Friday, March 18, 2011

Tazkirah Jumaat

Judi, Kerajaan Kelantan Tidak Perlu Tolak Ansur

SAYA tidak tahu apakah ia wajar atau tidak untuk Kelantan memikir semula tindakannya melarang perjudian big sweep di negeri itu. Kenyataan MB, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikeluarkan semalam sedikit mendukacitakan dan ia semacam ditekan.

Dalam kenyataan yang dibaca oleh setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari, menjelaskan kerajaan Kelantan akan mempertimbang balik pengharaman ke atas perjudian big sweep.

Kata kenyataan itu pihak kerajaan Kelantan akan meminta penasihat undang-undang membuat kajian semula ke atas tindakan yang diambil sebelum ini.

Apabila kerajaan Kelantan membuat 'ralat' itu maka timbul persoalan apakah sebelum larangan itu diketatkan kerajaan Kelantan tidak meminta pandangan penasihat undang-undang terlebih dahulu? Sepatutnya penasihat itu diminta memberi pandangan terlebih dahulu baru dilaksanakan penguatkuasaan untuk mengelakkan ia menimbulkan implikasi undang-undang.

Dengan apa yang berlaku, setelah timbul implikasi baru hendak ambil pandangan penasihat undang-undang ini bermakna tindakan itu dibuat tanpa mendapat pandangan penasihat undang-undang terlebih dahulu. Bolehlah dikatakan tindakan itu songsang atau pun berjalan tidak mengikut kepala? Jika ini berlaku agak malanglah bagi sebuah kerajaan yang sudah berusia 20 tahun.

Itulah jadinya kalau membelakangkan peraturan.

Dalam hal ini saya kira kerajaan Pas Kelantan khususnya Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sudah memahami hal ini. Mereka sudah tahu apa yang boleh dan tidak boleh. Sebab di MPKB-BRI sendiri ada penasihat undang-undang malahan Exco yang menjaga MPKB-BRI juga seorang lulusan undang-undang dan pernah menjadi peguam terkenal di Kota Bharu. Masakan MPKB-BRI tidak menghitung dari berbagai aspek perundangan sebelum ianya dikuatkuasakan.

Justeru apa yang saya nampak mengenai isu ini ialah tekanan daripada pihak bukan Islam dan ia ada implikasi politik kepada Pas. Jika semakan terhadap tindakan itu dilakukan sekali lagi kerajaan Kelantan 'mengaku kalah' kepada tekanan dan tidak berani untuk mempertahankan keputusan. Saya bimbang kalau keadaan ini berulang kerap sangat lama kelamaan orang boleh mempersoalkan wibawa kerajaan Kelantan yang megah dengan Membangun Bersama Islam itu.

Tekanan kepada kerajaan Kelantan ini jelas kerana pengumuman itu dibuat setelah Pas berjumpa dengan rakan mereka dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PKR. DAP diwakili oleh Ketua Pemudanya, Loke Siew Fook; Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Liew Chin Tong dan manakala PKR oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mohd Nor Manuty. Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali turut hadir sama.

Saya rasa didalam hati kecil Nik Aziz tidak bersetuju dengan langkah penyemakan semula tindakan itu. Apabila kenyataanya dibaca oleh Ahmad Fadhli ini bermakna beliau berat untuk memikir semula tindakan yang diambil sebelum ini. Kalau perkara itu diambil berat sudah pasti beliau sendiri akan mengumumkannya.

Sebelum ini MPKB-BRI sudah merampas penjualan tikit big sweep di dua buah premis di Kota Bharu serta menyita premis yang menjualnya. Ekoran tindakan itulah menimbulkan masalah dan bantahan dari sesetengah pihak. Rakan Pas dalam Pakatan - Dap dan PKR tidak begitu suka dengan tindakan Pas itu. Tentunya mereka lebih memikirkan soal kepentingan politik daripada tanggungjawab dan amanah untuk mencegah kemungkaran.

Nampak di sini Pas Kelantan menghadapi sedikit masalah dalam hal ini. Tindakan mereka sudah betul dan tepat sesuai dengan aspirasi kerajaan, tetapi lain pula dari kalangan rakan-rakan mereka, tidak bersetuju dengan tindakan itu. Masalah ini berlaku ialah kerana kelainan ideologi politik. Di sinilah bahanannya bagi Pas berkawan dengan DAP dan PKR. Dari satu sudut Pas mendapat keuntungan politik tetapi dari sudut lain Pas semacam kehilangan tanggungjawab dan amanah.

