Saturday, March 1, 2008

Laporan Tengahari

Cerita Bekas Menteri dan Kenduri Dr Hatta Ramli

DALAM perjalanan ke rumah Dr Mohd Hatta Ramli bersama anak dan isteri untuk meraikan perkahwinan anaknya sekejap tadi saya menerima satu panggilan dari luar negeri. Suspen juga mulanya dengan panggilan itu. Selepas bercakap baru saya mengenali suaranya, dia adalah seorang bekas menteri kabinet di zaman Dr Mahathir Mohamad.

Mulanya menteri berkenaan bertanya mengenai perkembangan mutakhir politik negara. Beliau mahu tahu kedudukan pembangkang khsusnya. Katanya dia mahu laporan lanjut kerana tidak berpuas hati dengan laporan dan catatan ringkas saya di dalam blog Merah Tinta MSO beberapa hari lalu.

"Macam mana perkembangan Pas di Kelantan, apakah Pas boleh mempertahankan lagi kerajaan negeri," tanya bekas menteri itu yang kini berada di Jakarta kerana menziarahi ibu mertuanya yang sakit. Nada suaranya mengharap dan semacam tidak rela kalau Pas terlepas kepada Umno.

Silih berganti

"InsyaAllah... kalau dilihat kepada suasana hari ini Umno masih sukar untuk menumbangkan Kerajaan Kelantan! Tetapi Pak Lah dan Najib silih berganti turun naik ke Kelantan" jelas saya. "Hari ini pun Najib akan ke Kelantan walhal baru samalam Pak Lah dah turun," beritahu saya lagi.

"Di Terengganu macam mana, pula?" tanyanya. Saya masih belum turun ke Terengganu. Cuma dari maklumat beberapa kawan di sana waima dari Pas atau Umno mengatakan Umno sakit. Cadangan saya akan ke Terengganu sehari dua lagi. Dari apa yang didengar itu, ada lonjakan luar biasa kepada Pas kali ini.

"BN masih kekalkan memerintah Terengganu, tetapi lonjakan kepada Pas begitu luar biasa sehari dua ini! Pas kni sudah ada 12 kerusi selamat di Terengganu" begitulah jelas berpandukan maklumat yang diterima tanpa tokok tambah

"Apakah Man Bakar (Datuk Abdul Rahman Bakar), tidak tolong kita?" tanya menteri berkenaan beriya. Saya terkaget dengan pertanyaan itu dan apabila bekas Menteri itu menggunakan perkataan ganti nama "kita". Bulu roma saya terus merinding. Mengapa bekas menteri Umno berkenaan mengambil sikap begitu. Nampaknya dia tidak suka kepada partinya lagi dan lebih suka kalau Pas menang.

"Raja Putera dan Rosli Mat Hassan macam mana?" tanya beliau lagi. Saya tidak berani memberi banyak komen kerana tidak melihat apa yang berlaku sebenarnya. Cuma dari segi logik bolehlah diandaikan mereka yang kecewa kerana tidak dapat calon lebih-lebih dipermainkan pasti akan membalas dendam. Permainan itu biasa dalam politik, apa lagi politik Umno.

Jawab isu

"You bagi tahu kepada orang Pas agar perbanyakan bahan kempen untuk hari terakhir. Serangan BN di saat akhir sukar diduga. Beberapa isu yang sudah dibangkitkan jawab dan sebarkan kepada orang ramai," cadangnya persis ikhlas dan berpandukan kepada pengalamannya dalam Umno.

"Di Pantai Barat macam mana pula?" soalnya lagi.

"Semalam saya dapat telefon dari Klang mengatakan India di sana duduk dalam pos Pas," beritahu saya. Belum habis penjelasan saya, bekas menteri berkenaan terus menyambung, .. "Di Kedah (Kuala Kedah) ada Cina yang pakai baju Pas," katanya. Tambahnya juga apa yang beliau dapat tahu orang India yang tergolong dalam Hindraf hampir 90% menyokong pembangkang.

Ada logik dan benar juga kata-kata bekas menteri berkenaan. Berdasarkan kepada cermah Anwar Ibrahim di Brickfields malam kelmari kira-kira 75% daripada lebih 5,000 yang hadir ialah India.

DI RUMAH Dr Mohd Hatta Ramli, di Taman Haras, Ulu Klang Selangor, para tetamu jemputannya berderu datang sebaik saja 'kedai kenduri' di buka jam 11:00 pagi. Kenduri itu sudah jadi macam pos pilihan raya pula. Boleh dikatakan kebanyakan yang hadir bercakap fasal pilihan raya dan siap dengan berkempen sekali antara satu sama lain.


Menariknya jemputan yang datang itu diberikan cendermata bukan saja coklet, telor atau sapu tangan tetapi turut sama disertakan dengan mini manifesto Pas Selangor dan juga kertas biografi ringkas calon Pas bagi kerusi DUN N 18 Hulu Klang, Saari Sungip.

Semasa saya di situ tadi saya nampak beberapa pemimpin veteran Pas turut kelihatan meraikan majlis berkenaan. Antara mereka Subky Latif, Ustaz Hassan Shukeri. Setengah jam kemudian muncul pula Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali yang juga calon Pas di DUN N 17 Gombak Setia.

Kenduri berkenana cukup meriah. Dr Hatta dan isterinya pula mendapat dua ucapan selamat; selamat berjuang dan menang dan tahniah kerana mendapat menantu.

Dan hari ini adalah hari paling sibuk bagi Dr Hatta dan isteri, Dr Kalsom kerana sebaik saja kenduri selesai beliau bersama isteri dan anak-anaknya akan berlepas ke Kuala Krai.

"InsyaAllah sebaik selesai kenduri saya akan bersama anak dan isteri ke Kuala Krai," ujarnya yang seolah jasad saja berada di Kuala Lumpur tetapi roh dan jiwanya di Kuala Krai bersama rakyat yang sedang menongkas gelombang! [ulu klang. 12:45 pm 01/03/08]

No comments: