Wednesday, August 4, 2010

Balada Menjelang Maghrib

Kisah Tok Bachok Hukum Murid Merokok

DALAM buku sulit sekolah saya semasa kecil dicatat tiga profesyen yang menjadi cita-cita saya. Pertama, askar, kedua guru dan ketiga penulis. Saya mahu jadi askar kerana nak mempertahankan negara dari ancaman musuh. Musuh yang saya fikir ialah komunis yang memegang senjata. Hari ini musuh komunis sudah bertukar dan senjatanya bukan lagi bedil.

Kenapa saya memilih nak jadi guru ialah kerana mengajar murid. Nak menulis dengan menggunakan kapur di papan hijau (dulu dipanggil papan hitam). Nak pergi sekolah nak bawa bocor (thermos) air, bekalan. Pakai baju tangan panjang dan pakai tie. Ada motosikal, brom... brommm.... lampu besar tanpa topi keledar.

Manakala kenapa saya nak jadi penulis saya tidak tahu. Tetapi saya meminati dunia penulis dari kecil. Buat dan reka pantun sejak dari sekolah rendah lagi. Himpun duit belanja sekolah untuk beli majalah terbitan DBP dan juga akhbar Utusan Pelajar, terbitan Utusan Melayu. Selain itu untuk beli komik.

Akhirnya saya menjadi penulis, menulis apa saja saya nak tulis termasuk kisah ini. Banyak saya tulis hentam orang politik yang jahat atau munafik macam Abdullah Ubai.

Di sini saya nak cerita perihal nasib cikgu yang malang hari ini kerana mengambil tindakan ke atas murid. (Nasib baik saya tak jadi guru) Hari ini saya melihat murid lebih berani daripada cikgu. Murid dibela oleh media massa dan PIBG dan juga berbagai NGO. Keadaan ini menyebabkan guru tidak boleh bengah kepala. Seribu kali yang cikgu buat atas nawaitu untuk mendidik murid, disalah tafsir dan guru dituduh macam-macam. Tidak pelik kalau ada cikgu yang kena tumbuk sampai berdarah hidung.

Dunia hari ini sudah terbalik. Apa lagi kalau di bandar, cikgu tidak berani bertindak ke atas murid. Kalau bertindak esok akan datang ibubapa dengan wartawan akhbar dan televisyen. Suluh ke muka mereka. Jadi walhasilnya kalau ada apa-apa terjadi ke atas murid, mereka hanya diamkan sahaja. Malas basa. Yang selalu susahnya bila mak bapa murid kaya raya.

Saya bersetuju kalau cikgu hanya mengajar murid yang sopan, yang baik dan ingin belajar saja. Murid yang samseng, malas, ponteng dan gedebe biarkan saja. Pedulilah mereka nak jadi apa. Kalau bodoh, mereka.. bukan cikgu.

Apapun saya nak memberi reaksi sedikit kepada tindakan guru terhadap murid di sebuah sekolah di Kedah yang mendenda muridnya dengan suruh hisap curut kerana murid itu menghisap rokok dalam tandas sekolah. Cikgu mana tidak marah kalau terjumpa muridnya hisap rokok di dalam tandas. Kalau saya jadi cikgu juga akan marah.

Murid itu patut dihukum agar dia insaf dan tidak mengulangi lagi perbuatan itu. Tetapi cara menghukumnya biarlah berpatutan dan benar. Tidak diketahui sekumpulan murid sekolah rendah termasuk seorang perempuan itu sudah berapa lama merokok. Kalau perbuatan itu kali pertama wajar ianya dikenakan hukum ringan dan bukan hisup curut, sebagai pengajaran.

Saya teringat bagaimana gemulah Tok Bachok, - seorang guru pondok di Bachok Kelantan menghukum anak muridnya yang didapati merokok dalam kawasan pondok. Beliau tidak denda seperti mana cikgu di Kedah itu. Sebaliknya beliau mengambil puting rokok berkenaan ditambat dengan tali panjang sebesar lengan kemudian disuruh anak-anak pondok termasuk yang tidak merokok menarik puting rokok itu ramai-ramai buang ke laut yang berdekatan dengan pondok berkenaan - pantai Irama hari ini.

Bayangkan bagaimana meriahnya anak-anak pondok yang berjumlah ratusan orang menarik sebatang puting rokok yang diikat dengan tali sebesar lengan. Mereka beratur ramai-ramai menarik puting rokok berkenaan. Tok Bachok mengawasi kerja membuang puting rokok itu dari awal hingga akhir. Ia macam ala-ala pesta pula.

Jelas hukuman yang dikenakan Tok Bachok itu sungguh berhemah dan bijaksana dan bijaksini. Ia memberi keinsafan dan pengajaran kepada semua. Ia dilakukan setiap kali berjumpa puting rokok. Lama kelamaan tidak ada mana-mana anak pondok yang berani menghisap rokok dan meninggal puting rokok dalam kawasan pondok.

Walaupun zaman Tok Bachok zaman beca, zaman tiada eletrik dan tiada televisyen kalar, (colour) namun hukumannya ternyata lebih bersifat simbolik yang memberi makna besar. Beliau tidak mencederakan anak pondoknya, atau memalukan mereka dengan hukuman sadis. Cara hukuman itu juga memberi pengajaran kepada semua anak pondok agar berhati dan saling awas mengawasi agar tidak ada sesiapa yang sampai hisap rokok bagi mengelakkan semua terkena denda.

Kepada guru yang ada masalah dengan murid menghisap rokok, boleh tiru apa yang Tok Bachok lakukan itu. Tetapi saya percaya walaupun ia tidak menyakiti, kalau hukuman itu dikenakan, ia tetap menjadi bualan dan kontroversi di seluruh Malaya. Bukan apa kerana ibubapa dan orang ramai berlebih sangat sayangkan murid daripada guru pada zaman sekarang ini. Aduhai, Mat Maslan kenapa Felda nak bankrup! [wm.kl. 6:30 pm 04/08/10]
Post a Comment