Saturday, February 15, 2014

Mana yang lebih tulus di antara Unity Government dengan Konsensus Nasional

BICARA AWAL                                                                                 

Pagi ini  sukma jiwaku teringin untuk berbicara mengenai Konsensus Nasional yang dilontarkan oleh Anwar Ibrahim dalam untuk digunapakai bagi mewujudkan keadaan negara stabil serta menyelesaikan beberapa isu atau hambatan meruncing kepada negara buat masa ini.

Abdul Hadi gagal realisasikan gagasan UG. 
Kenapa ku ingin bercakap fasal Konsensus Nasional, (KN) sebab ada kekeliruan dalam tulisan seorang ahli Parlimen dari Pas mengenainya berhubung perkara itu apabila tanpa menyelidiki se'faqih' mungkin sebelum menjunjung tinggi mengenai usaha yang hampir sama untuk kedamaian politik, iaitu projek Unity Government (UG) yang pernah diusahakan oleh pemimpin tertinggi parti berkenaan.

Ahli parlimen itu seakan mendabit dada bahawa presiden partinya mempunyai pandangan lebih jauh mengenai persepakatan, persefahaman, kerjasama atau apa-apa per demi kebaikan itu. Presiden parti itu berpandangan jauh ke depan lima tahun, tukasnya, daripada apa yang dilontarkan oleh Anwar Ibrahim. Dalam kata lain presiden parti itu mempunyai iltizam lebih awal berbanding dengan pencadang KN.

Aku bersetuju mengenai hal ini. Abdul Hadi Awang telah mengemukakan gagasan yang cukup hormoni dan tepat pada masanya dalam usaha mengurangkan ketegangan dan politiking melampau di negara ini khususnya di kalangan orang Melayu dengan membentangkan rancangan untuk mewujudkan UG atau Kerajaan Perpaduan, atau di sebut juga "Perpaduang" (KP). Menerusi pelan ini, bahawa akan terbangun sebuah kerajaan yang tidak ada pembangkang serta menghadirkan kedamaian politik.

Dengan cara itu masa yang digunakan untuk bergaduh dan bergasak demi menegakkan benang basah masing-masing akan berkurangan dan terguna untuk kebaikan. Apabila wujudnya keadaan itu maka perbahasan mengenai mana dahulu di antara ayam dengan telor di kalangan ahli politik negara pun menjadi reda.

Cadangan UG berlaku di era zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri. Memang tepat gagasan Abdul Hadi itu, kerana Abdullah dilihat sosok yang lebih tulus, ikhlas dan boleh diyakinkan berberbanding dengan perdana menteri sebelum itu Dr Mahathir Mohamad yang tidak ada sekuman pun rasa hormat kepada pihak lain, jauh sekali untuk memanggil pembangkang duduk semeja memikir hal negara.

Mahathir sangat 'meta' waktu itu kerana pengaruh dan sokongan rakyat kepada UBN kuat. Abdullah juga mempunyai naluri dan kewajiaban sama mewujudkan perpaduan di kalangan umat dan rakyat.

Aku juga menulis artikel dan membawa suara dan seruan menyokong rancangan berkenaan. Tetapi apabila Pas telah mengambil kata putus agar ia tidak dilangsungkan maka aku juga menjadi bungkam. Barang kali aku juga boleh bersetuju sedikit-sedikit dengan pemujaan tinggi kepada Abdul Hadi yang sifatkan sebagai "sangat brilliant" itu kerana menerbitkan idea berkenaan. Apakah Anwar tidak brilliant? Persoalan ironi.

Apakah tujuan ahli parlimen berkenaan mengungkit dan up-datekan semula ingatan kepada UG itu untuk memberi gambaran kebijaksanaan pemimpinnya dan juga kesungguhan dia sendiri bersama seorang rakannya bagi menjayakan rancangan itu. Dalam masa sama, mahu menunjukkan rancangan itu suci dan hebat, dan melahirkan kekesalan kerana ia dibunuh oleh orang yang tidak faham.

Di sini, ahli parlimen berasal dari Pahang itu hendak menunjukkan, sebelum orang lain (dalam konteks ini Anwar Ibrahim) berfikir mengenai rancangan itu, beliau bersama presidennya dan seorang rakannya telah memikirkannya dan bertungkus lumus untuk mensuseskannya. Ia hendak digambarkan betapa geniusnya mereka. Ini jelas terdapat beberapa maklumat dan bukti bergambar akan kehadiran oleh ahli parlimen berkenaan bersama 'orang-orang' Umno dalam merancang bagi merealisasikan UG itu.

Secara tidak langsung juga tulisan ahli parlimen itu hendak merendah-rendahkan minda orang lain terutamanya mereka yang "membunuh" rancangan berkenaan. Ada nada kesal dan senyum sinis di dalam hal ini. Beliau juga ingin meletakkan gagasan UG itu jauh lebih suci daripada apa yang hendak dilakukan oleh Anwar menerusi KN ini. Apa yang hendak digambarkan pencadangan KN tertinggal bas selama lima tahun dan terdesak dengan formula politik itu.

Mungkin mereka yang tidak tahu sejarah kelahiran idea untuk mewujudkan UG akan keliru kalau hanya bersandar dan bersanadkan kepada maklumat yang ditulis oleh ahli parlimen berkenaan. Ada beberapa perkara yang tidak diselek oleh bekas pemimpin pemuda Pas berkenaan atau sengaja dialpakan di sebalik apa yang hendak diceritakan itu. Gara-gara itu maka terjadilah penceritaan oleh ahli parlimen itu seakan orang yang kencing tetapi tidak mengangkat jubahnya setinggi mungkin menyebabkan air kencing terkena jubah.

Di sini saya hendak sebut sedikit sahaja perbezaan di antara UG dan KN itu agar orang tidak keliruan dan mudah menganggap dan membuat macam-macam tafsiran negatif terhadap Anwar Ibrahim termasuk untuk menyelamatkan dirinya yang terjempit oleh tuduhan kes liwat terhadapnya menerusi cadangan itu. Tegasnya tujuannya UG dan KN sama, tetapi kaedah dan makenisme untuk mencapainya berbeza. Tahap dan daya profesiolismenya juga berbeda.

Perkara pokok untuk difahami dalam kes ini ialah kenapa gagasan yang baik itu gagal atau dibunuh, (meminjam istilah digunakan oleh ahli parlimen berkenaan). Ini perkara penting untuk dikaji kemudian dijadikan iktibar. Ia juga boleh diukurpadankan dengan KN yang dicadangkan itu.

Rancangan mewujudkan UG adalah di sebelah pihak Pas sahaja ia tidak melibatkan semua rakan didalam Pakatan Rakyat. Pas tidak memanggil rakan mereka dalam Pakatan Rakyat untuk berunding dan membincang idea berkenaan. Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang bahkan ada beberapa kerat pimpinan tertinggi Pas sendiri dicicirkan dalam rancangan ini.

Ini berbeza dengan KN yang dilontarklan oleh Anwar itu. Usaha untuk mengadakan KN itu dibuat secara terbuka dan sistemetik. Rakan-rakan pimpinan dalam Pakatan Rakyat diberitahu secara rasmi setelah ianya dilontarkan untuk mendapat reaksi. Tidak ada kerja-kerja bawah tanah dilakukan untuk menjayakan KN berbanding dengan UG.

Soalnya ada pertemuan di antara pemimpin PKR dengan pemimpin Umno di London, ia tidak perlu dibangkitkan kerana makenismenya terang dan telus. Pihak PKR ikut sama memaklum dan memanggil Abdul Hadi. Ini berbeza semasa Abdul Hadi, Mustapa Ali dan bekas timbalan presiden Pas berbincang dengan Abdullah, tidak ada sesiapa dari PKR dan DAP diberi tahu. Ianya terdedah selepas Abdullah Badawi menyebutkan perkara itu.

