Sunday, August 15, 2010

Tazkirah Ramadhan

Mencari Kekayaan Atau Mencari Tuhan

SAYA rasa bukan saja email saya dicerobohi dan dijahati oleh mesej-mesej atau pesan-pesan yang mengajak saya menuju ke jalan kekayaan. Mencari kekayaan dengan teknik segera dan mudah. Puluhan ajakan dalam sehari saya terima. Semuanya menawarkan kekayaan, berbillion ringgit. Berbagai teknik mudah diperkenalkan, ada yang semudah masuk saja RM50 ke dalam akauan tertentu kita akan diganjakan dengan ratusan atau puluhan ribu.

Ada juga yang disertakan dengan testimoni, kejayaan seseorang mencecah ke angka belasan ribuan dalam sebulan. Saya tidak percaya dengan semua tektik mudah mendapat wang itu. Saya juga bimbang dan meragui apakah wang itu halal atau haram. Dengan teknik mudah itu ia tidak mengeluarkan keringat. Sedangkan saya yakin wang yang berkat dan baik itu terhasil dari kerja yang mengeluarkan asin dari tubuh.

Meneliti kepada kempen dan promosi mendapatkan wang itu menyebabkan menunjam kekesalan di hati saya. Ia menjelaskan manusia terlebih pandang kepada dunia dan kurang pula kepada akhirat. Saya tidak menafikan kita dituntut bekerja untuk hidup bahagia. Tetapi kalau terlebih mencari kebahagiaan dunia maka keperluan diakhirat pasti akan ketinggalan dan teralpa.

Kenapa dalam banyak-banyak ajakan kepada mencari kekayaan dunia itu tidak ada pun yang menghantar email menawarkan pakej bermusafir ke syurga. Kenapa kita hanya ghairah mencari kekayaan tetapi tidak pun sedar untuk mencari kuasa yang memberi kekayaan kepada kita. Maksudnya kenapa kita tidak berpaling untuk mencari Tuhan. Mencari Tuhan daripada mencari kekayaan lebih membahagiakan.

Saya berpendapat Tuhan tidak ada dalam program mencari kekayaan yang ditawarkan saban waktu itu. Tuhan tidak ada di celah helaian ringgit. Tuhan juga tidak ada dalam akaun yang mempunyai wang berjuta ringgit atau dolllar. Jadi kenapa tidak ada tawaran dan ajakan yang lebih mulia dari ajakan menghimpun kekayaan duniawi?

Alangkah baiknya puluhan email dan tawaran mencari kekayaan itu ditukar kepada program mencari Tuhan ataupun setidak-tidaknya untuk mengenali Tuhan. Tawar dan offerlah program ini. Buatlah kursus insentif bagi mengenali Tuhan. Orang seperti saya yang merasai jauh dengan Tuhan sangat merinduinya. Bentanglah jalan ke syurga dan bukannya dibina lencongan ke arahnya. Saya mahukan tikar zam zam ala kazam untuk menuju ke firdaus!

Cuba kemukakan formula atau pengajaran bagaimana untuk mengenal Tuhan dalam masa sehari. Atau kaedah-kaedah untuk mengenali Tuhan sebenarnya dengan lebih mudah dan jitu. Atau ilmu baru bagaimana mengenali Tuhan pada hakikatnya. Buatlah saya sedang menunggu dan saya percaya ianya akan mendapat sambutan ramai. Saya yakin banyak orang yang belum mengenali Tuhan melainkan hanya tahu menyebutnya saja. Pada saya menyebut tanpa mengetahui dan mengertai apa yang disebut sia-sia saja.

Rasanya program ini lebih bermanfaat dan bererti daripada tawaran program mencari wang belanja sekolah, wang belanja untuk beli kueh raya ataupun lain-lain.

Saya sedang menanti tawaran demikian akan mencuri masuk ke dalam email saya ataupun akan dipaparkan di wall Facebook saya. Semoga akan ada antara sekalian banyak pencuri masuk ke dalam email saya menawarkan program berkenaan atau menukarkan tawaran dan khidmat mereka.

Selamat mengerjakan solat Subuh dan wassalam. [wm.kl.5:55 am 15/08/10]
Post a Comment