Saturday, May 31, 2008
Ulasan Peristiwa
BUKAN senang hidup dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini. Kalau tidak ada kerajinan, keberanian dan muka tebal mungkin apa yang diimpikan meskipun hak kita tidak akan tercapai dengan mudah.
Walaupun kita ada pemimpin yang dipilih untuk menjadi hamba rakyat membawa suara dan memperjuangkan kepentingan rakyat, namun tidak semua dapat memainkan peranan. Atau tidak semua suara mereka didengar oleh pihak atasan. Ianya bagaikan dilepas pada angin lalu saja.
Adakalanya pemimpin hanya mendengar saja tetapi tidak tahu dan berani untuk bertindak dan berusaha keras untuk kepentingan rakyat. Atau mereka merasakan masalah-masalah rakyat bukan tanggungjawab mereka lagi setelah mereka menang?
Apa yang berlaku kepada kira-kira 1,800 penduduk Bandar Mahkota Cheras dan taman-taman sekitarnya adalah bukti bagaimana hidup di negara ini bukan muda seperti disangkakan. Kemerdekaan, demokrasi, tidak bermakna rakyat boleh meriba tangan dan memperolehi hak mereka sepatutnya.
Rakyat masih diperlakukan sesuka hati untuk kesenangan pihak tertentu. Satu sudut rakyat negara ini macam kuli batak kepada pihak-pihak tertentu yang bersifat kapitalis.
Bayangkan bagaimana kalau penduduk Bandar Mahkota Cheras itu tidak bertindak melawan kapitilis yang membina lebuh raya yang telah menghalang laluan utama mereka. Pasti mereka akan terus terjerat dan terperangkap dalam tektik kapitalis itu dan terpaksa membayar tol yang bukan atas kehendak dan kewajaran bagi mereka.
Sudah lebih dua tahun mereka terseksa bila mana jalan laluan utama mereka untuk kelaur disekat dan mereka dilencungkan ke lebuh raya Cheras - Kajang. Gara-gara itu mereka kenapa membayar tol. Kerana merasakan apa yang dillakukan tidak adil dan membebankan mereka akhirnya mereka bertindak dengan memprotes sekatan berkenaan.
Mulanya protes itu dilakukan secara tertib dengan cara berunding dengan pihak-pihak tertentu. Tetapi ternyata gagal. Setelah gagal akhirnya mereka membuat tindakan fizikal dengan merobohkan sekatan (bongkah) batu.
Hasil perjuangan itu mereka kini bebas dan tidak kena membayar tol buta lagi.
Tetapi sebelum mereka bebas, apa sudah terjadi? Dalam satu perisitwa ketika merobohkan tambok simen beberapa hari lalu, beberapa penduduk telah cedera, sampai luka parah. Bermakna sebelum penduduk Taman Mahkota Cheras dan beberapa taman yang terlibat dengan perangkap itu bebas ianya memerlukan darah mereka sebagai korban.
Kita yakin kalau Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim tidak campur tangan dengan turun ke lokasi ia masih belum selesai. Selepas Khalid Ibrahim turun menemui penduduk itulah baru Menteri Kerja Raya, Ir Mohd Zain Mohamad turun dan mengarahkan sekatan itu dibuang. Apa yang dilakukan Ir Mohd Zain itu boleh diibaratkan sebagai membungkus ikan setelah dipancing oleh Khalid saja.
Mohd Zain hanya mengarahkan apa yang diputuskan oleh Kabinet. Yang jelasnya Kabinet membuat arahan itu apabila rakyat sudah berdarah dan sesudah Khalid Ibrahim sudah turun. Bayangkan bagaimana kalau darah tidak tumpas dan rakyat tidak parah? Mungkin sekatan itu masih wujud dan rakyat di situ masih terjerat tol itu buta itu.
Ini bermakna pembebasan yang dilakukan oleh kapitalis ke arah rakyat harus dilakukan dengan berani, memerlukan titisan darah dan sikap kurang ajar. Apakah kerajaan hari ini sudah tidak ada hati budi dan maruah lagi sehingga rakyat terpaksa menggunakan mekanisme sebegitu?
Hendaklah dalam menyelesaikan masalah berkaitan dengan rakyat kerajaan jangan sampai nanti darah rakyat tumpas dan menyiram bumi.
Sebagai kerajaan yang peka dan prihatin kepada rakyat sepatutnya kerajaan berada di belah rakyat dan bukan para kapitalis yang menjadi lintah darat kepada rakyat marhaen. [wm. kl 3:00 pm 02/06/08].
Susupan Malam
NASIB baikk juga saya tidak tahu dan diberi tahu mengenai majlis “Suntikan Semangat Satria’ bersama Dr Mahathir Mohamad yang diadakan hari ini. Kalau tahu atau diberitahu hendak tak hendak terpaksa juga pergi, kena kandar kamera dan buat catatan dalam blog. Kalau bukan atas keinginan sendiri pun mungkin kerana demi menghormati mereka yang menjemput kena pergi juga.
Saya baru tahu majlis itu apabila berjumpa dengan Yahya Ismail petang tadi. Yahya bertanya saya mengenai majlis berkenaan. Saya agak tercengang kerana tidak tahu apa benda mengenainya. Saya mencebik mulut memberi isyarat tidak tahu menahu dan tidak juga ingin tahu mengenai Mahathir. Buang masa fikir soal Mahathir!
“Kenapa Pak Ya tidak pergi?” Tanya saya kepada beliau.
Yahya juga akhir-akhir ini semacam mengelakkan diri saja daripada Ku Li. Tidak galak seperti dulu. Dulu kalau cakap fasal Ku Li bukan main lagi sampai berbueh mulut!
Khabarnya Yahya juga telah minta Dharmala NS membuang namanya dalam blog Prima - sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar yang memperjuangkan menentang perhambaan minda! Dia tidak mahu terbabit lagi dengan apa-apa akses untuk menyokong mana-mana orang politik ataupun puak.
Bagaimana pun maklumat lanjut mengenai majlis yang dinamakan “Suntikan Semangat Satria” itu baru saya dapat apabila melayar blog kawan baik, Haji Soberi Shafii “Apa Yang Kudengar dan Apa Yang Kulihat”. Mujur juga buka blog Soberi dapatlah tahu serba sedikit mengenai apa yang berlaku dalam majlis Mahathir tadi.
Menurut Soberi dia merasakan tolol dan tertipu kerana menghadiri majlis berkenaan. Kerana gahnya tidak sama dengan apa yang dilaungkan menerusi sms. Menurutnya tidak ada yang baru. Cerita kononnya Mahathir akan buat kejutan katanya sebagai auta saja.
Terima kasih kawan kerana pergi ke majlis Mahathir dan catat dalam blog setidak-tidaknya tahu juga saya perkembangannya. Apa yang saya merasakan paling berharga ialah apabila Soberi sudah menyedari bahawa cerita-cerita mengenai Mahathir yang diuar-uarkan oleh para pendondangnya selama kini adalah membuang masa dan auta semata-mata.
Pemakluman
Terima kasih kepada 100 pemesan awal yang mendapat harga pra cetakan, RM15.00. Saya memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi kehendak ramai pemesan kerana ia terhad kepada 100 pemesan awal sahaja.
Friday, May 30, 2008
Enekdot Politik
MEMANDANG ramai wakil rakyat dan bekas-bekas wakil Rakyat di Kelantan yang mengamalkan sunah Rasulullah s.a.w. berpoligami atau berbini lebih daripada satu, maka eloklah kalau wakil-wakil rakyat berkenaan berfikir menubuhkan sebuah persatuan.
Keperluan ini kerana sesetengah wakil rakyat yang berbini lebih itu menghadapi masalah untuk menguruskan rumah tangga mereka terutamanya untuk mewujudkan persefahaman antara isteri pertama dengan isteri kedua atau isteri kedua dengan isteri ketiga.
Ada juga ekoran langkah wakil-wakil rakyat itu menyebabkan keadaan rumah tangga mereka yang tenang sebelum ini tiba-tiba jadi haru biru. Bersepah... macam tong sampah diselongkari anjing liar sampai anak-anak tidak dapat diuruskan dengan baik. Kerana masalah itu menyebabkan setengah ada terbiar dan sampai ada yang terlibat dengan masalah sosial seperti terlibat dengan penagihan dadah, mencuri motisikal dan sebagainya.
Disebabkan tidak wujud persefahaman itu juga, sesetengah wakil rakyat yang berkedudukan dalam parti tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada aktiviti dan kerja-kerja parti kerana "jam" dikunci oleh isteri-isteri. Ada yang terganggu dengan kehadiran orang kedua itu yang tidak genap masa dan merasakan ranjang sentiasa kosong apabila suami berdakwah atau keluar berceramah.
Wakil-wakil rakyat berkenaan sering kali terpaksa meringkaskan perbincangan ataupun ada kalanya terpaksa dibatalkan dengan memberi berbagai sebab semata-mata kerana ingin memberi masa lebih kepada isteri baru.
Paling dirasakan tidak adil kerana tidak ada persefahaman atau perkahwinan kedua atau ketiga tidak mendapat izin isteri pertama menyebabkan ada wakil rakyat yang mendatangi isteri kedua atau ketiganya pada siang hari sahaja secara curi-curi.
Sementara itu dalam satu risikan rambang, sekurang-kurang 13 orang wakil rakyat Kelantan yang terlibat mengamalkan berbini lebih dari satu dan ada yang terlajak kepada tiga orang. Setakat ini belum ada laporan menunjukkan ada wakil rakyat atau bekas wakil rakyat berkahwin sampai empat.
Dari jumlah tadi wakil rakyat Pas ternyata mengatasi wakil rakyat Umno dengan angka sebanyak sembilan orang. Pecahannya, lima berkahwin dua, selebihnya berkahwin tiga. Yang bercerai pula setakat ini empat orang namun masih kekal dengan status berpoligami.
Manakala pasangan atau isteri muda itu datangnya dari berbagai bangsa dan negara. Ada yang mengambil perempuan Siam. Wanita Siam ternyata menjadi pilihan utama dengan jumlahnya tiga orang, kesemuanya wakil rakyat BN. Selain itu ada yang mengambil wanita Pakistan, India, Indonesia, Kemboja dan Cina.
Setakat ini dua orang wanita Kemboja dan dua Cina masing-masing menjadi pilihan wakil rakyat Kelantan. Dua wanita Cina itu masing-masing satu dari Tanah Besar Cina dan seorang Cina lokal.
Dari segi persefahaman pula boleh dikatakan 100 peratus perkahwinan kedua atau ketiga wakil-wakil rakyat atau bekas wakil rakyat berkenaan tidak aman maksudnya tidak ada persefahaman antara isteri tua dengan isteri kedua atau ketiga. Setengah daripada isteri pertama masih tidak mengetahui suami mereka tambah cawangan (bukan cawangan parti).
Bertolak daripada masalah yang timbul itulah maka perlu rasanya mereka menubuhkan sebuah persatuan yang boleh menjadi badan mengawal dan menangani perkara berbangkit dari masalah itu. Persatuan itu boleh dinamakan sebagai Persatuan Wakil Rakyat Kahwin Lebih atau ringkasnya PENSYAHWAT.
Adapun objektif atau peranan Penshawat ini ialah antara lain boleh digariskan seperti berikut:
(i) Bertindak menjadi consultan untuk mengaturkan perkahwinan seterusnya ataupun mengatur perkahwinan mana-mana wakil rakyat yang berhajat untuk menambah bini.
(ii) Bertindak menjadi pengawal dan penjaga kepada isteri-isteri kedua atau ketiga yang bermasalah dalam mendapat perlindungan kediaman, status kahwin sah atau sebagainya.
(iii) Menjadi penyelesai kepada apa-apa juga perbalahan dan pertelingkahan antara wakil rakyat dengan isteri kedua atau ketiga atau antara isteri kedua, ketiga dengan isteri pertama.
(iii) Memberi nasihat kepada mana-mana isteri yang ingin mengambil tindakan undang-undang mahkamah kepada wakil-wakil rakyat berkenaan.
Persatuan seumpama ini perlu memandangkan pernah berlaku sebelum ini bagaimana seorang wakil rakyat berumur di bawah 40-an diserang isterinya petamanya ketika bersiap sedia untuk melapazkan ijab kabul. Gara-gara serangan itu menyebabkan wakil rakyat berkenaan terjun ikut jendela melarikan diri.
Selain itu dilaporkan pernah berlaku bagaimana isteri seorang wakil wakil rakyat bergaduh di dalam market sampai baling membaling 'teruk' (bekas) budu hingga ditenteramkan oleh para peraih.
Dengan adanya persatuan ini masalah poligami di kalangan wakil rakyat yang ketika ini seolah-olah perbuatan haram dan terlarang tidak akan timbul lagi.
Jadi sebagai mengelakkan kejadian dan kelakuan yang boleh merosakan imej dan mencemarkan nama wakil rakyat yang berbini dua dan berhajat tambah bini eloklah kalau persatuan ini diwujudkan dalam kadar segera. Dicadangkan untuk melancarkan penubuhan persatuan ini bolehlah panggil bekas Shaikul Al-Arqam Imam Abuya Al Tamimi Ashaari Muhammad. [wm. kl 10:30 am 30/05/08].
Thursday, May 29, 2008
Enekdot Politik
Antara mereka yang sejak semalam bersama Ezam di bangunan Parlimen ialah Hamdan Taha dan Abdul Ghani. Hamdan dikenali sebagai kawan Ezam yang berpolitik mengikut arah dan kompas yang ditunjukkan Ezam.
Renungan Petang
KURANG pasti saya apakah keperluan maka masjid Cina – masjid untuk orang-orang Cina perlu dibina di negara ini. Persoalan ini bukan kerana kita memerlukan wang untuk membiayai pembiaannya, maka kita merasakan tidak perlu, tidak. Kita yakin orang Cina muslim boleh bersatu dan mencari dana untuk itu.
Orang Cina di negara ini yang menerima konsep pemerintah Islam seperti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengkagumi pemerintah Khalifah Umur Ibnu Aziz tentu boleh membantunya.
Bagi masyarakat Cina yang hidup berkoporatif tidak hairan dengan wang. Tenguk bagaimana mereka boleh membiayai sekolah-sekolah atau kolej Cina. Bagaimana mereka membantu komuniti kaum itu dalam dunia perniagaanya. Hubungan kecinaan (cauvinis) mereka sungguh tinggi.
Jadi apabila ada orang Melayu seperti memberi galakan agar orang Cina memiliki masjid sendiri saya tidak faham untuk apa sebenarnya? Alasan untuk menarik masyarakat Cina ke masjid rasanya tidak begitu relevan dan munasabah. Masjid adalah rumah ibadat yang begitu asing bagi Cina beragama Budha.
Seperkara lagi saya ingin bertanya apakah ada segelintir Cina mencadangkan agar mewujudkan masjid Melayu di Singapura, Korea atau pun di Bejing?
Kalau pun untuk dijadikan lambang dan tarikan bagi hubungan kaum, rasanya tidaklah perlu sampai membangunkan masjid untuk kaum Cina. Cukuplah pemisahan kaum yang berlaku di negara ini sekarang menerusi berbagai makenisme, budaya, adat, sosial dan sebagaianya.
Apakah kerana India ada masjid, Paskitan ada masjid, maka India dan Cina juga perlu ada masjid? Bukankah masjid itu adalah untuk orang muslim dan bukan untuk mana-mana kaum.
Jadi kalau Cina muslim mereka boleh menjadikan semua masjid di negara sebagai kepunyaan mereka. Masjid Putaraja , masjid Bukit Damansara dan sebagainya adalah kepunyaan mereka. Kalau hendak adakan kegiatan dan pengajian lakukan di situ.
Masjid yang kerajaan bina bukan untuk Melayu saja. Tetapi untuk kegunaan untuk semua bangsa. Kerajaan Malaysia ini pun adalah kerajaan semua kaum. Begitu juga dengan kerjaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan semua kaum.
Bahkan orang Melayu sendiri pun tidak ada masjid di negara ini. Mana di Malaysia ini mana ada masjid Melayu. Masjid yang ada itu adalah masjid orang muslim. Jadi secara automatik ia juga adalah milik orang Cina, India, Serani, Pakistan, Bangladesh, Jepun dan sebagainya.
Mungkin alasan perlu kepada masjid Cina ialah untuk membangunkan rekabentuk Cina. Kalau itu ia bukan perkara asas dalam Islam, itu adalah seni bina sahaja. Bila becakap seni bina ini bermakna masyarakat Cina mahu mengembangkan kebudayan dan keseniaan mereka. Kesenian bukan yang wajib dalam konteks beragama. Malah kadang kala ia terbawa kepada kurafat kalau kesenian itu melambangkan lembaga-lembaga yang bersifat kesyirikan.
Lambang-lambang dan budaya Cina yang ada di negara ini sudah cukup. Tenguk rumah, bangunan, fesyen pakaian sebagainya sudah penuh dengan lambang atau imej-imej kebudayaan Cina. Apa lagi yang dikehendakinya.
Saya rasa tuntutan ini bukan begitu serius dari kaum Cina, tetapi ada segelintir Melayu yang pandai-pandai mengilhamkan ini untuk menunjukkan sikap liberal mereka dengan kaum itu sahaja. Jadi cadangan dan sokongan kepada perwujudan masjid itu oleh orang Melayu ia lebih bersifat politik bukan untuk pengembangan agama yang sebenarnya.
Demikian alasaan keperluan itu untuk membolehkan khutbah disampaikan dalam bahasa Cina sehingga perlu ada masjid Cina juga tidak begitu kukuh dan kuat. Masih banyak lagi kalau hendak menyebarkan dan memberi kefahaman mengenai Islam kepada orang Cina. Berbagai saluran dan kaedah lagi.
Dengan menyediakan bahasa Cina di masjid yang dikhaskan kepada kaum Cina, orang Melayu juga seperti tidak yakin dan percaya kepada kebolehan dan kemampuan bahasa mereka sendiri. Sebab itulah orang Melayu bila berjumpa dengan Cina mereka akan bercakap pelek Cina, pakai lu dan gua... manakala kalau berjumpa dengan India, bercakap pelek India, terponting panting ikut ketebalan lidah India. Begitulah naifnya bangsaku, Melayu yang mudah menerima apa juga yang disogokkan kepada mereka. [wm.kl 6:20 pm 29/05/08]
Rencana Khas
Ezam gali kubur untuk kerjaya politiknya?
KEPUTUSAN yang diambil oleh bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhamad Ezam Mohd Noor semalam yang memohon untuk menyertai semula Umno selepas dipecat kira-kira 10 tahun lalu, tidak lebih dari satu lagi aksi bagi mengesahkan bahawa politik itu seni serba mungkin.
Tindakan Ezam itu menjelaskan bidalan politik; musuh dalam politik itu tidak kekal selama-lamanya, manakala kawan pula tidak kekal sebagai kawan selama-lamanya, adalah benar dan senantiasa relevan.
Dalam dunia politik semua boleh berlaku dan seharus mereka yang berada dalam kandang politik harus bersedia menghadapi segala kemungkinan itu. Sebelum ini pun banyak kejadian dan tindak tanduk politik yang diluar keyakinan kita berlaku dari masa ke semasa.
Misalnya terbaru tindakan Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno adalah sesuatu kejadian anih yang tidak terfikir sebelum ini. Tetapi kejadian seperti itu bukan ganjil dalam politik. Siapa menyangka Mahathir yang menjadi ahli Umno lebih 60 tahun tiba-tiba mengambil keputusan berhenti secara tiba-tiba.
Begitu juga dengan keputusan orang kanan Anwar Ibrahim, Ezam itu.
Meruja politik negara
Bagaimana pun seperti dikatakan tadi tindakan atau peristiwa kembali semula Ezam ke dalam Umno tidak merujakan politik negara.Walaupun kemasukan Ezam diumumkan sendiri oleh Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi ia tidak mengejutkan.
Nilai berita kemasukan Ezam itu nampaknya sengaja diperbesarkan apabila pengumuman itu sengaja diaturkan di bangunan Parlimen ketika sidang Parlimen berjalan. Pengumunan itu seperti mahu memberi signifikan kepadanya yang kembali semula ke dalam jelumun partinya yang ditinggalkan selama 10 tahun.
Begitu juga pengumuman di bangunan Parlimen itu secara tidak langsung untuk memberi tahu bahawa Umno dan BN yang berada dalam keadaan goncang kononnya terdapat lebih 40 ahli Parlimennya akan menyertai Pakatan Rakyat, adalah sebagai berada dalam keadaan stabil. Bahkan bukan ahli Parlimen BN yang ingin keluar sebaliknya bekas ahli PKR yang menyertai Umno.
Mengenang cara sebuah stesen televisyen memberi liputan langsung menerusi berita perdananya kepada Ezam menyebabkan saya mengingatkan cara itu tidak ubah seperti laporan berhubung kejayaan pasukan polis memberkas ketua samseng. Ianya sengaja ditunjukkan untuk menunjukkan kehebatan polis dan kumpulan yang dikepalai ketua samseng itu lumpuh ekoran kejayaan berkenaan.
Pun begitu tidak dinafikan ramai ahli PKR dan teman-teman seperjuangan Ezam di era reformasi sedih atas apa yang berlaku. Mereka yang sudah masak dengan kelakuan dan tindakan-tindakan politik mungkin tidak terkejut tapi mereka yang cetek sepak terajang politik sempat menjadi pening. Lantas itu masing-masing bertanya ke situ ke sini mencari sebab dan kemunasabah Ezam berbuat demikian.
Kenapa beliau harus memilih untuk kembali semula kepada Umno. Kenapa tidak parti lain yang lebih sinonim dengan jiwa Ezam seperti PAS dan sebagainya. Dan apakah faktor yang menolak Ezam ke dalam Umno? Inilah yang sedang tersimpul dalam kepala orang ramai dan mencari hujah-hujah untuk menjustifikasi tindakan Ezam itu.
Membuka pintu
Dalam sidang akhbar khas yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini, (29 Mei) beliau menjelaskan antara faktor yang membuka pintu hatinya untuk menjenguk semula ke dalam rumah Umno ialah kerana beliau terpesona dengan perubahan yang dilakukan Abdullah, di mana ianya bersifat proreform.
“Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik memegang tampuk pemerintahan bahawa memerangi rasuah adalah agenda utamanya amat menarik minat saya,” begitulah akui Ezam.
Tambahnya lagi pengumuman Perdana Menteri beberapa minggu lalu mengenai komitmen untuk melakukan perubahan besar terhadap badan pencegah Rasuah (BPR) dengan penubuhan Suruhajaya Anti Rasuah Malaysia, merupakan pernyataan paling bermakna buatnya.
Itulah antara dua faktor yang menjadikan Ezam terpesona dan terbuka hati untuk kembali meneruskan perjuangan dalam Umno. Ezam sesekali menegaskan pengembalian itu bukan kerana desakan atau tawaran kebendaan – jawatan dan sebagainya tetapi keyakinan kepada komitmen dan perjuangan perubahan dilakukan Abdullah.
Memang perubahan dilakukan Abdullah itu seimbang dengan apa yang dicari Ezam selama ini dan ia tidak ada salahnya kalau beliau menyokong. Itulah yang beliau lakukan dalam Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak), sebuah badan NGO yang ditubuhnya selepas beliau meninggalkan PKR.
Bagaimana pun jika dihalusi alasan atau faktor pengembalian beliau ke dalam Umno agak dangkal dan kontras dengan kata-kata dan tindakan yang dilakukannya selama ini khasnya di era reformasi di mana beliau antara juara yang mengkritik hebat kepimpinan kerajaan termasuk Abdullah.
Ironinya kenapa beliau begitu mudah mempercayai dan yakin kepada bayangan perubahan yang hendak dilakukan oleh Abdullah itu? Bukankah Abdullah pada masa ini disamping berusaha untuk membenteras kemungkaran namun dalam masa sama terus mengekalkan sistem yang boleh memberi kesuburan dan kesihatan kepada kroninya?
Walhal sebelum ini Ezam sendiri memperakui bahawa Abdullah masih belum melaksanakan semua janji perubahan yang hendak dilakukan terutamanya hasrat membenteraskan rasuah. Tuntutan-tuntutan Gerak yang dikemukakan selama ini juga belum dilunasi Abdullah bukan sepenuh bahkan separuh pun belum. Bukankah lebih afdal kalau Ezam meneruskan desakan itu tanpa menyertai Umno dan berdiri di garis tengah dengan Gerak!
Hari ini apabila beliau berada semula dalam pagar Umno beliau dilihat kekok untuk mendesak kerajaan agar membenteraskan penyelewengan dan memperbetulkan beberapa sistem pemerintahan yang korup. Kebebasan dan ketelusan yang beliau inginkan itu juga sudah terhalang.
Menentang kebatilan
Justeru penolakan dan faktor kemasukan beliau itu tidak tepat dan munasabah untuk Ezam yang dikenali sebagai seorang yang berani, berprinsip dan tidak mudah berkompromi dalam menegakkan keadilan dan kebenaran serta menentang kebatilan dan penyelewengan. Kesongsangan ini menyebabkan orang keliru dengan tindakan Pengerusi Gerak itu.
Walaupun mungkin ada keperluan atau perubahan semasa yang ketara untuk Ezam berbuat demikian misalnya kerana kecewa dengan perubahan dasar perjuangan PKR kini, namun tindakan itu lebih kepada memberi kesan buruk kepada kerjaya politik beliau sendiri.
Tidak mungkin Ezam boleh menterjamahkan kepada umum apakah nawaitu sebenar di sebalik keputusan itu. Kegagalan inilah menyebabkan Ezam akan terhukum dan seribu persepsi.
Di dalam Umno mungkin Ezam diberi tugas dan peranan tersendiri untuk memperbetulkan nawaitu perjuangan Umno serta mengemaskan strukturnya demi mengukuhkan kedudukan orang baru yang beliau kagumi kini. Tidak mengapa.
Makanya kita berharap kemasukan itu ada faktor lain yang lebih praktikal menjadi penolak Ezam ke dalam Umno. Apakah beliau ada agenda tersirat untuk kebaikan bangsanya? Hanya Ezam dan Tuhannya saja yang tahu. Sebagai orang yang menyayangi Ezam kita berharap demikian!
Sebaliknya kalau kemasukan Ezam itu kerana rajuk kepada sesuatu yang beliau tidak perolehi, alangkah dukacitanya bagi mereka yang kagum dengan Ezam selama ini. Tindakan itu jelas bertentangan dengan rupa Ezam seorang yang berani tetapi akhirnya tunduk kepada kelemahan dalamannya sendiri.
Apapun kita berharap Ezam akan berjaya membuat sesuatu di dalam Umno untuk bangsanya. Sekiranya beliau menyertai Umno hanya untuk tidak mengurangkan angka keahlian parti itu setelah Dr Mahathir tidak ada lagi, ini bermakna tindakan Ezam itu seperti menggali lubang untuk beliau menguburkan kerjaya politiknya. [wm.kl 3:00 pm 29/05/08]
Wednesday, May 28, 2008
Berita Panas
Dengan disaksikan oleh beberapa pemimpin Umno dan di hadapan kira-kira 50 wartawan dan jurugambar Abdullah mengumumkan kemasukan Ezam dalam satu sidang akhbar khas yang ditunggu-tunggu sejak semalam.
Berita Terkini
PRESIDEN Umno Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan kemasukan rasmi bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Mohd Ezam Muhammad Nor ke dalam Umno kira-kira jam 3:00 petang ini di Parlimen.
Cakap-cakap mengenai kemasukan Ezam bermula sejak beberapa hari lalu. Ezam yang sebelum ini tidak menafi dan mengiyakan cakap-cakaop berkenaan hanya mengulas ringkas akan membuat pengumuman apabila beliau kembali ke tanah air.
Ezam yang sudah kembali dari Jakarta hari minggu lalu akan hadir ke Parlimen.
Berita mengenai pengumuman itu menjadi tumpuan ramai. Pemerhati politik yang bertandang ke Parlimen dan para wartawan sudah mula membicarakan mengenai kemasukan Ezam.
Berbagai spekulasi mengenai kemsukan Ezam dan juga peranan yang bakal dimainkan Ezam dalam Umno nanti.
Ada mengatakan Ezam akan dilantik menjadi Senator dan diberikan jawatan sebagai menteri muda.
Tidak kurang juga menyebut Ezam akan diberi peranan untuk memulihkan dan memberi semangat baru kepada Pergerakan Pemuda Umno yang hari ini dalam keadaan hilang arah selepas tidak berjaya memberi sumbangan besar kepada Umno dalam pilihan raya lalu.
Pengumman Ezam kelak mengsahkan maklumat awal yang dipostkan dalam blog ini berberapa hari lalu. Disebutkan Ezam akan didamping samada oleh Mohd Najid Razak atau Abdullah Badawi ketika beliau mengumumkan kemasukn dalam Umno. [parlimen 1:20 pm 28/05/08].
Tuesday, May 27, 2008
Ulasan Peristiwa
SAMBUTAN kepulangan Mahathir Mohamad dari Jepun hari ini tidak berapa meriah. Mungkin disebabkan cuaca tidak begitu baik menyebabkan orang ramai berfikir banyak kali untuk ke Subang?
Manakala tumpuan orang ramai di Parlimen hari ini yang menyaksikan MP Padang Serai, Gobalakrishnan melangkah ke tempat duduk Speaker dan membisikan sesuatu menyebabkan mereka mungkin terlupa dengan kepulangan Mahathir. Aksi di Parlimen lebih menarik lagi dengan apa yang bakal berlaku di Subang.
Kerana tidak meriah maka Mahathir pun tidak memberi ucapan panjang sekadar lima minit saja. Menurut mereka yang taksub dengan Mahathir kira-kira 1,000 yang hadir, manakala menurut media internet pula sekitar 300 orang.
Media arus perdana pula esok akan menulis kira-kira beberapa puluh orang saja.
Kebanyakan yang pergi menyambut Mahathir khabarnya ialah ahli Umno Cawangan di Jerlun Kedah yang datang dengan dua buah bas satu tingkat.
Beberapa bekas menteri yang diuar-uarkan akan turut sama menyambut kepulangan Mahathir juga dilaporkan tidak berada dilokasi. Mungkin mereka memantau dari rumah menerusi telefon.
Mahathir mengulas sambutan itu sebagai biasa baginya, baik semasa menjadi PM atau selepas jadi PM. Maknanya orang tidak berapa ramai itu adalah lumrah.
Mahathir juga dipetik sebagai berkata belum mati lagi orang sudah tidak kenangkannya. Apakah beliau merujuk kepada kehadiran petang tadi?
Beliau sepatutnya insaf dan sedar bahawa ahli Umno sendiri pun sudah lengguh melayan kerenah beliau. Dan mereka yang sedia ke hulur ke hilir juga sudah tidak rela mengorbankan diri lagi untuk mendengar bebelan-bebalannya.
Mahathir sepatutnya kena faham dalam Umno semua orang mahu hidup. Semua kerja termasuk menyambut kepulangan pemimpin atau menghantar pemimpin nak ke luar negeri pun mesti ada benefit atau kena bayaran. Mereka tidak saja-saja pergi kalau tidak mendapat apa-apa!
Dalam Umno tidak ada apa yang free melainkan mendengar ucapan Mahathir yang membelasah Abdullah Badawi tanpa kesudahan. Terima kasih kepada Sdr Nasa yang membuat pembetulan.[wm.kl 10:45 pm 27/05/08]
Sebuah Pandangan
BERGEMBIRALAH sekalian orang yang selama ini mengharap dan mendoakan agar si baju petak-petak merah dinobatkan menjadi MB Kelantan sebagai mengganti Nik Aziz Nik Mat. Kesempatan si baju petak-petak merah menjadi pemangku MB Kelantan atas takdir kerana Ahmad Yaakub tidak boleh menjadi pemangku setelah diserang sakit jantung secara tiba-tiba sesuatu anugerah buatnya. Takdir Allah taala itu merupakan kesempatan baik kepada si baju petak-petak merah.
Tetapi satu hakikat yang kena terima, orang baju petak-petak merah ini hanya menjadi pemangku selama 14 hari sahaja. Bermula hari ini dan berakhir pada 9 Jun nanti.
Justeru usah terlalu mengharap beliau membawa banyak perubahan dalam masa amat terhad itu. Atau menyelesaikan beberapa masalah yang tertangguh di Kelantan kini. Beliau hanya menjadi MB selama 14 hari atau kira-kirsa 336 jam sahaja. Sekiranya ditolak tiga jam sehari untuk beliau sembahyang, makan dan tidur, bermakna beliau menjadi pemangku selama 294 jam sahaja, di mana 42 jam terbuang atau kira-kira dua hari ini menjadikan beliau memangku jawatan itu hanya 12 hari saja.
Namun ia cukup baik untuk beliau merasai bagaimana aura menjadi MB. (Kita berdoa biarlah selepas ini beliau terus menjawat jawatan MB Kelantan!).
Sedangkan di Kelantan kini banyak masalah yang belum selesai. Kalau umpama orang baru lepas kenduri (selepas baru selesai menghadapi pilihan raya), banyak mangkuk pinggan yang masih belum dibasuh. Kawah juga masih belum dicuci. Perkakasan kenduri masih berselerakan. Hutang piutang juga masih belum dilunasi semuanya.
Semalam di Parlimen saya sempat berbual dengan ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail (foto atas). Saifuddin seakan merunggut terhadap apa yang berlaku di Kelantan pada masa ini. Menurutnya selepas pilihan raya keadaan di Kelantan sedikit kucar kacir dan kesannya tidak baiknya kepada rakyat. Ini mungkin kerana peralihan kuasa yang diharapkan tidak berlaku!
Bagaimana pun beliau tidak mempersoalkan tentang peralihan kuasa yang tidak berlaku selepas pilhan raya lalu, tetapi mengenai sikap Kerajaan negeri seakan mengabaikan beberapa tanggungjawab mereka kepada rakyat. Apa yang dimaksudkan keperihatinan Kerajaan kepada rakyat sedikit berubah.
Dalam pada itu katanya para pemimpinnya seakan belum habis bercuti bagi menghilangkan penat lelah, - menghadapi pilihan raya dengan berihat atau makan angin di luar negara. Ada yang ke Jakarta, ke Asia Barat dan sebagainya. (Ketika ini isu orang baju petak-petak merah menjadi pemangku MB belum timbul lagi).
Beliau sedikit kesal dengan keadaan itu di mana hal-hal kebajikan rakyat tidak diatasi dengan baiknya. Sebagai contoh katanya mengenai skim Kifalaah, iaini pemberian wang insuran kepada keluarga wargatua selepas mereka kematian. Saifuddin adalah bekas Pengarahnya.
Katanya Kifalaah ini sedikit bermasalah, di mana wang segera sebanyak RM500 yang sepatutnya diberikan kepada keluarga bila berlaku sesuatu kematian tidak dapat dilunaskan. Pembayarannya kini ada yang tertangguh sehingga berminggu-minggu. Ini katanya berbeza dengan apa yang berlaku sebelum pilihan raya dulu di mana wang bayaran RM500 akan diberikan on the spot kepada keluarga si mati.Keadaan ini katanya sepatutnya tidak berlaku. Soal kebajikan kepada rakyat tidak boleh dilengahkan. Kerajaan sepatutnya mengambil berat soal ini. Menurut Saifuddin masalah ini timbul bukan sangat kerana kekurangan kewangan sebaliknya kelemahan sistem penyampaian (pelaksanaan).
Keadaan ini ketara berlaku apabila beliau tidak lagi menjadi Pengarah skim berkenaan apabila selesai pilihan raya. Khabarnya tempat Saifuddin hendak diganti dengan orang baru yang mana kewibawaanya boleh dipertikaikan!
Bagi Saifuddin masalah Kifalaah ini tidak boleh diabaikan. Skim berkenaan telah membawa jasa besar kepada Pas semasa pilihan raya lalu. Kifalaah jugalah menyebabkan Umno Kelantan pening kepala. Pengundi di saluran satu kebanyakan wargaemas meningkat kepada Pas ialah kerana keramat skim berkenaan!
Sekiranya apa yang disuarakan Saifuddin secara ikhlas itu benar, maka Kerajaan harus menumpukan kepada isu Kifalaah berkenaan. Pemangku MB Kelantan hendaklah menyelesaikan masalah ini segera. Peruntukan sebanyak RM3 juta setahun untuk skim berkenaan tidak banyak jika dibandingkan dengan peruntukan atau kegunaan wang Kerajaan untuk tujuan lain. Kita percaya atas prihatin dan kebijaksanaan pemangku MB itu beliau boleh menyelesaikannya.
Adalah tidak elok kalau skim itu proaktif semasa menjelang pilihan raya saja kemudian malap selepas pilihan raya selesai. Tidak sepatutnya rakyat diperdayakan dengan perkara-perkara sebegitu. Kebajikan rakyat harus diberikan berterusan tanpa mengira masa, keadaan, fahaman politik dan sebagainya.
Ada munsabahnya juga kalau Saifuddin menyuarakan kebimbangan itu jika mas
alah ini dibiarkan. Kematian sesuatu yang tidak dapat diatasi dan diduga. Kadar kematian wargaemas di Kelantan puratanya ialah 360 orang sebulan.
Bayangkan kalau keadaan berlaku kini berterusan menyebabkan masalah pembayaran itu akan menjadi berlonggok dan ini membebankan. Seperkara lagi kekurangan kewangan menyebabkan caruman tidak boleh dilakukan. Akibat caruman tidak boleh dilakukan maka premium sebanyak RM2,000 yang layak diterima oleh wargaemas selepas caruman mereka matang tidak dapat dikeluarkan. Ini menjadi masalah.
Sudah pasti kalau ini berlaku ia akan menjadi isu politik. Paling ditakuti kita tidak mahu selepas ini timbul persepsi kepada rakyat mereka hanya dipergunakan atau pun dilayan sewaktu menjelang pilihan raya saja, selepas semua kerja selesai mereka dibiarkan ataupun menguruskan soal kematian bersendirian!
Hendaknya skim Kifalah hari ini yang membawa rahmat tetapi empat tahun lagi ia tidak akan bertukar menjadi petaka. Kita pecaya pemangku MB berkebolehan dan mampu selesaikan masalah skim Kifalaah ini dalam tempoh 294 jam itu di samping isu-isu lain yang ada dalam pengetahuannya! [wm.kl 8:10 am 27/05/08]
Berita Lewat
MENURUT berita kaki yang disiarkan dalam Utusan Malaysia di muka surat 9 hari ini bekas Adun Kijang, Husam Musa telah memangku jawatan MB Kelantan selama Nik Abdul Aziz Nik Mat tiada dalam negeri dua minggu kerana mengerjakan umrah.
Mulanya Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaacob dilantik menjadi pemangku MB, bagaimana pun beliau tidak dapat memikul tanggungjawab itu apabila diserang jantung secara tiba-tiba.
Husam yang mulanya bercadang untuk mengadakan lawatan kerja ke beberapa buah negara serentak dengan pemergian Nik Aziz ke Makkah. Beliau dijadulakan akan ke luar negara pada 31 Mei.
Kepada Husam diucapkan selamat menjalankan tugas dan semoga tempoh dua minggu memberi pengalaman yang amat berguna kepada diri dan politiknya. Selamat! [wm.kl 8:50 am 27/05/08]
Enekdot Politik
PETANG ini Dr Mahathir Mohamad akan kembali ke tanah air. Beliau dijangka akan tiba di lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Subang kira-kira jam 5:00 petang.
Sejak semalam bertali arus SMS dihantar oleh para penyokongnya yang meminta orang ramai datang beramai-ramai menyambut kepulangan bekas Perdana Menteri itu.
Mungkin persiapan menyambut kepulangan Mahathir itu telah diaturkan seadanya.
Persoalannya apakah kenyataan atau kejutan yang akan dilakukan Mahathir petang ini setelah tindakannya keluar daripada Umno minggu lepas tidak berapa menjadi dan mengecohkan Umno.
Tidak ramai yang mengikut jejak langkahnya melainkan anak dan isterinya. Walaupun Sanusi Junid ikut sama keluar daripada Umno tetapi ia tidak memberi apa-apa kesan dan kejutan kerana umum melihat Sanusi sudah lama terbuang dalam parti berkenaan. Selepas berundur daripada menjadi MB Kedah Sanusi dilihat oleh Umno sebagai barang berulat.
Selepas Mahathir merayu agar ahli Umno keluar parti sebagai protes kepada Abdullah Ahmad Badawi tidak ada mana-mana cawangan yang dibubarkan atau bahagian yang lumpuh.
Sebaliknya masing-masing menyatakan sokongan dan pendirian kepada Abdullah.
Paling mengejutkan tidak sampai 72 jam Mahathir keluar Umno, Ezam Mohd Noor menyatakan kemungkin beliau akan menyertai parti berkenaan. Bagaimana pun sehingga ini Ezam masih belum membuat kenyataan rasmi samada mengiya atau menafikan desas desus itu. Sedikit sebanyak ura-ura Ezam akan menyertai Umno memberi semangat kepada parti berkenaan.
Apakah Ezam sedang beradu mental dengan Mahathir, beliau akan membuat keputusan selepas Mahathir membuat kenyataan petang ini?
Sukar untuk diramalkan apakah tindakan Mahathir seterusnya. Yang pasti beliau tidak akan berdiam diri begitu saja. Sebagai seorang yang sentiasa kaya dengan idea dan bertindak menentang arus dan suka kepada kontroversial beliau akan mesti melakukan sesuatu yang akan menjadi nilai berita.
Apakah beliau akan menubuhkan parti baru sebagai landasan rasmi untuk beliau menentang Abdullah Ahmad Badawi?
Atau lebih mengejutkan lagi Mahathir akan membuat teka teki dengan menyatakan kesediaan untuk menimbangkan diri menyertai Pas?
Sama-samalah kita tunggu petang ini. Seandainya Mahathir menyertai Pas sudah pasti penjualan kopiah di negara ini menjadi semakin laris?[wm.kl 8:30 am 27/05/08].
Monday, May 26, 2008
Sebelum Tidur
KURANG tiga jam dari sekarang Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berangkat ke Makkah. Sebaik saja kapal terbang Kuwait Airways take off bermakna kaki dan jasad Tok Guru tidak lagi berada di tanah air, Malaysia dan Kelantan. Saya percaya fikirannya juga sudah melayang jauh berada di bumi ambiak yang penuh berkat dan sedang bercumbuan dengan Rasulullah s.a.w.
Selama 15 hari beliau meninggalkan Kelantan, bermakna beliau terlepas tanggungjawab mengenai Kelantan. Inilah masa istirehat paling bermakna bagi Tokguruku itu. Tugas sebagai MB telah diberikan kepada timbalannya Ahmad Yaacob (foto bawah). TMB itu akan memangku jawatan itu selama beliau berada di Makkah dan Madinah.
Jikalau tidak silap sejak jadi TMB inilah pertama kali Ahmad Yaacob diberikan tanggungjawab untuk memangku jawatan MB. Beliau jarang diberi peluang oleh Tok Guru. Walaupun beberapa peluang yang sepatutnya dilaksanakan olehnya, sebagai orang nombor dua di Kelantan namun ada orang lain yang 'merampas' hak Ahmad Yaacob sewenang-wenangnya.
Misalnya pembentangan Bajek Kelantan, menerima tabik hormat pada hari ulang tahun Kemerdekaan Negara yang lalu, sepatutnya dilakukan Ahmad Yaacob apabila Tok Guru keuzuran. Sebaliknya tugas itu dirampas secara halus oleh orang tertentu. Bukan main lagi orang berkenaan yang menerima tabik hormat perbarisan itu berperasan seolah-olah dia sudah menjadi MB?
Proses rampasan kuasa pada majlis itu berlaku secara tidak sedar. Satu muslihat halus dilakukan dengan menghantar Ahmad Yaacob ke Sabah bagi menghadiri satu majlis di sana walhal beliau boleh untuk tidak ke Sabah dan digantikan oleh orang yang menerima tabik hormat itu ataupun orang lain.
Kerana rampasan kuasa itu menyebabkan Ahmad Yaacob semacam tidak berperanan dan orang luar melihat semacam Adun Pasir Pekan itu tidak komited dengan tugasnya. Paling sedih lagi menyebabkan ada orang merasakan bahawa Ahmad Yaacob seolah-olah tidak berkerja untuk membantu Tok Guru selaku MB.
Perlantikannya sebagai pemangku MB ini memberi erti besar kepadanya. Inilah tanggungjawabnya dan peluang yang pertama dilakukannya sepadan dengan kedudukannya. Ini pun mungkin kerana tugas ini tidak boleh diambil sewenang-wenangnya oleh orang lain kerana ia memerlukan perkenaan Sultan. Kalau tidak kena melalui Sultan mungkin ia sudah disambar di tengah jalan oleh orang lain.
Tuanku Sultan sudah memberi perkenan kepada Ahmad Yaacob. Ahmad Yaacob sudah menerima watikah perkenan Sultan Kelantan untuk memangku jawatan MB selama ketiadaan Tok Guru dalam negeri.
Apakah peluang yang diserahkan kepada Ahmad Yaacob ini sebagai latihan kepadanya. Satu persiapan atau suaikenal baginya mengambil alih jawatan MB kelak? Ada desas desus mengatakan sekembali dari Makkah nanti Tok Guru terus bersara dan melepaskan kerusi MB kepada orang lain. Khabar ini menyebabkan ada orang yang merasa resah gelisah dan bengkak hati memikirkan kemungkinan ini!
Di Kelantan banyak orang berharap begitu. Berdoa agar Tok Guru beundur dengan baik dan diganti dengan orang yang layak dan dapat diterima oleh semua lapisan rakyat. Ahmad Yaacob adalah antara beberapa nama yang dikira sesuai dan boleh diterima oleh umum. Bangsa orang Kelantan tidak suka kepada mereka yang "temooh" (tamak dan gahirah) untuk mendapat sesuatu jawatan. Mereka begitu tidak akan disokong dan didoakan.
Ahmad Yaacob memang tidak mempunyai keterampilan dan ketokohan sebagai MB. Beliau bukan berkelulusan dalam bidang ekonomi dan tahu ilmu perhubungan antarabangsa dan juga teknik-teknik untuk menguasai media massa. Dia hanya seorang ustaz biasa yang berkelulusan dari Mesir dan bekas guru. Kerja cari wang dan pentadbiran (politik) bukan pakar baginya.
Namun beliau seorang yang berilmu dan mempunyai akhlak yang baik. Anak seorang tok guru pondok tradisional, Tok Guru Haji Kob Berangan. Dengan latar belakang itu setidak-tidaknya beliau tahu halal dan haram dan tidak berpolitik dengan cara melempar batu sembunyi tangan. Kalau beliau juga turut terlibat dengan politik kufar itu, entahlah...
Justeru diharap Exco yang tahu seluk beluk pentadbiran, ekonomi, politik, pertanian, perdagangan dan sebagainya akan membantu beliau sepanjang beliau memangku jawatan MB. Tunjuklah sikap maufakat selama Tok Guru tidak ada. Jangan pula kerana kita tidak diberi peluang untuk menjadi pemangku MB maka kita menghilangkan diri. Ataupun sengaja mengatur jadual untuk mengadakan lawatan sambil kerja ke mana-mana negara.
Belajarlah menghormati orang lain. Tahulah menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Bersalam dan tegurlah dia dengan penuh kesopanan dan adat. Insaflah qada dan qadar Allah. Kalau Allah belum mahu kita jadi ketua, maka akan jadilah kita sebagai kuli walaupun kita rasa bos kita kurang cerdik dan bijak berbanding kita. [wm.kl. 12:30 am 27/05/08].
Pemakluman
Malam ini jam 8:00 malam Tok Guruku Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama 21 orang jemaahanya akan berlepas dari lapangan terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu untuk ke Tanah Suci Makkah Mukaramah, Madinah Munawarah.
Sunday, May 25, 2008
Susupan Pagi
ADA pihak-pihak tertentu di dalam Umno amat terasa dengan 'pemergian' Dr Mahathir Mohamad dari parti berkenaan. Mereka yang sedih ini melihat tindakan Mahathir bakal memberi bahana besar kepada Umno dan melibatkan perpecahan orang Melayu. Maka diusulkan agar pihak-pihak tertentu dalam Umno termasuk Timbalan Presiden dan Naibnya memujuk Mahathir.
Mereka yang "histeria" dengan tindakan Mahathir ini sampai minta agar satu delegasi menemui Mahathir di luar negara. Mengenai cadangan ini saya teringat kepada apa yang berlaku pada tahun 1982 dulu apabila Musa Hitam meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, kemudian 'lari' ke luar negara, Umno telah menghantar rombongan memujuk Musa.
Namun Musa tidak berdegis (berganjak) daripada keputusannya.
Mengenai Mahathir ini saya kira beliau lebih keras dan kebatu daripada Musa. Mahathir seorang yang berpegang kepada prinsipnya tidak akan menoleh lagi ke belakang selagi apa yang beliau inginkan tidak terpenuhi.
Usaha memujuk Mahathir hanya membuang masa sahaja. Senang saja untuk membawa masuk semula Mahathir ke dalam Umno, Umno kena berusaha membuang Abdullah Ahmad Badawi. Ataupun berusaha agar Abdullah melepaskan jawatan yang disandangnya sekarang. Tutup cerita! Selagi Abdulah masih kekal di kerusinya selama itulah Mahathir akan bertindak menjadi macam hantu raya mengacau dan meracau!
Umno kehabisan banyak masa dalam melayani perangai Mahathir. Boleh dikatakan tiga perempat masa Abdullah selama menjadi PM terpaksa dibuang kerana melayan rajuk dan tindak Mahathir. Jelaslah yang memecah dan menghancurkan Umno ialah ahli Umno sendiri.
Mungkin ini sebagai hukum karma daripada Allah s.a.w. Banyak kali Allah berpesan dalam kitabnya ketauhidan keimanan manakala Nabi Muhammad s.a.w. pula mengingatkan mengenai hal-hal sebegini. Antara yang Rasulullah tekankan ialah mengenai perpaduan atau ukhwah. Apabila ukhawah sudah tidak ada maka tunggulah akan berlaku kehancuran.
Perpaduan dalam Umno sudah mula longgar sejak beberapa dekad ini. Apabila Umno menjadikan partinya sebuah badan korporat di sinilah mulai timbul pelbagai unsur dan penyakit cintakan dunia yang satu-satu melemahkan kedudukan Umno sendiri. Klimeks kepada perpecahan dalam Umno ialah pemecatan Anwar Ibrahim tahun 1998. Jika diperhati permecatan ini jelas kerana dendam dan manusia (ahli Umno) sudah berpaksi kepada kebendaan dan bukan perjuangan.
