Kandati berkerusi roda Karpal tetap hadir parlimen. |
Kematian Karpal merupakan suatu kehilangan buat negara dan ia dirasai oleh semua orang yang mengenali kehebatannya sebagai anggota parlimen dan juga sebagai peguam digeruni.
Nama Karpal Singh sinonim dengan dua institusi parlimen dan mahkamah. Menyebut parlimen tidak sah kalau tanpa menyebut namanya. Beliau tidak pernah menyepikan diri dalam parlimen atau hadir untuk mendapat elaun, tetapi akan bangun setiap kali ada isu-isu khasnya berhubung dengan berkaitan perundangan dan perlembagaan. Beliau seorang yang sangat pratikal dengan undang-undang.
Isu-isu kenegaraan akan tetap menjadi perhatiannya. Beliau seorang bukan saja, tegas tetapi berani dan berprinsip. Mendiang akan menegur dan mengkritik sama ada kawan atau pun lawan.
Walaupun beliau mengalami kecacatan, lumpuh akibat kemalangan jalan raya pada tahun, 2004 dan terpaksa berkerusi roda, tetapi tidak pernah absent menghadiri sidang dewan. Beliau juga seorang ahli parlimen yang kompetem dan lantang untuk menyuarakan isu-isu mengenai kemanusiaan terutamanya dalam soal ketidakadilan, penganiyaan dan bertentangan dengan semangat perlembagaan.
Business card Karpal yang masih dalam simpanan saya. |
Tetapi ramai orang tidak tahu yang mendiang seorang yang pemurah dan baik hati. Beliau sedia memberi khidmat kepada sesiapa sahaja tanpa mengira warna kulit secara percuma atau mengenakan bayaran minimum, atau mengikut kadar kemampuan. Bahkan beliau pernah membela seorang pelanggan tanpa mengenakan sebarang fee.
Saya tidak banyak mengenali ahli parlimen dan peguam ini secara peribadi. Sepanjang hayatnya saya hanya sempat mengadakan temuramah eksklusif dengannya sekali saja untuk mengisi sebuah penerbitan saya. Pertemuan itu berlangsung di pejabatnya di Jalan Pudu Lama di Kuala Lumpur.
Pertemuan itu adalah intraksi pertama saya dengan beliau selain di parlimen, sesekali saya terserempak dan menegurnya. Karpal seorang yang peramah dan mudah didekati dan senang diajak berbual walaupun kelihatan garang. Mendengar kisah-kisahnya di mahkamah sesuatu yang menarik. Melucukan satu cerita, beliau membela seorang pelanggan yang dituduh mencuri kerbau. Untuk memastikan apakah pelanggannya benar mencuri kerbau berkenaan, beliau meminta agar kerbau itu dibawa ke mahkamah untuk dicamkan oleh si penuduh.
Katanya, hakim bersetuju dengan cadangan itu dan kerbau yang dicuri itu diminta dicamkan oleh si penuduh. Selepas membuat pegecaman, si penuduh itu tidak dapat memastikan apakah ia kerbau miliknya atau tidak. Kegagalan si penuduh mengenali kerbau itu menyebabkan pelanggannya itu dilepas dan dibebaskan dari tuduhan mencuri.
Seperti mana diketahui umum, Karpal Singh seorang yang tegas dengan prinsipnya. Beliau juga seorang yang komited dan berpegang serta mengamal kepada apa yang dipelajarinya. Beliau sangat berpegang kepada undang-undang dan perlembagaan. Tentangan kepada pelaksaan hukum hudud sehinggakan menimbulkan kebencian umat Islam kepadanya, dihadapi secara tegas dan konsisten. Kerana kalau difahami kenapa beliau 'menentang' orang akan faham, apa yang ditentangnya bukan kerana ia hukum Islam tetapi kerana tidak dapat dilaksanakan kerana ia bertentangan dengan perlembagaan. Tentangannya dari konteks perlembagaan negara ini.
Beliau menegaskan kalau hendak melaksanakan hudud kena langkah mayatnya dahulu, kerana beliau akan menentang berdasarkan undang-undang dan apa termaktub dalam perlembagaan. Kekeliruan mengenai anologi ini menyebabkan ia menjadi isu dan menyebabkan timbul kebencian berdendam kepadanya. Kebetulan pula ia diecer oleh musuh politiknya.
Sebagai seorang berprinsip dan tegas Karpal Singh tidak gentar beliau tetap dengan pendirian dan keyakinannya. Seperti difahami perbezaan pandangan dan pendapat Karpal adalah dari sudut perundangan dan perlembagaan sahaja. Sekiranya undang-undang dan perlembagaan membenarkan, beliau tidak akan dapat berbuat apa-apa kerana beliau ketiadaan hujah-hujah lagi.
Nah, hari ini orang yang dianggap menjadi penghalang hukum hudud nombor satu itu sudah tidak ada lagi dan apakah hukum hudud akan dapat dilaksanakan semudah dianggap sekiranya tanpa penentangannya?
Mengingati ahli parlimen yang tidak akan ada dua atau tiga itu, saya ada sesuatu yang boleh dijadikan cenderahati di antara saya dengannya. Entah kenapa sebaik isteri mengkhabarkan yang Karpal sudah mati Subuh tadi, saya teringat kepada sesuatu yang diberikan Karpal itu. Saya terus mencarinya yang tersimpan dalam sebuah kotak bersama ratusan yang lain. Entah kenapa dan mengejutkan pula, begitu diambil untuk mencarinya, jari terus tercapai apa diberikan Karpal itu. Ia adalah sekeping business card yang diberikan kepada saya kira-kira 25 tahun lalu.
Saya simpan business card Karpal ini bukan kerana apa melain kerana namanya turut ditulis dalam tulisan Jawi. Kad ini diberikan Karpal sewaktu saya berjumpa dengnnya di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz, Subang. Takziah kepada keluarga Karpal Singh. Kehilangan mu amat menikam rasa. [wm.kl.8:31 am 17/04/14]
1 comment:
"Kerana kalau difahami kenapa beliau 'menentang' orang akan faham, apa yang ditentangnya bukan kerana ia hukum Islam tetapi kerana tidak dapat dilaksanakan kerana ia bertentangan dengan perlembagaan. Tentangannya dari konteks perlembagaan negara ini." Kalau org PAS boleh faham kenyataan ini, pastinya org2 UMNO tidak dikafirkan, malahan PAS dan UMNO boleh bergabung! Kenapa kita boleh faham dgn situasi Karpal Singh tetapi tidak dengan situasi pemimpin2 UMNO?
Post a Comment