Mencari Makna Kokokan Ibrahim Ali
BURUNG kalau ia asyik berkokok di luar normal kebiasaan tabiitnya ada dua kemungkinan berlaku ke atas dirinya. Pertama mungkin dia lapar, kedua mungkin dia sakit! Kalau berkokok seperti biasa, ia menyanyi sebenarnya. Menyanyi juga ada dua fungsi samada menghibur diri sendiri ataupun menghibur orang lain. Ada juga orang menyanyi-nyanyi, biasanya orang tidak ada kerja khusus, dia akan menyanyi-nyanyi!
Anwar Ibrahim selalu menyanyi lagu-lagu dalam filem Sangam didalam bilik air di rumahnya atau semasa di penjara Sungai Buloh untuk menghibur dirinya sendiri. Begitu juga semasa beliau menyanyi di dalam penjara di Sungai Buloh juga untuk menghibur dirinya juga dan diri worden yang meminati perjuangannya dan kagum kepada idealismenya.
Sehari dua ini kokokan Ibrahim Ali nampaknya menjadi-jadi dan nyaring. Macam burung buk-buk kehilangan anak. Bukan saja waktu pagi dan petang, tetapi malam juga beliau khabarnya berkokok. Jangan kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi sudahlah!
Apakah makna kokokan Ibrahim Ali itu? Apakah dia lapar atau pun dia sakit? Mereka yang arif dan masak dengan haiwan tidak susah membelek banyak kamus untuk mencari erti kokokan itu. Bak kata orang terkilas ikan di air sudah diketahui jantan atau bertina.
Sangkar politik
Sebagai orang yang berada dekat dengan sangkar politiknya, saya ditanya bertalu-talu, apa sudah jadi dengan Adi Jagat? Kenapa dia berulah dan berperangai begitu? Suasah juga saya dibuatnya, nak jawab susah tak nak jawab pun sudah. Hidup ini penuh dengan persepsi-persepsi yang ada kalanya membunuh realiti.
Saya menjawab, itulah Adi Jagat. Kalau dia tidak begitu, dia bukan Adi Jagat, tetapi Ali Gagap. Ali Gagap di kampung saya dia suka mengintai perempuan kencing. Apalah istimewanya mengintai perempuan kencing tidak diketahui. Entah macam mana suatu hari ketika sedang asyik mengintai tiba-tiba air meleleh dari atas jemburan dan menjirus mukanya.
Yang lucunya bila dia nak menceritakan kejadian itu tergagap-gagap, tercungap-cungap sampai ke petang orang tidak mengetahui apakah yang hendak disampaikan itu. Apakah beliau sengaja atau memang politik orang gagap begitu lagaknya, walhualam!
Bebalik kepada soal Ibrahim Ali, saya menjelaskan beliau adalah Ahli Parlimen Bebas. Jadi dia boleh bercakap apa sahaja. Belai tidak terikat dengan mana-mana disiplin. Sejak awal lagi consent beliau dengan Pas hanya bertanding atas tikit Pas saja dan bukan menyokong Pas. Beliau hanya meminta laluan saja daripada Pas. Jadi kalau ada orang Pas telah menyalah anggap consent ini ia adalah silap.
Jadi sebagai burung yang tidak ada sangkar beliau boleh terbang ke mana sahaja dia suka. Hari ini dia cuba pratikkan kebebasan bersuara dan berkokok itu. Sampai sudah naik bingit telinga banyak orang. Para pendengar hendaknya pandai dan tahu mendengar nilai kokokan itu. Akhbar pula yang sebelum ini tidak sudi memandangnya dengan sebiji pun kini sudah mula memburu beliau!
Itulah erti dan makna kokokan Ibrahim. Dia hendak menyatakan kebebasan dan warna dirinya. Dia hendak mempamerkan politik bebas dalam kaca matanya itu. Sebagai burung tentulah dia mengharap ada orang memipihkan lada. Nampaknya PKR sudah pun memipihkan lada. Pas juga sudah memipihkan lada. Kedua lada itu dipilih dan diletakkan dalam perangkap (jebak). Si Ibrahim bijak dia umpama burung yang sudah 'celika' dengan jebak. Dia tidak mudah terliur kepada lada itu kerana ada perangkap yang menantinya.
Cuam di sini saya ingin ingatkan kepada Pas dan PKR janganlah cuba-cuba hendak merisik Ibrahim. Pada hemat saya beliau tidak akan menyertai Pas atau pun PKR. Kalau beliau berminat dengan Pas, beliau akan menyertai Pas sewaktu pilihan raya lagi. Begitu juga dengan PKR.
Budi baik
Saya cukup arif dan faham dengan politik Ibrahim ini. Jangan mengecewakan diri kerana membujuk atau pun berharap kepada orang yang tidak sudi. Apa yang Ibrahim boleh lakukan (bantu Pas) semasa pilihan raya lalu itulah saja budibaiknya. Selepas ini tidak akan ada budi dan yang ada ialah budi tidak baik.
Secara jujur dan berisyarat beliau sudah jelaskan, yang sukar untuk beliau menyertai Pas. Kefahaman Islamnya tidak sedalam orang Pas. Beliau selalu membuat cerita betapa sukarnya kalau beliau menyertai Pas, kena baca khutbah dan sebagainya. Sedang beliau tidak memiliki segala ilmu itu.
Begitu juga dengan PKR, dia sudah jelaskan. Parti itu bersifat multi racial tidak sesuai dengan beliau yang obses kepada Melayu. Penjelasan itu seharusnya difahami dengan mudah. Apakah disepanjang berkokok itu beliau menyebut mengenai perbezaannya dengan Umno. Jawabnya tiak. jadi .... faham-fahamlah.
Jangan terkejut kalau beliau mengambil keputusan memohon untuk menjadi ahli Umno semula atau tiba-tiba akan dipanggil untuk menyertai parti itu bagi memperkukuhkan kedudukannya yang goyang ketika ini. Kepakaran dan profesionalism politik Ibrahim sangat diperlukan oleh Umno.
Bagi saya tidak mengapa ke mana Ibrahim pergi dan singgah di dahan mana. Yang penting dia tetap dengan perjuangan vokalnya, menjaga dan mengawal kepentingan Melayu. Tidak ada guna duduk dalam guni Melayu kalau bersifat Barat, tidak ada ertinya duduk dalam bakul Islam, tetapi berperangai sekular. Setidak-tidak dalam soal ini Ibrahim jujur dan ikhlas walaupun beliau dilihat tidak mempunyai moral politik yang mapan!
Saya tetap yakin apa tanggapan ke atas Ibrahim masa ini namun kalau sekiranya Pakatan Rakyat kekurangan satu kerusi untuk membolehkan pembentukan Kerajaan Persekutuan, Ibrahimlah yang akan mengenapkan kerusi berkenaan. [wm.kl 4:45 pm 18/05/08].
No comments:
Post a Comment