Saya tidak mengenali secara mendalam mengenai dirinya dan siapa dia. Sering juga saya konfius apakah dia wakil rakyat atau tidak, dan selalu juga bertukar apakah dia orang PKR ataupun DAP. Yang saya tahu dia seorang yang mudah mesra dengan sesiapa saja. Wajah familiar dalam program-program besar Pakatan Rakyat.
Papan iklan Ng Swee Lim, ringkas dan tidak menunjukkan lagak. |
Sehinggalah semalam, baru saya mengenali lebih dekat sosok ini. Mengenali mengenai perjuangan dan kerajinannya dalam perjuangan. Dia yang saya maksudkan oleh Ng Swee Lim, 43 Adun Sekinchan Selangor. Ng begitulah panggil rakan-rakannya, dia merupakan wakil rakyat DAP kawasan Sekinchan. Memenangi kawasan itu dua penggal - 2004 dan 2008.
Menterjemahkan diri Ng dia seorang yang ringkas dan selamba saja. Kalau dia tidak menghulurkan kad namanya atau diberi tahu, orang tidak percaya bahawa dia wakil rakyat. Watak dan cara berbual seperti orang biasa, tidak ada belang dan rupa sebagai wakil rakyat. Wakil rakyat selalunya akan cuba seberapa boleh menunjukkan dirinya adalah wakil rakyat baik menerusi pakaian, gaya bercakap dan juga muncul di khalayak.
Begitu juga melihat kepada iklan-iklannya yang terpacak di sekitar pekan Sekinchan orang tidak menyangka dia wakil rakyat, tetapi akan menganggap dia adalah seorang petani muda yang sedang mempromosikan sawah padi di Sekinchan. Begitulah ringkasnya cara hidup Ng selaku wakil rakyat.
Semalam saya duduk semeja dan berdepan dengan Ng di sebuah meja makan di restoran eksotik di Sekinchan Selangor. Pertemuan itu tidak dirancang ia kebetulan saja. Saya diajak oleh bekas MP Jeli Apandi Mohamad untuk makan tengah hari. Dia bertanya saya, nak makan ikan tawar dengan budu atau makanan eksotik. Tentulah jawab saya masakan eksotik. Tanpa memberi tahu saya Apandi memandu menuju ke Sekinchan.
Sampai di Selayang Apandi menelefon seseorang. "YB.. apa khabar, ini sayalah Apandi Jeli.. bersama MSO, nak ke Sekinchan, dia nak makan rusa, la...," begitulah kata Apandi menjual murah nama saya menyebabkan saya terkejut. Kenapa harus jual nama saya? Saya tidak tahu YB mana dimaksudkan itu. Saya hanya dengar perbualan secara pandir saja walaupun di dalam hati terasa seronok.
Mendengar cara mereka berkomunikasi seakan ada masalah. Semacam YB itu tidak sempat kerana kesibukan tugas berjumpa rakyat. "Ok...ok... nanti saya sampai saya call balik,YB... terima kasih," Apandi mengakhir percakapan. Lepas itu baru saya tahu dengan siapa dia bercakap, rupa-rupanya YB Ng Swee Lim. Ketika itu juga wajah dan sosok Ng terbayang dalam mata saya. Saya cukup arif wajahnya kerana kerajinan dia turun ke KL bila ada acara demonstrasi.
Perjalanan untuk sampai ke Sekinchan menghadapi sedikit masalah, jalan jam. Ng menelefon bertanya kami sudah sampai di mana. Dia sudah sedia menanti di sebuah stesen minyak berhampiran dengan jarit (jalan) untuk menuju ke restoran dimaksudkan. Ruapnya dia membatalkan acaranya untuk berjumpa rakyat semata-mata menanti kedatangan kami. Apandi juga kenal rapat dengan Ng dan pernah membawa Ng berceramah di kawasannya di Jeli.
Menurut Apandi pendengar Melayu seronok mengikut ceramah Ng kerana beliau pandai bergurau dan tentulah juga kerana sesekali beliau menyelitkan perkataan Jawa yang mana orang Melayu sendiri tidak berapa memahaminya. Ada cerita kenapa Ng fasih berbahasa Jawa. Nanti saya ceritakan kemudian.
Ng ketika melayani kami makan di restoran eksotik. |
Saya teruja dengan YB bertubuh gempal dan dengan ketinggian sedarhana ini. Rupanya dia wakil rakyat DAP yang telah melalui berbagai rintangan sebelum berjaya di tempatnya kini. Ng bukan seorang hebat mana dari segi profesyennya. Dia bukan peguam, guru sekolah atau doktor. Ng hanya seorang rakyat cina berbahasa Cina biasa saja di Selangor. Kehidupan masa kecilnya agak tragis kerana terpaksa menjadi pembungkus air di kedai seorang Jawa untuk hidup.
"Saya orang susah, dan duduk pula dalam masyarakat Jawa di Kapar. Jadi untuk tambah pendapatan keluarga terpaksa membantu seorang pakcik Jawa menjual air. Kerja saya bungkus air saja," ceritanya sambil tidak habis-habis menyuruh saya merasai segala makanan dalam hidangan.
Biasalah keadaan itu beliau diejek dan dihina ataupun dipersendakan, maklumlah anak Cina menjadi pembantu orang Jawa. Namun beliau tidak menghiraukan segala macam penghinaan itu. Bahkan kata dia anggap sebagai cabaran buatnya. Ternyata apa yang berlaku itu ada hikmahnya, dari kerja dan pergaulan serta mengenali budaya orang Jawa itulah menyebabkan dia fasih berbahasa Jawa dan bermanfaat pula untuk kerjayanya hari ini.
Hari ini kalau Ng memasuki ke kampung Jawa dia tidak berbahasa Melayu sebaliknya berbahasa Jawa. Katanya bahasa Jawanya pula sangat baik.
Ng pertama kali bertanding di kerusi Sekinchan atas tikit DAP pada tahun 1998. Percubaan pertama beliau itu tidak membuahkan hasil. Dia kalah ditangan calon MCA dengan majoriti besar juga. Namun itu tidak menghalang cita-citanya dan menawarkan semangat untuk terus menjadi pemimpin kecil. Mungkin Ng menyedari untuk mencapai cita-citanya menjadi pemimpin, membangunkan masa depannya satu-satu jalan ialah menjadi pemimpin - wakil rakyat. Disebabkan dia sedar beliau tidak mempunyai latar belakang pendidikan profesional, maka dia harus menguasi dari aspek lain.
Tahun 2004 dia mencuba nasib sekali lagi. Percubaan kedua ini berjaya. Ng mengalahkan calon MCA dengan majoriti 344. Kejayaan Ng tahun 2004 ini menyebabkan namanya mula terukir dan menjadi sebutan. Paling mengejutkan beliau boleh menang dalam keadaan UBN ketika itu kuat. PIlihan raya 2004 hanya dua orang saja calon DAP menang antara beliau.
Mencerita macam mana beliau boleh bangkit tahun 2004 ia resipi yang sangat menarik. Ng mempelajar dan membuat postmortem dari kekalahan itu. Beliau sedar beliau kalah kerana orang Cina tidak mengundi beliau. MCA ada 7,000 ahli di Sekinchan sedangkan partinya tidak mempunyai ramai ahli. Dia juga faham bahawa orang Melayu tidak mudah menyokongnya. Jadi jalan terbaik beliau perlu memberi kesedaran kepada orang Cina.
Orang Cina yang terpengaruh dengan momokan dan propaganda Umno yang memburukkan kerajaan Kelantan agak skeptikal dengannya. Ini mendatangkan masalah buatnya kerana DAP berbaik dengan PAS. Kerajaan PAS Kelantan diberi gambaran buruk. Diceritakan MB Nik Abdul Aziz hidupnya mewah dan kaya raya. Sedikit sebanyak cerita keburukan Kelantan dan Nik Aziz itu mempengaruhi masyarakat Cina di Sekinchan dan menolak DAP.
Apa yang dilakukan? Beliau harus memberi maklumat tepat kepada orang Cina. Jalan yang diambil ialah dengan membawa orang Cina melawat Kelantan dan berjumpa dengan Nik Aziz. Dari perjumpaan itu akhirnya memberi maklumat sebenar kepada orang Cina di Sekinchan mengenai kerajaan Kelantan dan gaya hidup Nik Aziz. Mereka mengetahui kehidupan Nik Aziz sebenarnya dan bukan seperti mana yang ditokok tambah oleh Umno dan juga MCA.
Ng dan Apandi dan lain bergambar di tepi sawah. |
Itu antara strategi yang diaturkan Ng untuk memastikan orang Cina menyokongnya. Selain itu beliau juga tidak pernah meninggalkan kawasan. Katanya semasa dia kalah tahun 1998, beliau tidak tinggal Sekinchan. Walaupun dengan tenaga kewangan kurang namun senantiasa mendekati rakyat dan sesekali mengadakan majlis makan malam dan himpunan kecil.
Bagaimana dengan pilihan raya akan datang? Ng yakin sokongan semakin padu. Kali ini katanya dia ada sedikit kelebihan berbanding dulu kerana DAP bersama PKR dan PAS kini menerajui Selangor. "Dulu kita bersalam tangan kosong dengan rakyat dan setakat melemparkan senyuman tetapi hari ini adalah sikit peruntukan kerana kita sudah jadi kerajaan," balas Ng sambil tersenyum dan membuat kelakar.
Menceritakan pengalaman awalnya untuk mengembangkan DAP di Sekinchan sesuatu yang memeritkan. "Kalau tidak tahan kita akan mengaku kalah, bang. Saya masih ingat ketika saya mengembangkan DAP bersama Pakatan Rakyat, orang Cina mengejek dan menghina saya. Bila saya nak jual tikit untuk adakan dinner, mereka hina, sambil kata tak payah juallah, tak laku..." cerita Ng. Tetapi kita kuatkan semangat juga melawan ejekan mereka. Namun keadaan itu kini berlainan katanya, kalau dulu nak jual tikit RM25 orang tidak nak, tetapi tikit berharga RM50 pun orang sudah berebut," ujarnya.
Apa yang dapat disimpulkan dengan kejayaan Ng sebagai wakil rakyat ialah kerana kegigihan dan kerajinan beliau mendekati rakyat. Dia tidak mudah berputus asa dan mudah meninggalkan rakyat walaupun kalah. Kekalahan bukan bererti ketewasan buatnya. Dalam pada itu menurut Ng lagi...apa yang menjadi falsfahnya, mesti baik dengan semua orang tidak kira mereka dari parti mana, kaum apa dan bangsa apa. Falsafah ini saya nampak benar-benar diamalkan oleh Ng yang akhirnya menjadikan dia salah seorang wakil rakyat popular.
Semasa dalam restoran itu, Ng berjalan dan bersalaman dengan semua pelangan yang ada sama ada dia kenal atau tidak. Sikap dan sifat dilakukan itulah menyebabkan dia mudah dikenali oleh sesiapa saja. Dan penilaian saya atas kejayaan Ng juga ialah kerana dia adalah benar-benar menjadi wakil rakyat bukannya Yang Berhormat! [wm.kl.5:12 pm 23/12/12]
14 comments:
Ya, benar. Mengikuti ceramah yb Ng pertamakali di Sungai Petani suatu ketika di tahun ini, membuat saya tersenyum dengan celoteh jawanya
rakyat suka cara yb buat kerja...pastikan rakyat terus sokong yb untuk terus bela rakyat tentang kezaliman.....
strategi paling ampuh dr Yb Ng..semoga jadi ikutan dari parti parti lain
Harap dia kekal dengan sikap dan sifatnya itu. YB lain patut belajar darinya.
Saya mengnali beliau lama tapi tidak pernah bertegur sapa. Yb eng s l ni memang tak pernah gagal membantu apabila kita memerlukn pertolongan. Untuk penetahuan pembaca sya tinggal bhampiran dgn rumah yb noh omar di sungai burung . Yb telah mmbantu adik saya unuk mendpatkn bantuan utk mmbaiki rumah dn datang serndiri utk melihat keadaan rumah tersebut.yb juga sudi hadir semasa kami membuat kenduri arwah. Beliau tidak keatas rumah dan hanya duduk dibbawah kerana menghormati majlis yg sedang berlangsung. Serba sedikit ut dkongsi bersama tentang yb lim
ceramahnya cukup memikat dengan kefasihannya....
Sikap pemimpin begini lebih senang diterima oleh rakyat....teruskan bejuang yb
skarang ni susah untuk mencari pemimpin rakyat yg merentas sempadan kepartian..
tahniah YB kerana menjadi wakil rakyat yg sebenarnya..
kalu tok guru nik aziz dah tiada sape la agaknya nak dijadikan rujukan sebagai pemimpin contoh
semuanya OK dah..
cuma satu kurang kt papan iklan tu.
DI MANA HILANGNYA BAHASA MELAYU???
Sdr MSO
Harap dpt tonjolkan lagi YB PR yg sebegini. Saya rasa ada ramai lagi tapi low profile mcm YB Ng ni...
Kat mana kedai dan apa nama kedai eksotik tu pak mso?
cina ni buleh cakap JAWA memang cina kampong
Nmpak macam garang sebenarnya YB Ng Swee Lim,mudah mesra dengan org....
Post a Comment