Raya Kesedihan dan Nostalgia
Ya Rofi: SELAMAT bersua kembali setelah kita meninggalkan lama maklumat dan laman sosial buat beberapa hari untuk menyambut hari raya. Saya rasa ada antara kita sudah kembali 'ke tempat asal' semula, ke tempat bermastautin untuk meneruskan kehidupan dan perjuangan seperti biasa. Semoga kita mendapat berkat dari dua peristiwa 1 Syawal dan 31 Ogos.
Raya tahun ini - bagi saya benar-benar memberi kepuasan tersendiri. Ia memberi erti besar apabila semangat Ramdhan dan Syawal dapat dihayati terutamanya dalam menghubung dan mengeratkan tali salturahim. Sempena raya kali ini ramai saya dapat berhubung semula dengan sanak saudara khasnya kawan-kawan lama baik semasa menuntut dan rakan sepermainan diwaktu kecil dan terpisah kesekian dekad.
Bayangkan betapa seronok dan gembiranya rakan yang hilang sejak lebih 35 hingga 40 tahun lalu menjelma kembali dan seruang waktu dapat mengingat perjalan waktu yang lewat.
Pertemuan dialam dewasa ini sungguh melucukan kerana ada yang berubah secara total dan sehinggaklan hilang ideniti semasa remaja. Wajah usahlah dikira lagi. Kalau dulu rambut, misai hitam legam kini semuanya menjadi putih. Istilah orang kampung saya kepala dipenuhi bunga 'mempulut' - memutih.
Inilah hikmah yang ada pada hari raya. Raya adalah hari penuh bererti dan membawa makna besar kalau kita menghayati sejarah dan juga fisafatnya.
Boleh disifatkan hari raya adalah 'padang mahsyar' di dunia yang mempertemukan semula jasad di antara kita yang insaf. Hanya antara kita yang insaf, tawaduk tidak ego...tetapi ada juga kawan semasa kecil yang tidak akan mempedulikan sesiapa lagi setelah berganjak dewasa dan punya kedudukan tinggi. Mereka ini yang dulu semasa remaja boleh bertukar kasut dan seluar dalam tetapi hari ini sudah berubah segala-galanya. Ada yang langsung tidak mahu didekati kerana hanyir si kawan masa kecil masih menghamis hidung dan seluruh deria rasanya. Entahlah...
Apa paling bererti raya ini ialah bila mempertemukan saya dengan rakan semasa darjah satu hingga darjah enam yang sejak 40 tahun lalu menghilang entah ke mana. Hari ini kawan itu kembali ke kampung dan sama-sama mendirikan solat raya di balaisah kampung kami yang penuh nostalgik. Banyak nostalgia saya dengan kawan ini. Yang tidak dapat dilupakan ialah bagaimana satu malam dia dimainkan kawan-kawan sehingga kampung kami jadi rung randah malam itu. (Saya akan catatkan kisah ini dilain posting).
Selain jumpa dengan kawan sepermainan bernama Mazlan Ayub ini, raya ini juga menemukan saya dengan dua rakan yang tidak lama bertemu. Mereka adalah kawan semasa di tingkat satu hingga tingkat tiga di sekolah menengah Rantau Panjang. Seperti mana Mazlan tadi rakan ini juga benar-benar melucukan dan kegiatan masa remaja kami tidak dapat difikirkan waktu ini. Tidak munasabah dan amat mustahil dengan apa yang kami lakukan waktu itu.
Demi menemui mereka saya melewatkan perjalanan pulang ke KL selama enam jam. Selalu saya akan bertolak sebulum Subuh tetapi kali ini terheret sehingga selepas Isyak. Bila rakan lama berjumpa maka tidak cukup masalah untuk berbicara dan masa pula terlalu laju bergerak. Apa yang membanggakan saya kedua rakan ini tidak berubah fiil perangai dan gelak tawanya. Mereka masih untuh identiti dan kekal dengan stail zaman remaja. Mereka juga adalah rakan yang masih terus ingin merakani kawan semasa remaja dan bukan meninggalkan rakan selepas menemui kawan baru bertali leher dan berbaju kot.
