Friday, August 13, 2010

Menyelami Isu

ISA Mungkin Diguna Untuk Selamat Umno

BELUM pun padam molek lilin yang dinyalakan oleh Gerakan Anti Mansuhkan Isa (GAMI) yang dipasang sempena 50 tahun akta itu wujud, tiga lagi ditahan di bawah ISA kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan kegiatan militan. Mereka ialah Mustawan Ahbab, 34 (warga Indonesia), Sheikh Abdullah Sheikh Junaid, 70 dan Samsul Hamidi, 34.

Penangkapan itu menunjukkan lilin yang dibakar Gami itu tidak berapa panas untuk mencegah kerajaan UBN dari terus menggunakan senjata tali hayatnya itu untuk membenteng keselamatan negara. Gerakan anti ISA masih belum membuahkan lagi hasilnya. Walaupun kerajaan sudah bersedia melakukan pindaan tetapi ia tidak menjamin akta itu tidak terus mengganas. Pindaan yang dicadangkan juga tidak akan membawa perubahan besar terhadap taring akta berkenaan.

Tidak menjadi masalah kalau ISA digunakan untuk kepentingan negara. Tetapi apakah hakikatnya begitu? Dengan penahanan terbaru tiga orang itu menunjukkan ISA masih terus berfungsi dan berperanan seperti dulu.

Tidak ada pula kenyataan membantah penahanan tiga orang terbaru itu dikeluarkan mana-mana pihak. Apakah ini bermakna penahanan mereka itu tepat dan merupakan satu keperluan?

Pun begitu penahanan ketiga mereka itu tidak boleh dibiarkan begitu saja. Penambahan warga ISA itu sesuatu yang perlu difikir oleh semua orang khasnya pembangkang yang sering menjadi mangsa akta itu. Pihak pembangkang sering dijadikan kibas korban oleh kerajaan. Dan penahanan tiga orang itu apakah ianya sebagai isyarat bahawa ISA akan mengganas sekali lagi. ISA bersiap sedia untuk membaham mangsanya bagi memastikan kedudukan pihak tertentu dalam politik tidak terancam.

Saya tidak musykil kalau ISA digunakan atas kesalamatan dan kepentingan negara. Tetapi ia menjadi musykil dan kebimbangan besar kalau ISA digunakan untuk kepentingan Umno. Tindakan itu jelas menyalah gunakan akta berkenaan. Kerana itulah ianya memerlukan banyak lagi lilin untuk dibakar. Didoakan janganlah akta kejam dan zalim ini disalah gunakan sehinggakan menyebabkan rakyat akan bangkit beramai-ramai menentangnya dan orang tidak berdosa teraniaya.

Baru-baru ini ada pemimpin NGO (baca pemimpin 'nga' - tolol dan bodoh) mencadangkan supaya kerajaan menangkap pemimpin pembangkang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Cadangan itu disanggah hebat oleh parti pembangkang dan puak yang anti kepada ISA. Cadangan itu juga dilihat sebagai rasis. Tetapi tidak mustahil kerajaan akan mengguna pakai cadangan itu untuk menggunakan ISA.

Tidak mustahil, tidakkkk mustahil.

Hari ini keadaan Umno sungguh mencemaskan. Semua pihak termasuk dalam Umno sendiri merasakan yang Umno mungkin tidak dapat mempertahankan kerajaan dalam pilihan raya akan datang. Sudah ada pemimpin Umno yang membilang berapa banyak kerusi Melayu dan berapa banyak kerusi Cina. Sudah ada yang terang-terang menyatakan kewalangan yang BN akan kalah.

Kedudukan Umno hari tidak berapa stabil. Selain Umno bimbang dengan sokongan dari bukan Melayu tetapi sokongan Melayu juga mencemaskan mereka. Kehadiran pengundi muda yang rata-rata mahukan perubahan menakutkan Umno. Pendedahan demi pendedahan dan pembongkaran demi pembongkaran terhadap kebusukan kerajaan dilakukan pembangkang sungguh menakutkan dan menjadi perhatian.

Isu-isu mengenai Felda, saman terhadap Felda cukup mengocangkan 'iman" Umno. Terbaru isu projek Bakun yang mungkin akan menyaut wang KWSP. Isu ini mudah dimakan dan dimamah rakyat sebab ia hampir dengan mereka. Kedamaian Felda selama ini sudah terusik. Keseronokan peneroka melihat buah kepala sawit, susu getah warna putih sudah terusik. Apabila pembangkang mengkucar kacirkan kehidupan mereka, mendedahkan kebenaran mereka mula bertindak. Timbul rasa kebencian peneroka kepada kerakusan kerajaan.

Tindakan 776 orang peneroka Serting, Negeri Sembilan menyaman Felda minggu lepas adalah kesenimbungan penentangan dan protes peneroka kepada kepada kerajaan. Dipercayai selepas ini akan banyak lagi peneroka akan berarak ke mahkamah. Apa kata kalau semua semua rancangan tanah Felda mengambil tindakan sama terhadap lembaga itu.

Walaupun Timbalan Menteri yang jaga Felda bersama Pengerusi Felda cuba menangkisnya tetapi ia tidak berbekas lagi.

Jadi memerhati kepada keadaan ini menyebabkan tersimpul di kapala saya. Terfikir apakah kerajaan akan mengambil jalan salah dalam membalas serangan pembangang menerusi isu Felda ini dengan menahan aktivis yang menggerakkan isu itu di bawah ISA.

Ini hanya satu ilusi saya tetapi ia perlu diberi perhatian oleh mereka merasakan berpotensi untuk ditahan di bawah ISA. Pembangkang pula jangan beranggapan kerajaan takut menggunakan ISA kerana akta itu sedang ditentang. Sebagai pihak yang dalam keadaan terdesak Umbo akan menggunakan apa saja senjata yang ada kepadanya termasuk ISA. Kelambatan akta itu dihapuskan mungkin antara tujuannya untuk menjamin penerusan UBN menjadi kerajaan. [wm.kl.12:00 t/hari 14/08/10]
Post a Comment