Thursday, August 5, 2010

Susupan Pagi

Saman Ekor Kalau Tak Mansuh Pun, Ubahlah!

ARAHAN Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein agar saman ekor dikaji balik satu pandangan postif yang akan meringankan beban rakyat. Polis dan JPJ yang melaksanakan saman berkenaan tidak perlu berdolak dalih. Alasan untuk menambahkan wang dalam karung kerajaan menerusi kutipan saman itu tidak munasabah. Begitu juga dengan langkah saman itu untuk mendisiplikan pemandu kereta juga tidak mencapai sasarannya.

Sebaiknya saman berkenaan dihapuskan terus. Ataupun kalau tidak mahu menghapuskannya, kerana kutipan wang itu boleh menambahkan pendapatan kerajaan bagi membayar gaji polis yang dinaikan baru-baru ini, jumlahnya hendaklah dikurangkan. RM300 adalah sangat membebankan.

Saya ada cadangan dalam hal ini dan cadangan ini dirasakan adil dan tidak menganiayakan rakyat. Saman ekor bagi kesalahan pertama bolehlah dikenakan RM50 sahaja. Sama kedua dinaikan menjadi RM100 dan saman ketiga RM150. Untuk saman-saman seterusnya dinaikan sehingga 50% hingga 100% menjadi RM300.00.

Cara ini tidak membebankan dan munasabah. Kerana cara penguatkuasaan yang dikenakan kini membebankan bila mana pemilik kenderaan terlibat kena membayar semua saman sekaligus. Bayangkan kalau mereka ada lima saman, bermakna mereka kena menyediakan RM1,500 untuk menggerakkan kenderaan dijalan raya.

Penguatkuasa boleh ditambahkan ke atas mereka yang tetap berdegil untuk membayar saman dengan menggantung terus kenderaan mereka untuk tempoh tertentu sehingga mereka membayar kesemua saman. Had untuk menggantung kenderaan ini biarlah saman itu melepas 10 kali saman atau setelah nilai samannya mencecah ke angka RM5,000.00.

Biasanya kalau kenderaan disaman sampai 10 kali itu bermakna tuan punya kenderaan berkenaan tidak bertanggungjawab dan sengaja mahu melepaskan diri. Mereka yang sebegini wajar dikenakan hukuman keras.

Saya rasa cadangan ini munasabah daripada apa yang dikuatkuasakan kini. Apapun sebaik-baiknya mansuhkan terus saman ekor kerana ianya menganiayaan dan amalan yang tidak praktikal. Lagipun jika mengikut kepada kes saman ekor yang dibawa ke mahkamah ianya dilepaskan oleh mahkamah.

Sudah ada kes-kes saman ekor yang dibawa ke mahkamah tetapi ditolak. Ini bermakna penguatkuasaan saman berkenaan bersalahan dengan undang-undang atau tidak mesra undang-undang. Janganlah pihak polis atau JPJ mengambil kesempatan atas sikap malas dan kurang prihatin rakyat negara ini terhadap undang-undang dan mahkamah. Kebanyakan pemandu yang kena saman mengambil jalan mudah membayar saman kepada polis atau JPJ atas alasan malas naik turun ke mahkamah.

Tidak kurang juga ada yang sanggup menghulurkan wang serendah RM5 kepada polis agar tidak menyaman mereka.

Ketahuilah bahawa wang saman yang dipunggut itu adalah wang yang tidak jelas! Aduhai Mat Maslan kenapala Felda nak bankrup! [wm.kl.10:00 am 05/08/10]
Post a Comment