DAP Jangan Rosakkan Harapan Rakyat
(Kemaskini) DAP tidak setuju dengan pemilihan Ir Mohammad Nizal Jamaluddin (Adun Pasir Panjang) sebagai MB Perak. Ekoran itu Penasihat DAP Lim Kit Siang telah mengeluarkan satu kenyataan (menerusi blognya) semua 18 Adun DAP akan memulaukan majlis angkat sumpah yang dijangka berlangsung hari ini.
Alasan Kit Siang ialah Mohammad Nizal tidak sepatutnya dipilih menjadi MB sebab partinya (Pas) menang sedikit. Pas menang hanya enam kerusi, PKR lapan dan DAP 18.
Alasan itu memang logik. Tetapi Kit Siang kena faham realiti dan apa yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Tubuh Kerajaan Perak. Jawatan MB hanya boleh dipilih di kalangan Adun Melayu sahaja. Dalam 18 orang Adun DAP itu seorang pun tidak ada Melayu.
Di sinilah silapnya DAP kerana tidak memberi peluang kepada ahlinya berbangsa Melayu menjadi calon.
Kita percaya pemilihan Mohammad Nizal oleh Sultan Perak itu bukan kerana sentimen Melayu tetapi kerana Perlembagaan berhendakkan begitu. Kena pinda perlembagaan terlebih dahulu barulah realiti dan amalan itu boleh dimansuhkan.
DAP sedar dan arif mengenai hal ini. Justeru Kit Siang mahukan calon daripada PKR, Jamaluddin Mohd Radzi dilantik menjadi MB. Mungkin Kit Siang merasa selesa dan mudah untuk berurusan dengan PKR berbanding dengan Pas. Semua faham akan keadaan ini.
Namun hakikat bahawa penentu siapa menjadi MB ialah Sultan. Apabila sultan telah memilih dan berkenan (perkenan) kepada Mohammad Nizal tidak eloklah diungkitkan lagi. Membatahkan keputusan yang dibuat oleh sultan seolah-olah kita tidak menghormatinya kalaupun tidak sampai menderhaka!
Langkah Kit Siang itu juga kurang bijak. Mudah-mudahan 18 Adun DAP dari Perak itu tidak akan terikut-ikut dengan gertakan dan sentimen Kit Siang itu. Mereka harus akur dengan keadaan yang ada. Sekarang ini bukan masanya untuk pakatan pembangkang (Barisan Rakyat) memulakan sengketa. Saat ini ialah perlu saling hormat menghormsti, berkorban demi merealisasikan harapan dan impian rakyat.
Kit Siang pula jangan kerana DAP menang besar di Penang sudah mula menunjukkan angkuh dan sombong. Beliau perlu sedar di Penang bahawa BN/Umno masih mempunyai wakil-wakil mereka di sana. Perasaan orang Melayu di luar jangan disakiti kerana dibimbangi ia juga akan turut dirasai oleh Melayu Pulau Pinang. Selalunya paha kiri juga akan terasa sakit kalau paha kanan dicubit.
Rakyat menolak BN kerana mereka ingin melihat sejauh mana kemampaun BR mentadbir negara ini. Rakyat mahu uji sejauh mana keakraban dan kerjasama yang boleh diwujudkan. Kalau tidak sampai seminggu sudah ada perbalahan dan menimbulkan masalah, mungkin rakyat terpaksa berifkir balik untuk meneruskan sokongan mereka kepada BR.
Masalah yang berlaku di Perak perlu dibendung. Anwar Ibrahim yang menjadi jururuding (alis jurunikah politik) kerjasama pembangkang hendaklah bertindak cepat. Saya cukup bimbang kalau masalah di Perak tidak diselesaikan segera ia akan berjangkit sedikit demi sedikit ke negeri-negeri lain.
Yang paling memalukan kalau beberapa kerajaan BR yang dibentuk dengan majoriti mudah itu musnah di tengah jalan.
Sementara itu laporan terbaru menyebut Kit Siang sudah menyesali perbuatan itu dan telah mermohon maaf kepada Sultan Perak. Kesemua 18 Adun DAP juga dijangka akan hadir pada majlis angkat sumpah yang dijangka berlansung petang ini di hadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah. [wm.kl 9:02 am 13/03/08]
No comments:
Post a Comment