Wednesday, August 11, 2010

Perkongsian Subuh

Mengenal Pencinta Rasulullah S.A.W.

[kemaskini] SALAH satu yang menjadi amalan saya di setiap Ramadhan sejak 20 tahun lalu ialah membaca biografi perjuangan dan riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w. Saya akan membaca mana-mana catatan atau biografi Nabi Muhammad yang ditulis berbagai penulis atau tokoh. Saya akan cuba menghabiskan bacaan itu dari 1 Ramadhan hingga ke 29 Ramadhan. Saya akan membawa ke mana saja buku atau catatan ini mengikuti ruang perjalanan saya.

Dengan berbuat demikian ia boleh menambahkan rasa sayang, sanjungan dan kecintaan saya kepada baginda. Membaca biografi atau sejarah hidupnya mengenalkan kita mengenai keperibadian baginda.

Tidak mungkin kita dapat mengenal beginda secara fizikal, bersemuka, kecuali di Mahsyar besok itu pun kalau kita tergolong dalam firkahnya. Jadi bagi menghampiri diri kepadanya, dengan membaca biografi dan sejarah itu. Sambil membaca menghayati dan membayangkan apa yang dinukilkan mengenai Rasulullah. Cuba menjejaki perjalanan hidupnya dan dakwahnya. Cuba menghayati kesungguhan dan kesabarannya dalam berdakwah dan menyeru manusia ke jalan benar.

Disamping itu juga menemuikan saya dengan segmen-segmen tertentu yang dinukilkan mengenai keperibadian Rasulullah s.a.w. termasuk cara baginda bergurau, makan, bergaul dan mendidik anak-anak dan cucunya dan lain-lain fiil.

Berbicara soal ini mungkin ada antara kita tidak sedar bahawa selain daripada beberapa tokoh umum terkenal sebagai pencatat perjalanan hidup Rasulullah atau penulis riwayatnya (hadith) seperti, Bukhari, Muslim, Ahmad, Hakim dan lain-lain yang kita sering dengar dan hadith mereka dibaca, tetapi masih ada 63 orang lagi penulis riwayat hidup dan perjuangan Rasulullah.

Setengah namanya tidak pernah terdengar oleh kita. Tidak hairanlah kalau buku atau catatan mereka tidak tersampai ke Nusantara ini. Sebahagian mereka merupakan penulis diawal hijrah Rasulullah ke Makkah.

Dibawah ini saya senaraikan nama-nama mereka. Mana tahu, kalau ada rezeki kita akan dapat menikmati tulisan mereka mengenai Rasulullah suatu hari nanti. Biarlah buat permulaan kita mengenali nama dan kemudian diharapkan akan menemukan kita dengan karya mereka pula. Mereka ialah:

1. Sahal ibn Hastman. Lahir pada tahun 3 H dan wafat pada masa pemerintahan Mu'awiyah (41-60H). Catatan hadithnya dalam buku al-Maghazi banyak ditemukan dalam buku Ansabul- al-Asyraf yang disusun oleh al-Baladzuri, ath-Thabaqat karya at-Thabari dan Tarikh ar-Rasul karya Waqidi. Kelasifikasinya termasuk dalam kelompok sahabat kecil.

2. Sa'id ibn Sa'ad ibn Ubadah al-Khazraji. Tahun kematiannya tidak diketahui. Beberapa teks dari bukunya biasa ditemui dalam buku Musanad susunan Ahmad bin Hanbal. Tarikh ar-Rasul karya ath-Thabari dan Musanad yang disusun oleh Abi Awanah. Kelasifikasinya ia termasuk dalam kelompok sahabat kecil.

3. Abdullah bin Abbas. Wafat tahun 78 H. Hadith riwayatnya banyak tersebar dalam buku-buku hadith, tafsir dan sejarah Rasulullah yang sudah tercetak atau tersimpan dalam bentuk manuskrip. Kelasifikasinya termasuk dalam golongan sahabat. Maksud golongan sahabat ialah orang yang dipercayai dan absah berdasarkan penilaian Allah dan Rasul-Nya.

4. Urwah bin Zubair. Wafat tahun 94 H. Hadith-hadith yang diriwayatnya banyak dinukil dalam Kitab Enam (Kutub as-Sittah) dan kitab-kitab lain susunan Ibnu Ishaq, Ibnu Syyidinnas, Ibnu Katsir, Ibnu Hajar, Ibnu Abdu ar-Bar dan lain-lain. Kelasifikasinya termasuk dalam perawi yang dipercayai (tsiqah) dan seorang ahli Fikh terkenal.

5. Sa'id ibn al-Musyyab al-Makhzumi. Wafat tahun 94 H. Ia termasuk guru dari az-Zuhry. Beliau pernah membukukan hadith-hadith tentang sejarah hidup Rasulullah dan buku pada masa penaklukan di zaman Rasulullah. Hadith-hadithnya banyak dinukilkan dalam kitab-kitabnya termasuk at-Tarikh. Hadithnya banyak dinukil oleh ath-Thabari dalam buku-bukunya. Beliau seorang ulama tauhid dan ahli fikih terkenal dari golongan tabiin.

6. Abu FadhalahAbdullah bin Ka'ab ibn Malik. Wafat 97 H. Hadith-hadith yang diriwayatnya banyak dinukil oleh Ibnu Ishaq dalam beberapa bukunya dan juga oleh ath-Thabrani dalam kitab al-Tarikh. Beliau termasuk perawi yang tsiqah (terpercaya).

7. Aban ibn Utsman ibn Affan. Wafat 101 - 105 H. Hadith-hadithnya banyak dirujuk oleh Malik ibn Anas dalam al-Muwathta', Ibnu Sa'ad dalam at-Thabaqat, ath-Thabari dalam at-Tarikh dan juga al-Ya'qubi dalam buku at-Tarikh susunannya. Ia termasuk dalam golongan perawi yang tsiqah.

8. Amir ibn Syarahil asy-Sya'abiy. Wafat 103 H. Antara ulama yang mengambil riwayatnya sebagai rujukan ialah Abu Ishaq as-Subai'iy, Said ibn Masruq ats-Tsauri, al-A'masy, Qatadah, Mujalid ibn Sa'id dan lain-lain. Beliau juga termasuk dalam golongan perawi hadith tsiqah dan seorang ahli fikih yang terkenal.

9. Al-Qassim ibn Muhammad ibn Abu Bakar ash-Shiddiq. Wafat 107 H. Hadithnya banyak dinukilkan oleh ath-Thabari dalam kitab at-Tarikh. Ia juga dinukil oleh al-Baladzuri dan Waqidi dalam kitab-kitab mereka. Beliau juga termasuk dalam golongan perawi yang tsiqah.

10. Wahab bin Munabbih. Wafat 114 H. Salah satu manuskripnya yang memuatkan hadith-hadith sejarah Rasulullah ditemui di Heidelberg, Jerman. Hadith-hadith itulah kemudian dinukil Ibnu Ishaq, Ibnu Qataibah. as-Mas'udiy, al-Muqadassy, ath-Thabari, al-Khasa'i dan Tsa'lab dalam karya-karya mereka. Beliau juga tergolong dalam perawi yang tsiqah. [6:00 am 12/08/10]


Bersambung esok. [wm.kl.6:30 am 11/08/10]

No comments: