Thursday, May 29, 2008

Rencana Khas

Ekoran kemasukan dalam Umno
Ezam gali kubur untuk kerjaya politiknya?

KEPUTUSAN yang diambil oleh bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhamad Ezam Mohd Noor semalam yang memohon untuk menyertai semula Umno selepas dipecat kira-kira 10 tahun lalu, tidak lebih dari satu lagi aksi bagi mengesahkan bahawa politik itu seni serba mungkin.

Tindakan Ezam itu menjelaskan bidalan politik; musuh dalam politik itu tidak kekal selama-lamanya, manakala kawan pula tidak kekal sebagai kawan selama-lamanya, adalah benar dan senantiasa relevan.


Dalam dunia politik semua boleh berlaku dan seharus mereka yang berada dalam kandang politik harus bersedia menghadapi segala kemungkinan itu. Sebelum ini pun banyak kejadian dan tindak tanduk politik yang diluar keyakinan kita berlaku dari masa ke semasa.

Misalnya terbaru tindakan Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno adalah sesuatu kejadian anih yang tidak terfikir sebelum ini. Tetapi kejadian seperti itu bukan ganjil dalam politik. Siapa menyangka Mahathir yang menjadi ahli Umno lebih 60 tahun tiba-tiba mengambil keputusan berhenti secara tiba-tiba.
Begitu juga dengan keputusan orang kanan Anwar Ibrahim, Ezam itu.

Meruja politik negara

Bagaimana pun seperti dikatakan tadi tindakan atau peristiwa kembali semula Ezam ke dalam Umno tidak merujakan politik negara.Walaupun kemasukan Ezam diumumkan sendiri oleh Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi ia tidak mengejutkan.

Nilai berita kemasukan Ezam itu nampaknya sengaja diperbesarkan apabila pengumuman itu sengaja diaturkan di bangunan Parlimen ketika sidang Parlimen berjalan. Pengumunan itu seperti mahu memberi signifikan kepadanya yang kembali semula ke dalam jelumun partinya yang ditinggalkan selama 10 tahun.

Begitu juga pengumuman di bangunan Parlimen itu secara tidak langsung untuk memberi tahu bahawa Umno dan BN yang berada dalam keadaan goncang kononnya terdapat lebih 40 ahli Parlimennya akan menyertai Pakatan Rakyat, adalah sebagai berada dalam keadaan stabil. Bahkan bukan ahli Parlimen BN yang ingin keluar sebaliknya bekas ahli PKR yang menyertai Umno.

Mengenang cara sebuah stesen televisyen memberi liputan langsung menerusi berita perdananya kepada Ezam menyebabkan saya mengingatkan cara itu tidak ubah seperti laporan berhubung kejayaan pasukan polis memberkas ketua samseng. Ianya sengaja ditunjukkan untuk menunjukkan kehebatan polis dan kumpulan yang dikepalai ketua samseng itu lumpuh ekoran kejayaan berkenaan.

Pun begitu tidak dinafikan ramai ahli PKR dan teman-teman seperjuangan Ezam di era reformasi sedih atas apa yang berlaku. Mereka yang sudah masak dengan kelakuan dan tindakan-tindakan politik mungkin tidak terkejut tapi mereka yang cetek sepak terajang politik sempat menjadi pening. Lantas itu masing-masing bertanya ke situ ke sini mencari sebab dan kemunasabah Ezam berbuat demikian.

Kenapa beliau harus memilih untuk kembali semula kepada Umno. Kenapa tidak parti lain yang lebih sinonim dengan jiwa Ezam seperti PAS dan sebagainya. Dan apakah faktor yang menolak Ezam ke dalam Umno? Inilah yang sedang tersimpul dalam kepala orang ramai dan mencari hujah-hujah untuk menjustifikasi tindakan Ezam itu.

Membuka pintu

Dalam sidang akhbar khas yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini, (29 Mei) beliau menjelaskan antara faktor yang membuka pintu hatinya untuk menjenguk semula ke dalam rumah Umno ialah kerana beliau terpesona dengan perubahan yang dilakukan Abdullah, di mana ianya bersifat proreform.

“Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik memegang tampuk pemerintahan bahawa memerangi rasuah adalah agenda utamanya amat menarik minat saya,” begitulah akui Ezam.

Tambahnya lagi pengumuman Perdana Menteri beberapa minggu lalu mengenai komitmen untuk melakukan perubahan besar terhadap badan pencegah Rasuah (BPR) dengan penubuhan Suruhajaya Anti Rasuah Malaysia, merupakan pernyataan paling bermakna buatnya.

Itulah antara dua faktor yang menjadikan Ezam terpesona dan terbuka hati untuk kembali meneruskan perjuangan dalam Umno. Ezam sesekali menegaskan pengembalian itu bukan kerana desakan atau tawaran kebendaan – jawatan dan sebagainya tetapi keyakinan kepada komitmen dan perjuangan perubahan dilakukan Abdullah.

Memang perubahan dilakukan Abdullah itu seimbang dengan apa yang dicari Ezam selama ini dan ia tidak ada salahnya kalau beliau menyokong. Itulah yang beliau lakukan dalam Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak), sebuah badan NGO yang ditubuhnya selepas beliau meninggalkan PKR.

Bagaimana pun jika dihalusi alasan atau faktor pengembalian beliau ke dalam Umno agak dangkal dan kontras dengan kata-kata dan tindakan yang dilakukannya selama ini khasnya di era reformasi di mana beliau antara juara yang mengkritik hebat kepimpinan kerajaan termasuk Abdullah.

Ironinya kenapa beliau begitu mudah mempercayai dan yakin kepada bayangan perubahan yang hendak dilakukan oleh Abdullah itu? Bukankah Abdullah pada masa ini disamping berusaha untuk membenteras kemungkaran namun dalam masa sama terus mengekalkan sistem yang boleh memberi kesuburan dan kesihatan kepada kroninya?

Walhal sebelum ini Ezam sendiri memperakui bahawa Abdullah masih belum melaksanakan semua janji perubahan yang hendak dilakukan terutamanya hasrat membenteraskan rasuah. Tuntutan-tuntutan Gerak yang dikemukakan selama ini juga belum dilunasi Abdullah bukan sepenuh bahkan separuh pun belum. Bukankah lebih afdal kalau Ezam meneruskan desakan itu tanpa menyertai Umno dan berdiri di garis tengah dengan Gerak!

Hari ini apabila beliau berada semula dalam pagar Umno beliau dilihat kekok untuk mendesak kerajaan agar membenteraskan penyelewengan dan memperbetulkan beberapa sistem pemerintahan yang korup. Kebebasan dan ketelusan yang beliau inginkan itu juga sudah terhalang.

Menentang kebatilan

Justeru penolakan dan faktor kemasukan beliau itu tidak tepat dan munasabah untuk Ezam yang dikenali sebagai seorang yang berani, berprinsip dan tidak mudah berkompromi dalam menegakkan keadilan dan kebenaran serta menentang kebatilan dan penyelewengan. Kesongsangan ini menyebabkan orang keliru dengan tindakan Pengerusi Gerak itu.

Walaupun mungkin ada keperluan atau perubahan semasa yang ketara untuk Ezam berbuat demikian misalnya kerana kecewa dengan perubahan dasar perjuangan PKR kini, namun tindakan itu lebih kepada memberi kesan buruk kepada kerjaya politik beliau sendiri.
Tidak mungkin Ezam boleh menterjamahkan kepada umum apakah nawaitu sebenar di sebalik keputusan itu. Kegagalan inilah menyebabkan Ezam akan terhukum dan seribu persepsi.

Di dalam Umno mungkin Ezam diberi tugas dan peranan tersendiri untuk memperbetulkan nawaitu perjuangan Umno serta mengemaskan strukturnya demi mengukuhkan kedudukan orang baru yang beliau kagumi kini. Tidak mengapa.

Makanya kita berharap kemasukan itu ada faktor lain yang lebih praktikal menjadi penolak Ezam ke dalam Umno. Apakah beliau ada agenda tersirat untuk kebaikan bangsanya? Hanya Ezam dan Tuhannya saja yang tahu. Sebagai orang yang menyayangi Ezam kita berharap demikian!

Sebaliknya kalau kemasukan Ezam itu kerana rajuk kepada sesuatu yang beliau tidak perolehi, alangkah dukacitanya bagi mereka yang kagum dengan Ezam selama ini. Tindakan itu jelas bertentangan dengan rupa Ezam seorang yang berani tetapi akhirnya tunduk kepada kelemahan dalamannya sendiri.

Apapun kita berharap Ezam akan berjaya membuat sesuatu di dalam Umno untuk bangsanya. Sekiranya beliau menyertai Umno hanya untuk tidak mengurangkan angka keahlian parti itu setelah Dr Mahathir tidak ada lagi, ini bermakna tindakan Ezam itu seperti menggali lubang untuk beliau menguburkan kerjaya politiknya. [wm.kl 3:00 pm 29/05/08]

4 comments:

Pemuda Pemangkin Reformasi said...

Pak Sayuti,

Kebetulan saya juga bersama dgn Pak Sayuti dan Tn Hj kita di sana tadi.

Cuma satu perkara yang nampak adalah nada Ezam telah berubah. Ya! dia mungkin boleh berseloka dengan agendanya. Tetapi air muka tak senada.

Ezam, graduan ISA yang pernah mendendangkan kezaliman ISA, hari ini apabila ditanya, Ezam hanya berkata...

"Pendirian saya tidak berubah, saya punya pengalaman dan saya rasa ianya perlu dikaji semula"

Lihat.. watak Ezam hari ini.

Pak Sayuti, semalam sudah berlalu.

mat_terab said...

Kita nak tengok orang yang macam Ezam ni setakat mana saja boleh pergi dalam Umno contoh-contoh sebelum ini seperti Ruslan kasim, Lokman dan banyak lagi tak kemana pun kata hendak menperjuangkan dari dalam umno akhirnya hanyut....

farzain said...

Amat berani kenyataan2 Ezam dan oran2 ex-Keadilan bila dah masuk UMNO ni... DSAI patut berjaga2, takut habis terbongkar nanti tip top secret yang beliau susah2 dah rancang nak laksanakan...

sugiman said...

Ustaz ...

sy nak dengar sangat komen DSAI tentang hal ni.

Agak ustaz bila DSAI nak beri komen. Tak boleh didiamkan kerana lepas ni pasti juak juak united malay national organisation akan mengunakan sepenuhnya 'kedangkalan' (sy guna ayat sopan) Ezam n gang utk menyerang DSAI dan PKR.

Atau mungkin DSAI sedang memerhati rentak mereka ni.

Sy ada dengar dr kawan2 (ntah ia atau tidak) bahawa macai macai Ezam yg megikuti dia m***** ke united malay national organisation adalah mereka2 yg kecewa kerana tak dpt jadi calon dlm pilihanraya yg lalu. Harap ustaz dapat komen sikit