Suhaimi Masih Bertanya-tanyakan Anwar
MALAM tadi seorang timbalan ketua bahagian Umno Kelantan berhajat untuk bertemu saya. Lama timbalan ketua bergelar Datuk ini tidak menghubungi saya. Tiba-tiba saja teringat dan ajak minum kopi. Tentu ada sesuatu yang mendorongnya untuk bertemu saya.
Saya sudah maklum kenapa Datuk seorang ini berhajat benar nak jumpa saya. Sebabnya ekoran posting 'berita dalam siasatan' mengenai seorang ketua bahagian Umno Kelantan yang dikatakan terlibat dengan rasuah sex.
Malangnya ketua bahagian berkenaan tidak jadi datang, ada hal lain. Dia akan menghubungi kemudian, tetapi tidak berbuat demikian. Tak mengapa saya tak ambil hirau sangat kepadanya. Lagi pun yang nak jumpa beliau bukannya saya. Mungkin saya rasa dia ada nak tokok tambah mengenai posting berkenaan. Rasanyalah.
Malam semalam walaupun tak jumpa dengan Datuk ini tetapi terserempak dengan Datuk lain, Suhaimi Ibrahim yang kini jadi Setiausaha Politik, kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita, Sharizat Abdul Jalil. Lama juga saya tak jumpa dengan Suhaimi. Selalunya di kopitiam itulah, sesekali terserempak dengan beliau membawa anak bininya makan. Pernah sekali Suhaimi membayar bil saya secara diam-diam.
Semalam saya bersama sdr Sabree Shafee - bloger Yang Kudengar Dan Kulihat, sdr Dr Wan Suhaimi (juga Datuk) dan seorang kawan tradisi dan sepermainan. Saya sudah nampak Suhaimi di satu meja di kopitiam berkenaan. Tetapi tidak mahu ganggunya dan membiarkan dia bersembang dengan beberapa orang kawan. Saya cuba call tetapi tidak perasaan panggilan saya.
Ketika beliau beredar hendak pulang dan melewati kami duduk, baru dia terperasaan kami lalu mendekati dan duduk bersama. Inilah kelebihan yang ada kepada Suhaimi. Seorang yang mesra dan pandai mengambil hati. Dia juga tenang, baik dan sedia mendengar apa saja yang kita katakan serta tidak sombong.
Walaupun saya kadang kala mengkritiknya secara berdepan, beliau hanya tersenyum saja menahankan pedih di ulu hatinya. Beliau tidak melenting dan akan mendengar sebaik mungkin. Kalau dia tidak setuju akan dikemukakan hujahnya dan minta kita membalas balik. Dia juga tidak loket untuk telefon semula mendapat penjelasan mengenai sesuatu yang tidak jelas. Itulah Suhaimi seorang yang mempunyai daya tahan yang kuat dan inilah melayakkan beliau untuk menjadi politician yang penuh pancaroba.
Selalunya bila dia berjumpa saya dia tidak pernah lupa bertanya; apakah khabar Pak Sheikh. Itulah ayat mukadimah dia dengan saya. Saya tidak tahu kenapa, mungkin dia memahami 'hubungan' saya dengan Anwar. Atau seolah-olah dia merasakan saya mengikuti seitap jejak perjuangan Anwar menyebabkan beranggapan saya mengetahui luar dan dalam mengenai Anwar. Dan pada saya dari amalan/sikap itu menunjukkan nama Anwar masih terlekat di hatinya walaupun dia sudah bertukar bos kepada Najib Razak dan Sharizat kini.
Apa juga yang beliau ingin tahu atau bertanya setiap kali berjumpa, ialah apakah Anwar akan dipenjara dan apakah Pakatan Rakyat akan menang dan bagaimana dengan nasib Umno dalam pilihan raya akan datang.
Malam tadi sebelum saya memaklumkan perkembangan terkini Anwar saya sempat memberi pandangan ikhlas kepadanya supaya menjaga Sharizat baik-baik. Jangan sampai Sharizat diperalatkan oleh Rosman binti Mansor. Sebab saya lihat bila bercakap soal wanita Rosmah lebih berkuasa dari Sharizat dan ada kalanya Sharizat berstatus sebagai PA Rosmah saja. Gaya Rosmah mengendalikan aktiviti dan projek wanita seolah-olah dialah menteri.
"Tolonglah Mi jaga Sharizat jangan sampai jadi PA Rosmah. Kelemahan yang berlaku kepada Sharizat orang akan tuding kepada you Mi, sebab you setiausaha politiknya. Suhaimi terkebel-kebel dengan kening berkerut mendengar kata-kata saya itu.
Suhaimi adalah dikenali dengan orang Anwar. Semasa Anwar kena tangkap tahun 1998 dulu beliau antara ratusan sang setia Anwar yang berlonggok di rumah Anwar. Tetapi sayangnya beliau tidak konsisten dalam menyokong Anwar. Antara percaya dengan tidak apa yang berlaku terhadap Anwar sering kali membedal atma jiwa politiknya. Al akhirnya dia terpaksa juga mufarakah dari Anwar selain daripada kerana tidak yakin bahawa rezeki akan datang kalau terus menyokong Anwar.
Suhaimi adalah salah seorang dari sebahagian kumpulan yang terbuang dari menjadi penyokong Anwar. Tetapi yang nyatanya beliau lebih soleh dan pengertian berbanding dengan Ezam Mohammad Noor yang bertindak membelasah Anwar. Walaupun Suhaimi berundur dari Anwar kerana masalah hidup, tetapi beliau tidak pernah menghentam dan memburukkan Anwar. Jauh sekali untuk mengharapkan Wan Azizah menceraikan Anwar.
Selain topik Anwar, selalunya juga Suhaimi tidak akan tinggal bertanya fasal Umno. Dia mahu pandangan dan dapatan bebas mengenai Umno. Jadi malam tadi bila dia tanya fasal Umno Pahang, saya berceritalah mengenai kedudukan Umno Pahang yang parah. Kalau mengikut maklumat enam atau lapan kerusi parlimen akan hanyut dalam pilihan raya akan datang. Dia juga mengakui bahawa orang Cina kini tidak menyokong Umno lagi. Dengan mengambil perangkaan Tengku Razaleigh Hamzah saya mengatakan 85% orang Cina sudah menolak Umno.
"Jadi Umno akan kalahlah!" tanya beliau. "Iya jawab saya!" tegas. Ini menyebabkan Suhaimi mengerut kening dan anak matanya terkebel-kebel di sebalik kaca matanya.
"Ini bahaya Sheikh?" tukasnya cemas.
"Iya bahaya," tekan saya serius dan disokong oleh Sabree dan Wan Suhaimi.
"Habis apa nak buat?" persoal beliau melontarkan kegusaran.
"Jalannya satu saja, Melayu kena bersatu. Umno kena lebih ikhlas melihat penyatuan Melayu bukan mahu mengundang Pas untuk menyelesai dan menyelamatkan kedudukannya. Tapi saya lihat Umno tidak ikhlas dalam soal ini. Bagi tahu Najib kalau dia ikhlas nak satukan Melayu, dia kena panggil sama Anwar Ibrahim..." balas saya panjang lebar menjadikan dahinya terus berkerut. Sesuatu yang mungkin difikirnya, apa yang saya kata itu betul tetapi payah untuk dilakukan.
Malam tadi Suhaimi secara perlahan mahu membawa isu mengenai Anwar sokong Amerika atau Amerika sokong Anwar. Tetapi hujah itu cepat dipatahkan, dengan sepotong pertanyaan saya, apakah dengan menyokong Najib Malaysia mampu berdepan dengan Amerika? Mungkin kerana malam atau berat dengan pertanyaan ini, bekas Presiden GPMS ini memohon untuk berundur.
Syoknya sebelum berundur, beliau sempat dilaungkan dengan slogan "Hidup Anwar..." oleh Sabree menyebabkan sekali lagi wajah Suhaimi merah. Mungkin terasa tercabar dan malu dengan slogan itu, beliau meninggalkan sepotong kata-kata, kita ada prinsip dan kita ada sistem. Maksunya laungan itu tidak mungkin diterima Suhaimi kerana kini beliau sudah berboaskan Najib. Namun nelihat kepada lenggang lenggok dan ombak politik Suhaimi saya rasa tidak mustahil kalau selepas ini setelah Anwar jadi PM dia akan mengubah kiblat perjuangannya sekali lagi. Merdeka 53. [wm.kl.1:00 t/hati 26/08/10]
No comments:
Post a Comment