SESUDAH SUBUH
Orang Islam atau orang Kelantan terkenal dengan sikap terbuka dan 'tasamuh' mereka di dalam politik. Mereka bersedia membuka pintu negeri mereka untuk didatangi sesiapa saja. Sikap keterbukaan ini menunjukkan keramahan orang Kelantan, atau sifat suka meraikan orang ini, baik tetamu atau perantau. Sebab itulah terdengar saja siulan si musafir di kejauhan, suri di dapur sudah menanakkan pulut untuk dihidangkan.
Kerana sikap inilah menyebabkan ada orang luar atau bukan anak Kelantan datang bertanding di Kelantan mencuba nasib untuk jadi wakil rakyat di negeri ini. Tidak perlu disebut nama-nama mereka satu persatu. Kehadiran mereka dan berjaya menjadi wakil rakyat adalah bukti jelas orang Kelantan (dalam hal ini Pas) sedia menerima orang luar dan bekerjasama dengan sesiapa saja.
Tetapi rasanya bukan baik kalau orang luar mengambil kesempatan atas keterbukaan orang Kelantan itu. Jangan salah digunakan sikap rendah diri orang Kelantan sewenengn-wenengnya. Sebaliknya hargai sifat rendah diri orang Kelantan selunaknya.
Bak kata orang tua-tua, orang memberi kita merasa, orang berbudi kita kena berjasa. Dan kenanglah kepada pulut ditanak untuk diberi makan kepada si dagang. Dan ingatlah juga orang Kelantan sama sekali tidak meracun musuh di dalam makanan, jauh sekali bertindak menikam musuh dari belakang kecuali saing sendiri yang melakukan kadas beris dan cas kenting sesama sendiri.
Kedatangan dua tiga orang Cina dari parti Gerakan dari Negeri Sembilan ke negeri ini dua tiga hari lepas dengan tujuan hendak menujuk gedebe dan mencabar Majlis Perbandaraan Kota Bharu (MPKR-BRI) berhubung Undang-Undang Kecil PBT terhadap salun rambut itu, rasanya tidak wajar. Tindakan mereka datang bergunting rambut secara terbuka dengan pendandan rambut wanita Cina itu tidak sepatutnya berlaku dan ia adalah sikap samseng dan aksi melampau.
Benar seperti kata Exco Kelantan Dr Mohd Fadzli Hassan, tindakan mereka itu mengilankan hati rakyat Kelantan dan kerajaan sendiri. Belum pernah berlaku sebelum ini ada orang luar yang datang mencabar secara terang-terang terhadap undang-undang dan rukun hidup rakyat negeri ini. Wajar kalau tindakan mereka dikatakan samseng atau lebih teruk dari itu. Orang yang tidak reti budaya dan cuba melakukan sesuatu yang kurang ajar di negeri orang lain patut dikenakan tindakan dan dikutuk.
Apa yang berlaku itu ia bukan satu provokasi yang baik dan merupakan sikap politik yang sihat dan tidak sepatutnya berlaku di negara ini yang masyarakatnya majmuk. Tindakan itu boleh menyebabkan berlaku sesuatu yang tidak baik. Tindakan Cina Gerakan Negeri Sembilan itu boleh difahami ia adalah bermotif politik. Tetapi cara berpolitik begitu adalah tidak baik kerana ia melampau.
Apa kata kalau ada orang Islam gila di Kelantan sewaktu mereka membuat cabaran itu? Di Kelantan ini kena beringat sedikit kerana ramai juga orang Islam gila yang sedia bangkit membela agama dan maruah mereka.
Seperti mana kata Cina itu tujuan mereka berbuat begitu mahu melihat sejauh mana kekuatan undang-undang kecil MPKB-BRI dalam membenteras maksiat atau dalam kata lainnya menyusuri perlembagaan negara. Dengan berbuat demikian - mendandan rambut, mereka berharap akan disaman oleh MPKB. Ekoran itu pula mereka akan membawa kes itu ke mahkamah dan mahu mahkamah membuat pengadilan sejauh mana benar dan betulnya undang-undang berkenaan.
Kalau itulah tujuannya, sebenarnya tidak payah datang ke Kelantan semta-mata untuk mencabar MPKB. Cina Gerakan itu boleh bawa kes yang berlaku sebelum ini ke mahkamah untuk menentukan sejauh mana kebal atau pun tidaknya undang-undang berkenaan. Bukankah sebelum ini MPKB sudah pun menyaman pekedai yang tidak mematuhi peraturannya? Ambil dan bawalah kes itu.
Geng gunting rambut itu tidak payah datang dan menunjuk berani dan henalan di Kota Bharu. Mereka boleh membuat kenyataan akhbar dari jauh saja mengenai isu berkenaan. Apabila mereka datang sendiri ke Kota Bharu menempuk dada dan membuat kenyataan berupa cabaran, ia adalah satu sikap biadap yang boleh ditafsirkan sebagai datang untuk menjual berani, dan perbuatan mereka itu sangat sensitif dan merbahaya kerana orang Kelantan adalah pembeli berani yang mewah.
Kita hendak tanya apakah yang mereka perjuangkan dengan tindakan itu? Apakah mereka hendak membela kelompok Cina yang ada dan hidup di Kelantan? Rasanya kalau itulah tujuannya ia tidak payah kerana kerajaan Kelantan memahami hakikat itu dan sudah lama menjaga kehidupan orang Cina. Orang Cina tidak akan lapar dan papa selama mereka bermukim di Kelantan kerana orang Kelantan sangat toleran berasaskan agama dan budaya mereka. Orang Kelantan tidak payah bagaimana untuk memberi makan kepada musafir sebab mereka sudah terbiasa sangat.
Apa lagi Pas sebagai parti Islam senantiasa mengambil berat kepada keadilan dan hak asasi manusia tanpa mengira warna kulit. Apa yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan ke atas rakyat kaum lain di negeri ini adalah jaminan seperti mana dituntut oleh Islam. Sejarah klasik bagaimana orang Kelantan begitu mesra dan baik dengan orang Cina, semasa berlaku peristiwa 13 Mei 1969 tidak ada setitik darah Cina di Kelantan yang menitis ke bumi, bahkan mereka dilindungi.
Dengan situasi dan keistimewaan itu apa lagi yang orang Cina Kelantan mahukan? Layanan seperti apa lagi yang diingini? Bukan tidak boleh bermain politik, tetapi jangan melampau. Bagaimana pun saya masih percaya Cina di Kelantan memahami apa yang diamal di negeri ini tetapi apa yang menajdi masalah Cina luar yang masih asing atau tidak pernah menikmati budu, ataupun mengenali apa itu kapak jangok.
Berdasarkan itu sepatutnya Geng Gunting Rambut memahami kenapa MPKB-BRI menggubal undang-undang kecil berkenaan. Ia adalah untuk kebaikan dan sama sekali tidak ada niat untuk menganiaya dan berlaku kejam kepada sesiapa. Mudahnya kalau mereka 'bereng' sangat mereka boleh mengajak mana-mana Cina yang tidak betah untuk tinggal dan cari makan di negeri ini kerana kongkong undang-undang dan sebagainya, bawa mereka nyah ke negeri lain. Rasanya kita sedia menyiapkan tongkang.
Dalam hubungan ini kita ingin bertanya kepada Dewan Himpunan Pas (DHP) yang diketuai oleh Cina Kelantan, kenapa tidak memberi pencerahan kepada geng gunting rambut berkenaan. Mereka tidak sepatutnya membiarkan geng itu datang membuat kacau di negeri ini. Hu Pang Chau seharusnya bertanggungjawab memberi penjelasan. Apakah Pang Chau juga masih berfahaman dan penuh dengan sentimen seperti geng gunting rambut itu?
Sedikit memusykilkan dengan sikap dewan himpunan Pas ini. Mereka mengakui sebagai dewan yang menyokong perjuangan dan kerajaan Pas, tetapi dalam masa sama kadang-kadang menjadi penyala api kepada isu-isu tertentu khasnya berkaitan dengan orang Cina. Kalau beginilah cartanya dengan himpunan berkenaan tidak memberi manfaat langsung kepada kerajaan dalam konteks ini.
Mengenai sikap samseng geng gunting rambut dari Negeri Sembilan itu, mereka perlu memikir kembali kewajaran tindakan mereka. Mereka jangan bertindak lebih sudu dari kuah. Kalau pun ianya dalam wap politik, tetapi jangan wap itu bertukar menjadi bau racun yang boleh menimbulkan suasana yang tidak baik. Mereka kena ingat di Kelantan ini hanya satu kerusi saja yang mana kemungkinan orang Cina boleh menang, manakala 44 kerusi lagi ada majoriti Melayu.
Cara mereka lakukan itu tidak akan memberi benefit kepada rakan mereka Umno. Sebaliknya Umno juga akan terkena tempias bila mana orang akan menganggap kerja geng gunting rambut itu adalah kerja yang disuruh oleh Umno. Persepsi ini tidak boleh dielakkan sebab Gerakan adalah rakan nombor tiga utama kepada Umno.
