Bila orang ternampak saya berjalan dengan Tamrin Ghaffar melintas Dataran Ilmu di Kota Bharu semalam mungkin ada yang menimbulkan pertanyaan (yang tidak perlu) didalam hati masing-masing. Mungkin ada yang curiga dan berpandangan serong terhadap apa yang mereka saksikan itu. Apa lagi semalam saya bersama Tamrin menemui Tok Guru Nik Aziz sebaik saja tok guru itu selesai menyampaikan kuliyyah mingguannya.
Tamrin dan Nik Aziz: Sama-sama serius. |
Dan apa lagi yang tidak arif dalam politik dan berakal kemetot, beranggapan saya mendapat faedah dari kerja itu. Dan tidak kurang juga ada mengatakan saya hanya suka berak atas pusu saja. Nauzubalilah himinazalik.
Sejarah dilalui oleh Ibrahim Ali cukup memberi pengalaman pahit dan menyebabkan timbulnya akal-akal begitu. Tetapi ada yang tahu dan faham erti siasah dan sepak terajangnya tidak membimbangkan, kerana saya kononnya hanya melakukan kerja berak atas pusu saja.
Mengenai Tamrin ini, ingin saya jelaskan di sini. Dan saya sudah perkatakan kepada beliau mengenai hal ini. Sebenaarnya tidak ada apa-apa lobi untuk Tamrin. Pemergian saya ke Kelantan bersamanya dan berjumpa Tokguru, bukan untuk menangih kerusi. Kalau tidak percaya tanya setiausaha politik Tokguru, Wan Nik Wan Yusuf yang ada bersama malahan beliaulah yang meraikan kami.
Kunjungan Tamrin semalam adalah kunjungan hormati Tamrin kepada tokguru, itu saja. Katanya, sejak dia menyertai Pas secara rasmi, dia tidak pernah berjumpa dengan Tokguru. Terkilan benar rasanya kerana lambat berbuat begitu.
Jadi kebetulan dia berada di Kelantan untuk berceramah di beberapa buah tempat, dan kebetulan pula bersama saya, dia ingin mengunjungi Tokguru. Sebenarnya juga maksud atau hasrat dia hendak berjumpa dengan Tokguru diuruskan oleh Wan Nik bukan saya. Saya hanya kekebetulan saja. Dan lagi, saya menyempatkan jua diri untuk bersamanya di Kelantan kerana telah beberapa kali beliau melahirkan kekesalan kepada saya kerana membiarkan dia bersendirian setelah dia menyertai Pas. "You datanglah sekali bersama saya..." begitulah rayunya.
Saya membuat penjelasan ini kerana sudah ada terdengar suara sumbangan bernada curiga dengan pemergian kami ke Kelantan semalam. Kononnya saya melobi untuk mendapatkan kerusi buat Tamrin. Tidak... tidak berlaku itu. Sejujurnya juga Tamrin sendiri mengakui dia menyertai Pas untuk membantu Pas dan kerana kagum dengan kepimpinan Tok Guru. Mungkin layanan dan kemesraan yang tok guru tunjukkan kepada ayahnya Tun Ghaffar sebelum ini menjadikan hatinya lebur dengan tok guru.
Lebih melankolik lagi Tamrin mahu menebus dosa-dosanya bersama Umno sebelum ini. Tidak tahu pula saya apakah dosanya terhadap Pas semasa beliau bersama Umno dulu.
Dan bercakap fasal layanan Tok Guru kepada Allahyarham Tun Ghaffar, tok guru bukan meraikannya semasa Pak Ghaffar datang ke pejabat, tetapi semasa Ghaffar terbaring sakit di hospital juga tok guru datang menjenguknya.
Saya sudah berbicara dari hati ke hati dengannya. Dia tidak mahu bertanding dalam pilihan raya. "Saya hendak membantu Pas, Sayuti.. dengan pengalaman yang ada sedikit kepada saya, serta sisa-sisa usia yang ada, saya sudah 63 tahun, inysaAllah memberi manfaat kepada Pas dan saya sempat bertaubat," begitulah katanya penuh jujur.
Katanya lagi, dia rasa tidak perlu bertanding kerana kalau sesiapa ikhlas untuk membantu Pas dan perjuangan Islam tanpa kedudukan dan jawatan pun boleh. Yang penting ujarnya kita ikhlas, itu saja.
Dalam percakapan dengannya sebelum ini, bekas Exco Pemuda Umno Malaysia itu juga menjelaskan kalau setakat hendak jadi wakil rakyat, tidak ada perlunya. "Saya sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat, dua di Parlimen sepenggal di Dun Melaka, jadi sudah cukup.." tegasnya.
Saya berbesar hati mendengar penjelasan itu dan saya percaya dengan apa yang dinyatakan. Saya cuba juga acahnya beberapa kali, tetapi Tamrin tetap dengan keputusannya. "Saya hanya mahu melihat Umno yang pernah saya kenali yang ada segala macam sampah didalamnya, tumbang... itu saja. Dan kalau diizinkan Allah biarlah Pas bersama rakannya mentadbir negara ini dengan baik. Itu saja tujuan penglibatan saya bukan apa-apa." Kata Tamrin itu saya rasa ianya bersih.
Saya berpegang kepada kata-katanya itu, serta yakin beliau ikhlas bersama Pas. Dan keikhlasan itu semakin nyata apabila beliau tidak mahu bertanding dan mahu kekal sebagai penyumbang untuk kemenangan Islam dan Pas saja. Sebenarnya pilihan beliau untuk bersama Pas juga tepat kerana Paslah yang boleh mengenalkan dia perjuangan Islam sebenarnya dalam konteks politik di negara ini.
"Saya tengok berbeza orang Pas dengan orang Umno Sayuti, banyak bezanya dan ia seperti bumi dengan langit. Sejujurnya saya bagi tahu you walaupun berada dalam Pas saya tidak semewah dahulu, tetapi hati saya tenang, jiwa rasa damai...bahagia, " luahnya sebaik saja selesai mendirikan solat jamak Maghrib dengan Isyak malam tadi.
Jadi pemergian saya bersama Tamrin ke Kelantan semalam dan berkesempatan pula berjumpa dengan Tokguru, usahlah dicurigai dan disalah anggap. Kemasukan dan penyertaan Tamrin ke dalam Pas tidak sama dengan kebersamaan Inchek Ibrahim Ali dengan Pas satu masa dahulu dan begitu juga dengan kebaikan si mulut berair Zaid Ibrahim terhadap Nik Aziz sebelum ini, di mana baik itu ada udang di sebalik batu.
Sekali lagi saya menegaskan bahawa Tamrin tidak bertanding di mana-mana kerusi dalam pilihan raya akan datang, jadi usah risau dan Umno terutamanya tidak perlu bimbang. Namun Umno harus berwaspada dan gerun kerana Tamrin akan pusing seluruh Malay berkempen untuk Pas dan Pakatan Rakyat kali ini. Taufik dan hidayah yang diterima Tamrin hendaklah disambut dengan rasa syukur dan sujud dalam kepada Allah oleh semua pihak.
Saya juga menganjurkan kepada mana-mana ahli Umno yang baru berhijrah dan baru mengenakan kopiah atas kepala tirulah atau ambillah azam seperti mana Tamrin Ghaffar ini. [wm.kl.7:13 pm 10/11/12]
No comments:
Post a Comment