Selamat Berjaya Kerajaan Kelantan
KURANG 15 jam menjelang detik 12:00 tengah malam yang akan mengenapkan 53 tahun Malaysia merdeka, kerajaan Pas Kelantan telah memfailkan saman di mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pagi ini terhap Pertonas meminta syarikat Petroleum Nasional itu membayar royalti minyak 5% kepada kerajaan Kelantan.
Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat mengepalai rombongan kerajaan negeri memfailkan saman berkenaan. Hampir semua wakil rakyat Kelantan hadir menyatakan sokongan terhadap tindakan tersebut.
Apa yang berlaku hari ini satu lagi sejarah yang dicipta oleh rakyat Kelantan. Walaupun tindakan saman itu dilihat sukar untuk dimenangi selagi kerajaan UBN masih berkuasa, tetapi dari segi moralnya tindakan itu dikira betul dan jalan terakhir sebagai membela nasib rakyat Kelantan.
Seperti mana kata Nik Aziz, tindakan itu adalah tanggugjawab dan amanah dipikul beliau untuk mengembalikan harta dan hak rakyat negeri Kelantan. Atas keyakinan bahawa Petronas telah menganiaya rakyat Kelantan yang menafikan pembayaran royalti itu, maka tindakan itu wajar dan menggembirakan seluruh rakyat Kelantan.
Kegagalan pihak kerajaan Pusat terutama Umno Kelantan menyelesaikan isu berkenaan membawa kepada pemfailan kes tersebut. Sebelum ini ada usaha meminta Tengku Razaleigh Hamzah menjadi orang tengah bagi menyelesaikan tuntutan berkenaan. Masa diberikan kepada bekas Pengerusi Petronas itu, tetapi nampaknya ianya gagal mencapai sebarang hasil.
Mungkin selepas Tengku Razaleigh gagal mendapat sebarang hasil itulah maka tindakan menyaman Petronas dilakukan. Sudah tentu bagi kerajaan Kelantan tindakan itu sudah difikir semasak-maskanya dan bukan keputusan individu tertentu saja, jauh sekali untuk merai populariti politik.
Kita tidak perlu komen panjang dan kita biarkan kepada penentuan mahkamah. Cuma apa yang hendak dikatakan sama ada kes itu dimenangi kerajaan Kelantan atau tidak namun ia memberi modal politik besar kepada Pas. Kerana itu dari satu sisi tindakan saman itu sebagai menambahkan modal politik buat Pas.
Itulah diharapkan Pas, tindakan saman Petronas itu demi menunjukkan mereka benar-benar berjuang untuk mengembalikan hak rakyat Kelantan yang dianugerahkan Allah kepada mereka. Dalam masa sama ia menunjukkan sikap sombong dan rakus Umno.
Bagaimana pun adalah baik juga dirasakan di sebalik cuba mendapat bayaran royaliti yang tidak dibayar sejak 2004 itu, kerajaan Kelantan juga berusaha agar harta benda rakyat lain tidak dibazirkan dan khazanah Kelantan lain seperti tanah, balak dan sebagainya turut sama dikawal.
Pertikaian mengenai hak royalti minyak ke atas Kelantan ini diperkatakan sejak awal Pas mulai menguasi Kelantan tahun 1990 dan ekoran itu kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa petroleumnya sendiri.
Kepada kerajaan Kelantan diucapkan selamat menyaman, sekiranya itulah jalan yang difikirkan terbaik dan menguntungkan rakyat. [wm.kl.5:45 pm 30/08/10]
No comments:
Post a Comment