Pas boleh berkawan dengan sesiapa saja hatta Yahudi atau Israel tetapi Pas perlu menjaga agar nawaitu perjuangannya serta identitinya tidak lenyap gara-gara persahabatan itu. Pas juga kena pastikan dalam hubungan 'diplomatik politik' itu Pas sentiasa mendapat keuntungan darinya bukan merugikan diri.

Di sini saya hendak sarankan supaya kerajaan Kelantan terus dengan keputusannya sebelum ini. Jangan biarkan apa juga bentuk perjudian. Big sweep kena haramkan sama ada yang dijual di dalam premis atau pun di bawah pokok. Saya nak tanya apakah berjudi di tempat terbuka dengan berjudi di tempat tertutup ada perbezaan di sisi Allah?

Walaupun perjudian itu bukan memberi ruang kepada orang Islam, tetapi ia lebih memberi kepuasan kepada bukan Islam tetapi itu bukan alasannya. Pada saya haram tetap haram. Katakan sesuatu yang benar itu walaupun pahit.

Sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab dan memiliki kuasa mencegah kerajaan Kelantan kena tegas dan membenteras apa juga bentuk judi dan maksiat. Sekiranya kuasa yang dimiliki PBT hari ini tidak mencukupi untuk bertindak menghapuskan perjudian seperti big sweep itu, nah bagi kuasa kepada mereka secukupnya.

Pas mempunyai kuasa majoriti di Dun Kelantan jika perlu kepada kuasa tambahan itu maka pindalah perlembagaan. Tetapi saya rasanya untuk memberi kuasa kepada PBT bagi membasmikan perjudian tidak sampai pun memerlukan pindaan perlembagaan tetapi cukup setakat menambah enakmen kecil Majlis-Majlis Perbandaran dan seumpamanya sahaja. Yang penting mahu.

Kerajaan Pas Kelantan tidak seharusnya bersikap toleran di dalam hal ini. Tolak ansur berlebihan kepada pihak-pihak tertentu rasanya tidak wajar. Misalnya semata-mata untuk membolehkan orang bukan Islam melakukan maksiat atau aktiviti yang bertentangan dengan mereka, kerajaan Kelantan tidak perlu akur. Sebagai rakyat Kelantan atau orang yang bermastautin di Kelantan seharusnya tunduk dan patuh kepada kerajaan dan peraturan-peraturannya dan bukan sebaliknya. Ruang hak asasi bukan segala-galanya!

Contohnya bagi mereka yang ingin minum arak, berzina atau berjudi mereka boleh hijrah ke negeri-negeri lain yang membenarkan kegiatan berkenaan. Misalnya kalau untuk berjudi big sweep mereka boleh berpindah ke Terengganu kerana di situ ia boleh dibeli tanpa halangan. Kalau hendak hiburan dan perempuan, datang ke Kuala Lumpur, atau pergi ke Ipoh atau Kuantan, semua ada di situ.

Jadi tidak timbul di sini saya rasakan kerajaan negeri perlu menjadi anjal (liberal) dalam soal-soal yang ditetapkan Allah kerana kepentingan politik. Di sini juga saya hairan dengan sikap dan pendirian Pas dalam isu ini. Sepatutnya Pas pusat membuat pendirian tegas menyokong tindakan kerajaan Kelantan itu dan bukannya menganggap isu itu adalah isu terpencil di negeri itu. Sikap sebegini menyebabkan orang akan bertanya apakah conscious sebenar Pas terhadap perjuangan.

Saya selalu teringat kepada pesanan Tok Guru, bahawa hidup manusia ini bukan setakat di dunia sahaja, tetapi selepas mati nanti ada lagi kehidupan. Manusia ini akan dihisab bukan di sini tetapi di akhirat besok.

Pada saya tidak guna kalau kita menang politik, dapat kuasa tetapi tidak dapat menguatkuasakan kerana kemenangan begitu adalah sia-sia sahaja. Bertolak ansur, berhikmah di dalam politik pada saya hanya satu kebaculan saja. Besok Allah bukan saja tanya kerajaan UBN tetapi Allah juga akan hisab kerajaan-kerajaan Pas dan Pakatan Rakyat. [wm.kl.9:11 am 18/03/11]

10 comments:

zamsalam said...

SOKONGLAH NIK AZIZ!!

Ya Allah berilah kekuatan kepada semua pemimpin Islam dalam menegakkan yang Haq dan memerangi yang Batil.

Ayuh...solat hajat seluruh Malaysia!! mohon bantuan dari Allah SWT.

Bersatulah orang Melayu dan orang Islam PAS, UMNO, PKR dan NGOs dalam hal ini.

nazari said...

mso.....

ini merupakan strategi politik, kita akan gunakan isu ini untuk hentam BN, BN yang beri lesen ini untuk jual tanpa premis boleh jual tepi-tepi jalan.kelantan hanya boleh haramkan premis jual judi sahaja.tapi nak haram orang beli judi tak boleh sebab bawah persekutuan.

Kalau BN tu islam dialah sepatutnya meminda undang-undang supaya setiap negeri dibenarkan mengharamkan judi disetiap negeri masing-masing tanpa terikat dengan persekutuan.

dan UMNO sepatutnya sokong PAS dalam hal ini,tapi dia diam dan bagi MCA hentam. UMNO islam ke apa?

amirrusli said...

tegak hukum haram judi itu sebagai perbezaan antara pas dgn umno dalam memperjuangkan islam....yakin pada allah dalam menegakkan hukum nya

Keyman said...

Assalamualaikum Pak Sayuti....

DAP dan PKR menjadi halangan besar kepada PAS dalam melaksanakan syariat Islam......dah jadi macam BN lah pulak.

Pimpinan PAS perlu memahamkan pimpinan DAP dan PKR dalam hal2 yang berkaiatan dengan syariat Islam dalam pentadbiran negeri dan negara.

Tiada maknanya PAS bersama PR sekiranya Islam dipinggirkan dalam pemerintahan seperti yang diamalkan oleh BN.

Dalam hal ini, saya juga yakin TG Nik Aziz menyatakan sedemikian kerana ingin menjaga hati wakil DAP sahaja.....

Apapun kita sama2 tunggu apa keputusan yang bakal dibuat oleh Kerajaan Kelantan nanti.

Mocha Ghost said...

salam MSO,

saya tidak tahu samada pemahaman saya terhadap apa yang dibacakan oleh setiausaha akhbar MB Kelantan itu berlainan dgn encik.

Saya memahami bahawa PAS tengah mengkaji bagi mengharamkan juga loteri tanpa premis itu, ini adalah kerana PBT yang ditadbir kerajaan negeri hanya mampu untuk menghalang pembukaan premis judi, tapi tidak mampu menghalang org yg ingin menjual loteri tanpa premis. Mungkin ini adalah kerana lesen penjualan judi adalah "halal lagi berkat" bagi kerajaan pusat.

Harapnya itulah apa yang difahami oleh saya. Wallahua'lam.

Penjawat Awam said...

saya rasa ada sedikit salah paham disini. bukannya kelantan akan kaji semula pengharaman penjualan big sweep. persoalannya adakah kelantan ada kuasa utk melarang penjualan big sweep. kerana dakwaan sesetengah pihak penjualan big sweep tidak memerlukan premis.

nursyahira said...

Assalamualaikum Tuan MSO,

Setuju dengan pandangan tuan.

Kenapa mesti mengalah pada tekanan DAP dan PKR, bukankah PAS menguasai 2 buah negeri sedangkan DAP 1 dan PKR juga 1, selama ini PAS tidak mencampuri dasar pentadbiran di negeri Selangor dan Pulau Pinang kenapa benarkan mereka mencampuri hal ehwal Kelantan yang mana 95% rakyatnya terdiri dari melayu islam.

Perlukah di kejar bayangan Putra Jaya yang belum tentu nampak dengan memperjudikan negeri yang sudah ditangan, adakah pentadbiran PAS merasakan PAS sudah cukup selamat di Kelantan, bak kata pepatah jangan sampai yang di kejar tak dapat yang di kendung akhirnya berciciran.


Wassalam

anakzaman said...

Tuan MSO

Ini masalah besar di negara kita iaitu masalah nak jaga hati bangsa dan agama lain.

Perkongsian kuasa memang tak dapat hendak menegak perinsip islam melainkan pemimpin pas berprinsip muktamat apa yang di katakan demi Allah.

Kita semua tahu Syaitan atau iblis lebih ramai dari manusia.Penagih judi lebih ramai dari penagih dadah .Budaya judi telah diajar lebih 52 tahun.Penjudi tegar tak mahu beralih tabiatnya.

Taukeh judi telah lebih kaya dari kerajaan boleh membiayai syaitan-syaitan menentang kerajaan kelantan.

aruk said...

knape perlu tunduk dgn kaum yg nak sgt judi? jgn kerana mahukan undi makin ramai pula nanti jemaah yg lari!! Bagus juga jika semua umat melayu islam bersatu padu.

Anonymous said...

kene ingat juga
tangan dan kaki mereka diikat
dngan Perlembagaan Persekutuan

seandai mereka menolak
bukan shaja kehilangan rakan dlam Pakatan, tapi akan diheret keMahkamah kerana mengaharamkan yg HALAL dlam Undang2 Negara
walau pun mereka cuba mengaharamkan yg haram dlam hukum Islam


jadi...katakan tidak pada SEKULAR