TUNJAHAN MINDA
Bukan senang untuk mendisiplin orang politik tidak kira dari relong mana. Mulut orang politik lebih luas dari mulut tempayan dan buasnya lebih lasak dari anak lembu belum baligh. Untuk menang mereka akan melakukan apa saja. Apa lagi politik yang diamalkan di Malaysia ini (politik demokrasi sekular), menyebabkan sesuatu yang mereka lakukan walaupun bersalahan dengan adat dan agama tidak menjadi masalah.
Dalam dunia politik yang haram pun boleh dihalalkan dan yang halal pula boleh diharamkan.
Sebab itu jika diperhatikan orang politik akan mempolitikan apa saja. Politik kita ada stail tersendiri kerana kita tidak terikat dengan mana-mana terma politik, tetapi bebas dengan terma yang kita cipta sendiri; boleh berbohong, boleh memfitnah dan boleh menggunakan apa saja isu. Rukun 4C - (Publisiti, manipulasi, kontroversi dan hipokrasi), tetap praktikal dan valid dalam politik kita.
Isu-isu bersifat personal dan sensitif seperti agama, budaya, bahasa dan sebagainya sepatut tidak dibangkit kerana ia boleh menimbulkan keburukan dan mudarat, tetapi ia seakan tidak dipedulikan langsung asalkan ia dikira memberi keuntungan dan laba. Malahan isu-isu pula menjadi kegeraman semua ke belakangan ini. Seolah-olah ahli politik kita semuanya tidak bermoral dan sudah tidak mementingkan soal integriti dan moral lagi.
Kerencaman dan 'kebuasan' orang politik ini menjadi lebih teruk lagi apabila media massa yang menjadi alat dan saluran melaporkan kegiatan orang politik juga tidak berdisiplin atau tidak bertanggungjawab terhadap peranan mereka sewajarnya. Media massa yang seharusnya bertanggungjawab tidak bertindak sepertinya. Tanggungjawab sosial diabaikan begitu saja kerana mengejar meterialistik. Sikap dan perangai media massa juga sama dengan sikap dan perangai politician.
Kekalutan atau kurang kerbertanggungjawaban media ini bukan saja terkhusus kepada media massa PB tetapi media masa bebas yang lain juga termasuklah yang pro-oposisi dan blog. Kerana mengejar visitor atau pageview mereka sanggup menipulasikan laporan atau mempolimek isu-isu yang tidak sepatutnya secara rakus.
Kadang-kadang geluk politik kita menjadi riuh disebabkan campur tangan media massa atau media masa terlupa tanggungjawab dan amanah sosialnya. Adakalanya kenyataan orang politik seinci saja tetapi di make-up sampai sekaki dan sedepa. Inilah menimbulkan kekalutan.
Inilah masalahnya. Ambil saja contoh mengenai isu-isu agama, di mana isu ini tidak sepatutnya dijadikan isu politik dan terheret menjadi polimek berpanjangan. Ia patut disekat, tetapi kerana media massa tidak memahami akan bahaya isu ini maka ia dimainkan. Kenapa ia menjadi teruk apabila media, atau wartawan dan penulis yang mengambil isu itu sebagai subjek tidak memahami secara mendalam apa yang hendak dilapor dan diulaskan itu. Sebab itu berlaku kecelaruan. Isu yang sebesar tahi mata menjadi sebesar tahi gajah.
Tambahan lagi kalau media itu sendiri ada niat dan nawaitu untuk menimbulkan perpecahana dan keretakan maka ia menjadi lebih parah. Ada kalanya isu kecil saja dan dianggap perkara biasa tetapi disebabkan ia dipolis dan dipolimekkan oleh media ia menjadi besar dan kadang-kadang menjadi masalah kepada negara dan bangsa.
Di sini kita tidak mengira media massa itu sengaja atau tidak mahu mensensasikan isu agar mereka mendapat perhatian, tetapi jika diamat-amati ada sesetengah laporan atau 'penimbulan' isu oleh media semasa disengajakan dengan motif tertentu. Selalunya dengan tujuan untuk melaga-laga dua pihak khasnya sesama Melayu di antara Pas dengan Umno. Saya berani mengatakan di samping mereka tampil memperjuang dan melaksanakan kebebasan tetapi secara senyap mereka ada agenda jahat.
Perkara ini tidak akan disedari jika tidak difahami dan dicungkil secara menghalus mengenai seni peperangan oleh media massa. Dalam masa media itu mendabik dada mereka terbuka dan mengamalkan kebebasan bersuara tetapi ianya terselit dengan nawaitu busuk untuk kepentingan mereka atau pihak yang disokongnya secara senyap.
Saya melihat fenomena ini sesuatu yang boleh memburukkan keadaan jika tidak dibatasi. Lama kelamaan ia akan menjadi barah. Mungkin orang politik atas sifatnya yang liar, culas dan mulutnya tidak boleh ditutup, maka tindakan lain wajar diambil. Misalnya media massa perlu mendisplinkan dirinya dan bersikap konstruktif dan bukan khianat. Media massa harus meletakkan diri mereka sebagai pengharmonian (pendamai) politik negara ini bukan mencarik robekkan.
Media harus juga didisiplinkan sebaik mungkin. Media juga bukan diberi kepercayaan kepada kebebasan bersuara, tetapi harus dipantau agenda tersembunyi yang cuba dibawanya. Bukan sukar untuk mengelakan isu-isu sensitif seperti agama misalnya untuk dipantau. Cukup kalau media massa memastikan setiap orang wartawan atau jornalisnya yang hendak menulis dan melaporkan mengenai agama pastinya ianya benar-benar faham mengenai sesuatu isu atau topik agama itu.
Wartawan mereka harus mengetahui ilmu agama dan tidak melaporkan secara 'harfiah' saja setiap apa dihemburkan oleh orang politik. Mungkin orang politik ada yang jahil mengenai agama dengan menjadikan agama sebagai alat untuk keuntungan mereka, disinilah wartawan yang bertanggungjawab dan berilmu akan menulis dan melapor dengan baik. Wartawan akan menjadi agen penjernihan keadaan atau bertindak sebagai orang ketiga menjadi pendamai jika ada dua pihak yang bergaduhan.
Seeloknya juga bagi memastikan isu-isu agama tidak terpesong dan menjadi polimek berpanjangan disebabkan salah lapor dan salah cakap oleh orang politik, setiap oragnaisasi media baik cetak atau maya mengadakan penasihat khas agama di dalam oraganisasi mereka. Orang ini yang arif dalam bidang agama dijadikan tempat merujuk oleh para wartawan apabila mereka berdepan dengan isu-isu agama yang agak komplikated.
Apabila ada penasihat ini, maka isu agama itu tidak akan dilapor dan ditulis secara 'gabas' secara sembrono mengikut fahaman mereka, tetapi ditulis mengikut lunas-lunas dan pemahaman yang sebenbarnya. Jika ini dilakukan maka tidak ada kekeliruan terhadap isu-isu agama yang dilaporkan.
Sekiranya oragnisasi media massa berat untuk menyediakan penasihat agama di tempat mereka, mungkin Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) boleh mengambil inisiatif untuk menyediakan pegawai-pegawai mereka di badan-badan agensi berkenaan. Tempatkan mereka disitu atau pun Jakim mengadakan Unit Khas mengenai agama untuk dijadikan tempat rujukan para wartawan khas mengenai isu agama. Unit khas ini pula mestilah cekap dalam memberi respon dan menghurai sesuatu permaslaahan kerana sifat berita dan maklumat itu perlu disegerakan.
Kalau ini wujud sudah pasti kekeliruan atau kejadian salah lapor dan salah tulis mengenai agama tidak akan berlaku. Sewajarnya juga kalau isu-isu sensitif seperti isu agama, bangsa, budaya dan peribadi diberikan perhatian. Media massa harus berdiri tegap atas falsafahnya sebagai perubahan masyarakat dari negatif kepada positif. Kalau media massa melupai akan falsafah itu, apa lagi ikut terbawa-bawa bermain dengan perkara-perkara negatif merosakkan bangsa, kewujudannya tidak memberi apa-apa makna sedikit pun. Sebaliknya kewujudan mereka bolehlah di anggap atas kehendak syaitan. [wm.kl.7:06 pm 13/11/12]
1 comment:
Secara teori dan idealnya itulah yang sepatutnya dilakukan oleh Media yang bertanggungjawab! Namun realiti di Malaysia dan tambahan pula di dalam persekitaran politik ala kampung dan dasar agak terkebelakang oleh penguasa dan yang menguasai media, menjadikan saranan tuan ibarat sesuatu yang utopia! Dengan sikap wartawan yang tak profesional dan kurang daya analisis serta 'berjiwa hamba'maka untuk melihat media sebagai 'medium pencerahan' bagi sesuatu isu adalah ibarat mimpi di siang hari.
Etika kewartawanan sangat jelas.Peranan wartawan juga sangat jelas.Selagi media massa samada cetak mahupun elektronik dikuasai oleh badan yang berkepentingan seperti UMNO atau apa sekalipun maka peranan sebagai pendamai dan alat pencerahan maklumat mustahil dapat dilaksanakan.Dalam konteks politik dan dasar pemerintah Malaysia hari ini, saranan tuan tentang peranan media massa adalah bersifat 'akademik' saja.
Untuk berperanan sebagai pendamai sesuatu isu atau kekalutan, media massa perlu berkecuali,wartawan perlu ada ketajaman fikiran dan ketua pengarang dan seluruh lembaga pengarahnya adalah mereka yang berani, amanah dan 'tak makan saman'.Ini semua sangat penting kerana melibatkan 'kewibawaan'. Bagaimana kekalutan atau sesuatu isu hendaklah dikendurkan kalau yang nak mendamaikan itu tidak punya kewibawaan?
Saranan tuan tentang mewujudkan pegawai agama misalnya dalam organisasi media sebenarnya telah lama ada. TV3/4 memang ada pegawai agama ,tetapi lihatlah apa yang berlaku? Elok je TV3/4 menjalankan peranan sebagai penyebar fitnah dan alat propaganda? Sudahnya pegawai agama banyak yang jadi 'terompah kayu' dan untuk baca doa sesuatu acara aje! Adalah sedikit tersasar jika kita mahu media massa berperanan sebagai pendamai kekalutan. Pada saat ini apa yang perlu disarankan ialah bagaimana cara dan kaedah terbaik untuk 'massa'membaca dan menerima serta menganalisa maklumat dari media. Cara penerimaan maklumat akan dengan sendirinya meredakan kekalutan.
Post a Comment