Tuesday, August 31, 2010

Laporan Lewat

Dua Panggilan Basi Untuk Berbuka Puasa

PETANG semalam saya menerima 'panggilan basi' jemputan berbuka puasa. Pertama panggilan basi dari Zaid Ibrahim, yang mengajak berbuka puasa di Seksyen 4, Wangsa Maju. Panggilan basi kedua daripada Sallahuddin Ayub yang mengajak berbuka puasa di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Biarlah panggilan itu basi, lewat dan nampak seperti terdesak, namun saya tetap berterima kasih. Setidak-tidaknya mereka ingatkan juga kepada hamba Allah ini.

Saya memenuhi panggilan basi dari Zaid Ibrahim. Sebabnya ia berdekatan dengan rumah saya, dan Seksyen 4, di situ adalah lokasi kediaman saya lebih 10 tahun. Majlis Zaid juga saya rasa lebih membuka selera kerana diadakan penyampaian hamper dan bantuan kepada ibu tunggal dan juga orang kurang upaya (OKU).

Saya tidak mahu membandingkan antara dua majlis itu. Majlis melibatkan Salahuddin itu jamuan untuk para petugas media terpilih. Kabarnya seramai 50 orang medialis yang hadir. Media juga harus sentiasa dijaga dan dirawat. Alpa merawat kaum media ibarat buruk padahnya. Almaklumlah orang media ini sensitif dan punya daya hidu yang kuat.

Jika hendak dikira saya sepatutnya tidak menghadiri kedua-dua majlis itu. Kerana undangan sudah basi, sudah menjelang waktu hendak berbuka puasa. Tetapi seperti saya katakan tadi kerana majlis Zaid lebih hampir maka saya permudahkan diri. Apapun terima kasih kepada Sallahuddin yang masih ingat meskipun muazim sudah memegang pembesar suara untuk melaungkan azan bagi menandakan waktu berbuka sudah tiba baru dia teringatkan saya.

Sebelum ini Zaid tidak pernah sampai ke Wangsa Maju. Apa lagi bersolat maghrib di surarau situ. Tetapi kini setelah dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan PKR, menyebabkan Zaid terpaksa mencemar duli ke kawasan itu. Terpaksa!

Khabarnya sudah tiga kali Zaid turun ke Wangsa Maju. Semuanya melibatkan pertemuan dengan rakyat marhaen. Baguslah. Kalau Zaid bercadang hendak menumpang kasih penduduk dalam Parlimen Wangsa Maju, beliau kena kerap turun. Penduduk Wangsa Maju kini masih dalam terkilan gara-gara tindakan 'bekas' ahli Parlimen mereka, Wee Chong Keong meninggalkan mereka tanpa sepatah khabar.

Hari ini orang Wangsa Maju sakit dan terguris. Mereka mungkin juga serit. Tetapi kalau Zaid dapat cari penawar terbaik mungkin ianya sembuh. Masih ada harapan untuk Wangsa Maju terus ditawan PKR dalam pilihan raya akan datang walaupun bekas calon dari MCA, Yong Teo Lock rajin menemui rakyat di Wangsa Maju.

Melihat kepada sambutan malam tadi, nampaknya penyolong Pakatan Pembangkang di Wangsa Maju masih belum berubah. Mereka masih terus bersama Pakatan Rakyat. Pas juga memberi sokongan padu. Yang Dipertua Pas Wangsa Maju juga turut sama hadir. Kedatangan Zaid itu sedikit sebanyak telah mengubat hati mereka yang luka kerana dicalar balarkan si Chong Keong. [wm.kl. 5:00 pm 31/08/10]
Post a Comment