RENUNGAN MALAM
Semua orang patut bersetuju dengan pandangan salah sekor (pinjam istilah Najib) Naib Presiden Umno, Shafie Afdal yang mengatakan tidak baik bagi kerajaan sekiranya pembangkang kuat di parlimen.
Katanya walaupun ada tanggapan pembangkang yang kuat akan mewujudkan keadaan check and balance tetapi ia akan menjadi masalah kepada kerajaan dan rakyat Malaysia. Apa yang cuba diketengahkan Shafei biarlah kerusi pembangkang di parlimen sekitar 1/3 saja.
Apabila pembangkang kuat seperti hari ini ia menyebabkan kerajaan tidak dapat hendak membuat dasar atau polisi baru yang membabitkan persetujuan di parlimen. Apa lagi bila ia memerlukan pindaan perlembagaan, apabila kerajaan tidak mendapat majoriti 2/3 ia menyulitkan.
Kerajaan yang gagal mendapat majoriti 2/3 juga dianggap sebagai lemah dan tipis.
Hendaknya pandangan Shafei Afdal itu tidak mudah ditolak, sebalik perlu dijadikan panduan di dalam memilih kerajaan akan datang. Para pengundi harus menyematkan di kepala peringatan demikian. Mungkin Shafei sudah memahami bahawa Pakatan Rakyat akan memerintah selepas pilihan raya akan datang, dan biarlah kerajaan itu tidak terjadi seperti kerajaan UBN pada masa ini.
Jadi demi melancarkan kerajaan baru itu, biarlah pembangkang berada di bawah 50 kerusi saja di parlimen. Kerusi sebanyak itu sudah cukup untuk meninggalkan benih buat Umno yang kini menjadi tunggak kepada kerajaan UBN. Umno tidak boleh dilupuskan sama sekali kerana parti itu perlu berada di parlimen untuk menjadi pembangkang tukang semak dan pengimbang.
Memahami peringatan dan hasrat Shafei itu ia seolah menunjukkan naib presiden itu sudah menyedari senario dan hakikat politik hari ini; bahawa Umno sudah siap sedia untuk membungkus diri. Ini juga ada hubungan dengan maklumat yang diperolehi Naib Presiden Pas Husam Musa yang mendapat tahu bahawa kemampuan BN hari ini sekitar 80 kerusi saja.
Husam begitu yakin dengan angka itu dan berpandangan peralihan kuasa dari BN kepada PR kini dinanti dengan penuh minat oleh rakyat. Tanpa menyebut apakah tanda-tanda dan isyaratnya diyakini Husam ada rahsia besar yang diperolehinya.
Dengan figure itu ini bermakna PR akan memperolehi 142 kerusi. Jumlah itu tidak menyelesakan kerajaan PR bakal dibentuk nanti maka adalah munasabah kalau pengundi mengambil kira pandangan diberikan Shafei tadi, iaitu perlu memastikan kerajaan Pakatan kuat. Bagi menyelesakan kedudukan kerajaan Pakatan akan datang, BN hanya perlu diberikan sekitar 55 dan 65 kerusi sahaja.
Terima kasih kepada Shafei Afadal kerana memberi pandangan dan isyarat itu. Apakah beliau juga bakal menjadi 'nomad' politik selepas pilihan raya akan datang? Ada terdengar desas desus itu dari puncak gunung Kinabalu. Tunggulah perkembangan selanjutnya dari masa ke semasa. [wm.kl.7:14 pm 18/12/12]
No comments:
Post a Comment