Thursday, May 15, 2008

Sebelum Tidur

Tidak Bijak Bergaduh Dengan Akhbar Arus Perdana

CADANGAN dan seruan majlis Menteri Besar Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) agar rakyat memboikot atau tidak membaca Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia terasa semacam jenaka pula. Cadangan itu menyebabkan tengkuk saya merasa geli-geli dan loya macam gadis sunti mengandungkan anak di luar nikah.

Rasanya sudah berpuluh kali pembangkang mengambil pendekatan demikian dan bersikap tidak mesra alam dengan akhbar berkenaan. Tindakan memboikot itu bukan perkara baru. Ianya sudah lama dianjurkan sebelum ini dan berkala-kala pula lagaknya.

Kalau baru pun ialah kerana orang yang bercakap mengenainya itu adalah orang baru. Misalnya MB Selangor, Khalid Ibrahim yang dipetik sebagai mencadangkan demikian adalah orang baru dalam dunia kepembangkangan di negara ini.

Selepas beliau menjadi MB Selangor atau berada dalam pagar pembangkang baru beliau menyedari betapa perit dan sedihnya permainan berat sebelah media berkenaan. Khalid merasakan itu mungkin apabila kenyataanya atau isu yang timbul di Selangor dieksploitasi dan sengaja disalah laporkan oleh akbar berkenaan sehingga menimbulkan masalah kepadanya.

Meninggalkan impak besar

Bagi saya tindakan memboikot itu tidak memberi apa-apa makna kerana Utusan adalah sebuah akhbar arus persana yang sudah lama bertapak di bumi ini. Ia tidak meninggalkan impak besar kalaupun pemboikotan itu dilakukan. Kalau tidak silap saya Pas pernah melakukan lebih hebat daripada itu terhadap Utusan. Akhbar Utusan pernah dibakar pada satu muktamar Pas.

Manakala wartawan Utusan pula pernah dihalang daripada membuat liputan muktamar Pas atau kenyataan media pemimpin Pas.

Apa hasilnya segala tindakan itu? Ia tidak memberi apa-apa bekas. Sebaliknya Pas akhirnya tunduk dan terpaksa berbaik semula dengan akhbar berkenaan. Utusan tetap juga dengan perangai malaunnya yang terus–terusan mengeksplotasikan berita pembangkang.

Tidak boleh salahkan Utusan kerana ianya adalah media propaganda atau penjilat buntut kerajaan Umno dan BN. Saham akhbar berkenaan pun dimiliki sepenuhnya oleh ahli dan pemimpin Utusan. Jadi kalau Pas mengharapkan simpatis Utusan agar memberikan layanan baik kepada mereka samalah mengharapkan tanduk dari kepala kucing.

Jalan berkesan pada saya bukan tindakan memboikot, tetapi ialah kerajaan PR perlu bertindak tegas terhadap dalam melayani akhbar berkenaan. Maksudnya kerajaan PR kena bersikap tegas dan keras dengan akhbar berkenaan dan jangan sekali melayani dan menaruh kepercayaan kepadanya.

Misalnya cara paling baik ialah tidak memberikan maklumat berita kepada akhbar berkenaan baik langsung atau tidak langsung. Jangan panggil akhbar berkenaan memasuki ke dalam rumah pembangkang. Tindakan menutup pintu kepada akhbar berkenaan yang pernah dilakukan sebelum ini boleh dipertimbangkang semua. Tetapi kali ini kena tegas dan konsisten.

Dari sumber lain

Sekiranya akhbar berkenaan ingin mendapat maklumat mengenai kerajaan negeri PR mereka hendaklah memetik berita dari sumber-sumber rasmi kerajaan PR ataupun dari sumber lain.
Misalnya kalau berita dari Kerajaan PR yang didominasikan Pas, mereka mungkin boleh dapatkan sumber itu daripada Harakah. Manakala kalau kerajaan PR didominasikan oleh PKR mereka boleh dapatkan maklumat dari Suara Keadilan.

Kadang-kadang saya tidak faham dengan pendekatan diguna oleh pemimpin pembangkang dalam hal ini. Adakalanya mereka menjadi terlalu baik dan mempercayai kepada waratawan sehingga sanggup duduk sekali dan diajak makan dalam majlis-majlis besar di hotel bertaraf lima bintang. Pemimpin pembangkang tidak dapat membezakan antara wartawan akhbar berkenaan dengan wartawan berkenaan sebagai kawan baik atau kenalan mereka.

Disebabkan keasyikan dan kurang bijak dalam hal ini menyebabkan mereka sering kali terperangkap dalam manis oleh akhbar berkenaan.

Anihnya pembangkang tidak serit-serit juga walaupun akhbar berkenaan terus-terusan main belakang dan punggung mereka!

Misalnya Khalid Ibrahim sendiri bukan main lagi syok dan memberi perioriti kepada akhbar yang disuruh diboikotkan itu. Kalau tidak silap saya interviu eksklusif beliau sebagai MB diberikan kepada Utusan Malaysia. Apakah Khalid sudah tidak nampak kepada akhbar nyamuk lain yang sebelum ini membantunya? Pada saya akhbar nyamuk yang dianggap picisan atau buku hantu lebih banyak membantu perjuangan pembangkang!

Saya sendiri sudah lebih sebulan membuat temu janji menerusi Pegawai Khasnya, Yahya Shari, untuk menginterviu Khalid bagi dimuatkan dalam Siasah namun masih belum dilayan sampai ke hari ini. Begitu juga permintaan rasmi saya hendak mengadakan interviu dengan MB Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak terlayan sampai kini.

Pernah sekali saya menghubungi Setiausaha Politiknya untuk tujuan itu tetapi dibalas dengan sehelai kertas saja sebagai jawaban dari MB itu. (Mungkin ini orang tidak percaya kerana saya akrab dengan Nik Aziz, tetapi inilah hakikatnya).

Berhubung dengan layanan terhadap media ini suka saya cadangkan supaya pegawai MB atau MB kerajaan PR meniru atau meneladani perangai orang baju petak-petak merah. Kenapa beliau seakan menguasai media kerana hubungan mesra beliau dengan akhbar. (Aiiii.......!).

Berbalik kepada kes Khalid tadi jika hendak dikira apakah jasa akhbar yang hendak diboikotkan itu berbanding Siasah dan Harakah? Kesilapan ini mungkin bukan dari Khalid, tetapi inilah sikap orang yang menjaga dan mengawal MB itu.

Dan hari ini apabila sudah terkena main dengan Utusan baru beliau tersedar mana intan dan mana kaca. Mengapa orang kita selalu jadi seperti si buta yang angkuh membuangkan tongkat selepas menyeberangi jambatan!

Jadi sekali lagi saya katakan tindakan memboikot seperti disarankan itu tidak akan memberi apa-apa kesan dan perlu dilupakan saja. Cara paling baik ialah MB-MB PR tidak memberi ruang luas kepada wartawan akhbar yang menjadi propaganda kerajaan BN itu sebaliknya mula mengubah kepercayaan dan keyakinan dengan memberi ruang kepada akhbar alternatif sebagai akhbar rasmi mereka? Jika akhbar penjilat buntut ingin bahan berita bolehlah mereka memetik dari akhbar alternatif yang rasmi itu.

Seperkara lagi pada saya tindakan paling afdal dalam mengatasi masalah ini bukan berperang dengan akhbar arus perdana, sebaliknya MB kerajaan PR perlu memperbanyakan media massa mereka sendiri. Lawan dengan akal jangan lawan dengan emosional. Ingatlah walaupun pembangkang sudah agak besar sekarang ini, namun akarnya masih benar-benar belum menunjang ke persada rakyat! (kemaskini) [wm.kl 10:15 pm 15/05/08].

7 comments:

Anonymous said...

Saya menyokong penuh dengan kenyataan Tuan Haji.. Dah berapa lama kita dengar asyik nak boikot2. Kalau ada P.Ramlie tentu dia kata " berapa kali mau boikot daaa.."

Adakah ini mentaliti pemimpinan kerajaan PR? Waktu media puji kita baik, kita rasa syok sendiri. Tapi bila orang dah hantam kita dah mula gelabah..

Dulu saya masih ingat bagaimana akhbar ini dibakar tanda protes. Adakah kali ini nak bakar lagi?
"Berapa kali mau bakar daa..."

Ingat!!! Pemimpin sentiasa dipantau oleh rakyat... rakyat akan tengok apa yang kita buat. Tunggu lagi 5 dia akan jatuhkan kita kalau kita masih "benak" macam ni..

Muhammad Fahmi said...

betul tu tn hj,

nk tibai politik UMNO kena guna org politik. kalau nak tibai akhbar Utusan kena guna org akhbar la juga. teruskan perjuangan...

joe penang said...

Idea anda mmg bagus. Apa kata kita joint sekali? Boikot jgn beli. Semua agensi di bawah kuasa kerajaan negeri PR tidak lagi membeli akhbar UM. Penyokong pula jangan membeli(jgn baca langsung lagi baik).

Sidang media kerajaan negeri dan agensi dibawahnya jangan dibenarkan wartawam UM mengambil berita. PR peringkat pusat juga hendaklah bertindak demikian.

Jika kita mampu berbuat demikian, UM akan menerima pukulan teruk, insya Allah.

Soalnya.
Mampukah kita melakukan kedua2nya serentak?

Anonymous said...

Senang sahaja kalau tak beli akhbar arus perdana dikira boikot la ... apa susah ...

Rakan2
Jangan Lupa layari blog saya di http://khairilazuar.wordpress.com
bagi komen setiap artikel yang saya tulis. …ada artikel baru

Salam Ukhuwah... said...

Kesimpulannya,
seorang pemimpin itu
setiap keputusan dan tindakannya
haruslah terhasil
dari pemikiran yg rasional iaitu didasarkan kepada alasan yang munasabah yang terbit dari penilitian akal yang waras. Dari fikiran yg rasional berbuahlah tindakan yg efektif.

Trima kasih Tuan Haji :)

mat terab said...

Saya sokong dua-dua sekali baikot saya sokong dan tidak memberi ruang kepada pemberita dr akhbar Bn ni pun saya sokong semoga pakatan rakyat dapat laksanakan dengan berkesan....

Anonymous said...

Saya secara peribadi telah lama tidak membeli akhbar-akhbar arus perdana ini.Lima tahun lebih, kalau tidak silap. Kalau saya membaca berita darinya pun hanya kerana ia diletakkan diatas meja kedai makan dan bacaan tersebut lebih tertumpu kepada tajuk-tajuk sahaja. Apa yang saya nak tegaskan di sini ialah, bukan kerana kempen atau apa-apa yang berkaitan yang membuat saya bertindak sedemikian..tapi adalah atas dasar kesedaran sendiri bahawa banyak isu-isu telah diputarbelit oleh media arus perdana dan saya kadang-kadang jadi keliru dan muak bila membaca akhbar-akhbar ini..