbangga-bangga dan kalau ada pemimpin datang kita rasa sedikit megah, apa lah sangat majlis itu...rugi dan sia-sia.Anak-anak yatim kenyang dan gembira tetapi jika panganjur tidak ikhlas
rugi duit, tenaga dan masa..Hari ini apa yang kita buat bukan untuk sesiapa tetapi untuk Allah semata-mata.Pemimpin yang dipilih bukan kita harap apa-apa tetapi mereka dipilih kerana mereka lebih baik daripada yang satu lagi, akhlaknya, tuturkatanya,dan mungkin pergaulannya dengan rakyat.Sebenarnya kalau kita dah menjemput mereka tidak hadir itu terserah kepada keadaan kita bersangka baik lah dengan mereka..tanpa kehadiran mereka kita lebih ikhlas sebenarnya untuk melakukan sesuatu. Kalau ada pemimpin ni, kita lebih 'lemas' kena layan mereka dan macam2 lagi sedangkan objektif kita anak-anak yatim tu. Terima kasih buat MSO kerana menukilkan isu ini setidak-tidaknya mereka yang bergelar pemimpin tu kena prihatin lah sedikit pada masa akan datang...ingat-ingatlah rakyat yang di pedalaman ni, jangan memilih tempat.Besar dosa mereka yang bergelar pemimpin ni jika tidak kena cara mengurusnya..fikir-fikirkanlah buat mereka yang bergelar pemipin khususnya di kalangan PAKATAN RAKYAT...kalau anda juga lebih kurang UMNO maka akan muncul nanti pasukan ketiga yang akan menawarkan khidmat dan pengurusan yang mungkin menjadi alternatif kepada rakyat.

apartmen kenari said...

Salam,
Setahu saya, pada 17hb, Sabtu yang sama, Pusat Khidmat PR Hulu Klang adakan juga rumah terbuak. jadi rasanya pemimpin-pemimin tu tak datang sebab sibuk dengan rumah terbuka sendiri kot.

Rintihan Rakyat said...

Suasana ini saya kira berlaku di tempat saya sahaja di Kawasan DUN Batu Tiga. Kawasan Saya diwakili oleh ADUN PKR YB Rodziah Ismail (Exco Kerajaan Negeri Selangor).

Majlis yang kita buat jarang dapat mereka hadir. Banyak alasan yang diberi. Nak harap program yang PKR buat atau Pusat Khidmat ADUN yang buat, jauh sama sekali. Kalau yang kita buat pun mereka susah nak hadir, apatah lagi mereka nak buat sendiri.

Kita buat majlis dengan harapan mereka boleh datang sambil bertemu mata dengan rakyat. Kita sebagai orang bawahan sengaja buat macam ni agar YB nampak perihatin dengan rakyat. Biat rakyat nampak ini program mereka. Tapi hasilnya hampehhh. Seolah-olah wakil rakyat tidak mengerti atau buat-buat tak mengerti apa yang kita buat. Mungkin dah syok dengan kereta Cammry kot??

Rakyat marhaen selalu bertanya apa YB Rodziah buat kat tempat kita? Rakyat tak nampak satu pun apa yang YB Rodziah lakukan untuk kesejahteraan rakyat. Rakyat bawahan selalu bersungut kalau macam ni lah perangai alamat Next Election PRU-13 bungkus lah depa ni...

Tan Sri Khalid Ibrahim dan DS Anwar Ibrahim serta Presiden PAS DS Abd Hadi Awang kena peka tentang masalah ini. Pantau Prestasi wakil rakyat Pakatan Rakyat. Nampak sangat akan kelemahan mutu perkhidmatan kita.

Ingat!!! 5 Tahun bukannya lama. Now dan 2 tahun berlalu PRU-12. Pejam celik dan pejam celik dah masuk 5 tahun. Time tu segenap pasar malam dan ceruk kampung YB akan datang merayu undi. Hujan pun hujan lah. Rela tak berpayung, basah pun basah lah janji dapat undi..

Pandai betul wakil rakyat ni berlakon..

* Rakyat Marhaen *

AlHadi Tok Ayah Su (atas) said...

salam hormat !

kadangkala soal klik klik (team atau kumpulan)sesama sendiri menyebabkan batu penghalang yang besar untuk seseorang pemimpin itu hadir kesatu satu majlis,maka dengan itu didalam majlis ijtima' diKL Trg salah seorang wakil kawasan telah menyarankan agar konsep Pas for All adalah lebih murni untuk dipraktikkan dan diamalkan kerana tidak akan timbul soal perselisihan dalaman,maka dengan itu beliau menyeru agar semua peringkat kepimpinan serta ahli ahli dapat merealisasikan gagasan tersebut... jadi fikir fikirkan !

CULA TUPAI said...

INI MENANDAKAN PILIHANRAYA UMUM AKAN DATANG PKR AKAN BERKUBUR DEK YB YB DAN PEMIMPIN NYA LUPA DIRI DAN SEDANG DI LAMUN MIMPI...

Pak Mat Tempe said...

Salam Hurmat Pak MSO,

Nampaknya tak ada bezalah antara wakil rakyat sebelah sinun dengan dengan sebelah sini. Silap2 sebelah sinun lebih mesra rakyat sebab dah insaf dan mendapat pengajaran dari kuasa rakyat.

Kalau pun tak dapat datang beritahulah kepada mereka susah sangat ke nak dial HP tu, atau lebih baik lagi hantar lah wakil supaya rakyat rasa dihargai. Mereka bukan mahu projek tapi suka dapat bermesra dengan pemimpin yang mereke angkat dan parti yang mereka sokong.

Ingat rakyat yang mempunyai kuasa mengundi akan menentukan dan menilai pemimpin dengan KPI mereka tak kira dari parti mana asalkan baik dengan rakyat. Tak guna kita lantik pemimpin yang kaya yang hidup mewah kerana tidak tahu apa kehendak rakyat dan takut kotor tayar kereta nak masuk ceruk kampung. Seperti tulisan MSO orang kampung sahaja tahu kesusahan orang kampung. Wassalam

Unknown said...

Salam:-

Azmin tak larat makan dah..dia dah kenyang makan hati sebab Zaid!


YB Rodziah pula tak datang kerana ada menu daging lembu. Depavali dia akan datang kerana buatnya di kuil dan tak ada daging lembu.