Umpama Perletakan Batu Asas Reformasi Ke- 2
[kemaskini] BAGI penyokong reformasi dan Pakatan Rakyat rugi besar malam ini kerana tidak ke stadium Melawati Shah Alam. Himpunan solat hajat bagi menyelamatkan pemimpin PR yang difitnah mendapat sambutan hebat. Apa yang berlaku malam ini tak ubah himpunan di sekitar tahun 1998 di era reformasi dahulu.
Bukan saja jumlah kehadiran yang ramai, berlipat ganda dari biasa, tetapi semangat mereka yang hadir juga berkobar-kobar. Di wajah masing-masing terpancar kemarahan dan keghairahan.
Semuanya persis sang harimau yang lapar mahu menerkam musuh.
Nampaknya penayangan video lucah oleh kumpulan tiga botak telah menaikan semangat orang ramai. Inilah hikmat di sebalik pendedahan video berkenaan.
Orang ramai bukan mempercayai apa yang didedahkan itu, tetapi semakin menaikan kemarahan dan kebencian kepada kerajaan (UBN). Walaupun Umno dan pemimpin negara tidak terlibat secara langsung tetapi relatif antara tiga botak dengan Umno secara tidak langsung mengesahkan pembikinan video berkenaan adalah didalangi oleh pihak berkuasa dalam kerajaan.
Mulai malam ini kerajaan UBN perlu bersiap sedia menghadapi gelombang reformasi kedua yang dijangka lebih besar lagi daripada sebelum ini. Kalau tidak kena gaya dan bijak menanganinya gelombang kali ini akan menjadi seperti Jepun yang menerima dua bencana berganda dalam satu masa, gempa bumi dan tsunami.
Kalau tahun 2008 dahulu memberi natijah UBN kehilangan empat buah negeri, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor mungkin pada pilihan raya ke -13 nanti UBN akan kehilangan kerajaan Malaysia. Semangat perpaduan dan solidariti juga jelas terbayang di kalangan pemimpin Pakatan yang berada di pentas.
Semua pemimpin utama ada malam ini, kecuali dua Setiausaha Agung, Mustapa Ali dan Saifuddin Nasution Ismail, sementara timbalan presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Naib Presiden, Sallahuddin Ayub berada di Sarawak.
Mungkin juga kerana semangat atau pun kerana gembira dengan suasana, menyebabkan ada setengah pemimpin yang sebelum ini saling prejudis melupai sengketa peribadi buat sementara. Lupa soal peribadi tetapi menumpukan kepada agenda untuk merampas Malaysia. Mereka saya lihat dari jauh bersalaman dan bertepuk bahu seperti dulu.
Inilah yang wajar dan dirundui oleh rakyat sekalian. Majlis malam ini bermula dengan solat Maghrib yang disertai lebih 10,000 jemaah. Kemudian majlis tazkirah yang disampaikan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man tajuk khas bencana fitnah, bahaya dan dosanya. Kemudian berterusan dengan solat Isyak diimani oleh Idris Ahmad.
Manakala solat hajat dan munajat dibimbing oleh Abdul Hadi Awang. Sesudah solat hajat majlis pidato yang dimulai Johari Abdul yang membuat previu terhadap video lucah yang disaksinya. Turut berucap selepas itu ialah Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang Siang dan Anwar Ibrahim. Lim Kit Siang dan Anwar tidak melepas peluang menyerang balas terhadap Rahim Tamby Chik.
Tok Guru Nik Aziz yang tiba pada pertengahan majlis jam 10:10 malam kemudian menutupnya dengan doa dan munajat khas. Sewaktu Nik Aziz berdoa ramai yang menitis air mata dan ada yang kelihatan tersendu.
Hampir semua pemimpin besar parti Pas hadir. Antaranya, Dr Wan Azizah Ismail, Nurul Izzah Awnar, Dr Hassan Ali, Dr Mohd Hatta Ramli, Khalid Samad, Kamaruddin Jaafar dan lain-lain, Turut sama hadir ialah MB Selangor Abdul Khalid Ibrahim. Disimpulkan majlis malam ini seolah-olah perletakkan batu asas kepada gerakan reformasi kedua yang akan bergerak menuju ke Putrajaya. [wm.kl. 1:40 am 29/03/11] Catatan: Gambar akan dimuatkan esok, nak tidurlah letih.
2 comments:
Salam,
MSO,
sedikit kesalahan menaip untuk perkataan:
Munajak, sepatutnya dieja - munajat.
Pilihanraya 1998, sepatutnya ditulis pilihanraya 2008.
Terima kasih.
Wan marzuki.
Salam.. Pak MSO saya sedikit teruja bila melihat Pak MSO in flesh and blood di hadapan saya semalam.Tapi saya segan nak tegur. Lagipun saya sedang bertugas.Apapun nampaknya isu video seks ni memberi nafas baru kepada Pakatan Rakyat.Buktinya stadium dipenuhi oleh ribuan orang ramai walaupun dibuat pada hari bekerja
Post a Comment