Inilah perbezaan KN dengan UG yang sifatnya lebih eksklusif di kalangan Pas sahaja. Jadi apabila ia dirancang diperingkat Pas saja sudah tentulah rakan lain sukar untuk menerima konsep UG yang baik itu. Sikap bercakap dalam gelap itu juga menyebabkan timbul persepsi berunsur fitnah.

Kelainan lebih besar dan ini tidak disebut oleh ahli parlimen berkenaan yang saya anggap jubahnya sudah terkena najis mukhafaffah, iaitu UG membawa faedah dan maksud tersendiri buat Pas. Ketika Abdul Hadi mendedahkan idea itu, perbincangan Pas dengan Umno sudah pun dilakukan lebih dari tiga kali. Nescaya kalau Abdullah tidak bersikap lurus bendul mendedahkan pertemuan beliau dengan para pemimpin Pas, isu UG ini dimuktamadkan secara senyap Anwar dan Lim Kit Siang akan tertipu.

Kalau boleh disifatkan mereka yang menolak UG sebagai pembunuh UG, maka Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah pembunuh nombor satu. Nik Aziz menentang dan menolak keras usaha untuk mewujudkan UG. Mungkin orang boleh bermadah helah dengan mengatakan UG bukan kerjasama politik, tetapi usaha dan impian yang sudah diangan-angan disebaliknya menjadi bukti jelas akan apa dibimbangi Nik Aziz itu.

Sudah ada 'muzakaraah' di kalangan pemimpin Pas dengan pemimpin tertinggi Umno menerusi UG itu. Pas akan diperuntukan dua jawatan menteri dan dua jawatan timbalan menteri. Inilah keuntungan besar dan juga menjadi umpan besar menyebabkan pemimpin tertinggi Pas ketika itu 'berpinar mata" dengan UG. Hal ini pernah disebut dan disahkan sendiri oleh bekas pemimpin Pas kepada aku.

Kesilapan Pas khasnya mereka yang mendokong UG seperti ahli parlimen berkenaan bersama rakannya, ialah tidak memberitahu sejujur mungkin kepada Nik Abdul Aziz. Ini menyebabkan Nik Aziz merasakan beliau disembunyikan nawaitu sebenar di sebalik gagasan itu. Kebetulan pula Nik Aziz sudah berdendam lama dengan Umno, tidak akan ada apa-apa bentuk kerjasama dengan Umno apa lagi membawa kepada kerjasama politik kerana beliau serit dengan apa yang berlaku.

Nyata mengenai semangat dan natijah UG itu tidak dihurai oleh ahli parlimen berkenaan. Kalau kita tidak jujur menceritakan apa sebenar yang berlaku macam mana kita boleh menunding kepada orang lain sebagai tidak jujur?

Itu satu bab, bab kedua pula, ini menjadikan saya berdesah, kenapakah Abdul Hadi sebagai seorang presiden terpaksa menarik balik rancangan berkenaan. Kenapa ia tidak diteruskan. Kalau kita yakin gagasan itu benar, baik untuk maslahat ummah ia harus direalisasikan. Di sinilah saya katakan naifnya kepimpinan Abdul Hadi kerana gagal mempertahankan sesuatu idea yang baik yang keluar dari dhamirnya sendiri.

Kegagalan ini juga menunjukkan kelemahan keimpinan beliau dan mengambil sesuatu perkara itu dengan mudah tanpa sistemetik. Seharusnya sebelum membentangkan idea berkenaan ia dikaji selumat mungkin dalam Pas terlebih dahulu. Konsensus di peringkat Dewan Harian diperlukan dulu. Apabila ia dilaksanakan secara dalam gelap maka banyaklah kesangsian yang timbul. Di sinilah kesilapan besar Abdul Hadi cuba memelihara 'anak haram'.

