Sunday, March 16, 2008

Berita Lewat

MB Selangor Temui Penduduk Pengsapuri Permai, Sungai Besi

TENGAH hari tadi Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim memulakan tanggungjawabnya turun menemui rakyat apabila memenuhi undangan penduduk Pangsapuri Permai, di Sungai Besi yang mengadakan kenduri meraikan kemenangan beliau sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan sekaligus perlantikan sebagai MB Selangor yang baru.

Majlis anjuran persatuan penduduk pangsapuri berkenaan telah mengorbankan seekor lembu dan dihadiri oleh kira-kira 500 penduduk pangsapuri berkenaan yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Turut sama hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairuz Khairuddin yang kebetulan berada di ibu kota.

Tanpa bunga mangal

Khalid yang datang dengan menaiki kereta pancuan empat roda (bukan kereta rasmi Kerajaan Negeri Selangor) disambut meriah tanpa paluan kompang dan perarakan bunga mangal seperti kebiasaan dilakukan terhadap MB Selangor terdahulu.

Sebaik tiba penduduk berbagai kaum tidak kira muda dan tua, lelaki dan perempuan mengerumuni beliau untuk bersalaman dan mengucap tahniah atas kejayaan memenangi kerusi Parlimen Badar Tun Razak dan juga perlantikan sebagai MB.

Beberapa peduduk tidak dapat menahan emosi, menangis sambil menerkam memeluk erat Khalid. Kanak-kanak juga turut sama menunggu dan berebut-rebut untuk bersalaman dengan Menteri Besar baru itu.

Keghairahan pendudukan berkenaan menyambut kedatangan Khalid yang bersongkok dan memakai baju lengan panjang biru itu seolah tempat mereka itu tidak pernah didatangi mana-mana pemimpin sebelum ini. Ternyata penduduk berkenaan sangat dahagakan kunjungan pemimpin seperti Khalid.

Sebelum berucap dan menjemu selera bersama penduduk Khalid menunaikan solat Zuhur dengan penghuni beragama Islam pangsapuri berkenaan di surau pangsapuri itu. Beliau juga turut menziarahi dan menghadiri majlis kenduri seorang penyokongnya yang tinggal di pangsapuri berkenaan.

Rendah diri
Dalam ucapan ringkasnya Khalid mengingatkan kepada penyokong Keadilan, Pas dan DAP supaya senantiasa merendahkan diri dan jangan sesekali menyakiti hati orang lain. Beliau merujuk kepada majlis kesyukuran yang mungkin banyak lagi diadakan selepas ini hendaklah diadakan secara sederhana dengan menjemput semua pihak.


"Kita hendaklah merendah diri dan jangan sesekali menyakiti mana-mana pihak," pesan Khalid.

Dalam pada itu beliau juga meminta mana-mana kaum belia yang tidak ada kerja mendaftarkan diri masing-masing untuk membolehkan Kerajaan Selangor mendapatkan kerja sesuai untuk mereka.

"Insya-Allah kita akan cuba menyelesaikan masalah kaum belia kita ini dengan mencari dan menyediakan kerja atau kemahiran untuk mereka bagi mengatasi kesulitan yang mereka alami," ujarnya.

Beliau juga mengarahkan mana-mana penyokong Keadilan dan orang ramai yang belum mendaftarkan diri sebagai ahli Keadilan hendaklah berbuat demikian dengan segera dan seberapa ramai yang boleh.

Fairuz yang juga turut sama memberi ucapan ringkas menjelaskan bahawa apa yang berlaku di Pulau Pinang (tunjuk perasaan oleh Umno) adalah kerja mereka yang tidak faham dan mahu menerima hakikat kekalahan mereka.

Mengenai dakwaan pembangkang (pemimpin BN) mengatakan Kerajaan Pulau Pinang menolak DEB ianya tidak benar sebalik apa yang berlaku ialah, Ketua Menteri, Lim Guan Eng menjelaskan apa yang beliau tidak setuju ialah mengenai pelaksanaan DEB itu sendiri yang penuh rasuah, berlaku kronisme dan juga ketidaktelusan dalam pengagihannya.

"Soal DEB ini juga tidak perlu berbangkit lagi kerana perlaksanaannya sudah lama tamat," ujar beliau disambut dengan tepukan gemuruh. Majlis sambutan itu sunyi daripada rakaman kamera tv dan kehadiran wartawan akhbar gergasi seperti mana lazimnya. [sg besi. 3:00 pm 16/03/08]

No comments: