Tuesday, December 25, 2012

Komisyen Jual Tanah YIK Dibawa Dalam Guni?

SEPANDAI TUPAI                                                                                                             
      
Seronok juga mengikuti kronologi macam mana tanah tumpah negeri Kelantan seluas 10,526 hektar yang terletak di Gua Musang bertukar tangan kepada syarikat bukan milik anak Kelantan. Ia adalah satu dramatik yang penuh dengan kelicitan. Apakah kronologi mengenai tanah ini adalah satu plot kekal yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan dalam proses memberi atau menjual hak milik Kelantan untuk menambah perbendaharaan negeri dan 'kocek-kocek' orang tertentu?

Ngeh: Ngau beli tanah tetapi bukan ada rasuah.
Walaupun kisah tanah seluas 10,526 hektar ini ia dipenuhi dengan fintah dan pembohongan bertujuan untuk memburukkan MB Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, tetapi dengan pendedahan senario yang berlaku disekitarnya ada hikmah dan kebaikannya. Setidak-tidak buat saya akan mengingati apa yang pernah saya ketahui kira-kira 10 tahun lalu.

Sebelum saya membangkitkan semula apa yang saya diberitahu oleh seseorang itu, elok kalau saya paparkan semula kronologi tanah berkenaan yang kini telah jatuh ke tangan bekas Pengerusi DAP Perak, Ngeh Khoo Ham dan Nga Kor Ming menerusi satu transisi yang sering berlaku yang kononnya ada unsur rasuah.



Bagaimana pun Ngeh yang didakwa menerima anugerah tanah itu, menafikan yang beliau mendapat tanah itu secara percuma seperti mana dibangkitkan. Sebaliknya apa dijelaskan beliau mendapat tanah itu menerusi pembelian tander terbuka. Tidak timbul sama sekali beliau diberi tanah berkenaan oleh MB Kelantan atas pertukaran atau imbuhan jawatan MB Perak hendaklah diberikan kepada orang PAS (Nizar Jamaluddin).

Menurutnya tanah itu dibeli menerusi tander awam yang dilakukan ke atas tanah berkenaan. Sudah tentulah ia mengikut prosuder tertentu dan pembelian itu sangat berhati-hati agar tidak timbul masalah. Ngeh adalah orang DAP di mana orang DAP sangat berdisiplin dalam menjaga hal-hal peribadi untuk tidak menyusahkan parti. Bagi saya, pembelian itu tidak meragukan dan tiada unsur penyelewengan dan salah guna kuasa dalam penjualan itu terutama dipihak YIK.

Cuma apa yang hendak saya persoalkan di sini, apakah orang luar Kelantan sudah boleh memiliki tanah di Kelantan? Bukankah tanah Kelantan tidak boleh dibeli dengan mudah oleh orang luar Kelantan dan memerlukan satu kelulusan khas exco? Apakah pihak exco (MKK) telah meluluskan pembelian ini? Kalau ada kelonggaran ini atas dasar pelaburan atau menjaga kewangan negeri hendaknya syarat-syarat ketat yang menjadikan Kelantan sebuah negeri unik dalam pengurusan tanah hendaklah dikekalkan.

Berikut adalah kronologi transisi tanah tersebut seperti mana yang dijelaskan oleh Ngeh yang dilaporkan dalam protal berita. Kronologi ini menunjukkan pengaliran atau perjalanan bagaimana tanah itu akhirnya masuk ke dalam genggaman Ngeh dan rakannya Nga.

Pada 13 September 2000, kerajaan Kelantan meluluskan tanah itu kepada Yayasan Islam Kelantan (YIP). Manakala pada Disember tahun itu juga tanah itu diluluskan kepada sebuah syarikat untuk dibangunkan tetapi ianya gagal, ini menyebabkan YIK mengambil balik pada 18 Ogos 2004.

Selepas pengambilan semula oleh YIK itu, pada 28 Ogos 2005, YIK menyerahkan tanah itu kepada Upayapadu Plantation untuk dimajukan. Perjanjian mengenainya ditandatangani pada 3 Mei 2006. Elok juga kalau didedahkan siapakah pemilik sebenar syarikat Upayapadu Plantation ini.

Malangnya syarikat Upayapadu Plantation tidak berjaya membangun projek itu dan pemegang sahamnya memutuskan untuk menjual tanah berkenaan. Ekoran itu Ngeh dan beberapa rakan pelabur memberi syarikat itu (Upayapadu Plantation) pada April 2012.

Di sini saya tidak mahu menimbulkan apakah penjualan atau pertukaran milik tanah itu ada usur rasuah atau sebaliknya. Namun apa yang jelas di sini bahawa pihak YIK telah melalukan dua kali 'transaksi' ke atas tanah berkenaan dan sudah tentu setiap kali berlaku transaksi itu yayasan berkenaan mendapat dua kali bayaran. Kali pertama ialah apabila ia menyerahkan kepada sebuah syariat untuk dimajukan, kedua apabila ia menyerahkan kepada Upayapadu Plantation.

Barang kali untuk berlaku telus wajar juga kalau YIK menjelaskan berapakah nilai yang diterima dari dua transisi itu. Adapun transisi atau penjualan tanah itu oleh Upayapadu Plantation kepada syarikat milik Ngeh dari DAP itu, YIK kemungkinan tidak menerima apa-apa bayaran lagi?

Umum tahu peganugerahan tanah seperti itu kepada syarikat berpentingan dengan kerajaan negeri dan agensi lain adalah perkara ghalib. Ia bukan saja dilakukan di zaman Nik Abdul Aziz Nik Mat jadi MB tetapi sejak zaman Muhamamd Yaacob (UBN) lagi yang mewarisi dari zaman Mohd Asri Muda. Perkara ini bukan saja berlaku di Kelantan negeri yang dinafikan hak dan miskin, tetapi di negeri-negeri lain yang kaya raya juga termasuk Selangor, Melaka dan Johor.

Bahkan apa yang berlaku di negeri itu lebih dahsyat lagi kerana syarat-syarat pemilikan jauh lebih longgar berbanding dengan syarat pemilikan tanah di Kelantan.

Dalam pada itu bukan saja YIK yang mendapat anugerah begitu tetapi agensi dan institusi lain juga. Ini termasuklah PKINK, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), hatta pihak-pihak tertentu di Istana Kelantan juga mendapat anugerah yang sama. Tanah yang diberikan kepada mereka bukan satu atau dua hektar tetapi ribuan hektar dengan nilainya beratus juta ringgit.

Seperti dikatakan tadi di sini saya tidak mahu pertikaikan pemilikan tanah oleh Ngeh itu atau pun mencari apakah benar berlaku rasuah atau tidak. Sebab saya yakin setaus peratus bukan orang seperti Nik Aziz untuk melakukan rasuah seperti itu. Dan bagi orang yang faham mengenai perlembagaan tubuh kerajaan Perak juga memahami dan tahu bahawa rasuah itu tidak akan berlaku atas tujuan itu (jawatan MB) kerana ahli DAP tidak boleh menjadi MB Perak kerana dihalang oleh perlembagaan.

Jadi tidak ada kemunasabahan kalau Nik Aziz memberi rasuah untuk tujuan berkenaan. Lagi pun pembelian tanah itu oleh Ngeh berlaku pada tahun 2012 selepas MB Perak dari PAS itu sudah pun tidak lagi berada di kerusi berkenaan. Realiti inilah menolak kekarutan tuduhan tanah itu ditukar dengan jawatan MB Perak.

Sebaliknya apa yang hendak saya kenang di sini ialah pada satu peritiwa yang berlaku kira-kira 10 tahun lalu mengenai ada seseorang kakitangan YIK yang tiba-tiba menjadi kaya raya. Beliau dikatakan telah diarah untuk menjual tanah milik YIK yang didalamnya mempunyai balak. Penjualan itu dilakukan bersama seorang agen yang isterinya berkerja di sebuah jabatan kerajaan Persekutuan di Kota Bharu.

Pegawai YIK berkenaan dikatakan meminta rakan kongsi itu mencari pembeli. Seorang taukeh Cina ditemui dan telah bersetuju membeli tanah berkenaan. Menurut sang yang bercerita, pegawai YIK berkenaan bersama rakannya (broker) menerima sejumlah wang hasil penjualan tanah berkenaan. Lokasi pembayaran komisyen untuk kedua mereka dilakukan di hotel Riverview di pinggir Sungai Kelantan. Katanya pembayaran itu secara tunai dan wang dibawa dalam guni.

Seperti mana dituturkan dan kononnya diakui sendiri dari broker berkenaan, beliau dan pegawai YIK berkenaan masing-masing menerima RM1 juta seorang. Untuk catatan orang yang menjadi broker itu pernah makan pulut pagi di rumah saya dan tidak menafikan apa yang diperolehinya.

Yang menggaru-garukan kepala saya kini apakah tanah YIK yang dijual itu adalah tanah yang menjadi isu sekarang ini? Ini kerana ia ada persamaan dengan cerita yang dituturkan itu; taukeh yang membeli tanah itu juga berasal dari Kuantan dan seorang Cina.

Mungkin apa yang saya tulis ini satu spekluasi dan andaian. Namun ia tetap ada fakta dan sandaran yang jelas dan boleh dibuka kertas disiasat. Tidak beberapa tahun selepas peristiwa itu pegawai YIK berkenaan diberhentikan. Pemberhentiannya menjadi persoalan. Beliau juga diberitakan membina sebuah rumah mewah di kampungnya. Manakala rakan broker berkenaan membeli dua lot rumah kedai terletak di Machang.

Sekiranya YIK atau mana-mana pihak berminat untuk menyiasat kejadian ini saya sedia memberi kerjasama dan maklumat setakat saya diberi tahu. Apakah kekayaan mengejut kedua orang ini ada sangkut paut dengan tanah yang kini sudah menjadi milik Ngeh yang dulunya dianugerahkan oleh kerajaan Kelantan kepada YIK itu atau pun ia sememangnya tanah lain?  [wm.kl.10:25 am 25/12/12]
Post a Comment