Berbalik kepada isu Mahathir kini, Umno harus menggelapkan saja berita mengenainya. Biarlah ianya dilayan oleh pembangkang kerana ia memberi manfaat kepada pembangkang. Kalau Pas hendak memberi ruang kepada Mahathir sekali lagi pun tidak mengapa. Memang baik baik bagi Pas untuk menjadikan Mahathir sebagai air tuba untuk memabukkan Umno.
Pas juga kini sudah bijak bermain politik. Musuh Umno bukan musuh Pas walaupun musuh itu kadang-jadang adalah musuh bersama! Tindakan-tindakan begini menyebabkan ada yang terkeliru dengan tindakan Pas.
Namun saya tidak fikir kalau pun Pas bersedia menyediakan lima stadium untuk Mahathir berceramah menghentam Abdullah, Mahathir akan bersetuju. Lagipun langkah itu tidak ubah sebagai membantu Mahathir menelanjangi diri sendiri (kepimpinan Melayu). Menceritakan keburukan Abdullah sebagai pemimpin samalah menceritakan keburukan Melayu/Islam selaku pemimpin.
Kini jelas Umno pimpinan Abdullah tidak disukai oleh Mahathir. Manakala Umno yang menyokong Abdullah tidak menyukai Mahathir. Kedua mereka ini sudah hilang kepercayaan daripada ahli Umno yang berjuang dengan tulus dan ikhlas. Dalam kegelisahan ini adalah elok kalau ahli Umno mencari tokoh baru. Mereka memerlukan seorang tokoh yang boleh mengamankan Umno hari ini.
Dalam situasi hari ini kenapa Umno tidak mahu memberi peluang kepada Tengku Razaleigh Hamzah? (foto atas) Beliau kini beriya menawarkan khidmatnya kepada Umno. Ku Li masih belum ada dosa besar kepada Umno seperti mana Abdullah dilihat berdosa oleh Mahathir dan Mahathir pula dilihat berdosa oleh Abdullah!
Dalam keadaan hari ini tawaran Ku Li untuk berkhidmat adalah peluang bagi Umno. Cuba jangan perkecilkan usaha dan nawaitu Ku Li ini. Ku Li boleh dijadikan percubaan oleh Umno untuk mengukuh dan menyatukan dan memadukan semula keretakan-keretakan di dalam parti berkenaan. Dan setelah Ku Li gagal juga berbuat demikian, nah buanglah Ku Li.... dan cari orang lain pula yang lebih berwibawa dan mendapat kepercayaan rakyat. [wm.kl 10:30 am 25/05/08] .
Friday, May 23, 2008
Duka Senja
MUNGKIN tidak ada seorang pun dari kira-kira 26 juta rakyat Malaysia menangis setelah menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang telah memutuskan bahawa Pulau Batu Putih kini sudah menjadi milik Singapura.
Apapun hari ini Malaysia kehilangan 0.2 hektar buminya! [wm.kl 7:45 pm 23/05/08].
Catatan Malam
Ataupun apakah kemasukan itu sebagai merintis dan membuat persiapan, mengatur kerusi dan kedudukan menyambut kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno? Apakah ada kemungkinan-kemungkinan begini? (Jangan emosi... marahkan saya!).
Thursday, May 22, 2008
Laporan Lewat
Wednesday, May 21, 2008
Susupan Pagi
MACAM-MACAM ulasan dan tafsiran kenapa Mahathir Mohamad sampai terlepas mulut mengumumkan keluar daripada Umno. Ada yang mengatakan pengumuman itu kerana beliau diprovok oleh seorang hadirin pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di Alor Star kelmarin.Hadirin berkenaan ialah Ismail Wan Teh (foto).
Ismail adalah ahli Pas dan bekas calon dalam pilihan raya lalu di Dun Kota Seputih. Beliau kalah.Maka seronoklah orang-orang Pas kononya mereka mempunyai saham dengan tindakan Mahathir itu. Orang Pas suka kalau Mahathir tinggalkan Umno dengan harapan ia akan memberi tekanan kepada Abdullah dan mereka akan meraih sedikit kelabaan.
Soalnya benarkah Mahathir memberi keuntungan kepada Pas?Sebelum ini ada yang beranggapan tindak tanduk Mahathir memberi kemenangan kepada Pas. Kalau tidak silap, MB Kedah Azizah Razak sendiri mengakui kemenangan Pas di Kedah kerana Mahathir. Apakah bentuk yang Mahathir sumbangkan untuk kemenangan Pas?
Peringkat awal ketika Mahathir bergerak untuk mengkritik dan menghentam Abdullah Pas memberi rangsangan yang cukup membanggakan. Pemimpin kanan Pas ikut sama hadir dalam sebuah majlis di Kelab di Taman Melawati. Ulu Klang.
Tidak cukup dengan majlis itu pemimpin Pas termasuk Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri menghadiri majlis makan malam bersama Mahathir di sebuah hotel di Kota Bharu. Selepas itu Mahathir dipanggil untuk memberi ucaptama dalam satu persidangan mengenai Dinar Emas Kelantan di PWTC. Pas telah menggunakan pemikiran dan aura politik Mahathir mempengaruhi orang ramai.
Atas kerjasama ataupun layanan politik Pas kepada Mahathir mungkin telah memberi sumbangan kepada kemenangan besar Pas dalam pilihan lalu khususnya di Kelantan?
Berdasarkan strategi itu tidak hairan kini kalau ada orang berpendapat keputusan Mahathir itu terus memberi keuntungan kepada Pas. Malahan ada orang mula mengira bagaimana Mahathir akan turut berceramah di atas pentas Pas selepas ini. Peristiwa tahun 1969 akan berulang kembali.
Apabila ketika itu Mahathir dipecat daripada Umno beliau menumpang pentas Pas, menghentam Umno.Tentu bukan main seronoknya orang Pas menerima kehadiran Mahathir ketika itu. Mereka mengira Mahathir akan memberi keuntungan dan membantu perjuangan Pas dalam merealisasikan Islam!Tetapi apa jadi selepas itu? Apabila Mahathir menjadi PM tahun 1982, bagaimana keadaan Pas.
Apa yang Mahathir lakukan kepada Pas? Hadiah atau cendermata yang Mahathir berikan kepada Pas atas budibaik Pas kepadanya hanya dengan mengutuk dan mengecam Pas setiap kali perhimpunan agung Umno. Mahathir melihat Pas seolah-olah Barat melihat Osmah Bin Laden.
Kalaupun satu peristiwa yang dapat dilihat Mahathir berlunak dengan Pas ialah ketika majlis Malam Kemanusiaan membela Palastin di Dewan Bahasa dan Pusataka di mana beliau berucap bersama Almarum Mohd Fadzil Noor. Apa yang Mahathir tidak kata dan nesta kepada Pas?
Sampai hari ini Mahathir tidak mengikhtiraf Nik Aziz sebagai ulama atau Tok Guru. Sikap Mahathir itu satu penghinaan kepada Pas walaupun Nik Aziz sendiri tidak merasai apa-apa dengan sikap Mahathir yang mempelecehkannya itu.Bukan itu saja, apa sikap dan pandangan Mahathir kepada institusi ulama?
Apa yang Mahathir tidak kata kepada ulama? Dan siapa yang mengatakan yang Rauslullah s.a.w. tidak bercukur kerana tidak ada pisau cukup? Dan siapakah yang bertanggungjawab atau mencampuri urusan pemecatan Mufti Selangor Almaruh Ishak Baharum kerana cuba mengharamkan pertandingan ratu cantik?
Kata-kata dan perbuatan itu memedih dan menyakitkan hati bagi mereka yang mencintai dan menyayangi Rasulullah s.a.w. dan sunnahnya. Ianya masih terdengar di cuping telinga. Apabila di ukur dari sudut sentimen keagamaan menyebabkan kita terfikir kehinaan yang beliau terima hari ini mungkin disebabkan kifarah Allah atas apa yang beliau lakukan itu.
Hari ini jika Mahathir atau mana-mana pihak mengatur dan meminta untuk Mahathir berceramah atas pentas Pas, mesti Pas akan sambut dengan dua belah tangan. Tidak cukup surau stadium akan disediakan oleh Pas. Pas akan menangguk apa sahaja di air keruh meskipun yang masuk nanti sampah sarap.
Perlu diingatkan sebelum Pas berfikir untuk berbuat begitu elok kalau Pas berfikir sejenak. Melihat dan mengenang apa yang telah Mahathir lakukan sebelum ini. Paling penting ialah apakah sumbangan Mahathir untuk perpaduan Islam dan Melayu. Selama 22 tahun Mahathir tidak pernah berfikir bagi mengurangkan ketegangan Melayu.
Beliau menghalalkan kerenggangan hubungan Pas dengan Umno dengan berpandangan bahawa Parlimen memerlukan pembangkang sebagai check and balance. Jangan nanti kerana terlalu mengharpakan laba, mahu Abdullah berundur cepat, Pas sanggup berbuat apa saja tanpa mempedulikan kepada prinsip dan perasaan orang-orang Pas yang pernah disakiti oleh Mahathir.
Dalam situasi hari ini selepas ketiadaan Mahathir dalam Umno Pas bolehlah berfikir jauh ke hadapan bagaimana untuk memperkuatkan kuasa politik Melayu untuk dua tiga puluh tahun akan datang dengan membuka jalan kerjasama dengan Umno. Kita percaya Abdullah juga dalam saat berhadapan dengan simpang siur politik mungkin lebih mudah untuk diajak berunding berbanding dengan empat tahun lalu.
Manakala bagi saya tugas Mahathir paling afdal waktu ini sebagai mengisi sisa-sisa usianya ialah dengan menjadi mediator bagaimana hendak menyatukan politik orang Melayu baik dalam Umno, Pas dan PKR daripada beliau berterusan menggodam Abdullah. [wm.kl 6:30 am 21/05/08] .
Tuesday, May 20, 2008
Enekdot Politik
HEBAT Putera Mahkota Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz yang tidak akan mengikut jejak langkah bapanya untuk keluar daripada Umno dan terus mendesak supaya Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan. Janjinya beliau akan medesak selagi Abdullah tidak melepaskan jawatan sebelum Disember ini.
Katanya beliau juga tidak akan melepaskan kerusi Ahli Parlimen Jerlun.
Katanya juga dia akan keliling dan putar Malaysia mendesak Abdullah agar melepaskan jawatan. Katanya 20 ketua bahagian bersamanya. Katanya juga puteri dan wanita Umno bersamanya.
Orang cekap dan pintar dalam politik dapat membuat kesimpulan mudah dengan sikap Mukhriz itu. Mengapa beliau tidak keluar Umno dan semacam kontras dengan langkah bapaknya. Ada motifnya! Sebenarnya Mukhriz berbuat begitu bukan kerana politiknya tetapi atas nasihat bapaknya juga. Suara politik Mukhriz sebelum ini pun adalah air liur bapaknya.
Semacam tektik Mukhriz berbuat begitu. Dia mungkin tahu dan sedar kalau dia bertindak keluar Umno ianya tidak memberi apa-apa kesan dan untung. Malahan tindakan itu boleh memberi kesan buruk kepdanya. Begitu juga kalau beliau melepaskan kerusi Parlimen Jerlun ia satu kerugian besar. Menyebabkan suara Mahathir tidak akan sampai lagi ke Parlimen.
Sekurang-kurangnya kalau beliau terus tercokol di situ beliau dapat membawa suara bapanya ke dalam Parlimen.
Apa yang Mukhriz dan bapaknya berharap daripada tindakannya itu ialah mereka mahukan Mukhriz diambil tindakan disiplin oleh Umno. Mereka mengharapkan Mukhriz dipecat daripada Umno. Apabila Mukhriz dipecat maka simpati kepada Mahathir akan bertambah-tambah. Itulah motif di sebalik tindakan Mukhriz itu.
Mahathir sebenrnya berharap demikian apabila beliau mengkritik dan mengodam Abdullah. Namun Abdullah sedikit bijak dalam hal ini beliau tenang dan tidak mengambil apa-apa tindakan. Malahan tidak pun memberi apa-apa amaran kepada Mahathir. Inilah yang menyebabkan Mahathir jadi sakit dan resah jiwa.
Jadi apabila Abdullah atau Jawatankuasa Disiplin parti tidak mengambil apa-apa tindakan atau memecatnya maka beliau bertindak memecat dirinya sendiri. Gelagat Mahathir ini sepertilah budak yang gila hendak berkhatam apabila orang tuanya tidak layan dia bertindak memotong kemaluannya sendiri!
Sekiranya Umno tiba-tiba bertindak ke atas Mukhriz memecatanya maka apa yang diidamkan oleh mereka berdua beranak tercapai. Nampaknya kisah dua beranak yang pernah ditimbulkan Zaharin Yassin dulu kini terpalit kepada Mahathir pula. Bezanya Abdullah tiga beranak (Kamaruddin dan Khairy) Mahathir hanya satu beranak bersama Mukhriz. Politik Malaysia hari ini adalah perlawan dua beranak lawan tiga beranak. Dan kita semua adalah pengikut atau penontonnya. Saya tidak! Ha...ha.... [wm.kl 10:00 pm 20/05/08].
Pesanan Ringkas
ARWAH ayah saya Omar bin Othman apabila mengenangkan nasibnya dan dalam memberi ingatan kepada anak-anak sering kali bermadah; hina besi kerana karat, hina manusia kerana miskin! Setiap kali mengingati madah itu saya akan terkenang kepada sahsyiah ayah yang cukup sedrhana dan juga diri saya sendiri.
Benar, manusia akan dipandang hina apabila dia miskin. Sebaliknya manusia akan dipandang mulia kalau dia kaya walaupun kekayaan itu diperolehi dengan merompak dan menyamun harta rakyat. Walhal ukuran demikian tidak berlaku di sisi Allah. Allah mengukur kemuliaan seseorang itu kepada iman dan takwal seseorang.
Dalam politik pula kuasa dan kedudukan dipandang tinggi dan mulia. Orang akan hormat kepada kuasa kerana dengan kuasa mereka boleh melakukan apa saja. Kalau sudah tidak ada kuasa, kedudukan sudah hilang, maka ia tidak lagi dipandang mulia malahan akan dipersendakan.
Nasib orang politik yang sudah tidak ada jawatan samalah seperti pohon yang rebah di mana ianya akan dijadikan tempat kera dan beruk meniti (baca juga kura-kura).
Apa yang dialami Mahathir Mohamad kini nampaknya sama dengan besi yang disaluti karat ataupun pohon yang jatuh dan rebah menjadi tempat kera meniti itu. Kini semua orang menyalah dan berani untuk mengutuk dan mengatakanya bekas Perdana Menteri itu.
Satu pesanan ringkas (SMS) yang masuk ke dalam telefon saya pagi tadi 11:28
yang dihantar oleh Annuar Musa membuktikan apa yang dimadah dan disenandungkan
oleh arwah ayah saya itu. Untuk berlaku jujur saya siar sepenuhnya SMS berkenaan
tanpa sebarang editing kecuali penggunan huruf besar dan huruf kecil
dan titik saja.
"Statement Datuk Seri Annuar Musa Musa; Sesiapa
berjuang dalam Umno kerana
Mahathir, Mahathir dah tinggalkan Umno. Dan
mereka boleh ikut. Sesiapa yang
berjuang dalam Umno kerana agama bangsa
negara sesungguhnya perjuangan belum
selesai dan kita tetap bersama Umno....
it is not that we love him less but we
must love Umno more... lebih 20 tahun
kita pertahan Mahathir dalam semua keadaan
kerana Umno... kiranya kini
beliau memilih meninggalkan Umno maka kita ucapkan
selamat jalan padanya.
"Jasanya tetap dikenang Umno tetap Umno. Umno bukan Mahathir.... Mahathir
sebenarnya sedang melalui perasaan sense of insecurity.... satu sindrom
kecewa
teruk akibat tindakan PM mengubah dasar-dasar dan legasi zamannya.
Beliau rasa
tak dilindungi dan kepentingannya terjejas setelah dulu semua
kuasa ditangannya.
"Dia mahu PM jadi puppetnya. Mana mungkin begitu. Allah
telah mentakdirkan
begini pada Mahathir, mungkin qada atas perbuatannya
selama ini pada orang yang
dizaliminya.... Musa, Ku Li, Ghafar, Hussein,
Tunku, Harun, Anwar, Raja-Raja.
Itulah janji Allah. Ada bayaran tunai di
dunia, ada bayaran tertangguh di
akhiray. Walahualam... thank
you.. " [wm.kl 8:00 pm 20/05/08].
Dari Parlimen
Kata Syed Hamid, Mahathir (foto) boleh melakukan apa saja tetapi janganlah mengheretkan maslaah itu ke dalam Umno kerana ia boleh menimbulkan masalah. "Sebaik-baiknya selesaikan menerusi saluran parti jangan emosi," katanya.