Sunday, May 25, 2008

Susupan Pagi

Jangan Buang Masa Dengan Mahathir

ADA pihak-pihak tertentu di dalam Umno amat terasa dengan 'pemergian' Dr Mahathir Mohamad dari parti berkenaan. Mereka yang sedih ini melihat tindakan Mahathir bakal memberi bahana besar kepada Umno dan melibatkan perpecahan orang Melayu. Maka diusulkan agar pihak-pihak tertentu dalam Umno termasuk Timbalan Presiden dan Naibnya memujuk Mahathir.

Mereka yang "histeria" dengan tindakan Mahathir ini sampai minta agar satu delegasi menemui Mahathir di luar negara. Mengenai cadangan ini saya teringat kepada apa yang berlaku pada tahun 1982 dulu apabila Musa Hitam meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, kemudian 'lari' ke luar negara, Umno telah menghantar rombongan memujuk Musa.

Namun Musa tidak berdegis (berganjak) daripada keputusannya.

Mengenai Mahathir ini saya kira beliau lebih keras dan kebatu daripada Musa. Mahathir seorang yang berpegang kepada prinsipnya tidak akan menoleh lagi ke belakang selagi apa yang beliau inginkan tidak terpenuhi.

Usaha memujuk Mahathir hanya membuang masa sahaja. Senang saja untuk membawa masuk semula Mahathir ke dalam Umno, Umno kena berusaha membuang Abdullah Ahmad Badawi. Ataupun berusaha agar Abdullah melepaskan jawatan yang disandangnya sekarang. Tutup cerita! Selagi Abdulah masih kekal di kerusinya selama itulah Mahathir akan bertindak menjadi macam hantu raya mengacau dan meracau!

Umno kehabisan banyak masa dalam melayani perangai Mahathir. Boleh dikatakan tiga perempat masa Abdullah selama menjadi PM terpaksa dibuang kerana melayan rajuk dan tindak Mahathir. Jelaslah yang memecah dan menghancurkan Umno ialah ahli Umno sendiri.

Mungkin ini sebagai hukum karma daripada Allah s.a.w. Banyak kali Allah berpesan dalam kitabnya ketauhidan keimanan manakala Nabi Muhammad s.a.w. pula mengingatkan mengenai hal-hal sebegini. Antara yang Rasulullah tekankan ialah mengenai perpaduan atau ukhwah. Apabila ukhawah sudah tidak ada maka tunggulah akan berlaku kehancuran.

Perpaduan dalam Umno sudah mula longgar sejak beberapa dekad ini. Apabila Umno menjadikan partinya sebuah badan korporat di sinilah mulai timbul pelbagai unsur dan penyakit cintakan dunia yang satu-satu melemahkan kedudukan Umno sendiri. Klimeks kepada perpecahan dalam Umno ialah pemecatan Anwar Ibrahim tahun 1998. Jika diperhati permecatan ini jelas kerana dendam dan manusia (ahli Umno) sudah berpaksi kepada kebendaan dan bukan perjuangan.

Berbalik kepada isu Mahathir kini, Umno harus menggelapkan saja berita mengenainya. Biarlah ianya dilayan oleh pembangkang kerana ia memberi manfaat kepada pembangkang. Kalau Pas hendak memberi ruang kepada Mahathir sekali lagi pun tidak mengapa. Memang baik baik bagi Pas untuk menjadikan Mahathir sebagai air tuba untuk memabukkan Umno.

Pas juga kini sudah bijak bermain politik. Musuh Umno bukan musuh Pas walaupun musuh itu kadang-jadang adalah musuh bersama! Tindakan-tindakan begini menyebabkan ada yang terkeliru dengan tindakan Pas.

Namun saya tidak fikir kalau pun Pas bersedia menyediakan lima stadium untuk Mahathir berceramah menghentam Abdullah, Mahathir akan bersetuju. Lagipun langkah itu tidak ubah sebagai membantu Mahathir menelanjangi diri sendiri (kepimpinan Melayu). Menceritakan keburukan Abdullah sebagai pemimpin samalah menceritakan keburukan Melayu/Islam selaku pemimpin.

Kini jelas Umno pimpinan Abdullah tidak disukai oleh Mahathir. Manakala Umno yang menyokong Abdullah tidak menyukai Mahathir. Kedua mereka ini sudah hilang kepercayaan daripada ahli Umno yang berjuang dengan tulus dan ikhlas. Dalam kegelisahan ini adalah elok kalau ahli Umno mencari tokoh baru. Mereka memerlukan seorang tokoh yang boleh mengamankan Umno hari ini.

Dalam situasi hari ini kenapa Umno tidak mahu memberi peluang kepada Tengku Razaleigh Hamzah? (foto atas) Beliau kini beriya menawarkan khidmatnya kepada Umno. Ku Li masih belum ada dosa besar kepada Umno seperti mana Abdullah dilihat berdosa oleh Mahathir dan Mahathir pula dilihat berdosa oleh Abdullah!

Dalam keadaan hari ini tawaran Ku Li untuk berkhidmat adalah peluang bagi Umno. Cuba jangan perkecilkan usaha dan nawaitu Ku Li ini. Ku Li boleh dijadikan percubaan oleh Umno untuk mengukuh dan menyatukan dan memadukan semula keretakan-keretakan di dalam parti berkenaan. Dan setelah Ku Li gagal juga berbuat demikian, nah buanglah Ku Li.... dan cari orang lain pula yang lebih berwibawa dan mendapat kepercayaan rakyat. [wm.kl 10:30 am 25/05/08] .

4 comments:

mat_terab said...

KENAPA UMNO SUSAH PAYAH PULA HENDAK PUJUK TUN SEBELUM NI KALAU KITA TENGOK KEHADIRAN TUN NANYA UMPAMA MELUKUT DI TEPI GANTANG DALAM UMNO PANDANGAN TUN TIDAK PERNAH MEREKA ENDAH SETELAH TUN TIADA KUASA...

zeme said...

Salam,

Allahyarham Tan Sri P.Ramlee pernah mendendangkan "barang yang lepas usah di kenang", namun dalam konteks konflik UMNO masa kini "barang yang lepas masih berharga membawa Melayu dan UMNO untuk menang".

Dalam bicara ini, barang yang lepas merujuk kepada putera raja Kelantan, YBM Tengku Razaleigh yang masih berkeupayaan dengan pengalaman berharga beliau untuk di angkat menerajui kepimpinan UMNO sekaligus bersama-sama ahli² UMNO memulihkan parti serta perpaduan bangsa Melayu serta negara kita.

Benarlah seperti saranan saudara MSO, tidak menjadi kerugian atau kesalahan memberikan peluang kepada YBM Tengku untuk cuba memulihkan konflik UMNO dan negara kini.

Wasalam.

farzain said...

Umno patut fokus cara untuk menyelesaikan masalah dalaman yang mereka ada dan bagus juga lah Tun M dah tiada dalam UMNO. Tapi kalau dia masih lagi kuat dengan cara dia megeluarkan komen, sama saje dia keluar ata dalam umno, buat makin parah, bukannya membina.

phillix-starscreamer said...

setuju 100% dengan farzain. kalau benar hatinya untuk rakyat malaysia dan warga UMNO, baik tun M fikir dahulu sebelum mengeluarkan komen. i mean, look at how he justified his quitting of UMNO. bukan main mementingkan diri sendiri komennya.