Wednesday, December 26, 2012

Bantuan Banjir Belum Sampai Di Kampung Naga?

SELANG MASA                                                                                             

Semalam saya ke Klang sampai ke Banting. Dalam perjalanan pulang melalui Jalan Kebun saya singgah di Kampung Naga untuk membeli telor itik dan ubi kayu. Telor itik sedap kalau digulai kuning bubuh kunyit. Masa singgah di rumah penjual telor itik, sempat bercakap sikit fasal politik semasa.

Penduduk di sebuah taman di situ adalah rata-rata penyokong Pakatan Rakyat. Bendera PAS dan PKR sampai dipacak atas bumbung. Saya tanya mereka siapa yang pacak, jawabnya tuan rumah masing-masing. Menurut penjual telor itik hanya seorang atau dua orang saja yang menyokong BN.

Baru-baru ini banjir melanda taman perumahan itu. Unitnya adalah dalam sekitar 100 lebih. Hampir semua rumah dimasuki air. Seperti biasalah orang politik di musim dekat pilihan raya jadi cerah mata dan rajin membuat tinjauan dan murah berjanji. Tidak terlupa wakil rakyat di kawasan itu juga turut datang meninjau keadaan rumah di taman itu.

Arahan dibuat agar semua rumah dilanda banjir mengisi borang permohonan untuk mendapat sedikit bantuan bagi membersih rumah masing-masing. Kerana disuruh maka mereka mengisi borang dan diserahkan kepada pejabat khidmat wakil rakyat berkenaan.

Malangnya sampai kini bantuan itu tidak sampai. Agak menyedihkan dua tiga orang penghuni yang menyokong Umno telah lama menerima bantuan. Mereka dibayar secara tunai dan tidak pun perlu mengisi apa-apa borang.

Salah seorang dari penduduk di situ menjelaskan, sebenarnya wang untuk bantuan itu tidak perlu pun kerana tak banyak kerugian kerana banjir itu. Tetapi apabila sudah berjanji apa lagi telah mengisi borang maka penduduk jadi tertunggu-tunggu.

Menurutnya juga masa orang UMNO bahagikan duit kerpada penyokong ada yang memanggilnya agar datang sama tetapi, dia tidak datang kerana tidak mahu terima wang UMNO.

Kerana keadaan itu (bergurau) saya cabar penduduk itu agar buang bendera PAS dan PKR atas bumbung itu ganti dengan UMNO, dengan bersemangat dijawab; tidak Encik kami bukan seperti Hassan Akidah, (aik)... kami berjuang ikhlas... kalau tak dapat wang pun kami tetap sokongan Pakatan Rakyat.

Saya teruja dengan jawaban itu dan merasakan betapa ikhlasnya dan besarnya jiwa mereka. Inilah selalu saya katakan sang semut kecil lebih baik dari gajah. Mereka menyokong perjuangan kerana kesedaran dan keikhlasan dan bukan kerana apa-apa.

Manusia marhain seperti inilah yang patut dipuji dan diberi sokongan dan peluang bukannya seperti manusia besar yang mengkhianati parti dan memburukkan perjuangan apabila kepentingan mereka terjejas. Harap wakil rakyat kawasan berkenaan akan melunasi segera bantuan untuk mereka, sebelum saya membuat tinjauan sekali lagi.

Ingat mereka bukan minta tetapi saya tolong menyampaikan. [wm.kl.10:20 am 26/12/12]
Post a Comment