Monday, March 24, 2008

Renungan Tengahari

Lantik Abdul Hadi Jadi MB
Formula Menyelesaikan Kemelut di Terengganu

MSO

PERKEMBANGAN dan kemelut politik yang berlaku di Terengganu hari ini sungguh menarik. Ada beberapa kemungkinan yang akan berlaku dan boleh dilakukan! Kalau kemungkinan ini benar-benar berlaku maka sesuatu kejutan akan berlaku di negeri Tokku Paloh itu.

Kejutan ini akan melengkapkan beberapa siri kejutan yang berlaku dalam pilihan raya ke – 12 yang berlangsung 8 Mac lepas.

Kejutan atau keganjilan yang sebelum ini tidak pernah terfikir oleh umum ialah mengenai perlantikan Adun daripada parti yang tidak mendapat majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN). Lazimnya MB di pilih dari kalangan parti yang mendapat majoriti dalam pilihan raya.

Namun apa yang berlaku di Perak dan Selangor menunjukkan parti yang lemah dan bilangan ahlinya sedikit dilantik menjadi MB.

Di Perak, Pas menang di enam kerusi DUN sahaja, manakala Umno 20, DAP 18 dan PKR 7. Kalau mengikut kebiasaannya MB akan dipilih dari kalangan Umno kerana parti berkenaan mendapat bilangan kerusi lebih, sebanyak 20.
Namun kepelikan berlaku bila mana Pas yang mendapat enam kerusi bergabung dengan DAP dan PKR dipilih menjadi MB. Ir Mohd Nizal Jamaluddin (Adun Pasir Panjang) dipilih menjadi MB Perak yang baru.

Bergabung

Begitu juga di Selangor. Umno memperolehi 20 kerusi, PKR 15, tetapi MBnya dipilih dari kalangan Adun PKR yang bergabung dengan DAP yang mendapat 13 kerusi dan Pas yang memperolehi lapan kerusi. Adun Umno tesengeh!

Apa yang berlaku di Perak dan Selangor menunjukkan peraturan demokrasi itu bukan sesuatu yang rigid dan boleh berubah sifatnya. Bahawa tidak semestinya parti yang mendapat bilangan kerusi banyak akan dipilih untuk mengetuai Kerajaan. Ada kaedah dan formulanya bagi sekecil melawan si besar.

Apakah keganjilan juga akan berlaku di Terengganu dalam tempoh sehari dua ini?

Begini, katakan kesemua 22 Adun yang ‘menderhaka’ kepada Sultan itu benar-benar mengambil keputusan nekad untuk melepaskan kerusi masing-masing. Maka pilihan raya kecil disemua kerusi berkenaan akan diadakan.

Bila kesemua 22 Adun itu letak jawatan ini bermakna Umno hanya ada dua wakil sahaja, Idris bin Jusoh dan Ahmad bin Said (keduanya calon MB). Manakala Pas pula tetap memiliki lapan kerusi.

Apakah tidak boleh dilakukan dan berlaku dalam keadaan kritikal ini, Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) memanggil Pas untuk membentuk Kerajaan sebab mereka merupakan parti mendapat majoriti di DUN Terengganu pada masa kesemua 22 Adun itu melepaskan jawatan?

Apa akan berlaku sesudah pilihan raya kecil dikesemua 22 kerusi itu diadakan itu perkara lain. Takdirnya kesemua kerusi itu dimenangi semula oleh Umno, sudah pasti mereka akan mengadakan undi tidak percaya ke atas MB Pas itu. Sudah pasti kalau undi tidak percaya dilakukan maka Kerajaan Pas itu akan tumbang.

Majoriti selesa

Tetapi bagaimana kalau separuh daripada kerusi itu dimenangi oleh Pas? Ini bermakna Pas mempunyai 19 kerusi dan akan dapat mengekalkan kerajaannya dengan majoriti selesa.

Apakah kejadian seperti itu sesuatu yang mustahil? Kalau ianya tidak mustahil pastilah Presidan Pas, Abdul HAdi Awang (foto) akan dipilih menjadi MB. Rasanya sekiranya ada peruntukan dalam perlembagaan Terengganu dan tidak berlaku percanggahan besar dengan perlembagaan Persekutuan teori atau formula berkenaan boleh diguna pakai bagi menyelesaikan kemelut politik Terengganu yang hangat kini.

Kerajaan Terengganu akan dapat dibentuk walaupun ia ditentang oleh Umno dan tanpa menungu selesai keputusan pilihan raya di kesemua 22 kerusi DUN berkenaan.

Namun saya percaya dan yakin kesemua 22 Adun yang dikepalai Adun Ajil itu, (Rosol Wahid) tidak akan berani bertindak demikian. Apa yang dilakukan itu ugutan dan cakap kosong saja. Sebaliknya pula kalau mereka tidak berbuat begitu maka mereka adalah Adun-Adun yang bacul dan persis si jalak yang kokoknya berderai ekor bergelumang tahi kerana mereka sudah sepakat untuk membaikot perlantikan MB sekiranya Idirs Jusoh tidak dipilih.

Yang jelasnya dalam situasi hari ini adalah mustahil untuk Idris Jusoh dilantik sebagai MB. Pihak istana nampaknya sudah terluka dengan apa yang berlaku. Hanya sesuatu yang juga anih dan pelik sahaja yang memungkinkan boleh membuka pintu hati istana untuk menerima Idris semula. Pun begitu apa yang berlaku terhadap Idris Jusoh dan Umno Terengganu ia tetap meninggalkan parut dalam dan besar yang akan diingati oleh semua orang. [perdana kb 12:00 t hari 24/03/08]

No comments: