Sebelah pagi tadi dalam keadaan selesema sempat juga saya menyempatkan diri hadir di majlis pidato oleh bekas presiden Indonesia Bapak Prof. Ir Bacharuddin Jusuf Habibie di Universiti Industeri Selangor (Unisel). Saya pergi kerana ingin sangat mendengar pandangan beliau khasnya mengenai politik dan demokrasi kerana selalunya politik bangsa Indonesia itu lebih matang bersifat ilmiah dan rencam berani berbanding dengan politik Malaysia.
Habibie sedang menyampaikan pidato. |
Ini perlu dirasakan kerana dalam memahami politik dan demokrasi sebenarnya, kita masih lagi terikat dengan fahaman yang usang dan kolot lebih sentimen menurut acuan kita sendiri.
Juga diharap Habibie akan mencuplikkan sedikit mengenai tempoh pemerintahannya sebagai presiden, cubaan dan cabaran atau beberapa kesempatan yang beliau berjaya melakukan sebagai presiden berdasarkan aspriasi dirinya atau berdasarkan perwatakan beliau sebagai tokoh terkemuka dalam bidang teknologi dan engineering di Indonesia dan juga kehebatan dan kejayaannya dalam mengikut individu cendekiawan Indonesia menerusi Ngo bernama Ikatan Muslim Cendekiawan Indonesia (ICMI).
Saya percaya itulah juga diharapkan oleh orang-orang seperti saya dan sebahagian yang lain orang politik yang hadir termasuk, pemimpin gerakan Islam dan tokoh kemasyarakatan yang lain. Namun agak mengecewakan sedikit bukan itu yang dibawa oleh Habibie dalam bicaranya, toh soal-soal yang terseleweng dari itu dengan memasukkan sejarah peribadinya yang muncul sebagai seorang ahli teknologi terhebat di Indonesia yang berjaya menciptakan pesawat eksekutif buat Indonesia.
Begitu pun, apa yang sempat diluah dalam masa relatif singkat itu, kira-kira 1 jam 15 init sangat berguna dan bermanfaat khasnya kepada mereka yuang ingin membina diri untuk berjaya dalam apa jua bidang ditempohi. Boleh saya sifatkan pidato Habibie tadi mengenai pengukuhan diri, jati diri dan bukan pidato politik yang diharapkan, sebenarnya saya yg mengharapkan.Pidato motivasi untuk melakar dunia jaya.
Apa yang dapat saya kutipkan dari pidato beliau tadi, Habibie cuba membawa kesedaran kepada umum bahawa pintu kejayaan itu masih luas terbuka, ada ada rahsia untuk mencapainya. Sebagai seorang pengamal dan atau Islamis yang kuat, beliau tidak meninggalkan Tuhan Allah, mengatakan bahawa Tuhan memberi peluang sama banyak untuk manusia menciptajayakan kehidupan masing-masing. Di sini beliau cuba menjelaskan prinsip keterbukaan dan keadilan Allah s.w.t.
Misal tegasnya Tuhan memberi kita masa 24 jam sehari kepada semua tanpa kurang dan tanpa lebih. Dalam tempoh itu semua manusia menggunakan masa itu untuk melakukan apa saja mengenai dirnya. Tetapi apa yang cuba ditarik dan difikirkan, kenapa dalam tempoh yang sama itu, kejayaan atau kemampuan manusia menguruskan masa itu tidak sama nilainya. Dan kenapa keberhasilannya tidak sama?
Seorang itu hanya baru saja memikirkan soal sesuatu itu, manakala yang lain sudah memula menguruskannya dan yang seorang lagi mungkin tidak mengetahui bahkan dia melakukan perkara lain yang berbeza sama sekali. Bahkan ada yang sudah lama berjaya dan mencipta sejarah. Di sinilah menurutnya ianya terserah atas kebijaksanaan dan kepanjangan akal seseorang memanfaatkan masa atau modal yang diberikan sama banyak itu.
Mengenai keunggulan seseorang manusia, dalam konteks ini pemimpin, Habibie meletakkan tiga asas atau syarat utama untuk mencapai itu. Pertama, seseorang itu harus ada budaya, kedua memiliki anutan dan pegangan agama yang kemas. Dan ketiga tahu atau berilmu dan pandai menggunaan dan mengembangkannya.
Menurutnya budaya adalah sangat penting di dalam hidup, bahkan budaya itu sendiri lebih tua dan lama berbanding dengan agama. Budaya sudah berusia 200 ribu tahun berbanding dengan agama yang baru berusia lima ribu tahun. Mengenai Islam sangat menarik bagi saya, beliau menyebut Islam bukan boleh setakat enak berfilsafat, tetapi apa yang penting Islam itu perlu yakin di mana di sini menuntut beriman dan bertakwaan. Islam tidak boleh dianuti menerusi akal sebaliknya keyakinan, spiritual. (Mso).
Dalam kesempatan itu beliau ada menyentuh perihal pluralisme (tanpa menyebut dalam aspek apa) sepintas lalu. Katanya pluralisme adalah kekuatan dan bukan perpecahan. Barang kali beliau terdengar ada pihak yang mempertikaikan soal pluralisme mengenai Islam yang tersebut di negara ini dalam kekaburan, maka beliau turut menyentuhnya. Namun beliau tidak memanjangkannya.
Mungkin beliau sengaja menegaskan bahawa pluralisme itu agar mereka yang kabur mengenainya atau prejudis terhadap mauduk itu tetapi ingin mencalitkan kotor kepada seseorang dengan istilah itu, memahami perkara itu sebelum bercakap mengenainya. Saya rasa elok mana-mana kumpulan atau Ngo dan juga individu berjubah lusuh berdepan dengan Habibie untuk mendapat pencerahan bak bulan dan menteri mengenai isu ini darinya.
Dalam masa sedikit itu banyak yang menarik, kandati bukan politik yang diidamkan. Semasa beliau menceritakan mengenai sejarah hidupnya dipaparkan dalam sebuah akhbar asing semasa berlaku pemilihan presiden Amerika Syarikat di antara Barak Obama dengan Mitt Romney, secara tidak langsung Habibie ingin menunjukkan atau memberi pandauan menerusi pemaparan kisahnya itu bagaimana untuk memilih dan mencari seorang pemimpin negara yang baik dan berkualiti.
Dalam penjelasan secara lelucon dan ringkas itu dapat saya kutip, pemimpin itu mestilah yang berilmu, yang tahu melakukan perubahan dan komited dengan ilmu dan agamanya. Ertinya untuk mengangkat seseorang pemimpin bukan berdasarkan populis, keturunan (nepotisme) tetapi yang tahu dan mengerti untuk mentadbir dan memerintah serta sangat mempedulikan rakyat.
Secara jujur saya tidak pernah khatam mengenai biografi Habibie seperti mana saya mengulang-ulangi membaca biografi Soeharto dan Soekarno, tetapi dari apa yang dicerminkan pagi tadi, mengenalkan saya kepada beliau seorang yang sedarhana, berprinsip, menghormati hak kebebasan manusia, sangat mempedulikan rakyat serta mengasihi keluarganya. Saya mengenali dan mengkagumi kehebatannya membina kapal terbang eksekutif sejak tahun 1982 lagi semasa berkelana mencari ilmu di Indonesia.
Peri tingginya keprihatinan kepada soal hak asasi dan keadilan, justeru itu sebaik saja selepas angkat sumpah memegang jawatan presiden, beliau mengarah pembebasan ribuan tahanan politik yang dibuat di zaman Soehurto dan memberi kebenaran untuk menerbitkan SIP - Surat Izin Penerbitan, atau KDN kalau di sini, untuk menerbit akhbar.
Sedikit mengecewakan majlis pagi tadi (kerana masa), menyebabkan beliau tidak bercerita panjang mengenai politik, demokrasi dan pemerintah khasnya satu perbandingan ringkas di anatara Malaysia dan Indonesia. Apa pun tanggapan negatif kita kepada Indoensia dalam beberapa perkara, namun bak perjuangan, nasionalis Indonesia adalah sifu kepada bangsa Melayu di sini.
Saya percaya bukan saja saya yang datang dengan beberapa soalan politik akhirnya pulang dengan persoalan tidak terungkai, tetapi tetamu lain juga mempunyai soalan sama untuk dikongsi dan dijawab oleh Pak Habibie tetapi hampa. Di harap lain kali ada pihak-pihak tertentu akan membawa lagi tokoh atau sosok seperti Habibie untuk kita berkonsultasi dan berintraksi dalam mengembangkan ilmu apa saja terutamanya teknologi dan politik, kerana dia relatif sudah merupakan seorang yang hebat.
Seperkara terkesan kepada saya, kurangnya kalangan ahli politik yang hadir pada majlis pagi tadi. Sepatutnya majlis itu bukan saja diramai mahasiaswa, pemimpin Ngo tetapi orang politik juga, terutamanya mereka yang kini sedang belajar membuntang baju kot untuk menjadi menteri. Mereka harus mampir menimba ilmu politik dari pengalaman dan sejarah seorang yang tersohor seperti Habibie itu.
Tampaknya perkara ini tidak dititik beratkan oleh ahli politik kita. Itu sebablah kebanyakan ahli politik kita terus telor diatas pentas dan kekeringan dengan idea-idea dan input politik yang berbobok dan mengkagumkan. Sikap dan sifat malas menimba ilmu ini seharusnya dinyahkan dari diri mereka yang ingin menjadi ahli politik.
Antara ahli politik yang tersambar di mata saya tadi ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Siti Mariah Mahmud, Ahli Exco Selangor, Yaakob Sapawi, Elizebeth Wong serta kawan seperjalanan saya Mohd Sobere Shafii. Tiada kepimpinan pemuda Pas yang hadir. Manakala MB Selangor Abdul Khalid Ibrahim hadir bertindak jadi pengucap alu-aluan manakala Anwar Ibrahim pula berucap memperkenalkan Habibie.
Sebaris mengenalkan saya kepada Habibie seperti disebut Anwar; sosok itu adalah seorang yang kuat beragama, berpuasa setiap Isnin dan Khamis, mampu berenang sejam sehari dan seorang pencinta wanita isterinya Ainun.
Dan sebaris amanat ayah Habibie kepadanya; sekira kamu mahu jadi pemimpin kamu jadilah seperti mata air yang boleh memberi kesuburan kepada bumi, mengembangkan bunga-bunga dan makhluk seluruhnya, dan jangan sesekali kamu jadi seperti mata air yang kotor dan beracun kerana ia akan mematikan semua orang dan makhluk.
Terima kasih kepada Unisel dan juga pihak pejabat Menteri Besar Selangor yang menganjurkan majlis berkenaan. [wm.kl.8:22 pm 06/12/12] * Maaflah catatan dalam keadaan kedua lubang hidung disumbat tisu.
No comments:
Post a Comment