Friday, May 9, 2008

Ulasan Peristiwa

Antara Raja Petra dan Siti Fatimah

MSO

PENDAKWAAN penulis blog dan pengendali laman Malaysia-today Raja Petra Kamarudin, 58 tahun di bawah Akta Hasutan minggu lalu dan keengganan beliau membayar jaminan sebanyak RM5,000 dan bersedia untuk berihat di penjara Sungai Buloh menjadi berita panas dan bahan bulan hangat.

Semua pihak memberi perhatian dan fokus kepada berita berkenaan – mengenai keberanian Raja Petra mempertahankan hak dan dakwaanya. Sikap Raja Petra itu disokong kerana beliau dilihat menjadi ikon kebebasan media maya di negara ini. Raja Petra dianggap sebagai pejuang kebebasan mutlak mahu meruntuh segala sempadan dan halangan adat dan agama.

Apa yang dicari Raja Petra adalah kebebasan bersuara, kebebasan bertindak, kebebasan berhimpun, kebebasan mendedah dan kebebasan mengkritik tidak kira siapa. Dalam kebebasan itu dipercayai ada keadilan yang diukur dari kaca mata manusia, maknanya pintu ijtihad untuk mentafsirkan apa-apa sahaja dibenarkan.

Mengirimkan semangat

Semua media memberi liputan meluas kepada berita Raja Petra. Baik media pro reformasi, pembangkang dan juga kroni kerajaan. Cuma media kroni hanya melapor sahaja. Laman-laman web, blog juga turut sama menyorot memberi ulasan dan mengirimkan semangat kepada Raja Petra dan keluarganya.

Hanya dua tiga laman web yang menjadi kroni senyap kepada kerajaan sahaja menyiarkan berita Raja Petra dalam sinis dan nada lelucon. Itu pun laman yang tidak sebulu dan ada kes personal dengan Raja Petra.

Saya sendiri ikut sama hadir ke kompleks Mahkamah di Jalan Duta, Isnin lalu untuk memberi sokongan kepada raja blog itu dan juga melihat suasana dihari pendakwaan itu. Kehadiran saya adalah atas dasar satu profesyen dan sebangsa dengan beliau (bukan ningrat) tetapi sebagai penulis blog bebas yang juga hauskan kebebasan!

Sokongan dari semua pihak termasuk pembangkang menyebabkan Raja Petra terbela.

Lantaran itu hukuman atau pendakwaan itu tidak memberi apa-apa kesan sebaliknya memberi modal dan menaikkan harga dirinya sebagai penulis maya hebat yang tidak memperdulikan sesiapa.

Derma yang dikutip menerusi kempen seringgit seorang untuk Raja Petra yang berjaya dipunggut hampir RM50,000 menunjukkan sokongan kepada Raja Petra dan juga golongan blogger. Kutipan dan sokongan kepada Raja Petra memberi semangat kepada blogger lain untuk meneruskan perjuangan dan jangan gentar dengan ancaman.

Reaksi dan bingkasan bersepadu yang ditunjukkan oleh para blogger dan sokongan umum terhadap apa yang yang menimpa Raja Petra itu sedikit sebanyak pihak berkuasa ataupun orang yang berada di sebalik pendakwaan itu (seperti mana didakwa) merasa cemas. Kalau niat mereka mengambil tindakan itu bertujuan menakut dan untuk menggertak blogger ia adalah silap.

Berbezaa dengan berita mengenai keputusan Mahkamah Syariah Pulau Pinang yang memberi kebenaran kepada seorang mualaf Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang yang memohon untuk kembali ke agama asalnya, Buddha. Berita berkenaan diterima seadanya dan tidak mendapat liputan meluas dan diberikan reaksi beremosi oleh umat Islam.

Seakan ada usaha agar berita berkenaan disenyapkan saja. Hakikat ini dapat dilihat kepada sikap media massa baik yang didokong kerajaan ataupun pembangkang. Berita itu dilaporkan secara profesional dan tidak beremosi seperti mana berita pendakwaan terhadap Raja Petra.

Mengapa? Jika dilihat kepada media massa yang dimiliki oleh bukan Islam, berita keputusan mahkamah itu disambut penuh kegirangan. Akhbar-akhbar Cina hari ini telah memberi liputan meluas dan di muka hadapan dan seolah-olah mereka meraikan sebuah pesta!

Bukan akhbar sahaja yang bersikap dingin dan persis berwaspada untuk melaporkan berita berkenaan, orang politik juga nampak tidak ghairah mengulasnya. Di pihak kerajaan hanya Ahmad Zahid Hamidi sahaja yang bercakap mengenainya yang meminta umat Islam menerima keputusan itu. Lain-lain pemimpin masih membisu atau mungkin kehilangan idea!

Sebarang ulasan

Exco Agama, Mufti, ketua-ketua Gerakan-Gerakan Islam seperti Abim, Peguam Muslim dan sebagainya tidak kedengaran memberi sebarang ulasan dan pandangan berhubung keputusan berkenaan. Mungkin mereka tidak mahu terjebak perbuatan contempt of court (menghina mahkamah), menyebabkan mereka mendiamkan diri dan seolah berita itu tidak menerobosi lubang pendengaran mereka.

Memang sesiapa pun kena menghormati keputusan mahkamah. Namun dalam isu ini Mufti, pemimpin gerakan Islam insitusi dan individu yang arif mengenai Islam masih boleh bercakap dan mengulas dalam memberi tafsiran mereka berhubung apa yang berlaku. Mereka perlu mengeluarkan pendapat bagi membela kesucian Islam dengan apa yang berlaku itu. Sebab menurut Quran jelas tindakan murtad mencemarkan Islam dan apa yang berlaku itu merupakan satu kekalahan dan keiban kepada Islam.

Tidak hairan kalau pemimpin Umno yang ‘bermazhab’ Islam Hadhari enggan membuat ulasan dan menerima keputusan itu seperti keputusan mengenai hak penjagaan anak saja atau kes penerimaan lafaz cerai saja. Sebab umum sudah tahu mengenai sikap dan penerimaan mereka terhadap Islam.

Namun apabila pemimpin Pas, para ustaz, ulama dan mualimnya juga turut mendiamkan diri dalam isu ini ia sudah menjadi sutu perkembangan yang anih. Puas saya membelek surat khabar dan melayari blog dan laman-laman portal berita di internet yang pro pembangkang, atau galak menyokong pemimpin tertentu dalam Pas namun tidak ada pun ulasan dan komentar mereka berhubung apa yang berlaku di Pulau Pinang semalam.

Kalau ada pun ulasan daripada Timbalan Presdien Pas, Nasharudin Mat Isa yang membuat ulasan secara umum mengenai kedudukan dan peranan seseorang penganut Islam. Itu saja. Belum kedengaran pandangan dan ulasan daripada para hero atau wira Pas yang begitu mesra media selama ini, yang bercakap setiap hari di akhbar atau pun di hadapan laptop. Mengapa dalam isu murtad ini mereka membisu?

Sepatutnya ustaz dan ulama serta pemimpin Paslah tampil memberi pandangan dan nasihat berhubung perkara ini. Mereka harus mendahului orang lain. Sebab perjuangan mereka dilihat komited dengan Islam. Apakah Pas juga merasakan isu murtad dan isu-isu panas mengenai Islam tidak menguntungkan politik mereka maka ianya perlu direda atau pun tidak ditonjolkan?
Atau pun kalau boleh jangan sentuh langsung sebab ia menyentuh rakan politik lain di mana ia menjejaskan kerjasama politik? Begitukah?

Kesimpulannya isu Raja Petra dan Siti Fatimah diberi layanan berbeza oleh manusia dan kumpulan yang sama walaupun keduanya bertolak daripada mahu mencari kebebasan. Orang politik khasnya beragama Islam perlu meneliti dan mengkaji apakah kebebasan yang dicari menerusi kedua isu itu memberi kebaikan atau sebaliknya! [wm.kl. 8:45 pm 09/05/08].

No comments: