Friday, October 10, 2008

Renungan Mesra

Perhatian: Sebelum raya lalu saya menjanjikan sebuah tulisan mengenai Setiausaha Politik, Tok Guru Nik Aziz. Di sini disiarkan tulisan berkenaan sebagai memenuhi janji tersebut. Tulisan ini dibahagikan kepada dua bahagian.

Bahagian Pertama:
Perihal Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

JAWATAN Setiausaha Politik Menteri Besar cukup penting kerana ditangannyalah terencana hal ehwal dan warna politik seseorang MB itu. Politik atau siasah MB itu akan berada di bawah seliaan dan kawalannya. Kalau Setiausaha politik lemah, lembek, cerewet dan bangang, maka MB berkenaan juga besar kemungkinan akan turut memiliki sifat-sifat pasif berkenaan.

Seseorang Setiausaha Politik harus lebih bijak, berpandangan jauh dan cekap membaca pergerakan dan simpang siur politik. Mereka juga menambah nilai intelktual orang yang disetiausahakannya itu. Paling penting sekali memahami dan menghormati kepada prinsip dan perjuangan bosnya. Jangan ada pertentangan antara keduanya. Apa lagi kalau menggunakan ruang itu untuk mengecerkan agenda lain bersifat peribadi.

Peranan Setiausaha Politik ia boleh menjatuhkan dan menaikkan tokoh yang diketuainya itu. Dengan kerja-kerja politiknya; muslihat; tipu; adu domba dan sebagainya, ia boleh melakukan apa saja. Begitu juga hubungan dengan ahli bawahan, jaringan peringkat demostik dan antarabangsa cukup penting bagi mensukseskan seseorang tokoh yang menyerahkan kerja politiknya kepada Setiausaha Politik. Kerana keseluruhan nilai politik terletak kepada seseorang Setiausaha Politik.

Menteri Besar Keantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, 76 sudah mempunyai tiga orang Setiausaha Politik sejak 18 tahun lalu. Setiausaha Politik pertama ialah Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah, (foto) yang kini menjadi MP Kota Bharu dan juga bekas Speaker DUN Kelantan dan bekas Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan.

Setiausaha Politik keduanya ialah Husam Musa (foto berbaju petak-petak merah). Dan Setiausaha Politik ketiga dan kekal sehingga ke hari ini ialah Anual Bukhri Haron.

Dari segi watak dan penglibatan dalam parti, Wan Rahim ternyata orang yang masak dan paling serasi menjadi Setiasuaha Politik kepada Nik Aziz 'berbangsa' Pas itu. Wan Rahim merupakan orang yang berjerih perih semasa Pas kalah hingga Pas menang. Bolehlah disebut Wan Rahimlah yang berhuma menebas menebang dengan Nik Aziz. Bolehlah disama darjah atau nilai Wan Rahim seperti Khaidir Katib menjadi Setiausaha Politik kepada Allahyarham Datuk Asri Muda menjadi MB Kelantan.

Sebab itu tidak banyak kerenah berlaku sepanjang Wan Rahim menjadi Setiausaha Politik. Nik Aziz juga tidak perlu banyak berfikir kerana segala masalah berkaitan politik diselesai dan diuraikan oleh Wan Rahim dengan bijaksana. Wan Rahim sebagai ‘jung’ dapur dapat menyediakan hidangan segar dan menyelerakan semua orang. Tidak terdengar runggutan dari kalangan orang ramai yang mempertikaikan khidmatnya. Wan Rahim juga tidak pernah dimaki hamun dan ditempeleng oleh sesiapa di sepanjang beliau menjadi Setiausaha Politik!

Wan Rahim seorang sedarhana. Beliau bergaul dengan semua orang. Ini menyebabkan apa-apa masalah politik yang membelit Nik Aziz dapat diselesaikan sebelum ia menjadi parah. Beliau juga tidak tahu bertindak lebih sudu dari kuah. Terbiyah asal Pas, orang bawah menghormati pemimpin menjadi pegangan dan azimat Wan Rahim.

Begitu juga dengan Husam Musa. Beliau yang sebelum itu adalah Setiausaha Akhbar Nik Aziz. Bolehlah dikatak dia mendapat latihan mengenali politik Pas dan Nik Aziz semasa menjadi Setiasuaha Akhbar. Cara bekerja dan politik sedarhana Wan Rahim mungkin diperhatikannya. Husam seorang penialai (observer) yang baik.

Kerana itu bila beliau menjadi Setiausaha Politik, MB tidak ada hal-hal yang menimbulkan masalah. Tetapi cara bekerja, berhubung dan hala tuju politik Husam berbeza dengan Rahim. Kalau Wan Rahim berjalan atas landasan dan bayangan fikir Nik Aziz, namun Husam bergerak lebih laju dan berani dari itu. Husam bukan saja menyelesaikan masalah yang timbul mengikut percaturan politik baru namun turut sama menyuntik ieda dan pendekatan politik kontemporari kepada Nik Aziz. Kadang-kadang Nik Aziz dibayanginya.

Kalau Wan Rahim tidak mengambil kesempatan menjual dirinya semasa menjawat jawatan itu, berlainan dengan Husam. Semacam ada perlumbaan untuk menunjukkan siapa hebat di kalangan pegawai MB dilakukan Husam. Tapi kita sedia maklum kerana mereka masih muda dan baru merasai glamour kerusi berkenaan jadi hal-hal seperti itu tidak terhindar. Seorang lagi pegawai MB ialah Wan Ismail Wan Jusoh yang menjadi Setiausaha Akhbar.

Mungkin Wan Rahim tidak perlu menjual dirinya atas merket Setiasuaha Politik kerana semua orang Pas kenal dan mesra dengannya. Dari Kuala Lebir di Ulu Kelantan hingga ke Pulau Seribu di Tumpat semua kenal Cikgu Rahim. Bahkan setiap ahli Pas terhidu asap rokok daunnya, (nipah) maka terbayanglah wajah Setiusaha Politik Tok Guru yang humble dan berwarna gelap itu. Cikgu Rahim hisap rokok daun.

Wan Rahim lebih banyak merayap ke bawah membawa pemikiran Nik Aziz dan kadang jadi bomoh politik meyelesaikan ketegangan yang timbul. Mencanangkan Nik Aziz sebagai seorang ustaz yang mempunyai pendekatan dan versi politik semasa yang hebat. Beliau banyak cuba mengangkat martabat dan mempopularkan Nik Aziz di kalangan rakyat. Berlainan dengan Husam yang banyak berada di bilik menelaah buku-buku, mencari ilmu siasah dan pentadbiran baru dan modern untuk ditunjuk dan dipraktikan oleh Nik Aziz.

Kesempatan ini diguanakan Husam mempengaruhi dan menyuntik pemikiran baru. Sebab itulah pemikiran Nik Aziz modern dan segar dan ia berkisar mengikut masa dan ada kalanya melanggar batas pemikiran siasah lama yang masih diamalkan orang Pas sampai kini. Banyak keputusan dan pendekatan dinamik diambil Nik Aziz merujakan orang ramai.

Dibandingkan dengan jawatan sebagai Setiausaha Akhbar dan jawatan Setiausaha Politik, Husam lebih cemerlang sebagai seorang Setiausaha Politik dan ini kena tempatnya kerana beliau mempunyai cita-cita politik yang tinggi dan hebat. Kedudukan itu digunakan sebaik mungkin bagi mengasah bakatnya.

Dalam kaca mata saya Husam seorang yang rajin dan berusaha menyelesaikan sesuatu masalah yang dipikul oleh bosnya baik secara sistemetik ataupun menerusi pendekatan atau kaedah berpolitik. Husam berjaya meletakkan Nik Aziz dalam persekitaran semasa, ever green.

Saya masih ingat bagaimana rajin Husam dalam mencari dan menyelesaikan masalah membantu Tok Guru. Satu ketika Tok Guru ada masalah dengan para pegawai kerajaan negeri. Para pegawai kerajaan tidak mahu bekerjasama dengan Kerajaan sedangkan MB tidak dapat berbuat apa-apa kerana pegawai kerajaan di bawah SPR – Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri.

Perkara ini menimbulkan masalah. Beliau bercadang untuk mengatasinya dan mencari formula. Beliau teringat Sanusi Junid yang ketika itu menjadi MB Kedah menghadapi masalah sama. Kebetulan pegawai kerajaan negeri Kedah juga sama dengan Kelantan tertakluk kepada SPN negerinya sendiri dan bukan dibawah Perkhidmatan Awam seperti negeri-negeri lain.

Kerana baru dan jangkaun hubungan masih terhad Husam berhadapan dengan sedikit kerumitan bagaimana untuk berjumpa dengan Sanusi Junid bagi bertanyakan dan mencari formula. Ketika inilah Nik Aziz teringatkan saya dan meminta saya menjadi perantara untuk mempertemukan Husam dengan Sanusi. Dipendekkan cerita bertemulah Husam dengan Sanusi Junid.

Apa nak ceritakan ini, Husam menjalankan kerja Setiausaha Politik dengan baik dan berkesan dan mampu meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh muda di Kelantan yang berpotensi menjadi pemimpin pelapis. [wm.kl 10:15 15/09/08]

3 comments:

Anonymous said...

Salam buat MSO,

Posting ini rasa-rasanya ditunggu-tunggu oleh penyinggah.

Saya amat berharap dan saya yakin, artikel yang terdiri dua bahagian ini akan bersifat informatif, dan berimbang.

Saya akan tunggu bahagian kedua nanti.

Salam.

Panglima Perang Cyber said...

apa hal tiba tiba Husam dipuji di bulan syawal ni ?

adakah ada 'sesuatu' telah berlaku ?

Cuma tak sedapnya macam artikel ini dan artikel pasal ibrahim ali, tuan blog agak ketara mengangkat dirinya sendiri.

maaflah kerana itu yang saya mahu tulis.

Moga dilindungi penyakit HUBBUL JAH dan HUBBUL RIASAH

makna? nik aziz ada...tanya dialah.

soalan lupa ditanya bila dia nak turun jadi MB ?

Nak lawan Mahathir ka?

Ryzal72 said...

Assalamualaikum,
Satu analisa yang saya kira agak analitikal. Tak terjangkau dek pemikiran saya, anak lubok jong. Tabik saya.
Saya sependapat dalam isu ini. Pada hemat saya, Ini adalah isu kualiti dalam kepimpinan. Isu kepimpinan bukan isu picisan kerana ia akan menentukan patern halatuju, pendekatan dan focus drive party. Sebagaimana dalam islam-kepimpinan itu bukan satu tashrif tapi lebih kepada taqlif.
Dalam dasawarsa yang mencabar ini, parti memerlukan bukan seorang husam tetapi lebih ramai. Kita mesti tahu positionkan parti sesuai dengan selera dan kehendak masayarakat. Ini boleh dikira sebagai satu pendekatan dakwah yang strategikal.Pendekatan ini mestilah inline dengan pemikiran etc. Maknanya ilmu itu adalah suatu yang penting. Elemen ini ada pada husam. Pengalaman sahaja, PR sahaja tidak cukup kerana parti mesti mampu berhadapan dengan komuniti profesional, kampung, rantau dan international. Justeru itu, Husam saya lihat ada kalibernya. Soal saya, macaman dengan yang lain?. Kenapa kita juga tidak ketengahkan bakat-bakat yang lain?. Bila nak diketengahkan?.
Walauapapun, betul kata saudara warna MB/tok guru tergantung kepada ketua hulubalangnya iaitu SUPOL.
Salam Syawal

Tq.