Tuesday, August 31, 2010

Susupan Tengahari

Janganlah Keterlaluan Ambil Kesempatan Atas Kelemahan Umno

AKHIR-AKHIR ini berbagai kejadian atau aksi pelik diluar kebiasaan adat dan normal politik kedengaran berlaku. Ada juga perlakuan dilakukan oleh seseorang lebih dari sekali. Mungkin ada yang beranggapan kejadian ini menunjukkan manusia sudah semakin maju dan terbuka. Dari satu sudut mungkin ianya boleh diterima baik. Dari segi lain kejadian itu berlaku kerana keadaan parti yang memerintah semakin lemah dan ditolak menyebabkan ianya sukar untuk bertindak dengan tegas.

Tetapi dari sudut kepetingan bernegara kejadian-kejadian itu mengecewakan. Ia semacam mencabar keupayaan satu pihak lain. Dua perisitwa yang boleh dipetik dan dijadikan sebagai contoh; ialah kejadian orang bukan Islam masuk ke dalam surau seperti mana berlaku ke atas Ahli Parlimen Serdang, Neo Nie Ching.

Perbuatan Nie Ching itu tidak menjadi kesalahan. Islam tidak melarang orang bukan Islam memasuki ke masjid kalau mereka ada niat baik untuk mendapat penjelasan daripada penguasa agama seperti imam dan sebagainya. Tetapi perbuatan itu tetap dilihat satu kesalahan dalam konteks agama di negara ini.

Ini kerana sebelum ini perbuatan itu jarang atau pun tidak pernah berlaku langsung. Orang bukan Islam takut untuk melangkah masuk ke dalam rumah Allah. Rasa kurang berani dan bimbang itu mungkin kerana kejahilan dalam memahami Islam oleh penganut Islam sendiri dan juga bukan Islam.

Kejadian kedua ialah tindakan anak muda bernama Wee Meng Chee atau dikenali Namewee mengubah senikata lagu negaraku yang dikatakan berbentuk perkauman. Apa yang berlaku ini merupakan kali kedua melibatkan Namewee. Mungkin kali pertama ia boleh dianggap sebagai satu kesilapan dan kurang faham beliau mengenai tata negara. Tetapi bila berlaku kali kedua maka jelas ianya disengajakan. Ertinya beliau tidak ambil berat atas nasihat dan teguran pada kejadian kali pertama.

Kedua kejadian itu mengilankan orang ramai. Atau mereka yang kurang faham akan merasa geram dan marah. Semacam ada pencerobohan ke atas agama dan negara. Mungkin kejadian seperti dilakukan Nie Ching itu masih belum sesuai pada masa ini, mungkin ia menjadi biasa di masa akan datang.

Sesuatu yang perlu direnungi kenapa keadaan ini berlaku. Kenapa tindakan dianggap sebagai satu perubahan itu boleh sampai terjadi demikian. Jawabnya kerana mereka menyedari yang Umno semakin lemah. Umno kini dalam keadaan nyawa di hujung pedang. Kalau Umno kuat nescaya kejadian ini tidak akan berlaku. Umno sendiri yang menjadi tonggak kepada kerajaan BN juga menyedari akan kejadian ini.

Atas kepentingan politik apa saja perbuatan boleh dilakukan sekiranya ia memberi keuntungan kepada pihak menentang BN. Tetapi dari segi adat ia tidak wajar dilakukan dan tindakan-tindakan seperti itu kurang manis. Memang semua orang setuju untuk menjatuhkan Umno dan menukar kerajaan negara ini kerana kebejatannya. Tetapi tindakannya biarlah terkecuali daripada menyentuh soal agama dan negara.

Pada saya apa yang berlaku itu baik sengaja atau tidak, ia berlaku kerana Umno kini dalam keadaan lemah. Kalaulah kejadian itu memberi keuntungan kepada Umno rasanya parti itu juga sedia menerima dengan baik. Umno tidak akan bertindak melarang apa lagi mengambil tindakan. Malangnya kejadian itu merugikan Umno. Umum tahu sejauh mana sangat keikhlasan Umno dalam mendaulat agama dan bangsa. Justeru kebangkitan Umno mempertikaikan kejadian itu hanya satu munafik saja.

Bagaimana pun ingin saya sarankan supaya semua pihak hendaklah berhati-hati dalam mencari usaha dan ikhtiar dalam usaha hendak menjatuhkan di antara satu sama lain. Tindakan biarlah rasional dan tidak menyentuh sensitiviti orang lain. Bersikap tasamuhlah dalam keadaan apa sekali pun. Kepada pihak Pakatan Rakyat mereka perlu berhati-hati dalam kesungguhan melakukan perubahan jangan sampai ia dibenci oleh rakyat.

Kebebasan dalam berpolitik hendaklah dibatasi dengan kebijaksanaan agar maruah politik dan parti politik itu masih tetap terjamin.[wm.kl. 1:30 pm 31/08/10]

2 comments:

Pondok Hati said...

"Perbuatan Nie Ching itu tidak menjadi kesalahan........Tetapi perbuatan itu tetap dilihat satu kesalahan dalam konteks agama di negara ini."

Saya suka kenyataan Tuan MSO dan inilah realitinya hakikat yang diterima ramai.Persepsi umum menyatakan ianya tidak sesuai.

Ryzal72 said...

Assalamualaikum Tuan MSO,
Mengurus sebuah negara yg bernama MALAYSIA yg dulunya TANAH MELAYU tidaklah semudah mengatur huruf ABC. Saya yakin tuan MSO lebih arif kerana makan budu berulamkan pucuk tereh lebih dulu daripada saya.
Maknanya disini, sekali TERBUKA GATE kearah penghentaman sembrono ia akan membuka kepada GATE2 lain termasuklah kepada penghinaan sesama agama etc. Itulah kebimbangannya. Tatkala itu berlaku saya YAKIN baik PAS sekalipun pasti tidak akan mampu mengawal karenah kelompok2 chauvanist dan kiasu sebegini. Atas dasar itulah saya bersetuju dengan tuan, berhikmahlah dalam menyokong atau membuat sesuatu tindakan.
p/s: Saya berasal dari Lubok Jong, jika berkebetulan balik ke Kelantan, bole la kita sama2 menyirup teh secawan dua.