Sunday, December 23, 2012

Pas Perlu Istiqamah Dengan Formula Asal

KOREK AHAD                                                                                                        

Beberapa hari lalu presiden Pas Abdul Hadi Awang bersama timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din khabarnya telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pertemuan itu berlaku di Kota Bharu dan ia agak sulit. Pertemuan ini tidak terhidu oleh media massa PB, dan hanya kalangan tertentu saja menyedari akan pertemuan itu.  

Mungkin media melihat pertemuan itu biasa saja, rutin bila mana presiden mengunjungi Nik Aziz sebagai Mursyidul Am Pas dan juga Menteri Besar Kelantan. Namun apa jelasnya kunjungan itu bukan setakat itu saja. Mungkin ia adalah satu kunjungan mustahak, kerana kebiasaannya kalau ketiga sosok ini bertemu adalah perkara penting dibincangkan. 

Pimpinan-pimpinan lain seperti timbalan presiden, dan naib-naib presiden tidak sesuai ataupun padan kalau mereka hendak menyampaikan sesuatu yang besar kepada Nik Aziz? Muhamad Sabu, Sallahuddin Ayub, Mahfuz Omar atau Husam Musa sendiri tidak akan tergamak atau berani untuk mengemukakan apa-apa idea yang berat kepada Nik Aziz untuk dilakukan PAS. 


Mereka sangat malu atau serba salah untuk mengemukakan apa-apa pandangan kepada Nik Aziz apa lagi kalau perkara itu sudah dijelas beberapa kali. Nik Aziz seorang yang tegas dengan pendiriannya dan tidak mudah untuk diubah.

Lantas itu, selalunya Abdul Hadi dan Haron Din lah yang selalu menjadi duta menyampaikan apa-apa yang dianggap penting khususnya berhubung hala tuju parti. Walaupun dari segi usia mereka lebih muda dari Nik Aziz tetapi kedudukan mereka dalam hierarki parti adalah bertepatan kalau mereka yang memikul tugas berdepan dengan Nik Aziz. 

Jadi apakah mauduk pertemuan mereka bertiga tempoh hari? Apakah ia mengenai formula baru yang akan dilaksanakan? Atau pun apa? Inilah yang cuba diteka rahsianya dan dicari jawabannya? Mungkin ia adalah hal peribadi PAS. Tetapi kerana PAS itu sebuah parti politik besar, hal-hal peribadi begitu juga perlu diktehui bagi mengelakkan timbul kekeliruan di peringkatan bawahan.

Tidak dapat dielakkan pertemuan itu menimbulkan spekulasi. Spekulasi paling kuat diitmbulkan kononnya pertemuan itu mengenai senarai pilihan raya umum ke -13. Kononnya Abdul Hadi dan Haron Din datang untuk meminta pengesahan (tanda tangan) dari Nik Aziz terhadap senarai calon yang disediakan.

Apakah ini menjadi amalan PAS ke belakangan ini, bahawa Mursyidul Am PAS akan menanda tangani senarai nama-nama calon yang dipersetujui. Bukankah PAS telah ada jawatankuasa khas mengenai pemilihan calon. Tidakkah apabila jawatankuasa itu sudah sahkan, maka ia secara automatik nama-nama calon itu diterima?

Saya tidak fikir kalau kedatangan mereka itu tujuan utamanya untuk hendak mendapat restui nama-nama calon itu. Ataupun kalau itu dibawa atau dikemukakan ia hanya sampingan saja. Rasanya ada mauduk lain lagi yang lebih besar dari itu. Apakah gerangannya?

Dari maklumat satu sumber Nik Aziz katanya kurang senang dengan kehadiran Abdul Hadi bersama Dr Haron Din itu. Katanya, Nik Aziz selepas bersurai dari pertemuan itu tidak melepaskan senyuman seperti biasa. Menjadi kebiasaan Nik Aziz kalau sesuatu pertemuan itu menyenangkan beliau akan melemparkan senyuman bermadu. Serba sedikit saya memahami akan mantik Nik Aziz.

Sedikit sebanyak saya dapat mengagak apakah tujuan dan matlamat pertemuan itu. Biarlah saya rahsiakan dulu buat sementara. Tetapi apa yang hendak diperingatkan di sini PAS perlu istiqamah dengan pendirian dan pandangannya selama ini. PAS jangan ubah pendirian dalam menyokong Pakatan Rakyat apa lagi terikut dengan perkembangan-perkembangan terbaru yang sengaja direkakan oleh golongan tertentu yang niatnya hendak memecah belahkan PAS.

Apa yang penting kini baik PAS, PKR atau DAP ialah menghadapi pilihan raya secara bersepadu bagi memastikan UBN tumbang. Unsur-unsur baru yang cuba disebarkan atau menjadi propagnda UBN jangan dipedulikan. Kalau PAS menerima semua itu ia merbahaya kepada Pakatan rakyat seluruhnya. 

Apa yang dipersetiakan, dijanjikan selama ini hendaklah diteruskan. Jangan mengubah haluan dan nekad, nanti yang dikejar tidak dapat yang dikendur pula keciciran. [wm.kl.10:52 am 23/12/12]
Post a Comment