Sunday, March 20, 2011

Isitimewa Ahad

Lelaki Itu Rupanya Seorang Penyair

KERAP sangat saya berselisih dengannya dijalanan. Dia melilau dengan motor handycapnya, motor honda bertayar empat. Kelajuannya boleh tahan juga. Ikhlas saya katakan kadang-kadang saya mendesis sendiri melihat dia menunggang motosikal istimewanya itu yang ada kalanya memotong laku kenderaan saya.

Saya tidak pernah mempedulikan siapa dia, melainkan dia seorang yang kurang upaya. Tetapi melihat dia menjajah jalan hingga kadang-kadang sampai ke Jalan Genting - Klang yang sibuk menggambarkan dia seorang berdikari. Dia melakukan sendiri untuknya tanpa mengharap atau dibantu sesiapa.

Terfikir dalam hati dia ni bukan sembarangan. Kalau dia mempunyai sekeping hati yang penakut dia tidak mampu menggerakkan dirinya dalam keadaan kurang upaya itu sejauh itu. Namun itu apabila sesekali dia berlegar di luar kawasan menjelaskan akan kemampuannya - kelemahan fizikal tidak mengurangkan jiwanya.

Kerana kerap berselisihan di persimpangan jalan untuk ke kediaman saya, di Jalan Wangsa Melawati, terfikir dia ini tinggal tidak jauh dari rumah saya. Mungkin sekitar ini saja. Kalau ia dari kawasan lain, untuk apa dia selalu berlegar dan berdecun dengan motornya di lokasi-lokasi di Wangsa Melawati dan AU.

Sebenarnya jauh tersandar dalam minda saya bahawa dia seorang insan yang bukan saja istimewa tetapi mempunyai kebolehan yang menajubkan. Itu selalu terjadi dalam hidup ini tersalah jangka dari sangka. Semua itu mengajar kita supaya tidak menuduh sebelum menyaksi sesuatu dengan mata kepala sendiri. Kata orang tidak kenal disebabkan itu tidak cinta.

Lelaki berbadan gempar dan bergerak menggunakan motisikal istimewa ini sebenarnya seorang penyair yang hebat. Di sebalik ketidak mampuannya untuk bergerak, bercakap dan menulis seperti sastera sempurna fizikal lain, tetapi dia memiliki bakat yang besar. Lebih sesuai kalau dikatakan memilik sekeping hati perasa yang jauh dan bisa menujahkan isu dengan bahasa hati yang sungguh menggertarkan.

Bertuah sungguh rasanya kerana dapat bertemu dengannya pagi ini, minum kopi dan menerima sebuah antologi yang dihasilkannya yang diberi judul "Tajam Fotomorgana". Lelaki yang istimewa itu ialah Mohd Roslan Shariff.

Mencerita bagaimana pertemuan berlaku apabila beliau menghubungi menerusi Fb kelamrin. Dia menceritakan keadaan dirinya dan setelah itu baru saya terperasaan bahawa dia selalu saya lihat dan dia juga selalu melihat saya cuma tidak terbetik untuk menyapa. Akuinya bukan kerana apa, kerana keadaanya dalam kekurangan. Pertuturannya tidak jelas yang dirasakan sukar untuk difahami.

Sebenarnya itu tidak ada masalah buat saya, sebab saya bukan saja berkawan dengan menteri ataupun wakil rakyat tetapi lama sebelum kenal wakil rakyat atau menteri saya sudah mempunyai 36 orang teman yang buta. Jadi untuk berhubung dengan mereka yang kurang upaya serta melayani cerewet mereka sudah menjadi perkara biasa.

Ternyata kebolehan dan bakat Roslan terpancar dari antologi berkenaan. Kesempurna, kualiti dan tatautur antologi itu yang cantik dan menarik menggambarkan siapa Roslan sebenarnya. Antologi itu menjalinkan kesempurnaan beliau seorang hamba yang sebenarnya.

InsyaAllah saya akan menyorot antologi berkenaan dan akan disiarkan dalam ruangan Sastera dan Budaya dalam Siasah. Cuma di sini apa nak dikatakan puisi-puisi Roslan menarik dan mempunyai kekuatan puitis yang tidak terkalah dan ia perlu dibaca dan dihayati dengan jiwa kemanusiaan.

Antologi itu mempunyai 73 buah puisi dengan berbagai tema yang dijual dengan harga RM23 bagi Semanjung dan RM25 Sabah dan Sarawak. Harga ini tidak mahal dan bukan nilai sebenarnya untuk rumpun puisi berkenaan.

Mengikut catatan credit page antologi ini diterbitkan oleh sebuah syarikat yang saya kira sangat prihatin kepada nasib orang kurang upaya di negara ini.

Tahniah kepada Roslan dengan doa diberikan Allah ilham dan kekuatan untuk terus berkarya. Setidak-tidaknya dengan terbitnya antologi Tajam Fotomorgana membuktikan bahawa anda sudah berada di dunia ini dan berbakti kepada-Nya menerusi puisi. [wm.kl.10:15 am 20/03/11]

2 comments:

akulah69 said...

salam tuan,

apa cerita dengan video seks DSAI yang terkini? adakah benar perlakuannya? mohon respon tuan. Sapa Datuk T di sebalik pembongkaran video seks itu????? Harap tuan beri respon.

ahmadnafiah said...

Salam Tuan MSO, maaf lah saya selalu terjumpa dengan hamba Allah ini dan tak tahu siapa dia seringkali bertemu di mesjid as sobirin au5, masaayaallah hebatnya beliau, terima kasih tuan MSO