Tuesday, February 11, 2014

Senario di sebalik kisah Kias dan Che Ibrahim: KPKK tidak berpihak?


SIDANG PETANG                                                                            

Petang ini saya dihubungi oleh presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (KPKK), Abdul Razak Abbas dan Setiausaha Kerhormatnya, Cikgu Adnan yang meminta saya menjelaskan mengenai fungsi dan tujuan kelab berkenaan ditubuhkan. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu menahu mengenai kelab ini, bila masa dan di mana ia ditubuhkan. Selepas mengetahui dari timbalannya Sobree Shafei, (dalam satu perbualan) baru saya menyedari yang ada KPKK. Baguslah.

Abdul Razak terdahulu menghubungi saya, kerana merasa kurang senang dengan salah anggap mengenai peranan kelab berkenaan. Ada yang melontarkan pertanyaan negatif, disebelah mana KPKK berada, ia merujuk kepada pertikaian di antara individu bernama Che Ibrahim Mohamed dengan majikannya, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Putera (Kias). Apakah KPKK menyokong Kias atau pun Che Ibrahim. Pertanyaan itu mahukan kepastian peranan dan status KPKK.


Saya tidak tahu juga kenapa tiba-tiba KPKK boleh terheret dan timbul persoalan itu yang sudah tentu boleh melukakan hati KPKK? Mungkin boleh jadi setelah saya mencatatkan pandangan peribadi Sobree dengan menyebut nama jawatan dalam KPKK, berhubung tindakan pemecatan Che Ibrahim oleh Kias yang dikatakan tidak mengikut prosuder itu. Sobree berpendapat kalau benar begitu ini bermakna ia boleh menjejaskan integriti Kias, di mana semua ahli lembaga pengarah perlu mengambil tanggungjawab meletak jawatan.

Mungkin begitu? Kerana sebelum ini tidak ramai yang tahu dan kenal dengan KPKK. Untung juga KPKK apabila timbul isu Che Ibrahim dan majikannya itu menyebabkan orang mulai kenal dan tahu kewujudan KPKK dan siapa pemimpinnya.

Dalam permintaan itu, Abdul Razak menjelaskan KPKK bukan berpihak kepada mana-mana pihak atau individu. Kewujudannya ialah untuk menyokong kerajaan dan dalam masa sama membela kerajaan. Jika ada isu-isu berhubung dengan kerajaan, KPKK akan tampil cuba menghuraikan masalah agar ia tidak berpanjangan dan sempat pula menjadi isu. Ertinya peranan KPKK ialah menyejutkan keadaan dan menurunkan suhu yang panas.

"Tugas utama kami, Sayuti ialah mempertahankan kerajaan Kelantan dan sesekali tidak akan cuba berpihak kepada mana-mana pihak. Tanggungjawab kami kepada kerajaan," begitu ujar Abdul Razak tegas dan jelas.

Berdasar matlamat dan tujuan dinyatakan itu, saya kira itulah sebab kenapa KPKK mengambil inisiatif untuk menyelesaikan isu Che Ibrahim dengan Kias. Mungkin itu juga sebagai tugasan utamanya sejak ia ditubuhkan. Dalam usahanaya Abdul Razak ada menghubungi saya, meminta pandangan serta memberi pandangan agar saya melendikkan keadaan. Katanya, ada perkara yang saya perlu tulis dan dedahkan untuk menenangkan keadaan, bukan mengharu birukan suasana.

Menerusi usaha itu Abdul Razak ingin membawa saya berjumpa degan pihak berkuasa Kias, bagi mendapat penjelasan serta maklumat terperinci mengenai apa-apa kedudukan sebenarnya mengenai Che Ibrahim sehinggakan dia diambil tindakan dipecat atau ditamatkan perkhidmatannya pada 1 Februari lalu.

Saya bersetuju dan bersedia demi untuk mendapat maklumat yang sahih, boleh dilagakan (dipadankan) dengan maklumat-maklumat yang diterima daripada Che Ibrahim atau berpandukan kepada dakwaanya di dalam kenyataan di Facebooksnya. Menjadi tanggungjawab saya mendedah atau memberi ulasan yang adil dan saksama. Itu adalah tanggungjawab sosial yang saya langsungkan menerusi sedikit bakat yang dianugerahkan Allah kepada saya.

Menurut Abdul Razak mulanya pihak berkuasa Kias bersetuju untuk menerima kedatangan saya yang diaturkan oleh KPKK. Tetapi malang, dalam perbualan dengan Abdul Razak tadi, pertemuan itu dibatalkan kerana pihak Kias kurang yakin kepada saya serta ingin memaklumkan terlebih dahulu kepada lembaga pengarah.

Menurut Abdul Razak, Kias meragui akan pendirian dan sikap saya. "Pihak Kias berpandangan Sayuti orang Datuk Husam Musa...nanti bidas balik," kata Abdul Razak. Tetapi katanya dia menjelaksn, "Sayuti bukan orang Datuk Husam. Dia tidak makan gaji dengan Datuk Husam Musa. Saya mengenali dia (Saya) sebab dia sekampung dengan saya." Jadi tamat cerita, tidak ada pertemuan dengan Kias untuk mendapat maklumat lanjut.

Saya tidak ada masalah apa-apa, sama ada jadi atau tidak, kerana tanggungjawab saya setakat ini sudah selesai dengan menimbulkan apa yang berlaku dan sudah diberi perhatian oleh pihak Kias sendiri dan juga mereka bersangkutan.

Saya tidak ada masalah, dan Abdul Razak juga tidak ada masalah. "Tugas abang, Sayuti hendak memperbetulkan keadaan yang keliru. Tetapi kalau Kias tidak mahu, tidak ada masalah. Abang pun tidak suka membeli kerja orang," kata Abdul Razak, sambil menambah, "kerja kita pun banyak."

Daripada penjelasan presiden KPKK itu saya dapat merasakan dia ikhlas untuk menyelesaikan apa yang berlaku itu dari kaca matanya. Dia mahu saya mendedahkan mengenai apa yang diperolehi olehnya seperti mana diceritakan (diberikan) oleh pihak Kias tentang Che Ibrahim. Abdul Razak bersama Setiausaha Kehormat, Cikgu Adnan ada berjumpa dan berbincang dengan Kias sebelum mengemukakan cadangan untuk membawa saya mendapat penjelasan pihak berkuasa Kias.

Bagaimana pun saya ingin tokokkan di sini sebaiknya KPKK juga berjumpa dengan Che Ibrahim untuk mendapat gambaran dari mulutnya sendiri. Mungkin kalau Abdul Razak atau Adnan alergik untuk berjumpa dan berbicara dengan Che Ibrahim, Sobree mungkin boleh lakukannya. Tujuannya untuk kebaikan bukan kemudaratan.

Usaha KPKK untuk menyelesaikan masalah itu perlu dipuji dan jangan disangsikan. Kias sepatutnya memberi ruang kepada KPKK dan tidak prejudis, seperti mengatakan saya orang Husam seperti mana lapor Abdul Razak itu. Mungkin dengan pertemuan itu dapat menghuraikan apa-apa yang mungkin tidak boleh disebut oleh pihak Kias kerana etika perkhidmatan dan sebagainya.

Ingin saya jelaskan saya tidak ada masalah, sama ada pihak Kias ingin memberi maklumat bantu ataupun tidak. Saya menulis apa yang saya ketahui dan perolehi. Dan dalam peranan saya ini, samalah juga seperti KPKK saya tidak akan berpihak kepada mana-mana tetapi akan menyokong pihak benar dan tertindas.

(Sebenarnya saya juga pernah membantu Kias untuk dinaikan taraf sebagai kolej universiti. Semasa Dr Johari Mat menjadi Ketua Eksekutif dahulu dia pernah minta saya aturkan pertemuan dengan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Rozihan Mustafa, kebetulan saya mengenali Rozihan, apabila saya membuka jalan. Rozihan sudah bersedia dan beberapa kali bertanya saya termasuk meminta dokumen untuk tujuan itu. Malangnya pertemua yang saya aturkan itu tidak menjadi kenyataan bila mana Johari gagal memenuhinya?)

Saya tidak  boleh menerima penganiayaan ke atas seseorang apa lagi kalau ia ada motif politik.

Sedang menyediakan catatan ini Setiausaha Kehormat KPKK, Cikgu Adnan pula menghubungi saya. Beliau memberi maklumat tambahan berhubung peranan dan usaha KPKK itu. Menurut Adnan, dalam isu Che Ibrahim dengan Kias pihaknya tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi lebih mengutamakan kepada para pelajar. Katanya KPKK melihat pertembungan pekerja dengan majikan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada pelajar Kias.

Kata Adnan, beberapa peristiwa yang berlaku di persekitaran kampus Kias seperti sidang akhbar oleh Che Ibrahim di masjid Kampung Laut, dan tindakan Che Ibrahim memasuki pejabat semula kerana menganggap tindakan pemecatannya tidak sah boleh menjejaskan Kias dan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pelajar.

"Encik Sayuti, saya kesian tengok kepada pelajar mereka tidak tahu apa. Mereka pelajar yang lemah lembut dan baik, jadi tidak wajar didedahkan dengan apa yang berlaku itu," kata Adnan yang mengakui dia pernah menjadi guru dan mengenali alam pelajar.

Perkara itu kata Adnan tidak patut belaku kerana ia melibatkan pelajar. Menurutnya isu pemecatan itu kecil saja, kerana perkara biasa dalam mana-mana jabatan ada pegawai diturun dan dinaikan pangkat. Mungkin yang silap sedikit katanya dari segi prosuder. Itu pun boleh diperbetulkan, katanya.

Kelmarin katanya Che Ibrahim memasuki semula ke pejabatnya atas alasan pemecatannya tidak sah begitulah pandangan peguamnya. Di sini ingin kata dari perspektif saya yang berkongsi dengan seorang peguam, bahawa pemecatan Che Ibrahim yang dilakukan oleh lembaga pengarah Kias itu sah walaupun ia tidak mengikuti prosuder. Soal ianya tidak sah dari segi teknikal hanya mahkamah boleh menentukan. Realitinya Kias sudah memecat beliau.

Mahkamah sahaja boleh membatalkan pemecatan itu atas sebab-sebab atau undang-undang yang ada. Jadi Che Ibrahim memang tidak perlu memasuki ke pejabatnya dan kalau Kias bertindak menghalaunya juga boleh, kerana ia sudah dipecat mengikut kacamata dan perundangan Kias.

Yang wajar dilakukan Che Ibrahim selepas dipecat ialah menunggu keputusan mahkamah. Sekiranya mahkamah mengatakan pemecatan itu tidak sah, barulah beliau boleh memasuki semula pejabatnya dan halangan oleh Kias ke atasnya satu jenayah.

Kepada Abdul Razak dan juga Adnan saya berpesan agar mereka (KPKK) bertindak secara profesional seperti mana yang diakuinya. Untuk tujuan itu adalah lebih baik kalau mereka menjadi orang tengah, pendamai di antara Che Ibrahim dan Kias. KPKK boleh aturkan pertemuan di antara Kias dan Che Ibrahim mencari jalan penyelesaian secara baik. Masa masih ada dan pintu taubat belum tertutup rapat.

Percaya kata saya, tidak siapa yang untung dan rugi disebalik pertikaikan itu. Mungkin yang laba sedikit pihak musuh kerajaan Kelantan. Dan saya secara peribadi tidak akan menyokong mana-mana pihak termasuk cara Che Ibrahim yang membuat sidang akhbar siap dengan banner dan sepanduk di perkarangan Kias. Cara itu bukan cara Islam dan lebih kepada emosi.

Pertikaian di antara kedua pihak majikan dan pekerja itu seharusnya diselesaikan dengan cara baik dan jangan sesekali ia diheret menjadi isu politik berkepentingan mana-mana pihak, bimbang takut celaka jadinya nanti. Dan Mohd Amar Nik Abdullah juga tidak akan dilihat sebagai kalah kalau beliau sedia meralatkan semula keputusan board yang dipengerusikannya itu. [wm.kl.6:47 pm 11/02/14]

3 comments:

bat8 said...

Tuan,

Dari artikel tuan ini, bakpo fikiran saya nampak KPPK ini sudah dijangkiti oleh perangai NGO2 UMNO yang tumbuh seperti kulat lepah hujan.

Abdul Razak cakap lain. Adnan cakap lain.

Dalam pertikaian Kias dan Che Ibrahim eloklah diselesaikan oleh pihak berwajib termasuk mahkamah perusahaan. Baru kita tahu siapa yang betul dan siapa yang salah.

Sementara itu kita lihat tindak tanduk kedua pihak dan konco2 mereka. Kebiasaannya dalam kes seperti ini pihak yang betul tak banyak keluar kenyataan kerana yakin dengan proses undang-undang.

Puak yang tak betul je dok s3bok buat macam2 kerana h3ndak m3n3gak b3nang yang basah. Macam2 alasan diberi. Kadang2 alasan ters3but tak masuk akal.

Airperigi said...

Sdr MSO, bila membaca tulisan yang Sdr tulis di atas, saya dah buleh agak kemana arah tuju KPKK. Jika mereka usahakan pertemuan antara Sdr dgn KIAS, jawapan pun dah boleh diagak. Hendak bercerita tentang Abg Jak dalam politik Kelantan? Dulu di zaman Tok Guru perintah Kelantan, mengapa KPKK tidak ditonjolkan? Sebabnya pada masa itu Abg Jak mendapat kedudukan istimewa dengan Tok Guru. Ingat kisah tasbih pemberian Tok Guru kepada abg Jak semasa kali terakhir Tok Guru balik dari umrah sebelum PRU13 di pejabat MB? sampai buat lakunan semula?

Kisah penamatan kerja Che Ibrahim dari KIAS melibatkan banyak pihak yang mempunyai banyak kepentingan dalam KIAS dan Kerajaan Negeri Kelantan. Nasi sudah menjadi bubur...!Kerana kuasa, rosak imej Kerajaan Kelantan di bawah PAS.

Tereboy said...

Salam.Masaalah dalam pentadbiran kerajaan kelantan dan anak-anak syarikat dibawahnya akhir-akhir ini saya rasa disebabkan adanya entiti ketiga yang cuba mengambil kesempatan.Dengan melebelkan team nik amar dan team husam maka tercetuslah satu perang dingin dikalangan penyokong masing2.sedar tak sedar ada pihak yang cuba mencatur satu games yang hebat.MB sendiri nampak nya sudah tidak mempunyai daya kekuatan sebagaimana tok guru sebelum ini.Beliau sudah dipengaruhi oleh orang2 tertentu yang akan memberi "advise" yang kurang tepat dan lebih bersifat berkepentingan peribadi.Adakah nik amar dan Husam akan menjadi mangsa agenda pihak@ team yang cuba menguasai pentadbiran kerajaan kelantan sekarang ini????Sama-sama kita perhatikan siapakah dalang* disebalik semua ini.

* Sudah semesti dalang tersebut berada d suatu tempat strategik dalam pentadbiran kerajaan kelantan.