Selain rakan itu raya tahun ini juga menemui saya kembali dengan rakan semasa di Medan, Indonesia. Terpisah sejak tahun 1982. Atas usahanya mencari dan membelek Fb akhirnya kami dapat bertemu semula untuk sama-sama mengingati kisah duka nestapa semasa berada di rantau orang. Pendekanya insiden ataupun pertemuan-pertemua memberi erti besar kepada saya pada aidil-fitri tahun ini. Ketidak sengajaan sebgini seharusnyanya disengajakan demi merapatkan antara kita.
Bagaimana pun dalam kegembiraan itu ada juga secebis kedukacitaan yang tidak dapat dicegah oleh kudrat manusia. Dua orang yang penting dan mempunyai ketokohan tersendiri dalam negara ini telah dijemput Allah untuk menyambut aidil-fitri bersama-Nya di akhirat, apabila mereka meninggalkan kita semua pada hari raya.
Mereka yang saya maksudkan ialah Tuan Guru Haji Hashim Abu Bakar Pondok Pasir Tumbuh Kelantan dan bekas Ketua Pentarah DBP dan juga pejuang bahasa terulang, Datuk Dr Hasan Ahmad. Tok Guru Hahsim meninggal pada paga raya manakala Hasan pula meninggal pada raya.
Dicelah kepergian mereka itu seorang rakan lama saya Dr Abdul Halim - doktor gigi Melayu terawal di Kota Bharu lulusan USU Sumatera, terlebih awal dijemput Allah pada sehari sebelum raya. Lama saya tidak menemui rakan ini yang sudah saya kira sudah lama tiada. Perkhabaran itu menyedihkan sekali.
Saya sungguh terkilan di atas tiga kematian. Tok Guru Haji Hashim saya ketahui sudah lama sakit. Ada sesuatu yang tidak dapat saya perolehinya darinya. Masa saya mewujudkan ruangan "Beranda Minda" di akhbar Siasah saya telah meminta seseorang menulis mengenainya. Nama Tuan Guru Haji Hashim telah saya pilih antara orang terawal untuk memenuhi ruangan berkenaan berdasarkan ketokohannya dalam pendidikan pondok dan antara ulama tradisi yang dimalui dan dihormati di Kelantan.
Malangnya usaha itu gagal. Penulis yang saya minta tidak dapat memenuhi penulisan yang saya mahui. Kerana itu kisah atau pun semi bilbografi Allahyaraham dalam bidang yang diunggulinya tidak kesempatan disiarkan. Pemergiannya disifatkan sebagai padamnya sebuah lagi kandi agama di Kelantan.
Saya masih mengharap kepada sesiapa yang mengetahui sedikit sebanyak sejarah hidup dan perjuangan Allahyarham dalam bidang 'kepondokan' di Kelantan dapat menggarapkan tawarikh hidup dan perjuangan Allahyaraham. Saya sedang mencari tulisan saya mengenai Allahyarham yang saya hasilkan dalam tahun 80-an dan dimuatkan dalam akhbar Mingguan Islam. Kalau ada akan saya paparkan dalam blog ini.
Demikian dengan Hasan Ali. Terasa snagat pertemuan dengannya masih hangat dalam mata dan ingatan. Semua yang berlaku di antara saya dengan beliau tidak dapat ditabirkan untuk dijadikan iktibar dan menjadi isyarat yang beliau akan pergi dalam masa terdekat.
Beberapa bulan sebelum ini Allahyarham beriya-iya mahukan gambar-gambar beliau semasa berdemonstrasi menuntut penghapusan Pendidikan Pelajaran Sains dan Matemetik (PSSMI). Saya tidak tahu apakah tujuannya tetapi katanya dia mahu semuanya. Saya mengira dia mahu rekodkan dalam sebuah buku berhubung perjuangan menentang menghapuskan PPSMI yang dianggap satu pengkhiantan keada bangsa. Hassan adalah antara tokoh yang marah dan konsisten kemarahannya dengan dasar PPSMI.
