Rakyat Rombak Simpul Hegemony BN
WALAUPUN kelamarin dan semalam adalah hari-hari paling meletihkan dalam kehidupan saya namun ia bukan alasan untuk tidak mengisi dan melaporkan perkembangan mengenai pilihan raya menerusi blog ini. Sebaliknya kekosongan itu kerana, diri jadi tidak terkata dan sukar dibayangkan perasaan apa yang berladum dalam diri ketika ini ekoran apa yang berlaku semalam.
Terlalu gembira itulah yang boleh dikatakan. Terlalu suka dan diri menjadi sebab dan pilu kerana melihat perubahan besar dalam politik demokrasi negara. Air mata jatuh berderai apabila menerima berita banyak calon-calon pembangkang menang terutamanya Nurul Izzah di Lembah Pantai.
Terasa dalam mimpi semuanya apabila melihat pembangkang menang besar. Sukar untuk dipercayai realiti itu meskipun sudah lama ia diperjuangkan pembangkang.
Selama 50 tahun pembangkang berikhtiar untuk melupuskan kekotoran dan kebejatan dalam Kerajaan Barisan Nasional (BN). Pembangkang melalui jerit perih dan penderitaan mentrajiskan. Sudah berapa banyak darah pembangkang menitis dan bulu roma rakyat gugur pada setiap kali diadakan tunjukkan perasaan atau protes-protes mengenai berbagai isu.
Setiap kali itu juga derai dan tawahilai penuh ejekan parti pemerintah pecah dan menyumbat ke dalam lubang telinga.
Angkuh dan sombong
Pun begitu, apa yang berlaku semalam (8 Mac) tetap mengejutkan dan menyentap tangkai hati. Kerana selama 13 hari lalu parti Kerajaan begitu angkuh dan sombong serta tidak ternampak sedikit pun bahawa lubang nafas mereka sudah mulai menyempit. Pembangkang tidak merasakan bahawa mereka sedikit pun tergugat dengan segala prasarana dan senjata pilihan raya yang mereka miliki.
Paling merujakan ialah apabila empat buah negeri jatuh serentak kepada pembangkang.
Mungkin kembalinya Kelantan dalam pelukan Pas yang lebih kemas dan kejap lagi tidak begitu memeranjatkan. Sebab ianya dijangka awal-awal lagi. Sebaliknya kejatuhan Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang kepada Bariasan Alternatif (BA) sungguh mengejutkan dan ia bagaikan mimpi yang hadir dari sebuah tidur yang lena.
Manakala kegagalan Pas untuk kembali memerintah di Terengganu pula menjadikan diri menggigil sendiri dan bertanya kepada alam nyata apakah yang berlaku itu benar? Tidak percaya dan fikiran jahat menjelajah dalam diri apakah sisa-sisa penipuan ala dajal masih berlaku di Terengganu?
Tidak sepatutnya Terengganu gagal dipulangkan kepada hak rakyat (Pas), sedangkan negeri-negeri yang tidak diramalkan dapat ditakluki satu persatu iaitu; Selangor, Perak, Kedah dan Penang begitu mudah dikuasai pembangkang kali ini.
Mungkin tanggapan ini silap, kerana tidak dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku sebenarnya dalam kamar tidur parti BN dan Umno di negeri-negeri berkenaan sehingga keempatnya jatuh dan tersungkur.
Kejayaan Pas menguasai Kelantan yang merupakan satu pemberian lesen besar oleh rakyat tidak mengejutkan kerana ia telah diduga awal-awal. Namun ada juga beberapa keajaiban dan kejutan yang boleh melemahkan jantung orang politik di Kelantan.
Kejayaan Pas hampir menyapu bersih mengulangi sejarah pilihan 1990 menyebabkan selepas ini wakil rakyat Pas dan Tok Guru Nik Aziz boleh nyenyak dalam gebal tebal. Atau hasrat Tok Guru untuk untuk mengundurkan diri dan menyalinkan eksekutif (CEO) negeri Kelantan kepada calon pilihannya sudah dimakbulkan Allah dengan kemenangan itu.
Mengecewakan rakyat
Kemenangan ini adalah masa terbaik bagi beliau berbuat demikian. Cuma apa yang difikrikan sekiranya beliau berundur dalam tempoh terdekat ini apakah ianya tidak mengecewakan rakyat dan dianggap sebagai satu pembohongan kerana sepanjang kempen lalu beliau masih dicagarkan akan terus memimpin Kelantan.
Tergulingnya bakal MB Kelantan Awang Adek Hussin yang diguraukan sebagai Awang Agah, memberi alamat buruk kepada BN dan Umno Kelantan. Kegagalan meletakkan Awang Adek di JKR 10 itu juga perlu dipertanggungjawabkan oleh akiteknya, Annuar Musa. Annuar Musa seharusnya selepas 7:00 malam semalam melepaskan semua jawatan dalam politik dan kalau sudi bolehlah membawa sebidang tikar dan sebiji bantal usang untuk memondok di mana-mana pondok di Kelantan atau Kedah.
Dalam catatan rengkas pasca pilhan raya ini, ingin saya simpulkan bahawa kini sudah berlaku peralihan besar dalam politik negara. Bahawa rakyat sudah mula bertindak dan menunjukkan kuasa dan taringnya. Perubahan yang berlaku semalam adalah satu rombakan ke atas simpulan paradigma dalam politik Malaysia yang selama ini dituhani oleh BN/Umno.
Denai dan lorong untuk membawa kerana keranda kerajaan BN selepas ini nampak jelas sekali. Saya cukup yakin sekiranya Anwar Ibrahim berpeluang bertanding pada 8 Mac lalu, Kerajaan BN sudah jatuh sepenuhnya dan hari ini Anwar sudah bersiap sedia untuk mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri.
Apa yang saya sebut-sebutkan dan dianggap sebagai satu teori di luar akal segar sebelum ini bahawa Anwar akan jadi PM dalam tahun 2008 nampak semakin mahu menjadi kenyataan dan teori yang kabur itu sudah mula menerang?
Keputusan rakyat semalam satu perluahan kebencian tinggi kepada kepimpinan kerajaan hari ini, terutamanya kepada Abdullah Ahmad Badawi, anak-anak dan menantunya serta kuncu-kucunya. Abdullah kena bertanggungjawab. Sekiranya semangat ahli politik Jepun dan Barat ada dalam diri Abdullah menjelang tengah malam semalam beliau sudah kena meletakkan jawatan dan tidak perlu bersusah payah mencari alasan dan buat posmortem atas kekalahan teruk BN itu.
Kekalahan 'gila' BN dan kejatuhan empat buah negeri perlu ditangungjawabkan oleh timbalannya Najib Razak. Namun disebabkan nilai dan maruah politik mereka setaraf dengan politik budak-budak maka tindakan bertanggungjawab itu tidak diambil.
Kepada rakyat terima kasih, tahniah dan syabas atas keberanian itu. Dan paling menyeronokkan ternyata peranan media bebas internet yang menjadi penyalur kepada maklumat yang global sudah memberi kesan besar. Kepada teman dan sahabat blogers yang tidak pernah jemu dan letih menggodak kerajaan BN, sesungguhnya pengorbanan kita itu separuhnya terbayar semalam! [perdana kb 10:30 am 09/03/08]
No comments:
Post a Comment