Sebagai presiden beliau boleh terus berkempen (berkeras) untuk melaksanakan gagasan berkenaan. Sebagai presiden, beliau ada kuasa prerogatif yang tidak ada kepada orang lain. Dalam hal-hal terjempit seperti inilah, beliau harus menunjukkan wibawa dan keampuhannya sebagai presiden. Kalau setiap apa yang hendak dilaksanakan, dipancung oleh ahli kemudian berhenti, tidak ada guna menjadi presiden. Seorang presiden bukan sahaja perlu tegas, jujur dan penuh komited dengan perjuangan, tetapi mempunyai pegangan dan pendirian yang konsisten atau istiqamah. Kata pemutusnya berada di bibir mulutnya.

Bagi saya, kegencatan rancangan UG adalah satu kesilapan dan sejarah kelemahan Abdul Hadi sebagai presiden terbesar. Walaupun cadagan itu 'sangat brilliant' tetapi kegagalan menjadikan pencandangnya seorang yang rapuh dan mudah cair umpama lilin terkena cahaya.

Demikian juga apabila presiden syahid dengan rancangan itu, kenapa anak-anak muda Pas yang dianggap sebagai 'ansrollah' tidak bangkit meneruskan agenda berkenaan? Kita mendakwa anak-anak muda bersama Pas, ribuan yang hadir dalam usrah dan itjimak tarbi, kenapa tidak bangkit membawa suara itu. Kenapa kita hanya asyik mensyiahkan sesama sendiri? Bukankah pemuda adalah golongan penekan dan suka bertindak secara agresif dan songsang? Kenapa tidak tunjukkan kejantanan anda dalam perkara yang anda yakini dan minati?

Kelesuan atau kepondanan pemuda dalam membawa agenda yang bernas dan baik itu telah mengesahkan keupayaan tenaga juang dan minda peperangan yang ada kepada pemuda masa itu sangat lemah dan naif. Pemuda Pas mengsia-siakan peluang yang ada dan membazirkan waktu. Pemudanya Pas hanya berkokok tetapi tidak bertelor. Justeru pantaslah kalau UG itu rebah dan menimpa ke atas presiden dan bekas ketua pemuda dan puak-puaknya.

Mudahan dengan catatan ini ia boleh mengurangkan tanggapan berhubung UG dan KN, bahawa ianya ada perbezaan dari segi makenisme, iltizam dan nawaitu peribadi. Peringatan kalau kain kita carik jangan sesekali cuba hendak menjahit kain orang lain. [wm.kl.8:23 am 15/02/14]

4 comments:

Unknown said...

As salam...
ulasan yang memuaskan...harap MP Temerloh membaca ulasan ini dan selidik balas mana yang lebih kurang

wasalam

bat8 said...

Tuan,

Ambo ado jugok baca beberapa tulisan AP dari Pahang ni. Apabila kita teliti kepimpinan beliau semasa dalam Pemuda PAS, kesimpulan ambo gini jah- ni lah penyakit yang menimpa s3g3lintir orang PAS termasuk pemimpin dari puak faqeh ugama. Mereka berada di alam khayalan mereka sendiri yang terpisah dengan realiti yang ada didepan mata. Termasuklah perasan yang mereka sahaja yang bijak dalam serba serbi. Orang lain semua 3/4. Kalau dalam politik,merekalah yang paling ampuh. Merekalah pakar strategi no.1 dalam dunia.

Jika masih ada dikalangan orang PAS masih berair mulut, dok mimpi UG siang malam dalam senario politik hari ini - mereka ini sebenarnya sedang mabuk air ketum kerana gagal memahami politik Najib adalah politik tipu atah darat. Dok dey 2 lekoq PAS akan kena tipu hidup-hidup.

Juga k3fahaman mereka t3ntang watak UMNO BARU boleh dikatakan kosong dan mereka tidak mempunyai IQ untuk memahami bahawa ideologi UMNO BARU adalah pragmatisma - iaitu gapo hok kita bol3h tipu orangramai itulah ideologi kita ( UMNO BARU). Dari sebuah parti melayu/Islam mereka tukar menjadi PARTI BUMIPUTRA SEMATA UNTUK MEWUJUDKAN FIX DEPOSIT BARU DISABAH DEMI MENG3KALKAN KUASA.

Ambo malah nak ulas pasal rekonsiliasi nasional yang dicadangkan oleh Anwar dan dit3rima oleh Najib.Puok2 ni memang tidak m3mpunyai keupayaan nok faham pong.

Hakikatnya Najib seperti biasa be4setuju kerana hendak lepaskan t3ngkoknya yang tersepit parok.T3kt8k biasa Najib je - nak tipu atah darat.

Berbalik kepada sikap AP dari Pahang yang perasan ni - kini telah wujud dikalangan anak muda PAS yang berpendidikan ugama secara formal telah dijangkiti oleh p3nyakit yang sama. Ini satu f3nomena yang merbahaya kepada PAS dimasa hadapan. Kita lihat bagaimana kotor permainan mereka semasa pemilihan PAS yang lalu. Juga bagaimana helah-helah ala UMNO digunakan oleh golongan ini didalam P3muda PAS hari ini.

Triana Wedding Belles - Weddings and So Much More said...

Teman sangat bersetuju dengan tulisan Sdr MSO.

Dalam dua tulisannya yang terbaru, satu mengenai UG dan satu lagi mengenai perjuangan ketuhanan PAS, AP Temerloh itu saperti mahu "mengeneng" kepada Anwar Ibrahim dan PKR. Tingkahlaku memuji diri dan parti sendiri ini teman kira sangat bertentangan dengan etika Pakatan Rakyat (PR). Ia merupakan sebahagian drpd anasir perpecahan yang sedang menghantui PR pada waktu ini.

Sebenarnya, perbezaan yang besar di antara UG dan KN adalah dlm nama kedua-duanya.

Mana-mana Unity Government tentunya bermaksud sebuah pemerintahan yang didasarkan kpd penyatuan dua atau lebih parti yg berbeza siasah poitik mereka. Dlm konteks UG PAS, ia pd asalnya adalah di antara PAS dan UMNO, iaitu di antara 2 buah parti Melayu Islam terbesar di negara ini. Dalam artikata lain, ia bermotifkan perpaduan Melayu atau perpaduan Islam dan bertentangan dgn falasafah berbagai kaum yang diperjuangkan olh Barisan Alternatif yg kemudiannya ditukarnama kepada Pakatan Rakyat.

UG jg bermaksud kerajaan campuran yg tidak brbeza jauh dr Barisan Nasional. Cumanya, krjn campuran di bawah UG adalah di ant PAS dan UMNO sementara BN adalah kerajaan campuran berbagai parti. Olh itu, tidak salah jika kita katakan idea UG itu bukanlah idea yg original tetapi percikan dari BN.

Selain itu, apabila kita katakan kerajaan perpaduan atau campuran, maka tidak adalah lagi pembangkang di kalangan parti-parti yang berpadu atau bercampur. Segala tugas kerajaan adalah tanggungjawab brsama parti-parti itu dan jika terdapat apa-apa yg tidak baik dalam perjalanan pemerintahan atau perlaksanaan dasar kerajaan, kepertanggungjawabannya terletak di riba parti-parti tersebut.

PAS bergegas cuba melibatkan PKR & DAP bersama hanya setlh idea UG itu menjadi pengetahuan umum. Tingkahlaku PAS itu membawa persoalan sama ada PAS benar-benar mmpersetujui politik brbilang kaum atau sekadar bermuslihat politik.

Konsensus Nasional brbeza dgn UG pada konsepnya krn ia tidak menghendaki sebuah kerajaan campuran ditubuhkan pd saat perlaksanaannya. Pembangkang dan Kerajaan masih lagi asing-asing. Ia hnyalah satu penyelesaian kepada masalah-masalah besar negara saperti perpaduan kaum, isu Allah, pendatang tanpa izin, gejala-gejala sosial, pengurusan kewangan dan ekonomi negara termasuk hutang negara dan jurang pendapatan yang luas, dl2l yg dihasilkan bersama olh Kerajaan & Pembangkang yg duduk di sebuah meja bulat. Perlaksanaan penyelesaian bersama itu masih lagi tanggungjawab Kerajaan & Pembangkang boleh mengkritik perlaksanaan tetapi tidak penyelesaian yg diusahakan bersama melainkan jika Kerajaan telah menyeleweng dari penyelesaian yang dipersetujui.

Negara sebenarnya sudah pun mempunyai sebuah KN walaupun skopnya terhad kpd soal perhubungan kaum. Ia diberi nama Kontrak Sosial dan x melibatkan sebuah kerajaan campuran.

Ada kemungkinan sebuah kerajaan campuran jg akan dicadangkan di bwh KN apabila ia difikirkan perlu tuk melaksanakan penyelesaian bersama kpda masalah-masalah besar negara yg diberi nama KN itu. Namun, berbeza dengan UG, ia bukan sesuatu yg mesti, dan boleh dipersetujui atau pun tidak oleh rakan-rakan di dalam PR dan juga mereka-mereka di dalam BN.

Sebagai rumusan, UG dan KN adalah sangat berbeza dan teman heran napa AP Temerloh itu perlu seolah -olah mendabik dada dengan mengatakan TGHA dah 5 tahun ke depan dgn UGnya berbanding Anwar dgn KNnya skrg. Beliau jg seolah-olah mau mengatakan bahawa orang-orang yang menentang UG, termasuk Mursyidul Amnya sendiri, sebagai ketinggalan zaman. Tidakkah tingkahlakunya itu boleh dianggap sebagai mencari fasal atau menitik perpaduan PR spya retak. Malangnya, Pimpinan PAS Pusat tidak memandang tingkahlaku spt ini sbg memudaratkan kesepakatan di ant parti-parti PR malah boleh dilihat sbg melindung atas nm perjuangan ketuhanan PAS dan demokrasi.

ryzal said...

Alhamdulillah satu kupasan yang terang dari seorang yang saya rasa tahu peel di hadapan dan belakang tabir pimpinan politik kita semasa ini.

Kalau Pak MSO tidak lupa, saya pada komen sebelum ini ada meminta Pencerahan dilakukan berkenaan usaha ini supaya orang ramai yang jauh dari Koridor Politik Malaysia ini dapat sedikit sebanyak mendapat cerita alternatif, selain dari membaca paper dan mendengar berita.

Cuma Pak MSO, saya mendapati sekarang dalam bab politik ini terutama orang muda, benar benar miskin dengan satu sikap yang cukup penting iaitu sikap berlapang dada. Dengan orang yang tak disetujui, lagi tertutup hatinya, paling takut diselimut perasaan benci tak tentu hala.

Bila kurang sikap berlapang dada pada pandangan, pendirian berbeza, maka jadilah apa yang sedang berlaku dalam parti kita sekarang ini.

Berkenaan konsensus nasional yang diulas Pak MSO, saya mempunyai pengamatan yang ada berbeza. Dahulu cepat orang berang dengan UG kerana kita sedang berkeyakinan penuh akan memenangi pilihanraya. Bak kata Dato Husam kita, UMNO sedang nazak mengapa nak dihantar ambulan pula.

Kerja kerja Konsensus ini pun tak lah sebenarnya seperti dikata, dibuat terang bederang di hadapan orang. Ada kerja dalam gelap juga. Bagi kita yang tahu, kita belapang dada, berikan peluang pada beberapa orang dalam PKR itu dahulu.

Berjumpa di London itu dah yang kemudian sangat. New york, jakarta, Jalan Duta semua ini saksi saksi usaha murni ini. Takkan lah Dato Seri akan umum jemputan untuk Konsensus ini melainkan sudah ada beberapa perkara awal diperhalusi dan dipersetujui.

Sekali lagi tak usah kita mendahului mereka. Kalau nak membuka cerita, nanti ada pula yang bengkak hati di sini sana. Cukuplah yang Termeloh itu meluahkan rasa. Hahaha

Sekali lagi, terima kasih Pak MSO.