Saya kebetulan sibuk dengan kerja-kerja rutin menyebabkan terlupa untuk memenuhi permintaan Allahyarham itu walaupun telah menjanjikan lebih dari dua kali untuk memenuhinya. Hinggalah ketika berjumpa dengannya pada hari perlancaran Ngo Amanah Merdeka oleh Tengku Razaleigh Hamzah akhir Septermber beliau sekali lagi meminta agar mengirimkan gambar-gambar berkenaan. Begitu nampak kelibat saya di majlis itu, beliau menghampiri saya meninggalkan meja makan sambil mengenyitkan mata menanyakan gambar-gambar dimaksudkan itu.
"Allah Datuk minta maaf... nanti saya akan kirimkan. Minta maaf banyak banyak, Datuk..." saya apologi kepadanya dengan rasa bersalah yang besar.
"Tak apa bila you senang you call kita jumpa di mana-mana minum kopi. Kita boleh berbual panjang.. ada beberapa hal hendak saya bincang dengan you," balasnya membayangkan kesabarannya. Saya rasa benar-benar bersalah. Selepas pertemuan itu beliau sekali lagi menelefon saya dan meminta gambar-gambarnya.
Alahamdulilah nasib baik beberapa keping gambar yang dikehendaki itu sempat saya kirimkan menerusi email dan yang selebihnya dalam simpanan untuk diberi sendiri selepas raya. Dan ketika berjumpa pada majlis berbuka puasa di rumah Tengku Razaleigh pada minggu kedua Ramadhan, Allahyarham memaklumkan kepada saya yang gambar itu sudah diterima dan dia sangat berterima kasih. Tetapi sesuatu yang menjadi pertanyaan saya apabila Allahyaram terus meminta gambarnya yang disembur water cannon dalam demonstrasi berkenaan.
Malangnya gambar berkenaan tidak ada. Semasa demonstrasi itu di pusat membeli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman ia tidak sampai polis bertindak menyembur air kepada demostran, polis hanya 'menangkapnya' untuk berunding supaya bubarkan tunjuk perasaan berkenaan. Tetapi tidak tahu kalau demonstrasi di tempat lain mengenai PPSMI melibatkan semburan water cannon.
Sehingga kini saya tertanya-tanya kenapa Allahyarham beriya mahukan gambarnya yang sedang diiringi polis atau disembur water cannon. Cuma apa yang dapat disimpulkan mungkin Allahyarham ingin menyimpannya atau atau direkod untuk kenenangan peribadi. Dan hari ini apabila Allahyarham sudah tiada baru saya fahami mungkin apa yang didingini itu untuk dijadikan cenderamata bahawa dia adalah orang yang menentang terhadap pencabulan terhadap bahasa Melayu yang dilakukan oleh aparat pemerintah hari ini. Bahawa beliau ingin menyampaikan mesej perjuangan itu harus diteruskan.
Malam itu di rumah Tengku Razaleigh saya dan Allahyarham berterawih bersama dan berada di saf paling hadapan. Allahyarham duduk bersebelah dengan saya. Saya memaklumkan kenyataan terbaru Udin anak Yassin yang hendak menggunakan khidmat orang putih dalam pendidikan Inggiris di sekolah. Allahyarham hanya tunduk dengan pemakluman itu tanpa berkata apa hanya menggeleng-gelengkan kepala. Wajahnya amat kecewa dengan tindakan Udin anak Yassin itu.
Sesudah solat dan doa dan ketika bersalaman dengannya saya ada terdengar sebuah desas yang jelas tidak jelas yang keluar dari bibirnya; selamat hari raya.
Saya sedikit terkaget dan menerima pengupacan itu tanpa ada apa-apa syak wasangka. Hingga setelah mengetahui berita kematiannya itu yang dikirimkan sasterawan Kelantan Norhisham Mustapa menerusi SMS baru saya memahami apakah erti dan ucapan selamat raya awal dari Allahyaraham itu. Al Fatihah untuk Tuan Guru Haji Hashim, Dr Hasan dan juga Dr Halim. Semoga roh mereka ditempatkan di bersama para ambiak Allah. [wm.kl.2:03 pm 02/08/11]
No comments:
Post a Comment