Selain itu juga dan ini penting, apa yang kena difahami tindakan mereka itu bukan saja mencabar MPKB-BRI dan Pas, tetapi ia mencabar seluruh rakyat Kelantan dan orang Islam yang berada di Kelantan. Orang Kelantan yang selama ini dikenali sebagai orang yang kuat beragama, tentu merasakan kurang enak dengan tindak demikian.
Geng gunting rambut kena memahami perangai dan sikap orang Kelantan. Jangan mereka fikir di sini ada Umno, ada MCA dan Gerakan mereka mengira tindakan mereka disokong. Apa juga keadaan atau suasana yang menyentuh soal sensitivi orang Melayu, seperti agama, adat resam dan budaya mereka boleh bersatu. Orang Kelantan boleh bergaduh mengenai politik tetapi kalau hak mereka disentuh mereka akan bersatu.
Saya percaya orang Umno Kelantan juga terkilan dan marah dengan apa dilakukan geng gunting rambut berkenaan. Setahu saya tidak ada kenyataan dari mana-mana pihak dalam Umno yang menyokong perbuatan dua tiga orang sengket Cina Negeri Sembilan itu. Mereka (orang Umno) diam bermakna menyokong perbuatan itu, tetapi mereka sedang memerhati apa yang akan berlaku seterusnya.
Makanya sebelum terjadi sesuatu yang buruk, isu kedai gunting dan tindakan secara samseng dan 'gedebe' itu dan begitu juga isu tuduhan penguatkuasa MPKB kejam kerana menangkap Cina yang sedang melakukan perbuatan meloyakan di dalam kereta hendak dihentikan. Jangan cuba bermain api di Kelantan, sebab kalau ia terbakar nanti buruk padahnya.
Saya cukup bimbang kalau kedatangan geng gunting rambut sekali lagi dengan jumlah yang ramai, seperti mana dijanjikan, meraka akan disambut bukan dengan pulut tetapi akan dinanti dengan penumbuk. Tidak mustahil ia akan berlaku. Makanya elok semua pihak berusaha menghindarinya.
Elok kalau rakan Gerakan seperti MCA dan Umno menasihati dan memastikan kejadian nak tunjuk gedebe ini tidak akan berlaku. Presiden Umno Najib Razak perlu menegur rakan BN itu. Manakala Mustapa Mohamed juga elok kalau ikut sama memberi tunjuk ajar kepada Gerakan serta memberi tahu bagaimana mengenai warna politik di Kelantan, sikap orang Kelantan yang boleh jadi baik dan boleh juga jadi huduh. Orang Kelantan ada fiil perangainya sendiri.
Ini penting kerana sedikit sebanyak tindakan Gerakan yang dibuat atas tujuan membela peniaga Cina itu ia akan memberi kesan buruk kepada Umno sendiri. Politik selalunya ditafsir dengan berbagai tafsiran yang dirujuk kepada pelbagai kitab. Ini pun bila Umno tidak menegur perbuatan biadap itu menyebabkan sudah ada dalam fikiran orang, geng gunting rambut itu datangan mungkin kerana Umno yang bagi idea?
Terlanjur berbicara isu saya juga hendak mengulas sedikit berhubung tindakan kerajaan Kelantan yang mengarahkan MPKR-BRI menangguhkan sementara pelaksanaan undang-undang kecil yang sedang menjadi polimek ketika ini. Apakah wajar MPKR mengambil tindakan demikian? Bukankah ia menjejaskan kredibiliti bandaran itu sendiri? Apakah apabila ada orang mengkritik atas tujuan komersial dan politik maka kita kena akur begitu saja?
Dibimbangi kalau sikap bertolak ansur seperti ini diambil dan dijadikan praktis lama kelamaan apa-apa undang-undang dan peraturan yang berunsurkan nilai-nilai Islam yang digubal akan dipertikaikan dan natijahnya ia tidak dapat dilaksanakan. Dalam apa juga keadaan kerajaan Kelantan harus tegas dan berani. Mengenai pelaksanaan peraturan Islam ini jangan sesekali mudah cair disebabkan kerana apa-apa kepentingan termasuk politik. Apa yang perlu dipentingkan setiap tindakan itu mesti mendapat keredhaan Allah bukan kesenangan manusia. Sebab yang bersifat khadimnya adalah Allah s.w.t. [kb.kel. 7:30 15/12/12]
1 comment:
Sebagai seorang rakyat keturunan Cina, saya amat kesal dengan sikap 'Cina Gerakan NS' tersebut...memang tak patut berbuat bergitu.
Post a Comment