Tuesday, May 20, 2008

Dari Parlimen

Parlimen Tenang Menerima Keputusan Mahathir

DI RUANG legar Parlimen dan di dalam Parlimen hari ini seperti biasa. Seperti hari-hari persidangan dua minggu sebelum ini. Parlimen ke -12 ini terus mendapat perhatian orang ramai. Ada-ada saja rombongan termasuk dari kalangan murid sekolah yang datang dari pelusuk negara.
Setiap hari persidangan penuh dan ruang letak kereta menjadi sendak. Ini menyebabkan kereta terpaksa di parking di sepanjang jalan masuk dan jalan keluar Parlimen. Ini menyulitkan kepada ahli "Persatuan Gout Malaysia!"

Ada kalanya juga pengunjung terpaksa berpatah balik kerana tidak ada tempat untuk meletak kereta.
Kebanjiran pemerhati kali ini begitu ketara sekali. Dan hari ini selepas sehari berlalunya hari Wesak ramai yang menyangka Parlimen akan menjadi penuh sesak. Pemerhati akan bertambah bilanganya dari biasa. Ini ekoran keputusan Mahathir Mohamad di Alor Star semalam yang mengumumkan keluar daripada Umno.

Peristiwa itu dikira bakal menjadi tumpuan ramai kerana ianya dianggap menggemparkan negara. Dan sudah tentu di Parlimen hari ini isu penguduran Mahathir itu akan mendominasikan isu-isu atau pun perbahasan di luar dewan.

Mereka yang selamanya kagum dengan kepimpinan Mahathir membayangkan tindakan Mahathir semalam akan memberi impak. Maka mengira akan adalah ahli Yang Berhormat khasnya dari Umno membuat kenyataan yang mengejutkan mengikut langkah Mahathir atau bagi menyatakan simpati atas keputusan bekas Presiden Umno yang juga bekas Perdana Menteri itu.

Maka wartawan bertambah berlipat ganda dan masing-masing bersiap dengan tape rekoder dan juru gambar pula dengan kamera untuk merakam apa-apa peristiwa yang berlaku di Parlimen hari ini. Atau setidak-tidaknya ramai menyangka anak Mahathir, Mukhriz akan membuat kenyataan akhbar mengumumkan beliau juga akan meninggalkan Umno sebagai menyokong tindakan bapanya.

Selepas berada di Parlimen kira-kira empat jam, dari jam 10: 30 pagi hingga 2:30 petang tidak ada apa yang berlaku. Ahli Parlimen kelihatan seperti biasa saja, dan tidak menunjukkan reaksi samada terkejut ataupun berdukaciata atas apa yang berlaku.

Masing-masing seperti sudah faham dan saling kenyit mengenyit kening saja bila tersampuk topik berkenaan. Cuma bila ada yang bertanya baru ada yang terliur untuk menjawab dan sesetengah YB Umno malas untuk mengomen tindakan Mahathir itu. Mungkin mereka juga merasakan membuang masa saja untuk bercakap mengenai Mahathir.

"Setelah beliau mencari siapa lagi yang boleh dipecat dan sudah tidak ada lagi maka beliau memecat dirinya sendiri!" begitulah komen ringkas Mohamad Nazri Aziz sinis bila diminta mengulas mengenai tindakan Mahathir itu.

Manakala yang lain pula sependapat mengatakan tindakan Mahathir itu melegakan Abdullah dan masalah Umno kini sudah tiada ada. "Baguslah, Umno tidak ada masalah lagi. Selama ini pun dia menyusahkan Umno," kata Johari Baharum sambil berjalan.

Setiasuaah Politik Perdana Menteri, Alwi Che Amat pula sependapat dengan Musa Hitam dengan menganggap tindakan Mahathir itu menjadikan duri dalam daging Umno kini sudah tidak ada lagi.

"Selama ini Umno berdenyut disebabkan duri berkenaan, kini alhamdulilah sudah tidak ada lagi. ia tercabut dengan sendri!" kata Alwi.


Kalau pun yang memberi reaksi serisu dengan tindakan Mahathir itu Syed Hamid Akbar yang melahirkan rasa sedih atas apa yang berlaku. Kata Mahathir seorang pemimpin yang hebat tidak sepatutnya mengambil keputusan seperti itu. "Apa yang kita sedih dia membawa masalah peribadi ke dalam parti," ujarnya.

Kata Syed Hamid, Mahathir (foto) boleh melakukan apa saja tetapi janganlah mengheretkan maslaah itu ke dalam Umno kerana ia boleh menimbulkan masalah. "Sebaik-baiknya selesaikan menerusi saluran parti jangan emosi," katanya.

Perbahasan di dalam Dewan juga berjalan seperti biasa. Tindakan Mahathir itu tidak mempengruhi anggota Dewan. Keadaan Dewan tetap riuh randah seperti hari-hari sebelum ini. Misalnya semasa Menteri Pelancongan, Azalina Othman Said menggulung perbahasan bagi kemeteriannya, beliau diganggu oleh pembangkang yang tidak berpuas hati atas sikapnya yang enggan memberi laluan kepada ahli Yang Berhormat lain meminta penjelasan.

Mohd Azmin Ali (PKR) Gombak satu ketika bangun meminta agar Azalina dihadap ke Jawatankuasa Khas Parlimen kerana menghina Parlimen apabila Azlalina dikatakan memberi penjelasan yang bohong kepada Dewan. Wakil PAs Kota Bharu, Abdul Rahim Abdullah juga turut bangun membedal Azalina mengatakan kenyataan Azalina yang Kelantan tidak bayar gaji pegawai beliau selama tiga bulan ada suatu kenyataan biadab.

Abdullah juga turut hadir ke Parlimen menjelang makan tengah hari untuk berjumpa dengan ahli Yang Berhormat daripada Umno. Dari maklumat yang diterima tidak ada apa-apa yang berlaku dalam pertemuan itu. Abdullah juga diberikan bercakap mengenai Mahathir kurang daripada dua minit.

Maknanya ahli Parlimen Umno tidak membangkitkan apa-apa kepada Abdullah.

Apapun nampaknya yang berlebih dan ghairah untuk mengulas mengenai keputusan Mahatahir ialah dari pihak pembangkang, baik PAs amupun PKR.

Bagaimana pun bagi mereka yang arif mengenai sifat dan sikap pembangkang tidak merasa anih dengan kelakuan dan telatah ini. Sudah fitrah pembangkang apabila sesuatu musibah berlaku ke atas parti musuhnya mereka akan bertepok tangan kegembiraan. [wm.kl 6:30 pm 20/05/08].

No comments: