Mengapa Pas seakan terlupa Subky Latif
(kemaskini) SEBELUM saya terbaca tulisan yang mencadangkan agar Muhammad Sabu dilantik sebagai Senator, cadangan itu juga sudah terpeta di dalam kepala saya. Apa lagi nama Muhammad Sabu antara 10 nama yang saya senaraikan patut berada dalam Parlimen pada penggal ini. Apabila beliau kalah tipis di Kuala Terengganu dengan kekurangan 628 undi, ia benar-benar mengecewakan saya. Ada beberapa sebab kenapa Muhammad Sabu harus dan perlu berada dalam Parlimen bersama sembilan nama lain yang saya senaraikan itu.
Muhmmad Sabu telah menunjukkan keupayaan sebagai ahli Dewan Rakyat yang berjaya sebelum ini. Isu-isu atau perbahasan yang beliau ambil bahagian mengaitkan kepentingan rakyat marhaen, kepentingan Islam, dan bangsa Melayu. Beliau akan mendepani sesiapa saja dan penjara baginya adalah bukan penghalang lagi.
Dalam membentangkan hujah beliau tidak pergi terlalu professional, lengkap dengan slide atau rakaman video sehingga sukar untuk difahami, namun dalam laras bahasa yang mudah.
Pejuang bawahan
Muhamamd Sabu bagi saya benar-benar memperjuangkan denyut nadi rakyat dan seorang pejuang bawahan yang sangat simple. Kerana itu Muhammad Sabu menjadi kegemaran orang kampung. Kalau hendak pastikan ceramah Pas dibanjir ribuan orang maka senarailah nama Muhammad Sabu sebagai pemidato. Ada kalanya Muhammad Sabu dijadikan pelaris untuk meramaikan orang bagi mendengar pemidato profesional.
Apabila ada orang menulis mencadangkan beliau agar dilantik menjadi Senator, maka saya menyokong penuh kalau mana-mana negeri, Kelantan dan Kedah khususnya memberi kouta Senator kepada Muhammad Sabu. Bukan untuk survival kehidupannya. Muhammad Sabu boleh hidup dengan duit lima ringgit dan dia boleh menjelajah ke seluruh Malaysia dalam tempoh tiga hari tiga malam.
Tetapi kita mahu Dewan Senat panas dan hangat dengan perbahasan seperti juga Dewan Rakyat sesuai dengan kebanjiran 82 ahli Parlimen Barisan Rakyat (BR) kini. Kita tidak mahu Dewan Senat hanya menjadi rubber stam yang mengendorcekan apa yang Parlimen luluskan. Atas kepentingan itulah perlunya bekas MP Kuala Kedah dan Kubang Kerian itu dilantik menjadi ahli Senat untuk menjadi pemantau di Dewan Senat.
Apabila berbicara soal kerusi Senator ini, kepala saya juga sudah lama tersumbat sendiri memikirkan sesuatu polisi Pas yang saya tidak faham. Dalam pengamatan saya ada seorang tokoh yang cukup layak untuk diangkat menjadi ahli dewan Senat namun ia seakan tidak pernah terfikir.
Sewaktu Pas menguasai kerajaan Terengganu tahun 2004 saya sudah ingin menyuarakan agar melantik tokoh berkenaan. Namun kerana Pas telah membuat peraturan dan ketetapan bahawa kerusi Senator hanya untuk muslimah menyebabkan saya mendiamkan diri.
Namun kerana kini sudah ada anjakan, di mana muslimah juga sudah menjadi Exco dan wakil rakyat DUN dan Parlimen, bermakan kerusi Senator bukan lagi menjadi kerusi muslimat mutlak. Sehubungan itu adalah baik kalau Kerajaan Kelantan atau Kedah yang memiliki masing-masing dua kouta kerusi Senat melantik tokoh banyak berjasa ini.
Tokoh yang saya maksud itu tidak lain dan tidak bukan ialah sdr Subky Abdul Latif, seorang penulis dan wartawan politik terkenal. Sebenarnya beliau bukan wartawan biasa tetapi lebih wajar dianggap sebagai bapa wartawan moden Malaysia khususnya keterampilan dalam mengulas isu-isu politik kontenporari. Kemuculan puluhan penulis politik dan wartawan politik dua tiga dekad ini adalah sedikit sebanyak kerana menumpang semangat beliau.
Kehebatan ini satu aset kepada Pas apabila beliau memilih Pas sebagai wadah perjuangan. Namun Pas semacam tidak merasai akan kehebatan beliau ini. Bahkan saya mendapat tahu suatu masa dulu untuk beliau menulis dalam Harakah, akhbar rasmi Pas pun menjadi masalah walhal Harakah itu adalah hasil buah tangannya.
Berhutang dengan orang Umno
Generasi muda mungkin tidak tahu sejarah dan jatuh bangun beliau dalam perjuangan Pas. Beliau pernah bertanding beberapa kali baik dalam pilihan raya kecil maupun piliahan raya umum. Seingat saya kali pertama beliau bertanding ialah dalam pilihan raya kecil di Klang dalam tahun 70-an. Menurut seorang teman beliau pernah berhutang dengan orang Umno untuk membayar deposit pilihan raya.
Demi perjuangan Pas beliau telah mengorbankan masa depan dan kerjayanya dalam bidang wartawan. Saya yakin kalau beliau tidak memilih untuk bersama Pas beliaulah orang yang akan mengendalikan Utusan Malaysia apabila ditawarkan untuk diantik menjadi Ketua Pengarang Kumpulan. Jelas kerana perjuangan Pas – Islam, beliau rela mengenepikan tawaran glomor itu.
Manakala di dalam Pas pula beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Agung beberapa penggal. Antara jawatan tertinggi pernah dipegang ialah selaku Ketua Penerangan Pas Pusat dan juga Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan.
Adalah tepat sekali dan sesuai kalau kerusi Senator diberikan kepada Subky. Pemikiran, ulasan dan kritikan-kritikan beliau masih relevan dan hijau. Kelebihan dan keistimewaan beliau menghayati dan mengulas sesuatu isu sangat berguna untuk diwacanakan dalam Dewan Senat.
Manakala dari segi sejarah dan peranan pembangunan bangsa menerusi journalis, Subky mempunyai pengalaman yang luas dan tidak semua orang memilikinya. Sebahagian yang ada dalam khazanah pemikirannya tidak ada dalam kepada wartawan muda atau veteran hari ini.
Kalau membaca catatan-catatannya menjelaskan beliau adalah antara orang penting (setidak-tidak menjadi pendengar dan saksi) bagaimana kerajaan Tuanku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein dibentuk dan menyaksi dan merasai sendiri kemelut negara-bangsa disaat-saat berlakunya Tragedi 13 Mei.
Walaupun kini penulis dan wartawan itu sudah sering uzur kerana gaout, dan kadang kala berjalan bertemankan tongkat, namun pemikirannya tidak pernah usur. Kerajinan dan kemampuan menulis dan mengolah isu dalam beberapa akhabar termasuk Siasah, Harakah dan Buletin Rakyat menjelaskan beliau masih sihat dan bersemangat. Semangatnya dalam dunia penulisan mengalahkan anak mudah baru tumbuh susuh.
Hendaknya Pas yang ada kalanya terlalai terhadap budi dan jasa orang terdahulu tidak sama mengkesampingkan budi dan jasa Subky sejak berpuluh tahun itu. Ingat dan sedarlah apa yang dinikmati kini adalah atas rintisan beliau.
Pun begitu melantik Subky sebagai Senator tetap tidak sepadan dengan pengorbannya dalam perjuangan Islam (Pas) selama ini, namun setidak-tidaknya perlantikan itu kelak akan dapat dijadikan sebagai cenderamata perjuangannya selama ini. [wm.kl 7: 00 am 29/03/08]
3 comments:
Benar sekali pendapat saudara Merah Tinta. Subky Latif telah saya ikuti tulisannya semenjak 1970an lagi. Beliau juga telah menghasilkan buku-buku politik. Beliau merentasi zaman yang panjang dalam politik negara. Malah sesuatu rencana atau bukupun patut ditulis tentang siapa dia Subky Latif itu. Harap PAS sedia mencalonkan dia sebagai senator.
Saya sokong saranan tuan untuk mencalonkan Subky Latif sebagai senator.Beliau adalah orang lama PAS yang masih menyumbang melalui penulisan didalam beberapa akhbar politik. Didapati pendapat dan pemikiran beliau masih bernas dan masih relevan pada masa ini.
Biarpun saya tidak mengenali saudara Subky Latif secara peribadi, namun saya amat menyokong cadagan saudara Merah Tintan agar beliau diberi penghormatan sebagai 'Senator Rakyat'. Saya juga amat mengagumi hasil penulisan saudara Subky Latif. dan saya percaya beliau mampu memperjuangkan hak-hak rakyat di dalam Dewan Negara. dan jika diperhatikan dari sudut sejarah pula memang beliau amat berjasa dalam bidang kewartawanan tanah air.
Post a Comment