SEPERTI yang saya sudah jangkakan bahawa semalam tidak ada apa yang mengejutkan berlaku dalam dunia politik negara. Yang berlaku dan menarik perhatian saya semalam, ialah kucing kesayangan saya, si Putih 1 terlekat di celah pagar. Tersangkut!
Macam mana boleh berlaku tidak tahu. Kalau anak saya tidak menyedarinya mungkin si Putih 1, yang nakal gila itu tersangkut hingga ke malam. Begitulah kalau nakal berlebih akan ada bahannya.
Apa yang ditunggu pengumuman yang mengejutkan kononnya 17 Ahli Parlimen akan menyertai pembangkang seperti diuar-uarkan dan dijaja oleh sebuah blog tidak menjadi. Sampai ke petang orang-orang yang mudah terasuk dengan berita itu menunggu di Parlimen.
Sahlah berita berkenaan satu perang saraf yang ditaburkan oleh pihak Umno kerana rimas dengan dakwaan Anwar Ibrahim itu. Nampaknya strategi itu berjaya! Lepas ini kalau ada kejutan perkara itu orang sudah tidak akan pedulinya lagi.
Semalam saya jumpa dengan Mohd Azmin Ali, Naib Presiden PKR dalam rangka untuk interviu beliau bagi untuk bahan Siasah. Di kesempatan itu saya bertanya hal berkenaan kepadanya. Jawabannya menarik juga. Bahawa dakwaan itu ada asas dan kalau mengikut Azmin pembentukan Kerajaan Persekutuan baru akan dibuat lebih awal.
"Tarikh 16 September yang diumumkan Anwar itu terlalu lewat," ujarnya tersenyum.
Temuramah dan berita lanjut mengenai cerita penubuhan Kerajaan Persekutuan dan cerita ahli Parlimen BN tidak jadi melompat semalam ada dimuatkan dalam temuramah dalam Siasah yang inysAllah akan diterbitkan Sabtu hadapan.
Dalam banyak cerita bersama Azmin semalam, ialah cerita mengenai sahabat dan kembar siamnya Ezam Muhammad Nor yang kini sudah berubah haluan. Saya secara terus terang bertanya Azmin mengenai masalah beliau dengan Ezam.
Azmin nampak keberatan untuk bercerita dan tidak mahu mendedahkan 'budu' di tengah ramai. Cuma beliau mengulas berhubung kenyataan Ezam yang mengkritik Anwar seperti mana disiarkan dalam Siasah dua minggu lalu.
Azmin berkata sesiapa pun boleh memberi pandangan namun mereka tidak boleh memadamkan sejarah dengan perasaan marah dan emosi. Samada Anwar telah mengkhianati Melayu seperti mana kata Ezam, menurut Azmin ianya boleh dinilai kepada apa yang Anwar lakukan selama ini, semasa beliau berada dalam Kerajaan.
"Saya tidak mahu mengulas lanjut dan hendak menuduh sesiapa, tetapi kaji dan selidiklah sendiri dengan rasional dan adil," katanya tenang dan berhemah.
Tanpa menuduh peranan Ezam hari ini kata Azmin beliau berharap semoga Ezam tidak akan menjadi budak upahan Umno. "Rasionallah pemikiran kita. Apa yang saya bimbang kenyatan-kenyataan itu (memburuk) Anwar menyebabkan orang akan memandang negatif kepada kita," tegasnya. (Benarkah Ezam akan menyertai Umno, akan diceritakan pada kesempatan lain).
Perbualan dengan Azmin terhenti apabila tiba-tiba Zahid Mat Arif bekas orang kuat Keadilan tiba-tiba terjolor dan berjabat tangan dengan Mohd Azmin; "Selamat kembali ke pengakuan Keadilan," begitulah kata Azmin sambil menjabat erat tangan Zahid.
"Masih banyak kekosongan, jawatan menteri pun ada," sambung Azmin berseloroh.
"Menteri tak payah, Setiausaha Politik cukup. Atau diberikan jadi driver pun okey," balas Zahid pula sambil meminta saya merakam gambar mereka berdua.
Saya hanya tersenyum dalam hati sambil memotret gambar aksi mereka berdua. Jauh di lubuk hati terasa benar juga ktaa-kata Zahid, kalau beliau jadi driver pun okey juga. Tetapi apakah orang Keadilan sedia untuk memberi jawatan itu selepas beliau sudah meninggalkan Keadilan! Pada saya mereka yang tidak mempunyai ketahanan diri dan prinsip dalam perjuangan, jawatan driver pun tidak wajar dipertimbangkan. Silap hari bulan nank dikoner kereta ke tempat lain, naas! [wm.kl 9:20 am 15/05.08].
1 comment:
"Samada Anwar telah mengkhianati Melayu seperti mana kata Ezam, menurut Azmin ianya boleh dinilai kepada apa yang Anwar lakukan selama ini, semasa beliau berada dalam Kerajaan."
Apakah yang Anwar lakukan selama ini? Kita wajar melihat dari persepsi. Umum mengiakan bahawa cakap Anwar memang berapi. Anwar juga terjebak dengan perangkap politik, iaitu ada kawan yang disokong dan ada kawan yang perlu disisih dan dilondeh.
Kronisma dan Nepotisma juga adalah isu yang membelenggu Anwar. Apa nak kata, sebab politik berdiri atas sokongan, lantas berderet kroni. Itu tidak salah. Tapi Anwar mewarnakan kronisma dan nepotisma dengan merah jambu suatu masa dulu.
Selebihnya, orang tidak tahu apa yang Anwar sumbangkan untuk kesejahteraan orang Melayu. Mungkin Dr Rahim Ghouse lebih tahu tentang tanah, air dan lubuk.
Post a Comment