Tuesday, March 11, 2008

Dari Luar

Strategi Najib Untuk Memalukan Abdullah

SATU catatan mengenai politik Najib Razak di Pekan yang diemailkan kepada saya agak menarik. Elok kalau saya siarkan dalam blog ini untuk tatapan umum. Jadi tidak payahlah lagi untuk saya menyusun atau mengolah balik idea ini kerana cara penulisannya mudah difahami. Saya beri judul catatan itu sebagai "Strategi Najib Untuk Memalukan Abdullah."
Terima kasih saya ucapkan kepada pengirim yang beradal dari Kuantan Pahang. - MSO

Salam MSO yang diingati, semoga sdr
sejahtera.

Saya ingin meluahkan pandangan politik negara kepada sdr kerana percaya sdr lebih cepat memahaminya selain kedudukan saya sebagai kakitangan awam yang amat dibatas memberi komen politik. Oleh itu kepada orang seperti sdr saya meluahkan pemikiran. Mana-mana yang bermanfaat, bisa dikongsi kegunaannya.

Setelah mengetahui senario politik negara melalui PRU12, ada perkara besar yang belum sdr sampaikan kepada khalayak atau belum masanya. Isunya ialah pergolakan dalam Umno yang
disusun rapi sekali. Hasil PRU12 bukan sahaja menggembirakan parti-parti bukan BN, malah Datuk Seri Najib selaku TPM dan Timbalan Presiden Umno.

Semua tahu, di balik kekalahan teruk BN dan kemerosotan semua undi di wilayah yang BN
menang, Najib membuat kejutan yang bukan kepalang iaitu meningkatkan undi. Bukan kawasan parlimennya saja, malah keempat-empat kawasan Dewan Undangan Negeri yang dinaunginya. Ini bukan suatu kebetulan, tetapi sudah lama dirancang sejak hasil PRU10 yang dia hanya menang tipis.

Kalau orang seperti saya dapat menduga BN akan berdepan masalah dalam PRU12, bodohlah
kalau percaya Najib hanya bergantung kepada nasib. Beliau menguasai Kementerian Pertahanan, segala kelengkapan risikan dan strategi gerak gempurnya. Dia tahu PM Paklah akan bermasalah besar di Pulau Pinang, dan sekarang terbukti. Dalam diam Najib telah menyusun stategi supaya undi untuknya tidak turun malah meningkat naik.

Menyusun strategi

Semasa PRU10 tahun 1999, saya tinggal di Pekan dan tahu bagaimana orang Pekan
menolaknya. Dia hanya menang 241 undi. Dia menyusun strategi majority 10 ribu untuk PRU11 melalui kerjasama SPR. Sdr bayangkan kawasan tentera di Batu 10 Jalan Gambang berada dalam daerah Kuantan dan asalnya dalam Parlimen Paya Besar, tetapi dimasukkan dalam wilayah Parlimen Pekan. Sekarang kalau memandu di Jalan Gambang, sdr akan tiba di Batu 10 yang beralamat Kuantan dalam kendalian Majlis Perbandaran Kuantan tetapi itu
wilayah undi Najib dari Pekan. Adakah semasa SPR membuat sempadan baru tidak ada campur tangan Najib? Bodohlah kalau kita percaya SPR benar-benar jujur membina kawasan baru di Pekan itu.

Sejak tahun 2000 lagi, semua sekolah mempunyai perisiknya sendiri. Umno benar-benar mahu pastikan semua guru di Pekan mengundi BN. Misalnya jika ada seorang ustaz sebelumnya memihak kepada Pas, dia akan dipanggil dalam majlis Umno sekurang-kurangnya sebagai pembaca doa selamat. Selepas itu ustaz berkenaan akan terus dipanggil dan diberi tugas
keagamaan dalam aktiviti Umno. Ustaz ini seperti sudah terkepung dan akhirnya orang melihat ustaz berkenaan sudah berada dalam pihak Umno. Dan apabila bendera Umno dipacak di hadapan rumahnya, dia tidak mampu lagi menurunkannya.

Asalnya Pekan hanya mempunyai tiga kawasan DUN, tetapi sejak 2004 menjadi empat DUN, satunya untuk memastikan kem tentera Batu 10 Jalan Gambang masuk dalam kawasan Parlimen Pekan. Sebab itu dalam PRU12, dia mendapat majority lebih 26 ribu.

Dahulu sebelum PRU11, akhbar Harakah dan Sidang (keluaran Pas Pahang) ada mendedahkan penempatan orang luar ke daerah Pekan di Jalan Pekan-Nenasi. Harakah telah mendedahkan kira-kira dua ribu penduduk berasal dari Kedah ditempatkan dalam rumah panjang dan khabarnya dijanjikan kawasan tanaman padi. Mana ada kawasan padi baru di Pekan, tiadalah. Sekarang, kalau sdr menyusuri jalan ke Nenasi-Mersing melalui jalan pantai masih dapat melihat rumah berkenaan. Tidak tahulah apa nasib mereka. Kebanyakan orang yakin merekaturut menjadi pengundi di Pekan sejak 2004.

Dengan stategi itu, janganlah kaget dengan kenaikan kepada 26 ribu majoriti di Parlimen Pekan pada PRU12 ini. Akhbar Siasah juga telah mendedahkan kemasukan orang-orang yang dicurigai dan menjadi pengundi di Pekan. Di Pekan juga ada kawasan penempatan orang Kemboja yang diiktiraf oleh PBB sebagai pelarian politik sejak tahun 1975.

Apa yang menghalang pihak Najib daripada memberi IC dan hak mengundi kepada
mereka? Kawasan Pekan sangat luas dan petugas BA tidak mampu untuk mengawasi segala aktiviti Umno. Tambahan pula sesiapa yang dikenal pasti menjadi aktivis BA, pasti akan sentiasa diawasi oleh perisik Umno. Soal wang untuk membiayai kejayaan Umno menyekat pengaruh BA atau memastikan orang akur kepada Umno bukan masalah kecil pun. Tak mungkin kawasan bakal PM akan bermasalah. Membujur lalu, melintang patah.

Menghadapi masalah besar

Dengan kenaikan undi pada saat semua kawasan BN kalah atau cemas, maka patut ada ahli-ahli
akademik aliran politik mengkaji keadaan ini. Dengan Najib sahaja yang bergaya menambah undi, Paklah menghadapi masalah besar, maka sekaranglah masanya Najib meneruskan langkah. Sdr pun tahu di Kelantan, bukanlah Najib beria sangat untuk menolong BN, malah ada khabar dia tidak mahu Annuar Musa menang kerana mahu mengurangkan orang Paklah.

Dengan Pahang kekal sebagai kubu BN-Umno bersama Johor, apakah yang menghalangnya untuk menjadikan Paklah panas punggung sekarang? Sekalipun itu isu Umno kelak, tetapi kita perlu melihat bagaimana Najib menjalankan strateginya menggunakan SPR, tentera dan orang-orangnya untuk memastikan cita-cita politiknya berjaya.

Katakan saja selepas ini Paklah berundur, maka Najiblah menggantikannya. Akan bermulalah stategi politiknya untuk memusnahkan pakatan BA yang sedang harum sekarang. Pakatan dan politik BA sejak sekarang patut jangan leka membuat kenduri sembelih lembu kerana BA
menang di banyak tempat, kerana puak BN-Umno sedang menyusun strategi pada saat orang-orang BA bergelak ketawa dan menyindir orang-orang BA yang kalah.

Adakah putaran 10 tahun menjadi kemestian? Tahun 1990 BN dicederakan, tahun 1995 lukanya sembuh. Tahun 1999 BN kembali dicederakan, tahun 2004 luka BN kembali sembuh. Tahun 2008 BN luka parah, jadi tahun 2012 kelak BN akan sembuh semula di tangan Najib! Jika begitu kerajaan BA yang majorti mudah di Kedah, Perak Selangor akan tamat pada 2012?

Rasanya cukuplah. Terima kasih kerana dalam kesibukan, sdr masih sudi membaca tulisan ini.
Maaf jika mencuri masa emas sdr.

Sekian,
wasalam.

Peminat MSO

di Kuantan. [wm.kl 9:30 pm 11/03/08]

No comments: